Sunday, December 27, 2009

Usia muda bukan jaminan

Oleh Hafizah Iszahanid



Barah payu dara tidak kenal umur, boleh dicegah jika dikesan awal

ABBY Tajudin, 33, bukanlah dalam kategori berisiko tinggi diserang barah payu dara. Tiada seorang pun dalam keluarganya diserang barah payu dara. Malah dengan usia 33 tahun, dia tidak pun membuat ujian imbasan mamogram sebelum ini.

Umumnya di hospital kerajaan, wanita berusia 40 tahun yang diwajibkan menjalani ujian mamogram. Wanita muda yang tidak berada dalam kumpulan berisiko, walaupun mahu melakukan ujian mamogram akan disuruh ke hospital swasta.

Justeru, sewaktu Abby diserang sakit belakang yang teruk dan mengambil masa hampir 30 minit untuk bangun dari katil setiap pagi, tidak terlintas langsung di fikirannya itu adalah simptom barah payu dara.

“Mulanya saya ambil paracetamol bagi melegakan kesakitan. Kemudian, apabila masih sakit saya berjumpa pakar tulang, tetapi tidak sembuh juga. Sakit masih berulang dan akhirnya saya dirujuk kepada pakar bedah payu dara. Rupanya sakit belakang itu ialah simptom barah payu dara,” katanya ketika ditemui pada majlis bersempena Bulan Kesedaran Barah Payu Dara Sedunia yang jatuh pada bulan ini.

Barah payu dara yang menyerang Abby ialah jenis metastasis (sel barah merebak ke saluran limfa atau salur darah sebelum ke organ lain) dan sudah merebak hingga ke tulang belakang. Lebih menyentuh hatinya, ia sudah di tahap empat!

Anehnya, Abby, anak bongsu enam beradik tidak mempunyai sejarah barah payu dara dalam keluarganya. Justeru, waktu disahkan menghidap barah payu dara, hidupnya seakan-akan terhenti seketika. Dia yang masih menjalani rawatan kemoterapi itu bagaimanapun, menyerahkannya kepada Allah SWT kerana percaya, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.

“Saya percaya pada qada dan qadar dan tidak akan mudah menyerah kalah. Saya akan terus berjuang menentang barah payu dara untuk dua anak yang sedang membesar,” kata ejen hartanah yang dan dikurniakan dua anak lelaki.

Malah kehadiran cahaya matanya itu menyebabkannya tetap tabah menjalani hidup. Untuknya, barah payu dara bukan penghalang untuk terus bekerja dan meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Abby ialah antara contoh wanita yang diserang barah payu dara walaupun tidak tergolong dalam kumpulan berisiko. Dia masih muda, tidak lahir dalam keluarga yang mempunyai sejarah barah payu dara dan aktif bekerja dan bersukan.

Walaupun, satu daripada faktor risiko terbesar barah payu dara dikaitkan dengan faktor genetik, namun ia bukan satu kemestian.

Justeru, menjalani rawatan awal seperti ujian imbasan mamogram ialah antara keperluan utama wanita walaupun usia anda belum mencecah 40 tahun.

Pakar Bedah Payu Dara, Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur Datuk Dr Suseela Nair, berkata barah payu dara ialah barah yang paling kerap ditemui di kalangan wanita Malaysia, mencecah hingga 31.3 peratus daripada semua jenis barah.

“Wanita Cina dan India merekodkan kes tertinggi berbanding Wanita Melayu. Namun, angka itu berdasarkan statistik lawatan ke hospital. Justeru, ia mungkin tidak membayangkan jumlah kes sebenar,” katanya.

Jelas Dr Suseela, ada banyak kes pesakit lebih gemar merujuk kepada pengamal perubatan alternatif untuk rawatan berbanding mendapat rawatan di hospital. Pesakit hanya akan ke hospital apabila tidak sembuh dan ketika itu, ia sudah pun terlambat.

“Memilih rawatan tradisional bukan langkah bijak kerana keberkesanannya dalam rawatan barah payu dara belum dibuktikan,” katanya.

Jelasnya, gaya hidup sihat memang memainkan peranan mengelak barah payu dara. Namun lebih penting mengurangkan menu yang boleh menjadi faktor risiko seperti pengambilan terlalu banyak daging, produk tenusu, selain rendah pengambilan sayur-sayuran dan serat.

Namun, bolehkah anda melawan barah payu dara? Tentu saja, kerana barah payu dara mudah dikesan, selagi anda melakukan ujian mamogram atau melakukan ujian sendiri. Simptom barah payu dara juga mudah diketahui dengan simptom paling mudah - mengesan ketulan dalam payu dara.

Ujian mamogram pula memudahkan anda mengesan perubahan pada payu dara dengan imej yang jelas. Mamogram direka secara khusus untuk imbasan payu dara pada kadar radiasi yang rendah. Rawatan barah payu dara yang berjaya bergantung kepada pengesanan awal, justeru mamogram ialah antara kaedah pengesanan awal terbaik.

Pihak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) melaporkan, mamogram membantu mengesan ketulan barah payu dara antara 85 ke 90 peratus bagi kalangan wanita berusia 50 ke atas.

Tidak dinafikan, payu dara yang juga gabungan lemak, kelenjar dan tisu yang kenyal.

Justeru ada kala ujian mamogram mendatangkan sedikit ketidakselesaan. Namun ia bukan alasan untuk tidak melakukannya, apatah lagi jika anda berada dalam golongan berisiko.

INFO:

Simptom

* Ketulan pada payu dara dan makin jelas ketika haid
* Pendarahan atau lelehan dari puting payu dara
* Perubahan bentuk payu dara
* Kulit payu dara atau puting yang tertarik ke dalam

Golongan Berisiko
o Usia yang meningkat (namun dalam kes Abby, barah payu dara boleh juga terjadi pada usia muda)
o Sejarah keluarga (adik beradik dan saudara terdekat, nenek, sepupu, ibu saudara)
o Pernah dirawat dengan barah payu dara sebelum ini
o Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun dan menopaus lewat (selepas 50 tahun)
o Tidak menyusukan anak
o Melahirkan anak pada usia lewat (melepasi 30 tahun)
o Pemakanan tinggi lemak tetapi rendah serat
o Obes, minum arak, merokok

No comments: