Sunday, December 27, 2009
Miskin dicaci, kaya dibenci
''Ibu saya tinggal sendirian di rumah tuanya di kampung. Sepatutnya pada usia sedemikian sebaik-baiknya ibu tinggal bersama salah seorang anaknya, atau tinggal di rumah anak-anak secara bergilir-gilir, tetapi ini tidak dapat dilakukan oleh ibu, kerana ibu takutkan anak-anak lain kecil hati.'' Demikian kata Rizwan dalam e-melnya.
''Ibu telah membesarkan dan mendidik saya menjadi insan berguna, dari budak kampung kepada seorang yang berilmu dan kini menjawat jawatan yang boleh saya katakan baik, jadi sampai masanya saya berbakti kepada ibu, menjaganya semasa hayatnya masih ada. Itulah yang sebaik-baik dilakukan oleh setiap anak kepada kedua ibu bapanya.
''Tetapi saya kecewa kerana tidak dapat berbuat seperti itu. Saya bukan sahaja tidak dapat menjaga ibu, untuk memberi keselesaan kepada ibu pun saya tidak dapat lakukan, kerana ibu menolak takutkan sindiran adik-beradik saya yang lain.
''Saya benar-benar kecewa kerana tidak dapat menjaga ibu. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kepada orang seperti saya yang tahu buruk baik dan hukum hakam agama. Tahu kelebihan kepada anak-anak yang menjaga ibunya yang tua.
''Kita biasa mendengar ustaz mengatakan bahawa barang siapa tidak dapat menjaga ibubapanya yang telah tua, maka dia adalah seorang yang sangat rugi dan malang. Saya faham betapa besarnya pahala menjaga ibu yang sudah tua dan uzur, tetapi saya masih tidak dapat berkhidmat untuk ibu disebabkan sikap adik-beradik saya.
''Saya ada lapan orang adik-beradik, cuma enam sahaja yang masih hidup. Tetapi hubungan saya dengan mereka tidak rapat, saya tidak tahu di mana silapnya, tetapi apa yang saya pasti mereka tidak suka melihat kesenangan hidup saya, mereka sering menyindir, memperlekeh dan memburukkan saya, semata-mata kerana hidup saya lebih senang dan selesa berbanding mereka dan saya mendapat pendidikan lebih baik daripada mereka. Salahkah saya kalau saya lebih pandai dan hidup lebih senang?
''Memang benar kata orang tua-tua 'seorang ibu boleh menjaga dan membesarkan lapan orang anaknya, tetapi lapan orang anak belum tentu boleh menjaga ibu seorang.''
''Saya cukup sedih melihat ibu, duduk sendirian di kampung, tiada siapa yang boleh temankannya, menjaga sakit peningnya dan keselamatannya, maklum sahajalah zaman ini saya bimbang ibu menjadi mangsa pembunuhan atau rompakan. Bila ingatkan itu semua membuatkan hati saya takut.
''Saya merasa lebih sedih kerana saya masih belum dapat membalas jasa ibu. Isteri saya seorang wanita solehah, berpendidikan dan berjawatan tinggi, lengkap dengan didikan agama, dia juga bimbang tentang keselamatan ibu, dia juga sedih kerana tidak berpeluang berkhidmat menjaga ibu saya.
''Dalam pada itu terdengar pula fitnah konon isteri saya yang menghalang saya menjaga ibu saya, itu tidak benar, malah dia menggalakkan saya mengambil ibu untuk tinggal bersama-sama kami di rumah.
''Inilah dugaan saya, kebanyakkan orang malas menjaga ibu kerana ibu tua pasti banyak kerenah dan menyusahkan mereka. Mungkin juga kerana kesempitan hidup menyulitkan mereka menjaga ibu atau kerana kejahilan agama mereka.
''Dalam pada itu ada kes ibu tua yang tidak mahu tinggal bersama menantu perempuan kerana cerewet. Tidak kurang juga ibu sendiri memberikan alasan tiada orang nak jaga rumah, ayam itik dan lembu kerbau di kampung.
''Masalah saya adik-beradik bersangkut dalam banyak hal kerana rasa tidak puas hati mereka terhadap saya. Mereka kata saya orang professional, berpangkat tinggi, personaliti islamik yang menonjol, ramai rakan taulan yang menyanjung dan memuji saya, itu yang mereka rasa tak senang hati.
''Sebenarnya hidup mereka bukanlah susah sangat, mereka juga mendapat pendidikan, cuma belum ada rezeki, apa kurangnya mereka sebagai pegawai tadbir, guru, peniaga dan pengusaha bengkel, satu hari nanti mereka juga boleh senang dengan izin Allah.
Cemuh
''Mereka cemuh saya kerana berpendidikan tinggi, berpangkat serta berpendapatan lumayan. Acap kali mereka menyerang peribadinya dengan kutukan kerana amalan keagamaan saya. Pada saya perbuatan mereka lebih menampakkan kedangkalan mereka dari segi akhlak dan pendidikan agama. Tetapi mereka tidak boleh dinasihati apa lagi ditunjuk ajar. Mereka tidak mahu terima nasihat dan pandangan saya.
''Untuk melampiaskan kemarahan itu, mereka tidak membenarkan saya menjaga ibu malah pada Hari Raya Puasa lepas, mereka menggunakan pelbagai helah supaya ia tidak dapat bertemu ibu di kampung.
''Mereka lebih sakit hati apabila saya membina sebuah rumah kecil dan selesa untuk ibu di kampung. Tapi mereka tidak benarkan ibu tinggal di rumah itu dengan pelbagai sindiran dan cemuhan. Jadi kerana ibu takut dimarahi dan dicemuh maka ibu tidak berani tinggal di rumah itu. Sindir mereka ''ibu sukalah duduk di rumah anak yang bergaji besar? Kami yang gaji kecil ni ibu tak suka.
''Pelbagai cara dan usaha saya lakukan untuk berkhidmat kepada ibu selama hayatnya masih ada, tetapi tidak pernah kesampaian. Saya pernah berusaha mendapatkan khidmat pembantu rumah untuk ibu supaya memudahkan dia tinggal seorang diri di rumah di samping ada orang boleh menjaga makan minumnya, tetapi usaha itu pun gagal.
''Tak sampai beberapa bulan, pembantu lari dengan pelbagai alasan bukan seorang malah sudah empat orang, tetapi semuanya gagal. Saya tak tahu apa lagi boleh saya lakukan untuk saya berbakti kepada ibu selama hayatnya masih ada.
''Kalau semua orang berbangga dengan adik-beradiknya berjaya dalam hidup, tetapi nasib saya lain sungguh, sebaliknya saya disingkirkan dan dipulau, sehinggakan beberapa aktiviti kekeluargan saya tidak dijemput. Kenduri kendara, kenduri kahwin semuanya saya tidak diberitahu.
''Inilah cabaran besar saya. 'Kalau kita susah orang benci, tetapi kalau kita berada orang dengki.' "Depa buat tak reti bila kita susah, tapi depa dengki kalau kita senang.".
''Benar juga kata orang bahawa, ''Orang kita (Melayu) tidak selesa kalau kawannya keluar dari strata masyarakatnya dan berjaya, mereka mahu biar sama-sama di kampung tidak berhijrah tetap di sana selamanya.
''Analoginya macam ketam dalam baldi. Bila ada ketam cuba keluar menjenguk keluar, kawan-kawan yang lain akan kepit dan tarik ketam itu jatuh ke bawah semula. ''Hang nak pi mana, mailah kita dok tang ni diam-diam". Demikian cerita Rizwan menamatkan kisahnya dengan penuh rasa kecewa.
Sedih juga bila ada anak hendak berbakti kepada ibunya dipinggirkan, kalau ditinggalkan pulak mereka dicerca. Inilah namanya hidup tidak semua orang mahu lihat orang lain senang, ada yang lebih gembira kalau melihat orang lain susah.
Namun berbakti kepada ibu banyak ganjarannya dari Allah swt, terutama kalau menjaga kedua-dua ibu bapa kita ketika tua dan sakitnya. Anda kerugian kerana tidak menjaganya. Sayangilah mereka semasa hayatnya masih ada.
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Disember 2009
Sunday, April 19, 2009
Pendiam tidak semestinya baik
PENGALAMAN pahit yang dilalui oleh Syuhada menjaga ibu bapanya yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu menarik perhatian Puan Eira kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Yang berbeza beliau menjaga bapa mertuanya yang mengidap pelbagai jenis penyakit.
Masalahnya dia cepat pemarah dan suka komplen tentang cara hidup kami dan dirinya sendiri. Apa yang kita buat tidak pernah memuaskan hatinya. Makan tak mahu di meja tetapi mahu makan dalam bilik lepas tu pinggan dibiarkan di lantai dengan lebihan makanan bertaburan. Masalahnya tentulah banyak semut dan lipas, bila ditegur dia buat pekak. Kalau gunakan tandas kita kena standby cuci balik sebab dia tak peduli apa yang terjadi lepas dia gunakan.
''Bila banyak komplen kami hantar dia pergi ke rumah anak perempuannya, tak sampai 10 minit heboh nak balik rumah kita. Bila kita tinggalkan, dia balik sendiri. Dengan syarat saya ada di rumah, suami saya tak ada dia tak peduli. Sebab saya boleh masak makanannya. Kerana anak-anaknya sendiri pun tak pedulikan dia.
''Saya bukanlah menantu mithali. Mulut saya bising juga dengan perangai oran tua yang pemalas ni, dia memang pemalas dalam banyak hal terutama nak solat, bila kita suruh dia bagi alasan sakit kepala, demam, tak boleh berjalan nak ambil wuduk, terasa nak pitam, nak termuntah dan macam-macam lagi. Pendek kata kalau boleh dia memang tak mahu disuruh solat, dia nak duduk aja sambil tonton tv atau tidur.
Demikian cerita Eira panjang lebar dalam e-melnya kepada penulis. Ceritanya berbeza dengan kisah yang di e-mel oleh Noramira bukan pasal mertua tetapi tentang suami yang suka sangat menuduh isterinya nusyuz apabila menegur perbuatan suaminya yang suka sangat buat skandal dengan wanita.
''Sebagai isteri saya rasa berhak menegur perbuatan suami kita yang tak baik, tapi bila kita tegur dia tuduh saya nusyuz. Dia sengaja takutkan saya dengan perkataan nusyuz supaya saya tidak tegur dan marah perbuatannya yang suka buat skandal itu. Nusyuz juga menjadi senjatanya untuk menyakitkan hati saya. Sementelah saya surirumah sepenuh masa.
''Sebenarnya sudah lama saya memendam rasa kerana sering dituduh nusyuz, tetapi sebagai isteri yang tidak bekerja, saya tak berani bertindak, bila dia marah saya cuma diam dan menangis. Itulah sahaja kekuatan saya. '
"Kalau mengadu pada keluarganya ataupun keluarga saya pun tak ada siapa pun yang akan percaya cakap saya, kerana suami saya Kay ini mempunyai ciri-ciri suami penyayang, penyabar dan seorang alim, jadi siapa percaya kalau saya cerita dia curang ada skandal? Dia di luar saja nampak baik, tetapi di dalam berulat.
''Mungkin pembaca pun jemu bila baca cerita pasal suami curang, tetapi itulah keadaannya kalau kita percayakan suami kita seratus peratus, terutama bila kita lihat suami kita baik, tak banyak cakap, cukup solat 5 waktu, jadi apabila dia kata ada kerja luar, balik lewat, kita akan percayakan dia seratus peratus, sebab tak ada tanda-tanda dia curang apa lagi ada skandal.
''Saya suka mengingatkan kaum wanita khususnya yang baru berkahwin atau yang terlalu sayangkan suami, kalau boleh semak balik taraf sayang anda itu jangan percayakan suami 100 peratus, percayakan dia 30 ke 40 peratus sahaja, sebab kita tidak menyesal kerana perbuatan kita itu. Belajarlah dari kesilapan saya, dulu rumah tangga saya aman damai, tapi setelah 15 tahun berkahwin dan ada 4 orang anak yang sudah pun dewasa, baru saya nampak perubahannya, semuanya kerana saya terlalu percayakan dia lebih 100 peratus.
''Sebab alimnya, mengamalkan suruhan Allah menarik perhatian saya, tentang solatnya, puasanya, namun itu semua kita tidak boleh percaya bulat-bulat mesti ada sedikit curiga kerana suami yang nampak baik pun sukar kita boleh percaya. 'Macam Kay, nampak alim, tapi iman dia tak kuat, boleh digegarkan dengan sms jiwang-jiwang, pujuk rayu wanita. Hinggakan dia sanggup menipu untuk memuaskan hatinya. 'Banyak dosa dia lakukan menipu kami anak beranak, sanggup melupakan dan meninggalkan kami, pada bila-bila masa apabila dia mendapat panggilan telefon atau sms daripada kekasihnya. Dia lebih utamakan memenuhi kehendak kekasihnya Izah daripada kami keluarganya sendiri. Pada mulanya saya tak sedar perubahannya, fikirkan dia baik macam dulu juga, tapi entah macam mana saya ternampak gambar mereka berdua di tepi pantai dan dalam bilik hotel yang disorokkan dalam buku bacaannya. Terkejut besar saya, macam biasalah bila kita tanya dia tak akan mengaku walaupun gambarnya ada di tangan kita.
''Kemuncak kemarahannya bila borang izin nikahnya kali kedua atau nak berpoligami saya tidak mahu tandatangan. Akibatnya saya dan anak-anak jadi mangsa dia melepaskan marahnya.
''Saya ada alasan mengapa tak izinkan dia kahwin lagi, kerana saya masih kuat dan boleh melayani dia dengan baik, saya sediakan makan minum, pakaiannya semuanya saya urus sendiri tanpa pembantu rumah. Paling utama pendapatannya tidaklah banyak, cukup untuk kami anak beranak sahaja, jadi macam mana dia nak tanggung keluarga barunya nanti. ''Marahnya semakin menjadi-jadi setiap kali kekasihnya hantar sms dan menelefon bertanya bila mereka boleh berkahwin. Seolah-olah tak ada lelaki lain yang boleh berkahwin dengannya. Alasan Kay susah nak cari wanita sanggup berpoligami tanpa meminta sesen pun daripada suami, kerana dia bekerja dan boleh tanggung diri dan anak-anak yang bakal dilahirkannya nanti. ''Memang hari ini dia janji tak minta duit, esok bila dah kahwin, macam-macam yang dia minta, terutama nafkah anak yang dilahirkannya nanti. Saya tak tahulah sama ada Kay bodoh percaya cakap kekasihnya, atau kekasihnya yang memang bodoh.
''Saya katakan pada Kay rupanya ada jua lelaki dayus yang cuma mahu berkahwin tapi tak perlu beri nafkah atau bertanggungjawab ke atas isterinya. Apakah dia sudi menjadikan dirinya pemuas nafsu isterinya sahaja. Tapi kata Kay itu janji bakal isterinya saya tak perlu bimbang cuma tanda tangan borang poligaminya itu sahaja. Lebih dahsyat lagi, kata Kay bakal isterinya juga sanggup tanggung duit saku dan makan minumnya bila diperlukan. Sebenarnya saya tahu itu semua adalah penipuan mereka untuk menyenangkan hati saya agar mengizinkan mereka berkahwin.
''Sejak rahsianya terbongkar saya buat intipan sendiri, kerana saya tahu Kay memang cuai, hari ini dia sorok bil hotel atau restoran tempat mereka selalu keluar makan, esok lusa saya akan jumpa. Tak tahulah kalau dia sengaja suruh saya jumpa untuk menyakitkan hati saya.
''Namun dari bil-bil tersebut saya tahu tempat-tempat mereka sering melepak dan menginap ataupun keluar makan. Kerana itu juga saya terjumpa gambar mereka berpelukan dalam bilik hotel. Camera digital zaman ini memang canggih-canggih tak perlu orang ketiga untuk merakamkan gambar mereka berdua.
''Perbuatan mereka bukan rahsia lagi kepada anak-anak. Kadang kala saya teringat nak bawa mereka bersama mencari ayah mereka yang tak balik-balik atau pergi kawasan mana mereka selalu lepak. Surat saman polis juga menjadi bukti ke mana mereka pergi makan angin.
''Kay fikir isteri yang tak bekerja boleh diperbodohkan dengan cerita dongengnya. Kadang tu bila dia berbohong saya katakan tolonglah jangan buat dosa lagi. Saya tahu ke mana awak pergi. Kalau saya ikutkan hati dan kalau saya tidak ada anak-anak sudah lama saya ke pejabat agama untuk memerdekakan diri.
''Saya tak sanggup hidup sepanjang hayat dengan seorang penipu yang bergelumang dengan dosa. Dan seorang hipokrit kalau depan saudara mara mesranya dengan isteri dan anak-anak kalahkan drama tv semata-mata nak tunjuk bahawa kamilah keluarga bahagia, sedangkan tidak.
''Tapi bila balik ke rumah mula tunjuk muka monyok dan cakap yang bukan-bukan. Paling saya meluat bila dia ugut nak ceraikan saya, dia ingat saya takut? Saya dah bersedia nak tinggalkan dia dan nak tengok sangat dia bela anak-anak. Nak tengok setakat mana kesempurnaan hidupnya tanpa saya, seperti dia selalu cabar saya.
''Janganlah ingat tanggungjawab suami cukup sempurna dengan mengenyangkan perut anak isteri sahaja. Tak guna kenyangkan mereka dengan air mata, hatinya disakiti, emosi diugut, dan hatinya dicarik-carik dengan ugutan demi ugutan.
''Kalaulah saya tidak sabar dan bersikap mengalah sejak mula berkahwin lagi sudah pasti perkahwinan kami tidak akan jejak hingga 15 tahun. Tapi kali ini saya nekad, saya tak takut diceraikan. Ramai wanita di luar sana boleh hidup tanpa suami, asalkan kita sanggup berkorban.
''Sesungguhnya Islam itu adil. Suami dan isteri ada hak mempertahankan dirinya. Dengan segala bukti penipuan Kay dan Izah di bilik hotel, saya pasti menang. Ketika itu nanti dia akan tahu siapa sebenarnya nusyuz.'' Demikian cerita Noramira tentang perjuangan hidupnya.
Masalah yang dilalui oleh Noramira banyak berlaku di kalangan kita, ia benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi. Untuk mengambil jalan mudah hidup bersendirian memang senang tetapi sanggupkah anda? Kalau sudah biasa hidup seperti burung dalam sangkar?