Showing posts with label Gigi dan Mulut. Show all posts
Showing posts with label Gigi dan Mulut. Show all posts

Sunday, December 27, 2009

Gigi sensitif

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

TIAP kali menjamah makanan sejuk, panas, manis dan masam; giginya terasa sakit. Pelbagai cara sudah dicuba tetapi masalah sakit gigi setiap kali makan tetap tidak hilang.

Adakala kesakitannya hanya untuk beberapa saat tetapi sangat menyeksakan. Ini memaksanya memberus gigi sejurus selepas makan — kaedah yang dirasakan dapat mengurangkan masalahnya.

Senario di atas adalah perkara biasa bagi individu yang mengalami masalah gigi sensitif.

Secara global, satu daripada tiga orang mengalami masalah gigi sensitif. Tinjauan ke atas 11,000 orang dewasa pada 2002 mendapati lebih ramai wanita mengalami masalah gigi sensitif.


Berdasarkan tinjauan Penjagaan Kesihatan Mulut Kebangsaan Bagi Orang Dewasa Malaysia pada 2000, didapati 36 peratus penduduk negara ini ada masalah gigi sensitif dan kajian menunjukkan ia semakin meningkat di kalangan golongan muda.


Ini menandakan gigi sensitif adalah masalah biasa dalam masyarakat kita tidak kira golongan tua atau muda. Gejala gigi sensitif boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi kebanyakan kes dialami golongan dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun.

Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr Lee Soon Boon, hal terbabit sangat membimbangkan kerana tabiat pengambilan banyak makanan dan minuman ringan.

Masalah ini juga boleh disebabkan peningkatan penggunaan bahan pemutih gigi (untuk tujuan kosmetik) dan kekerapan menjalani rawatan pembersihan gigi.

Malah bagi wanita, perubahan kitaran hormon, terutama ketika hamil, juga boleh menyebabkan mereka lebih mudah mengalami penyakit gusi dan gigi sensitif.

Bagaimana masalah gigi sensitif berlaku? Gigi kita mempunyai dua lapisan iaitu enamel (lapisan luar yang keras) dan dentin (lapisan dalam bersifat poros dan lembut). Gigi sensitif berlaku apabila lapisan dentin terdedah.

Enamel adalah tisu paling kuat dalam badan dan hanya berkembang ketika gigi terbentuk iaitu ketika usia beberapa hari hingga 12 tahun.

Malangnya, ia hanya terbentuk sekali seumur hidup dan tidak boleh diperbaharui atau digantikan jika rosak.

Walaupun lapisan enamel ini kuat, ia boleh terlarut akibat hakisan asid (daripada makanan atau asid pencernaan yang tertolak naik ke mulut apabila muntah) yang menyebabkan enamel ini menjadi semakin nipis dan akhirnya mendedahkan lapisan dentin di bawahnya.

Lapisan dentin juga boleh terdedah jika memberus gigi dengan kasar dan kuat atau jika gusi menyusut. Makanan atau minuman sejuk yang terkena lapisan dentin akan memberi rangsangan kepada akar gigi dan ini yang menyebabkan kesakitan.

“Kesakitan akibat gigi sensitif hanya beberapa saat iaitu ketika gigi didedahkan dengan punca rangsangan seperti makanan sejuk, panas, manis dan masam. Apabila punca rangsangan ini dialihkan, kesakitan akan hilang.

“Kita boleh menentukan mengetahui sama ada kesakitan itu disebabkan gigi sensitif atau kerosakan gigi berdasarkan rasa sakit dialami.

“Kesakitan gigi sensitif hanya sekejap iaitu apabila gigi terdedah kepada punca rangsangan, sedangkan kesakitan akibat kerosakan gigi (gigi reput atau berlubang) pula lebih lama dan berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Antara faktor penyebab gigi sensitif:


  • Dentin yang terdedah (enamel terlarut akibat hakisan asid atau memberus gigi terlalu kuat). Makanan dan minuman yang mempunyai pH kurang daripada 5 (sedikit berasid) boleh menyebabkan enamel terlarut

  • Akar gigi terdedah disebabkan gusi menyusut atau penyakit periodontium

  • Lapisan enamel menjadi nipis kerana tabiat mengetap gigi

  • Muntah yang kerap dan berterusan (asid pencernaan boleh menyebabkan hakisan enamel gigi)

    Menurut Pakar Pergigian, Dr How Kim Chuan, walaupun memberus gigi kaedah terbaik untuk menjaga kesihatan mulut, ia tidak seharusnya dilakukan secara berlebihan atau terlalu kerap kerana boleh membuang tisu yang mengelilingi gusi dan mendedahkan akar gigi.

    Bagaimanapun, jika kurang memberus gigi, bakteria akan membiak di celah gigi (terutama yang ada sisa makanan) dan boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penghakisan gusi. Beliau menasihatkan memberus gigi (dan flos) sekurang-kurangnya dua kali sehari atau setiap kali selepas makan.

    “Masalah gigi sensitif juga selalu berlaku pada wanita hamil. Perubahan hormon menyebabkan aliran darah dalam badan meningkat dan menjadikan gusi lebih lembut. Ini menyebabkan mulut mudah bengkak dan sakit.

    “Selain itu kekerapan muntah pada awal kehamilan boleh menyebabkan asid pencernaan di dalam perut tertolak ke mulut. Asid ini boleh melarutkan lapisan enamel dan menyebabkan gigi sensitif,” katanya.

    Tiada ubat untuk masalah gigi sensitif. Rawatan yang ada hanya menggunakan ubat gigi, gel atau cecair kumur yang dirumus khas bagi masalah gigi sensitif.

    Kajian klinikal menunjukkan ubat gigi mengandungi garam potassium (potassium klorida atau potassium nitrat) dan garam strontium (strontium klorida atau strontium asetat) berkesan untuk mencegah dan melindungi daripada kesakitan gigi yang sensitif.

    Untuk langkah pencegahan, gunakan ubat gigi mengandungi fluorida bagi mengeraskan lapisan enamel tetapi tidak dapat menggantikan enamel pada bahagian gigi dengan lapisan dentin yang terdedah.

    Individu yang alami kesakitan akibat kerosakan gigi dinasihatkan segera berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan rawatan.

    Bagi kes begini, menggunakan ubat gigi untuk gigi sensitif tidak mencukupi kerana punca kesakitan perlu dirawat terlebih dulu.

    “Segera dapatkan rawatan jika ada tanda gigi rosak. Jangan tunggu hingga sakit gigi kerana ia bermakna kerosakan itu sampai ke lapisan dentin.

    “Ramai orang menganggap pemeriksaan gigi tidak penting dan hanya berjumpa doktor apabila sakit gigi,” katanya.

    Langkah mencegah masalah gigi sensitif:

  • Kurangkan pengambilan makanan dan minuman ringan serta berasid

  • Minum menggunakan straw yang dihala ke belakang mulut bagi mengurangkan minuman daripada terkena gigi

  • Jangan kemam jeruk, buah-buahan masam atau gula-gula. Lebih baik elak mengambil makanan dalam kumpulan ini

  • Bersihkan gigi (berus gigi) atau sekurang-kurangnya berkumur dengan air setiap kali selepas makan untuk mencairkan gula atau asid dalam mulut

  • Sesetengah cecair kumur mempunyai pH rendah. Ia juga boleh menipiskan lapisan enamel. Justeru, pilih cecair kumur yang dikhususkan untuk gigi sensitif

  • Gunakan berus gigi yang lembut

  • Belajar memberus gigi dengan cara betul bagi mengelak kerosakan gigi dan gusi

  • Jangan mencungkil sisa makanan yang terlekat di celah gigi selepas makan. Ia membuatkan masalah anda bertambah buruk. Cara terbaik untuk mengeluarkan sisa makanan dalam mulut ialah dengan memberus gigi

  • Individu yang mengetap gigi ketika tidur disaran memakai pelindung gigi (sarung gigi)

    Panduan rawatan dan penjagaan gigi sensitif:

  • Dapatkan rawatan pergigian jika ada gigi rosak atau berlubang

  • Berus gigi secara perlahan-lahan sekurang-kurangnya lima minit. Memberus gigi dengan kasar boleh menyebabkan kerosakan lapisan enamel gigi

  • Berus gigi dua kali sehari menggunakan berus gigi yang lembut

  • Gunakan ubat gigi yang direka khas untuk gigi sensitif (mengandungi garam kalium dan strontium untuk mengelakkan masalah gigi berulang)

  • Flos setiap kali selepas memberus gigi. Untuk gigi sensitif, guna flos nipis atau berlilin, terutama bagi wanita hamil

  • Bagi wanita hamil, jika gusi anda bengkak atau sakit, tekap bahagian berkenaan dengan ais. Ia dapat mengurangkan kesakitan

  • Elak makanan manis. Jika tidak dapat, pastikan anda memberus gigi setiap kali selepas menikmati makanan kegemaran anda

  • Bagi individu yang ada masalah ini, kurangkan atau elak minuman berkarbonat, wain, jus buah dan semua minuman ringan. Sebaliknya lebihkan minum air suam atau susu.
  • Pembedahan bibir sumbing

    Oleh Mohd Azis Ngah
    azis@bharian.com.my

    Rifa Aulia Hakim (belakang), Putri Sunanti, Undang Putra Nashrudin dan Kartini menunggu giliran pembedahan bibir sumbing.

    Kemiskinan, kos mahal jadi halangan kanak-kanak sumbing dibedah untuk baiki lelangit

    JAM 8.30 malam, bersama rakan setugas, kami meninjau dewan tempat saringan memilih pesakit bibir sumbing di Pulau Dabo Singkep, Kabupaten Lingga, Riau, Indonesia untuk dibedah bagi memulihkan bibir mereka.

    Selepas taklimat ringkas kepada pesakit yang disampaikan ketua pasukan perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Rani Samsudin, kami duduk di barisan belakang berbual dengan kanak-kanak berbibir sumbing yang datang bersama keluarga.

    Cuping telinga pantas menangkap suara sengau kanak-kanak seolah-olah sedang menyanyi. Melodi dan liriknya memang popular tetapi kurang jelas, tetapi apabila diamati kanak-kanak istimewa itu sedang mendendangkan lagu popular ‘Namun Ku Punya Hati’ yang sedikit masa lalu begitu popular di Malaysia.

    Di sana, penyanyi Malaysia memang popular kerana penduduknya meminati lagu Melayu. Menariknya, apabila diamati bait lirik lagu yang dinyanyikan Santalia Lestari Herman, 12, ia cukup menyentuh hati, seolah-olah menyedari kecacatan diri tanpa harapkan simpati.

    “Kawan-kawan saya semuanya lelaki, tidak ada kawan perempuan. Mereka tak suka sebab saya hodoh, tak cantik macam yang lain,” katanya yang menamatkan persekolahan gara-gara sering diejek rakan.
    Operasi pembedahan bibir sumbing oleh pasukan perubatan HUSM di Rumah Sakit Umum, Dabo Singkep, Kepulauan Riau, Indonesia.

    Anak bongsu daripada tiga beradik ini adalah antara 25 orang yang menjalani pemeriksaan dan 15 daripadanya berjaya menjalani pembedahan bibir sumbing dan memperbaiki lelangit. Kebanyakannya menjalani rawatan susulan selepas pembedahan pertama membaiki bibir sumbing dua tahun lalu.

    Kali ini, kumpulan perubatan menumpukan usaha menampal, membaikpulih lelangit mereka. Hanya dua kes pembedahan bibir sumbing. Operasi itu dijalankan di Rumah Sakit Umum Dabo Singkep yang membabitkan 31 pakar bedah, pakar bius, doktor, jururawat dan pasukan sokongan.

    Pasukan perubatan itu dipecahkan kepada tiga kumpulan diketuai Prof Dr Rani, Prof Zainal Ariff Abdul Rahman (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan Dr Kasmah Mohamed (Hospital Sungai Buloh).

    Program Bakti Sosial Pembedahan Bibir Sumbing itu dijalankan serentak dengan Perkampungan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) anjuran Gerakan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) selama enam hari baru-baru ini.

    Walaupun pembedahan dijalankan di Dabo Singkep, kebanyakan pesakit yang disenaraikan Dinas Kesihatan Kepulauan Riau datang dari segenap pelosok pulau.

    Dr Rani berkata, kebanyakan kes yang dirawat ialah kanak-kanak dan remaja kerana usia bawah 10 tahun adalah paling sesuai menjalani pembedahan.

    “Di Malaysia, kes bibir sumbing memang ada tetapi jumlahnya terlalu kecil kerana ia sudah dirawat sebaik bayi dilahirkan. Keadaan itu jauh berbeza di sini kerana mereka tidak mampu, kosnya terlalu mahal, sebab itu mereka biarkan saja sedangkan ia memberi kesan jangka panjang kepada pesakit.

    “Kami mencuba yang terbaik berdasarkan kemudahan peralatan yang terhad dan bersyukur kerana semua berjalan lancar. Pasukan perubatan berjaya menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

    Hakikat itu memang benar, pasukan perubatan dilihat bertungkus lumus sejak awal pagi hingga ke malam dan ada kalanya hingga ke awal pagi bagi rawatan susulan. Semuanya bagi memastikan pesakit mendapat yang terbaik walaupun selepas ini mereka akan menerima rawatan susulan di tempat sendiri.

    Seorang pesakit, Wahyudi Putra Handoko, 23, yang datang jauh dari Kijang, Tanjung Pinang kira-kira empat jam perjalanan menaiki feri berkata, beliau seolah-olah bermimpi dapat apabila terpilih menjalani pembedahan bibir dan lelangit.

    “Kami anak yatim dan orang miskin, ibu hanya menjual kuih. Saya baru habis belajar tetapi sering bekerja sambilan membersihkan bangunan. Logiknya memang kami tak mampu, kosnya saja hampir Rp10 juta (RM3,600). Jika ada duit pun, ia lebih penting untuk beli makanan,” katanya.

    Sunday, April 19, 2009

    Pembedahan orthognathic atasi jongang

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Gambar kiri (sebelum) dan kanan selepas pembedahan.

    Rawatan pakar mampu betulkan rahang supaya penampilan menarik

    JONGANG bagi sesetengah orang mungkin perkara biasa. Namun, jongang yang keterlaluan mengganggu keharmonian wajah dan menjejaskan individu itu secara psikologi.

    Jongang adalah satu daripada kategori masalah rahang (prognathism). Prognathism menjelaskan kaitan kedudukan antara rahang bawah (mandible) dan rahang atas (maxilla) dengan tulang asas rahang. Prognathism diambil daripada bahasa Greek yang bermaksud ke hadapan (pro) dan rahang (gnathos).


    Ia boleh berlaku pada bahagian tengah muka membabitkan rahang atas tertonjol (maxillary prognathism) atau rahang bawah yang tertonjol (mandibular prognathism) yang menjejaskan bahagian bawah muka.


    Jongang juga mungkin menyebabkan rahang atas yang menempatkan barisan gigi tertonjol keluar alveolar prognathism).

    Pakar Runding Bedah, Oral, Maksilofasial dan Implan, Dr Firdaus Hanapiah, berkata jongang umumnya adalah masalah rahang bawah lebih tertonjol.



    "Secara mudah, rahang kecil dengan gigi yang banyak menyebabkan jongang. Rahang besar dengan gigi yang sedikit menyebabkan gigi jarang. Jongang yang sedikit boleh dibetulkan dengan pendakap gigi, jongang yang teruk dan menjejaskan penampilan memerlukan pembedahan," katanya.

    Dr Firdaus berkata, dalam sesetengah kes, jongang berlaku atas faktor genetik, tetapi ada juga kes berlaku akibat kecederaan seperti kemalangan jalan raya selain tabiat buruk seperti suka menghisap jari.

    Selain itu, jongang juga mungkin berlaku disebabkan masalah lain misalnya sindrom crouzon atau sindrom basal cell nevus (kecacatan yang diwarisi atas faktor genetik membabitkan kulit, sistem saraf, mata, kelenjar endokrin dan tulang).

    Kanak-kanak pula, jongang mungkin terjadi kerana masalah gigantism (pertumbuhan abnormal disebabkan masalah hormon) selain masalah acromegaly (masalah kekacauan metabolik)

    "Jika jongang tidak mengganggu pesakit, tiada apa yang perlu dirisaukan. Namun, jika jongang itu keterlaluan, menjadikan penampilan seseorang itu tidak harmoni misalnya kelihatan berwajah garang atau menakutkan, malah ada pesakit yang terjejas dari segi psikologi, pembedahan boleh dilakukan," katanya.

    Dr Firdaus berkata, masalah jongang yang memerlukan pembedahan biasanya dilakukan selepas seseorang itu berhenti membesar (bagi kanak-kanak) manakala bagi orang dewasa biasanya selepas tamat pengajian atau sudah selesa dengan pekerjaan. Ia kerana mereka akan pulih dalam tempoh yang lama, selain perlu kerap berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan.

    Cara tangani jongang

    Pembedahan pergigian dikenali sebagai pembedahan orthognathic adalah pilihan untuk mereka yang mengalami jongang yang teruk. Pembedahan bukan saja membantu penampilan individu terbabit malah pertuturan mereka turut tidak terganggu," katanya.

    Pembedahan orthognathic dilakukan bagi membetulkan pelbagai masalah rahang. Biasanya barisan gigi akan diubah mengikut kedudukan rahang baru. Prosedur ini memakan masa yang lama manakala tempoh untuk benar-benar pulih juga mengambil masa enam bulan.

    Bergantung kepada keadaan pesakit, ada juga kes membabitkan rahang yang perlu dipotong bagi memendekkannya.

    "Objektif pembedahan ini adalah membetulkan masalah rahang yang membantu pesakit mengunyah, bercakap dan bernafas dengan lebih baik. Malah, penampilan juga lebih menarik," katanya.

    INFO: Tiga jenis jongang.

    1) Alveolar prognathism

    Biasanya disebabkan tabiat buruk seperti menghisap jari atau puting susu. Ia akan menyebabkan keseimbangan gigi terganggu. Ia biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang membesar. Masalah ini mudah ditangani dengan terapi pergigian. Kes berulang boleh berlaku, tetapi tidak kerap.

    2) Maxillary Prognathism

    Ada kalanya jongang jenis ini terjadi kerana rahang bawah yang tidak membesar dengan sepatutnya. Ia ada kaitan dengan penyakit lain. Jika tidak serius, ia boleh ditangani dengan pendakap gigi atau pembedahan.

    3) Mandibular prognathism

    Selalunya dikaitkan dengan faktor genetik. Rahang bawah bersaiz lebih besar daripada rahang atas menyebabkan dagu menjadi panjang.

    Plak punca gusi radang, terjejas

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my




    Kesihatan gigi bergantung kepada kebersihan mulut

    PLAK adalah deposit bakteria terbentuk di atas permukaan gigi yang boleh memusnahkan enamel gigi dan akhirnya membentuk kaviti. Namun, berapa kali anda membuat pemeriksaan gigi dalam setahun?

    Mengikut kajian Kesihatan Oral Dewasa Kebangsaan 2000 mendedahkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengutamakan kesihatan gigi. Walaupun daripada sudut promosi dan kempen kesedaran gigi dijalankan seperti kempen bebas Plak Oral-B, hanya sembilan daripada 10 rakyat Malaysia menderita kaviti dan penyakit gusi. Hampir 50 peratus berjumpa doktor gigi apabila berhadapan dengan masalah gigi.


    Pakar Pergigian Dr Fatimah Arshad, berkata plak menyebabkan gusi radang dan terjejas.


    Beliau berkata, penyakit gusi yang sederhana menyebabkan gingivitis, manakala yang serius boleh menyebabkan masalah periodontitis.

    Katanya, periodontis adalah masalah gingivitis teruk yang menyebabkan gusi radang dan boleh menjejaskan struktur gigi yang akhirnya menyaksikan gigi perlu dibuang.



    “Penyakit gusi yang sederhana boleh dirawat dengan kekerapan memberus gigi dan melakukan flos, namun untuk penyakit gusi yang serius ia memerlukan rawatan pakar pergigian,” katanya.

    Dr Fatimah berkata, plak terbentuk berpunca daripada kealpaan sendiri terutama membabitkan pemilihan makanan.

    “Pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi menyumbang kepada pembentukan plak,” katanya.

    Dr Fatimah berkata, pembentukan plak adalah punca masalah gigi bagi kebanyakan orang. Plak seakan filem tidak berwarna dan melekit yang sentiasa terbentuk di atas permukaan gigi.

    “Ia adalah punca sebenar kaviti dan masalah gusi. Jika plak tidak dibuang setiap hari, ia akan jadi keras membentuk tartar.

    “Masalah gigi yang biasanya berpunca daripada plak adalah seperti nafas berbau, gusi lemah yang selalunya berdarah apabila menggosok gigi, gingivitis dan periodontitis,” katanya.

    Beliau berkata, ada kalanya kehadiran plak tidak begitu disedari atau dikenali. Namun, jika gusi anda berdarah setiap kali memberus gigi, ia sebenarnya petanda anda berhadapan dengan masalah gusi. Gusi berdarah selalunya tanda masalah gingivitis.

    “Gusi yang tidak sihat akan berdarah. Ia disebabkan kemerahan gusi akibat kesihatan gigi yang tidak terjaga. Plak akan tersimpan di gigi sekiranya tidak disingkirkan secara efektif atau adanya pembentukan plak yang berlebihan. Plak lebih banyak terkumpul jika tidak memberus gigi,” katanya.

    Plak sebenarnya boleh berlaku pada sesiapa saja. Ia bukan persoalan gigi susu atau gigi kekal. Pembentukan plak bergantung pada kebersihan mulut seseorang. Mulut yang bersih membantu meminimumkan pembentukan plak.

    Plak juga lebih mudah terbentuk di kalangan perokok dan mereka yang suka mengunyah makanan bergula.

    Masalah gigi tidak dirawat

    GIGI bersambung dengan tulang rahang yang ditutup oleh gusi. Ruang gusi mempunyai kedalaman satu hingga tiga milimeter (mm) yang mengelilingi setiap gigi. Doktor gigi akan menggunakan kedalaman gusi sebagai petunjuk untuk menentukan tahap kesihatan gusi dan kemudian jadikan penyelidikan periodontal untuk mengukur tahap kesihatan gigi.

    Dr Fatimah berkata, kedalaman ruang yang lebih daripada tiga mm menunjukkan ada aktiviti penyakit dalam gusi.

    Dalam kes periodontitis katanya, struktur gigi terutama ligamen dan tulang alveolar akan musnah. Ini menyebabkan kestabilan gigi terjejas sekali gus mengakibatkan pereputan gigi atau penanggalan gigi.

    “Pereputan gigi boleh dipulihkan dengan rawatan penggantian. Doktor gigi akan mengeluarkan bahagian gigi yang reput dan mengisikan kaviti dengan bahan penampal untuk membentuk gigi kepada bentuk yang asal,” katanya.

    INFO: Faktor menyumbang kepada pembentukan plak

  • Kekerapan makan: Setiap kali makan makanan berkarbohidrat, asid akan dibebaskan untuk merosakkan gigi.

  • Ciri-ciri makanan: Sesetengah makanan boleh melekat pada gigi. Tidak semestinya makanan yang bergula saja dianggap sebagai makanan yang melekit. Kentang goreng dan biskut juga dalam senarai makanan yang melekat pada gigi.

  • Jangka masa makanan yang berada di dalam mulut: Makanan yang susah dicerna seperti biskut membenarkan lebih banyak masa untuk asid memusnahkan enamel berbanding dengan makanan yang cepat dicerna seperti gula-gula.

    Cara mencegah plak

  • Plak boleh disingkirkan secara efektif dengan memberus gigi dengan cara yang betul sebanyak dua kali sehari - waktu pagi dan sebelum tidur.

  • Tukar berus gigi sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan.

  • Berus gigi menggunakan ubat gigi fluoride sekurang-kurangnya dua kali sehari.

  • Kerap berjumpa dengan doktor gigi.

  • Mengehadkan pengambilan makanan ringan.

    Panduan penjagaan gigi

  • Menggunakan berus gigi berkualiti

  • Menggunakan ubat gigi berfluoride

  • Frekuensi dan tempoh masa yang berpatutan ketika memberus gigi

  • Teknik memberus gigi yang betul

  • Teknik flossing yang betul

  • Penggunaan pembersih mulut dan pembersihan lidah

  • Diet pemakanan yang bagus dan mengurangkan frekuensi pengambilan makanan serta minuman bergula.

  • Elak daripada merokok

  • Mencipta kesedaran mengenai kesihatan gigi.