Sunday, December 27, 2009

Kompang Kenduri

Oleh Siti Jasmina Ibrahim

LENGANG. Di halaman rumah hanya tinggal berbaris-baris kerusi plastik biru, meja bulat yang beralas kain putih yang boleh muatkan sepuluh kerusi mengelilinginya.

Meja bulat sebegitu saja ada 200 buah, bermakna dijangka 2000 orang akan hadir, mungkin lebih disebabkan majlis diadakan bukan terlalu formal. Tetamu datang makan, bangun, diganti dengan tetamu lain yang akan menikmati lapan jenis juadah berkonsepkan masakan kampung.

Apapun, di saat sepatutnya sudah ramai berlegar, beramah mesra di bawah khemah kain beropol, biru, merah, hijau ini, sebaliknya lengang. Tiada sesiapa pun datang.

Haji Noi Ad sudah heboh di corong suara suraunya, mengatakan majlis kahwin anak Ketua Utama Kampung Bersama ini tidak akan jadi. Entah kenapa sejak awal tahun lagi Haji Noi Ad sudah ada firasat mengatakan kenduri hari ini tidak menjadi. Dia bukanlah ada ilmu tilik atau makrifat pun. Dia imam biasa di sebuah surau kecil Kampung Bersama. Jemaahnya pun kawan-kawan, saudara mara dekat dan ada yang bau-bau bacang saja. Boleh dibilang, tapi cukuplah kalau mahu berjemaah Jumaat.

Seorang lagi sudah meramal kenduri kahwin ini tidak akan terjadi ialah jiran Ketua Utama. Orang kanannya. Lek Ang. Lelaki Tionghua ini sudah lebih 50 tahun tinggal di sebelah rumah Ketua Utama. Mereka jugalah sama-sama bekerja, majukan kampung. Lek Ang disayangi oleh Ketua Utama. Tidak ada Lek Ang, tidak menjadi pekan kecil yang dibarisi kedai-kedai pelbagai kemudahan yang sudah ada 40 buah. Sudah ada pasaraya dua tingkat milik mereka bersama. Bukan itu saja, kedai serbaneka 24 jam pun ada. Hebat pekan Kampung Bersama. Terkenal dengan kecantikan, kebersihan, infrastruktur yang lengkap dan pernah memenangi pekan tercantik dan terancang di peringkat kebangsaan.

Hebat kampung Bersama.

Sungguhpun begitu, sikap tidak setuju dan sinis Lek Ang sejak awal tahun juga, membuatkan Ketua Utama resah dalam diam. Resah dalam senyum apabila dia bermesyuarat, berkumpul bersama-sama orang pentingnya. Lebih mendebarkan Ketua Utama apabila orang kedua penting, Sathi juga tidak yakin kenduri kahwin anak Ketua Utama akan berjaya diadakan.

Sathi pengusaha pertanian yang berjaya di kampung tersebut. Dia bijak selain banyak cakap, kebijaksanaannya tidak boleh dinafikan. Cakap dan fikir sama jalan. Itu sebab Sathi orang kedua kesayangan Ketua Utama. Sathi tidak banyak hal. Semua perkara dia sentiasa menyokong dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Pengikut Sathi juga ramai walaupun tidak seramai pengikut Lek Ang, namun Kampung Bersama ini aman. Itu sebab namanya pun Bersama. Mereka tak pernah selisih pendapat. Lebih 50 tahun mereka bersama saja. Sehinggalah apabila awal tahun Ketua Utama mahu mengadakan kenduri kahwin anak sulungnya, Wan. Wan ini anak kesayangan Ketua Utama. Kiranya luahan kasih cinta pertama Ketua Utama kepada isterinya dulu, maka lahirlah Wan. Gadis ini sudah sunti, manis, walaupun sudah belajar di luar negara dan mendapat ijazah cemerlang, namun Wan tetap kekal dengan budaya negaranya. Jiwa kuat pada jati diri. Jejaka pilihan Wan pula datang dari keluarga yang baik-baik, yang kuat pegangan juga.

Pendek kata, mereka berdua bagai pinang dibelah dua. Tidak ada salah silap. Kenapa orang kampung, terutama orang penting di kampung yang tidak pernah selisih pendapat ini, tidak setuju? Persoalan itu memeningkan Ketua Utama. Datang lagi masalah yang memeningkan apabila musuh Ketua Utama dari kampung seberang, Andika menggunakan kekalutan ini sebagai bahan kempen. Dia sudah lama mahu memecahbelahkan penduduk Kampung Bersama. Imam Haji Noi Ad pun seperti setuju dengan Andika berbanding Ketua Utama.

Pening. Pening.

Segala kekalutan, bertegang lidah antara ketua-ketua, saling mahu beritahu mereka lebih betul dengan firasat dan telahan masing-masing akan kenduri kahwin ini, yang laranya tentulah Wan. Anak gadis sunti Ketua Utama.

Melara, meranalah Wan tiap hari sejak diketahui kampungnya tidak aman lagi. Wan sepatutnya akan menyatukan, mengutuhkan silaturahim semua, sebaliknya, perkahwinan Wan ini, ada yang membuatkan penduduk meluat, mengeluh dan penat. Bukan salah Wan. Wan dilahirkan oleh ayahnya dengan segala kesempurnaan. Maka Wan berjalanlah seperti yang didoakan, diharapkan. Kalau ikut pendapat kawan baik Wan, ada yang berbisik di belakang, tidak suka dengan gembar gembur Ketua Utama tentang perkahwinan ini. Mereka kata, macamlah selama ini di kampung mereka tidak pernah dibuat kenduri kahwin. Macamlah tidak pernah ada perkahwinan yang berlaku. Semua hal biasa, buat apalah Ketua Utama hendak canang sangat semacam ada sesuatu yang luar biasa diketengahkannya.

Sedih

Wan lagi sedih mendengarkan, mengingati bisik-bisik penduduk kampung yang datang dari pengikut ayahnya dan pengikut-pengikut ke dua-dua orang kuat ayahnya. Wan tidak tahu mahu letak hatinya di mana kini. Dia sayang sangat pada kekasih hati yang bakal menjadi suaminya itu. Dia juga sayangkan ayah dan ibu. Tanpa mereka tahu, dia sayang juga kampung halaman dan keharmonian penduduk di situ. Mereka sudah seumpama keluarga juga buatnya. Sekarang ini mereka sinis padanya, mereka ketawakan di belakang. Yang ada seakan menyokong dan menolong persiapan majlis pun, tidak diketahui sama ada benarkah hati mereka tulus atau berpura-pura semata-mata mahu ayah melihat yang mereka sentiasa ada di belakang ayah. Kalau hendakkan pertolongan apa-apa daripada ayah nanti, senanglah sikit.

Wan sedih, masih bersedih, lebih menyedihkan Wan apabila melihatkan ayahnya dengan berkeyakinan tanpa goyah, mengangkatnya, menyanjung dirinya sebagai lambang anak yang terbaik dan bakal melangsungkan perkahwinan yang akan membahagiakan semua sepanjang hayat. Bagaimana Wan mahu memberitahu ayah, supaya berpada-pada dan buat saja tanpa terlalu perlu melakukan segala hal dengan makna luaran semata. Meja, kerusi, khemah canggih, pelamin bertakhta emas perak, perhiasan mewah, bunga-bungaan segar sekeliling rumah dan indahnya kamar beradu raja sehari yang segalanya baru dan berpuluh ribu ringgit itu, hanyalah luaran semata. Malanglah andai itu saja yang difahami, yang diterima oleh penduduk Kampung Bersama.

Wan lebih mahu ayahnya kayakan jiwa, sucikan hati, murnikan segala tindakan dan hasrat. Cara itu lebih mendalam kesannya. Perkahwinan itu satu gabungan perasaan menjadi satu. Perkahwinan sudah berlaku dari dulu tidak kiralah apa cara namun di Kampung Bersama ini, sudah berlaku sejak dulu. Itu sebab tidak ada sengketa melampau antara penduduknya. Apabila ayah terlalu menyatakan yang perkahwinan Wan ini luar biasa, lain dari yang lain dan mahu semua mengikut cara mereka, pastinya kekeliruan berlaku, kekeluhan, sikap perlekeh akan terjadi.

Hj Noi Ad ada di masjid sedang membersihkan mikrofon yang baru dibelinya. Ada lebih duit pergi Mekah, dia beli mikrofon baru dan corong suara baru untuk surau kecil ini. Tiap hari dia akan bersihkan, lap beberapa kali mikrofon sebelum dia menyalakan suis untuk uji bunyi. Dia mahu azan berkumandang akan kedengaran jelas supaya hasratnya agar berjemaahlah, kalau tidak pun solatlah di rumah akan termakbul. Baik niat Imam Haji Noi Ad. Yang tak sedapnya, sesudah hasrat itu dilakukan, datang pula sesi ceramah agama yang sepatutnya ceramah agama yang berlaku, sebaliknya, separuh daripada masa yang diperuntukan untuk ceramah itu, digunakan untuk memperlekehkan majlis perkahwinan anak Ketua Utama. Ketua Utama itu sebenarnya kenalan baik juga dengan Imam Haji Noi Ad, tetapi sampai sekaranglah tidak terjawab lagi sebab dia menentang. Ketua Utama masih mahu menganggap niat kawannya itu baik cuma dia tersinggung juga kerana kawan sendiri tidak menyokong majlis yang mahu meraikan anak sulungnya itu.

Ada suara yang berbisik kepada Ketua Utama, bahawa Imam Haji Noi Ad bimbang. Andai majlis perkahwinan ini tidak dikawal dengan betul, akan jadi lain. Dia bimbang, nanti Ketua Utama hilang tempat tanpa dia sedari. Secara halus, ada duri dalam segala kesepakatan perkahwinan Wan ini. Itu yang membimbangkan Imam Haji Noi Ad, namun sebagai orang lama, lebih banyak pengalaman, dia tidak akan mengatakan dia bimbang. Dia akan melepaskan ego melalui rasa tidak senangnya. Hakikat yang difikirkan, dia bimbang nasib kenalan yang seagama itu.

Adakah Ketua Utama mempertimbangkan keprihatinan imam Haji Noi Ad? Atau melihat imam Haji Noi Ad sebagai seteru sebagaimana Andika yang memang sedari awal menyeteru Ketua Utama. Andika susah hendak setuju pendekatannya. Andika sebenarnya sukakan perkahwinan tetapi harus dia yang mengahwinkan atau dialah yang kahwin walaupun dia sudah beristeri . Isterinya yang baik dan setia padanya walaupun keluar masuk Andika dari kampung seberang dengan pelbagai dugaan dan menggugat maruah. Andika tetap mahu perkahwinan yang mahu diangkat itu, harus datang daripada dia, dan bukan daripada Ketua Utama atau keturunan Ketua Utama.

Lek Ang dan Sathi pula lain kes. Tidak setujunya mereka dalam diam. Konon macam setuju sebab Sathi yang pergi tempah kemah, kerusi meja, bunga-bungaan segar dari tanah tinggi sementara Lek Ang yang mencari, menyelesaikan kos pelamin emas perak, kamar raja sehari dan segala hantaran yang diperlukan. Itu belum lagi orang-orang kanan mereka ini, tolong untuk tukang menyediakan masakan ala-ala kampung, yang tolong bayar upah barukan jalan dari halaman rumah Ketua Utama sehinggalah ke jalan masuk ke kampung ini. Semua sudah berturap baru. Masih boleh bau lagi minyak tar atas jalan yang baru digilis, diratakan.

Dalam diam mereka mengeluh, mereka terpaksa mengikut arus yang sedang membuatkan mereka lemas sesama sendiri. Ada krisis pula di kalangan mereka. Sathi perlu menjawab persoalan orang bawahannya yang mula berasakan Sathi sebagai pak turut semata dan tidak memperjuangankan hak mereka. Lek Ang pula terpaksa berebut dengan orang yang bijak pandai dan yang mula berani memberontak mahukan perkahwinan Wan nanti menjadi seperti majlis konsep mereka pula. Kekalutan dalaman itu, membuatkan Lek Ang dan Sathi terganggu kesetiaan mereka. Kesetiaan luaran yang mahu persamaan hakikatnya. Kesetiaan yang mula meragukan apabila pelbagai hak yang mereka tuntut pula secara halus dan perlahan-lahan.

Ketua Utama sedarkah hakikat ini?

Pagi sebelum majlis yang diharapkan akan menjadi perkahwinan terunggul abad ini, Wan menghilangkan diri. Puas ibu, mak andam, nenek Wan dan saudara mara perempuannya mencari. Pantang orang tua-tua, pengantin perempuan keluar rumah di hari perkahwinan. Sekarang Wan tidak ada dalam kamar serba mewah dan harum ini. Ketua Utama menyalahkan isterinya. Isteri yang sudah berbaju berlabuci dari leher baju sehingga ke kaki kain, tidak boleh berjalan laju. Baju kurung dipakai sudah terlalu berat dengan labuci permata dan mutiara. Ketua Utama menyalahkan labuci-labuci baju kurung isterinya itu. Ketua Utama mengerahkan semua keluar mencari anak kesayangannya. Hebohlah satu kampung mencari bakal pengantin.

Termenung

Rupanya Wan duduk termenung di tengah sawah yang sudah terbiar tidak dituai dan air tidak bertakung lagi dalam petak-petak. Sawah kecil di hujung kampung yang sebenarnya milik arwah moyangnya, iaitu atuk kepada Ketua Utama.

Wan rindukan suasana di situ. Semasa sawah ini hidup, kuning emas padi mengulit ke kanan ke kiri dihembus bayu petang dan pagi. Kicauan burung berterbangan sekitaran dan selut, becak tanah sawah yang megah membesarkan padi-padi yang bakal menjadi beras an nasi yang mengisi sebahagian perut penduduk di sini. Wan rindukan ketenangan subur sawah kecil ini. Dulunya di sini aman bukan saja luaran namun hatinya juga aman. Kerja kerana mahu menyara, meneruskan kehidupan dan bukan tamakkan yang lain, bukan mahu menjatuhkan, mengangkat yang tidak sepatutnya diangkat. Tidak terjajah lagi.

Apapun Wan tahu semua itu datang dari utopianya saja. Dalam akal kecil gadis ini saja. Mana benar semua itu terjadi di sini atau di mana-mana. Yang akan terjadi benar dan tulus hanya pengabdian diri pada kejadian hakiki. Iman meletakkan kebenaran kehidupan setiap insan. Wan tahu itu. Wan reda.

Ketua Utama akhirnya bertemu dengan anak kesayangannya yang masih duduk di tengah batas sawah. Angin bertiup kuat. Wan memandang wajah ayahnya. Dia senyum dan menghulurkan sepucuk surat dari bakal suaminya. Surat yang memutuskan, membatalkan perkahwinan mereka.

Ketua Utama terkedu.

Dia pulang ke rumah, termenung di anak tangga, tangannya terlanggar sebiji kompang yang tertinggal. Kompang berdenting kecil bunyinya.

Sumber: Mingguan Malaysia; 6 Disember 2009

No comments: