Monday, December 7, 2009

6,461 graduan OUM terima ijazah hari ini

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sebanyak 6,461 graduan akan menerima ijazah pada Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bakal berlangsung selama lima hari bermula esok.

Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali (gambar) berkata, sebanyak empat penerima akan dianugerahkan Ijazah Kehormat dalam bidang pendidikan, sains dan kejuruteraan.

"Dua penerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan itu ialah Sir John Daniel dan Prof. Dr. Muhammad Atwi Suparman.

"Prof. Dr. Ishak Tambi Kechik pula akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains manakala Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dianugerahkan kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Zawawi Ismail," katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Beliau yang juga Naib Canselor universiti itu berkata, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Teh Cheang Hock yang lulus dengan cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor.

Menurutnya, pelajar terbaik dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Chan Oy Leng pula dipilih untuk menerima Anugerah Commonwealth Educational Media Centre for Asia (CEMCA).

Tambahnya, majoriti yang akan menerima ijazah kali ini terdiri daripada kelompok graduan yang berusia 31 hingga 40 tahun.

Majlis konvokesyen itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sumber: Utusan Malaysia Online: 14 November 2009

No comments: