SENAMAN berterusan membantu untuk melindungi diri daripada pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, kegemukan, sakit belakang, osteoporosis serta membantu untuk menangani masalah kemurungan.
Untuk penyakit jantung dan strok, aktiviti fizikal setiap hari membantu untuk melindungi seseorang daripada masalah terbabit dengan menguatkan otot jantung, merendahkan tekanan darah, meningkatkan tahap lipoprotein yang mempunyai kepadatan tinggi (kolesterol baik), meningkatkan pengaliran darah, merendahkan lipoprotein berkepadatan rendah (kolesterol tidak baik) serta meningkatkan keupayaan jantung bekerja.
Aktiviti fizikal yang berterusan turut membantu mengurangkan lemak di tubuh, yang banyak dikaitkan dengan masalah darah tinggi.
Bagi mereka yang mengalami masalah kegemukan, aktiviti fizikal membantu untuk mengurangkan lemak badan dengan pembinaan jisim otot dan meningkatkan keupayaan tubuh untuk menggunakan kalori, terutama apabila ia digabungkan dengan pengambilan khasiat pemakanan yang betul.
Sementara itu, senaman membabitkan ketahanan otot atau mengangkat berat boleh membantu menggalakkan pembentukan tulang dan mencegah pelbagai bentuk kehilangan tulang yang dikaitkan dengan penuaan misalnya osteoporosis.
Untuk mendapatkan manfaat kesihatan secara menyeluruh, pakar menyarankan senaman selama 20 hingga 30 minit aktiviti aerobik sebanyak tiga kali atau lebih seminggu serta aktiviti senaman menguatkan otot dan regangan, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Bagimanapun, jika sukar melakukan senaman menguatkan otot, lakukan aktiviti fizikal selama 30 minit sehari, sekurang-kurangnya lima kali seminggu.
Jika seseorang itu tidak aktif dalam tempoh agak lama, mulakan dengan aktiviti yang kurang berat misalnya berjalan atau berenang. Mulakan dengan rentah yang perlahan bagi membolehkan diri mendapatkan tahap kecergasan tanpa memudaratkan tubuh. Apabila tahap kecergasan diri sudah semakin baik, tingkatkan kadar senaman berkenaan.
Sumber: Harian Metro Online 27 Disember 2009
No comments:
Post a Comment