Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
BUKU yang boleh dijadikan panduan kepada pesakit kanser serta keluarga dan rakan mereka yang ingin memberi sokongan kepada pesakit kanser.
BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan setiap kali kita berdepan dengan kisah pesakit yang menyentuh perasaan. Adakah ia empati atau sekadar simpati? Empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Lebihnya empati mampu melahirkan rasa ingin menjaga pesakit itu seperti kita menghargai kehidupan diri sendiri. Misalnya, suami akan menjaga isteri yang disahkan menghidap kanser payu dara walaupun si isteri bakal kehilangan aset kecantikannya. Pesakit akan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun berdepan dengan penyakit.
"Peluang untuk kami hidup lebih cerah kerana adanya keluarga dan rakan yang menyokong kami," kata pesakit-pesakit kanser yang ditemui ketika majlis pelancaran Hope Handbook 2 di Sutra Dance Theatre, Persiaran Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ini adalah cebisan luahan pesakit-pesakit kanser yang merasakan kehidupan mereka lebih bermakna dengan adanya jagaan dan sokongan keluarga.
Perasaan inilah yang dialami seorang pesakit kanser payu dara Jessy Tai, 48. Dia sangat bersyukur kerana memiliki suami, Leong Kok Ong, 58 yang banyak memberi sokongan sehingga kini. Berhadapan dengan penyakit ini seorang diri mungkin tidak mampu memberinya kekuatan. Galakan suami dan anak-anak banyak memberi inspirasi kepadanya.
"Saya tidak akan melupakan saat ketika saya diagnosis pada 4 Oktober 2007. Ia bermula apabila suami saya dapat mengesan ketulan pada payu dara saya dan segera membawa saya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Kami tidak membuang masa dan segera melakukan mamogram dan biopsi pada hari yang sama," katanya.
Dua hari selepas itu, Jessy dan suami mendapat keputusan. Sebaik sahaja mendengar doktor mengatakan dia mendapat kanser payu dara, jantungnya sekan berhenti dan dia terus menangis. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah menangis.
Tetapi segalanya berubah kerana dia berasa lebih bersemangat apabila suaminya berkata, " walau apa pun terjadi, saya akan lakukan apa sahaja untuk memastikan awak sembuh."
Hati mana yang tersentuh mendengar kata-kata tersebut. Tanpa membuang masa, mereka membuat keputusan untuk melakukan segera mastektomi.
Payu dara
"Saya tidak risau kehilangan payu dara walaupun ia menyebabkan saya kurang cantik. Saya tahu suami saya menyayangi seadanya diri saya. Kecantikan bukan sekadar dalam kulit tetapi lebih daripada itu," jelasnya.
Ketika menghadapi kesusahan ini, Jessy berasa bertuah. Dia merasakan dirinya antara wanita yang dikasihi dan dirahmati di muka bumi ini. Suami dan anak-anaknya tidak pernah putus memberi harapan, kekuatan dan semangat kepadanya untuk melawan penyakit ini.
"Apabila saya berdepan dengan cabaran ketika pembedahan dan kemoterapi, suami saya tetap memberi galakan, pelukan dan ambil berat untuk saya meneruskan rawatan. Bukan itu sahaja, dia juga memasakkan makanan untuk saya dan keluarga setiap hari sebelum dia ke pejabat. Sementara itu, anak-anak saya menulis nota dan memberi kad galakan kepada saya setiap hari," ujarnya.
Jessy juga bersyukur kerana memiliki rakan-rakan yang banyak memberi sokongan.
"Mereka benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk terus hidup. Saya tidak boleh sembuh sepenuhnya dan melakukan segala yang saya suka seperti menari dan keluar bersiar-siar bersama keluarga. Namun, saya tahu dengan adanya kasih saya keluarga dan rakan-rakan, saya mampu melakukannya suatu hari nanti," katanya.
Ketakutan
Sementara itu, suaminya, Kok Ong turut menceritakan detik permulaan mereka berhadapan kenyataan ini.
"Saya sedang berkerja ketika Jessy menelefon untuk memberitahu berita kecewa tersebut. Ketakutan kami bahawa ketulan itu adalah kanser menjadi kenyataan. Saya menjadi kaku sejenak apabila melihat dia menangis teresak-esak. Tetapi saya memberitahu Jessy, saya akan lakukan apa sahaja tidak kira jumlah perbelanjaan perubatannya demi memastikan dia sembuh," katanya.
Ketika Kok Ong dan Jessy disarankan melakukan mamogram, dia tidak terfikir langsung tentang kehilangan payu daranya.
Kok Ong juga ada mendengar kisah daripada wanita lain yang takut ditinggalkan suami jika payu dara mereka dibuang. Baginya, mungkin ini menjadi punca utama kenapa wanita berdiam diri walaupun tahu mereka mempunyai tanda-tanda awal kanser.
"Mungkin itu tidak bagi saya. Saya menyayangi Jessy. Saya tidak mengukur kecantikan fizikalnya kerana lebih utama ialah kesihatannya. Syukurlah, dia setuju untuk melakukan mastektomi.
Meletakkan diri dalam keadaannya, Kok Ong perlu berkorban dan membantu isterinya melawan kanser. Kok Ong tidak keberatan membantu Jessy mendapatkan bantuan daripada doktor dan persatuan seperti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) untuk mendapatkan maklumat kanser, rawatan dan proses pemulihan.
Tidak mudah melihat orang yang tersayang menderit sakit. Baginya, di samping memberi kekuatan, dia juga perlu memberi galakan kepada diri sendiri.
"Kita perlu menjadi kuat untuk satu sama lain melawan penyakit ini. Kami bersyukur kerana memiliki anak-anak yang baik dan banyak memberi sokongan," ujarnya.
Melalui pengalaman Kok Ong, sokongan moral dan emosi amat penting untuk menjaga pesakit. Apabila pesakit rasa disayangi, mereka akan semulajadi mendapat semangat, menjadi lebih baik dan memandang masa depan untuk hidup.
Sumber:Mingguan Malaysia; 27 Disember 2009.
No comments:
Post a Comment