Sunday, December 27, 2009

Basuh tangan kekang virus

PENYEBARAN penyakit selesema dicatatkan sejak lebih 120 tahun yang lalu.

Bermula pada 1889, negara sedunia mula mengalami padah wabak selesema yang teruk pada 1900, 1918, 1957, 1968 dan akhirnya dengan wabak besar A (H1N1).


Namun, betapa yakinkah kita bahawa wabak ini merupakan wabak terakhir yang akan melanda dunia ini?

Ketika Persidangan Pandemik Selesema A (H1N1) baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengatakan berdasarkan amaran awal yang diberikan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), kita harus sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua wabak H1N1.

Berikutan pandemik pada 1918, jenis virus Influenza A menyebabkan pandemik dunia yang lebih teruk dalam abad ke-20 seperti selesema Asia pada 1957 dan selesema Hong Kong pada 1968.

Kebanyakan penduduk tidak mempunyai daya tahan kepada jenis virus yang sudah melalui perubahan genetik ini.

Pada masa terdekat, virus influenza A(H1N1) muncul kembali dan sekali lagi menular ke seluruh dunia. Ini termasuk di Malaysia di mana virus ini mula merebak melalui kes yang diimport dari negara yang terjangkit sejak 15 Mei 2009.

Jangkitan tempatan pertama berlaku pada 17 Jun dan pada 21 Ogos 2009, jumlah tidak rasmi yang dilaporkan pihak media ialah 5,876 kes. Kematian yang pertama berkaitan wabak A(H1N1) dilaporkan pada 23 Julai dan hingga ke hari ini, sebanyak 77 kematian dicatatkan.

Berdasarkan analisis sejarah wabak ini, dua andaian dapat dibuat. Pertama, wabak ini sering timbul sepanjang masa.

Beberapa kejadian dan penularan berlaku di merata dunia, sejak pandemik 1918 hinggalah penularan pada 2009 yang kini masih menjejas dan menghantui Malaysia.

Andaian kedua ialah dengan setiap kejadian atau penularan, virus ini mengalami mutasi atau pertukaran genetik yang membawa kepada kemunculan wabak baru yang lebih merbahaya dan mengancam daripada yang sebelumnya.

Langkah utama yang disarankan untuk mencegah penularan jenis virus influenza biasanya ialah amalan kebersihan yang sempurna, terutama sekali tabiat membasuh tangan dengan cara yang betul. Langkah ini disokong secara meluas dan aktif melalui semua media massa di seluruh dunia.

Buat masa ini, vaksin selesema yang boleh didapati hanya mempunyai kadar keberkesanan setinggi 50 hingga 70 peratus dalam mencegah kematian yang disebabkan selsema ini.

Oleh itu, tabiat membasuh tangan merupakan langkah pencegahan utama kita dalam mengekang penularan jenis virus influenza, lebih-lebih lagi dengan kemungkinan kewujudan gelombang kedua A(H1N1).

Lebih penting lagi, penggunaan sabun antibakteria yang ada di pasaran haruslah dinilai semula. Dengan mutu yang diuar-uarkan kebanyakan jenama sabun berubat di pasaran, rakyat Malaysia masih sering jatuh sakit disebabkan virus selesema biasa.

Ini menimbulkan satu persoalan - untuk melindungi diri dan keluarga kita daripada penularan wabak influenza yang lebih mengancam, adakah perlu untuk kita memikirkan semula tahap 'perlindungan' yang kita terima selama ini?

Situasi yang kita hadapi kini menuntut perlindungan yang lebih baru dan berkesan. Cara kita melindungi diri kita haruslah sentiasa berkembang menjadi lebih ampuh, sejajar dengan mutasi virus yang menyebabkan penyakit.

Sumber: Harian Metro Online 27 Disember 2009

No comments: