Tuesday, December 30, 2008

Hadkan makanan ringan

Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
Metro: Selasa, 30 Disember 2008

PERNAHKAH bertemu dengan individu yang gilakan makanan ringan?

Menurut satu kajian baru-baru ini, mereka yang terdesak untuk mengambil lebih makanan yang padat kalori berlaku disebabkan genetik masing-masing.


Lazimnya, ia lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak yang didapati mempunyai perbezaan gen, lapor Jurnal Perubatan New England.

Makanan pilihan mereka terdiri daripada makanan padat tenaga serta kalori seperti snek ringan berkalori tinggi.

Bagaimanapun, penyelidik tidak menemui sebarang perubahan dalam metabolisme antara kanak-kanak yang memiliki perubahan gen dan kanak-kanak biasa.

"Kajian ini menunjukkan individu yang mempunyai perbezaan dari segi genetik akan mendorong mereka mengambil makanan yang tidak sihat dan menggemukkan.

"Apa yang ingin ditekankan ialah masalah berkenaan berkaitan dengan perangai dan tidak semestinya akan berlaku pada seseorang," kata Pengerusi Pharmacogenomics, Institut Penyelidikan Bio Perubatan, Universiti Dundee, Colin Palmer.

Pengarah Klinikal Bahagian Pengurusan Berat Badan dan Pusat Kecergasan, Hospital Kanak-kanak Pittsburgh di Pusat Perubatan Universiti Pittsburg, Dr Goutham Rao, berkata penemuan berkenaan menunjukkan masalah kegemukan lebih dipengaruhi perangai masing-masing dan bukannya masalah metabolisme.

"Malah kini, terdapat ramai kanak-kanak yang mempunyai gen itu tidak mengalami masalah berat badan terlampau," katanya.

Dalam pada itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), lebih 15 peratus kanak-kanak di negara berkenaan kini dipercayai mengalami masalah berat badan.

Apabila mereka dewasa kelak, statistik berkenaan tetap akan dijangka semakin bertambah, lebih-lebih lagi apabila golongan dewasa yang mengalami masalah berat badan turut mencatatkan statistik 35 peratus.

Kajian terbaru berkenaan mengetepikan penyelidikan sebelum ini yang menemui perbezaan dalam genetik yang dikaitkan sebagai punca utama masalah kegemukan.

Daripada kajian terbabit, penyelidik mendapati kanak-kanak yang mempunyai perbezaan genetik mengambil 100 kalori bagi setiap hidangan dengan berat hidangan hampir sama.

Jumlah kalori berkenaan mungkin kedengaran tidak banyak tetapi jika dikumpul selama 12 hari, ia akan bertambah.

"Penemuan ini tidak akan dapat mengubah amalan pemakanan serta gaya hidup individu yang mengamalkan kehidupan yang sihat dan kerap melakukan senaman.

"Namun, penemuan ini membawa kepada satu hipotesis yang memberi jawapan kepada punca kegemukan pada kanak-kanak yang setiap tahun terdedah kepada pengambilan makanan padat serta bertenaga tinggi," katanya.

Sementara itu, Rao berkata, mesej penting yang diperoleh daripada kajian berkenaan ialah pencegahan sebagai penyelesaian terbaik.

"Jika anda mempunyai anak, sama ada terlampau gemuk atau tidak dan amat menggemari makanan ringan, anda perlu segera mencari jalan untuk mencegahnya.

"Cara penyelesaian boleh dilakukan ialah mengehadkan jumlah makanan ringan yang diambil. Jika anda melarang terus mereka daripada menikmatinya, kemungkinan besar kanak-kanak akan menganggap makanan berkenaan mempunyai sesuatu kandungan istimewa.

"Ini menyebabkan mereka akan menikmatinya berkali ganda jika berpeluang mendapatkannya," katanya.

Kawal pernafasan dari perut

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.abdullatib@kosmo.com.my: 30 Disember 2008

SEBAIK saja keluar dari bilik mesyuarat, kepala Zaril mula berserabut dengan pelbagai tugasan baru yang diberikan oleh ketuanya.

Nafas yang dihembus, tersekat-sekat, seolah-olah ada yang menekan dadanya tatkala melihat timbunan kerja di atas mejanya.

Zaril segera bangun lalu cuba mengatur semula pernafasan sambil menenangkan diri. Beberapa minit kemudian kepalanya yang terbeban terasa ringan.

“Tekanan kerja, persekitaran malah dalam keadaan biasa pun, ramai orang yang sering terlupa bagaimana perlunya bernafas dengan betul,” ujar seorang pakar pernafasan, Dominique Lonchant.

Jelasnya lagi, pengawalan pernafasan yang betul dapat memastikan pembukaan saluran udara yang sempurna serta kapasiti udara yang memasuki paru-paru adalah maksimum.

“Pengawalan pernafasan mempunyai empat bahagian utama iaitu di bahagian perut, tekak, sisi dada dan pernafasan secara keseluruhan,” katanya sambil menunjukkan cara yang betul menghembus dan menarik nafas menggunakan hidung.

Menurut Dominique, kebanyakan kita gemar ‘menelan’ nafas yang sekali gus menyebabkan banyak elemen negatif masuk ke dalam tubuh.

“Pernafasan yang perlahan juga membuatkan udara yang disedut tidak sampai ke paru-paru ketika proses menyedut dan menghembus

Kerana itu, Dominique menegaskan pengawalan pernafasan harus diketahui oleh semua orang, terutama dalam keadaan yang tertekan.

“Sebagai contoh, pernafasan yang dikawal melalui perut mampu membetulkan sistem pencernaan, buah pinggang, hati serta perjalanan darah,” katanya.

Di samping itu, pernafasan clavicular iaitu pernafasan yang memberi tekanan di bahagian bawah ketiak juga dibuktikan dapat mencegah kanser payu dara di kalangan wanita.

“Manakala pengawalan yang dilakukan menerusi tekak pula membantu memulihkan sistem jantung termasuk menguatkan organ tersebut,” kata Dominique yang berasal dari Perancis.

Cerita Dominique, pengalamannya mengajar beberapa orang penyanyi mengenai pernafasan yang betul telah banyak membantu mereka dalam sesuatu persembahan.

Bukan sekadar itu, bagi amalan biasa, aturan pernafasan yang betul juga dapat mengelakkan seseorang itu daripada perasaan malas terutamanya pada waktu pagi.

“Kadar oksigen yang kurang pada waktu pagi menyebabkan rasa kemalasan itu cukup tinggi dan menerusi senaman pernafasan ini, aliran darah serta oksigen akan lebih pantas bergerak,” katanya.

Jelas lelaki yang berpengalaman hampir 28 tahun mengajar teknik ini di seluruh dunia, penyakit seperti asma, gemuruh dan sesetengah alahan berpunca daripada cara bernafas yang salah.

Lebih daripada itu, emosi juga dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya aturan pernafasan seseorang itu berada dalam keadaan sempurna.

“Sekiranya kita sukar untuk bernafas, tidak selesa dengan udara yang keluar masuk ke dalam tubuh, secara tidak langsung, ia turut mengganggu mood dan emosi. Ini akan membuatkan seseorang itu mudah marah, rasa tertekan dan bermacam lagi,” ujarnya.

Monday, December 29, 2008

Makanan tambahan atau makanan seimbang?

Oleh ROSLAH OTHMAN


PENGAMBILAN sayur dan buah-buahan akan lebih menyihatkan tubuh badan. - Gambar hiasan
________________________________________

PENGAMBILAN makanan tambahan atau suplemen sama ada dalam bentuk pil, serbuk atau cecair setiap hari bukan lagi amalan luar biasa di kalangan masyarakat hari ini.
Di kalangan selebriti terkenal misalnya, ia bagaikan satu kemestian yang didakwa bertujuan mengekalkan kesihatan.
Golongan ini dikatakan terlalu berhati-hati dalam soal pengambilan makanan sehingga ada yang bergantung kepada makanan tambahan semata-mata dan mengehadkan pengambilan makanan seperti nasi dua atau tiga kali seminggu.
Namun, sejauh mana keperluan dan kepentingan makanan tambahan tersebut kepada seseorang itu masih menjadi persoalan kebanyakan daripada kita.
Membincangkan topik itu, Ketua Pemakanan di Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw John berkata, selagi seseorang itu sihat dan boleh makan apa sahaja, mereka sepatutnya tidak perlu mengambil makanan tambahan.
Menurutnya, perlu atau tidaknya pengambilan makanan tambahan bergantung kepada kesihatan seseorang.
Ini kerana keperluan bagi setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain.
Menerangkan lebih lanjut kata Mary, secara umumnya, seseorang itu tidak perlu bergantung kepada makanan tambahan selagi mereka mengamalkan pemakanan seimbang dalam kehidupan harian.
“Sebenarnya kita tidak memerlukan makanan tambahan selagi masih mengamalkan pemakanan seimbang. Adalah tidak benar bahawa sebiji pil makanan tambahan mampu menggantikan makanan untuk tengah hari ataupun malam,’’ ujarnya.
Beliau menyangkal pendapat sesetengah individu mengambil makanan tambahan kerana berpandangan makanan seharian tidak lagi mampu memenuhi khasiat yang diperlukan badan.
Katanya, untuk mendapatkan pemakanan seimbang bukanlah rumit seperti yang disangkakan sesetengah orang.
Seseorang perlu makan seperti yang disarankan dalam piramid makanan. Menu harian perlu seimbang - ada sumber karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral - yang semuanya ini boleh diperoleh daripada makanan.
Beliau menjelaskan, sebenarnya hanya dalam kes tertentu seseorang itu disarankan mengambil pil makanan tambahan.
Selain golongan tua, golongan pesakit yang mengalami masalah hati, batu karang, pankreas dan penghadaman antara yang disaran mengambil makanan tambahan.
Tidak terkecuali mereka yang mengamalkan diet sebagai contoh golongan remaja, wanita yang datang haid serta wanita hamil.
Menerangkan mengenainya, kata Mary, bagi golongan tua, proses penuaan secara tidak langsung akan mempengaruhi kecekapan sistem badan dan daya penyerapan makanan, yang tentunya tidak lagi sebaik ketika muda.
Malah, biasanya orang tua menghadapi masalah kurang selera menyebabkan ramai yang makan sedikit, cukup untuk menghilangkan kelaparan.
Akibatnya, jumlah khasiat yang sepatutnya dibekalkan kepada badan tidak mencukupi dengan aktiviti dilakukan terutama bagi yang masih aktif.
Manakala bagi wanita hamil, mereka perlu mengambil asid folik (sejenis Vitamin B) dan asid lemak perlu (EFA) bagi membantu proses pembentukan otak dan saraf anak serta mengelakkan risiko kecacatan.
Sementara bagi wanita kedatangan haid pula disaran mengambil pil zat besi bagi mengatasi masalah kekurangan zat besi yang hilang bersama darah haid sehingga menyebabkan mereka mudah berasa letih.
Seperkara yang perlu difahami juga, katanya, pil bukan pengganti makanan tetapi melengkapkan khasiat yang tidak dapat dibekalkan kepada badan.
“Satu pil hanya membekalkan satu khasiat, manakala satu jenis makanan boleh sumbangkan banyak khasiat.
‘‘Hidup ini akan hilang nikmatnya jika kita asyik bergantung kepada pil saja,’’ tegasnya.
Mengaitkan senario pada hari ini, Mary berkata, biasanya apabila seseorang itu mengambil pil makanan tambahan, pasti mahu melihat kesannya kepada tubuh badan, seperti meningkatkan kecergasan, daya ingatan dan sebagainya.
Apa pun, tanpa disedari ia sebenarnya boleh mendatangkan keburukan kepada pengguna sama ada dalam tempoh singkat mahupun jangka panjang.
Beliau memberi contoh sekiranya, seseorang itu mengambil vitamin A, D, E dan K secara berlebihan akan menimbulkan masalah kepada kesihatan.
‘‘Pengambilan vitamin A, misalnya, bukan sahaja menyebabkan seseorang mudah diserang sakit tulang, tetapi juga menjadikan tumbesaran kanak-kanak terbantut, tekanan, sakit perut serta masalah pada saluran darah.
‘‘Sementara pengambilan vitamin D berlebihan, turut menyebabkan kandungan kalsium dalam darah menjadi tinggi, kalsium yang terdapat dalam gigi mudah keluar, sakit kepala, batu dalam buah pinggang dan masalah saluran darah,’’ ujarnya.
Berbanding kumpulan di atas, beliau berkata, seseorang lebih disarankan mengambil jenis vitamin dalam kumpulan B kompleks termasuk vitamin C. Begitu pun, pengambilannya mestilah dalam jumlah sederhana dan tidak berlebihan.
Berbeza dengan kumpulan vitamin A, D, E dan K, setiap pengambilan vitamin B kompleks tidak akan disimpan dalam badan, sebaliknya keluar melalui air kencing.
Selain itu katanya, tanggapan kononnya seseorang itu tidak perlu berlapar, tidak perlu bersenam dan boleh makan apa saja hanya dengan mengambil pil termasuk untuk langsing, adalah tidak benar.
‘‘Pengguna tidak harus mudah mengikut apa saja yang disarankan atau terpengaruh dengan iklan. Apa yang penting sentiasa amalkan pengambilan makanan secara kerap mengikut waktu ditetapkan dan meliputi pelbagai jenis, tetapi sederhana,’’ ujarnya.
Beliau juga menganggap iklan yang memaparkan kononnya boleh membuat seseorang awet muda atau kurus langsing hanya dengan mengambil sebiji pil, sebenarnya satu pembohongan.
Ini kerana, sehingga kini tiada kajian dibuat mengenainya dan tidak dimasukkan dalam jurnal perubatan.
Apa yang menghairankan, makanan tambahan seumpamanya begitu mudah menarik perhatian masyarakat terutama golongan wanita.
‘‘Sebagai pengguna, kita perlu bijak berfikir mengenai apa yang ingin kita makan. Apa yang penting ialah ialah merujuk kepada pakar pemakanan atau doktor,’’ ujarnya.

Diabetes: Risiko dari Usia Muda

Risiko dari usia muda
OLEH Nurul Anuar Kari


________________________________________

BAYANGKAN bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong), dan berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan belum lagi mencecah umur 40 tahun.
Itulah apa yang menanti pesakit diabetes mellitus yang tidak atau gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati. Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah lama menghidap diabetes, sejak dari usia muda lagi.
Diabetes mellitus merupakan satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).
Semua bentuk diabetes kini boleh dirawat sejak insulin berjaya dihasilkan secara komersial pada 1921 tetapi belum ada penawar yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya. Masalah paras gula tinggi di dalam darah kini dirawat melalui kombinasi ubat, kawalan pemakanan dan juga dos suntikan insulin.
Kardiovaskular
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan 171 juta penduduk dunia menghidap diabetes pada tahun 2000, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030, dengan jumlah terbesar dijangka datang dari benua Asia dan Afrika.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman turut menekankan bagaimana peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat mendadak dari 6.3 peratus pada 1980-an dan sekitar lapan peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.
“Diabetes sudah lama wujud dan ramai di antara pesakit IJN sendiri menghidapinya. Diabetes merupakan antara faktor risiko kuat untuk pesakit menghidap penyakit koronari kelak.
“Perubahan pada salur darah pesakit juga boleh dikesan seawal 15 tahun sebelum disahkan menghidap diabetes. Ini jauh lebih awal dari apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, antara masalah utama yang dihadapi di kalangan pesakit diabetes kini adalah keperluan mengambil bermacam jenis ubat setiap hari (untuk diabetes) sedang mereka turut menghidap penyakit lain yang juga memerlukan pengambilan ubat.
Dr. Azhari menegaskan jika sesuatu penyakit melibatkan pembuluh darah, ia akan menyebabkan kerosakan menyeluruh kepada seluruh badan.
“Salur darah terdapat di seluruh badan terutamanya di jantung dan otak yang boleh membawa kepada serangan jantung dan juga strok (bekalan darah ke otak tergendala), dan kalau lebih malang, kedua-duanya sekali.
“Pembedahan atau rawatan angioplasti juga rumit atau mungkin tidak boleh dilakukan jika pembuluh darah rosak teruk atau menjadi sempit akibat diabetes,” ujarnya.
Jelas beliau, memandangkan kerosakan sudah lama berlaku (seawal 15 tahun awal), gejala tertentu mungkin timbul sebelum pesakit dikesan menghidap diabetes.
Tambahnya, mati pucuk menjadi contoh gejala awal diabetes (atau masalah jantung) akibat kerosakan salur darah halus (mirovaskular) di dalam zakar.
Oleh itu, amatlah ditekankan pentingnya usaha pencegahan diabetes, terutamanya pada usia muda, melalui penjagaan gaya hidup sihat atau rawatan tertentu untuk mengelakkan diabetes di samping pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti mereka yang berisiko menghidap tinggi.
Dr. Azhari turut mendedahkan purata umur serangan jantung di Malaysia kini ialah 57 tahun berbanding 66 tahun di Barat.
“Pesakit serangan jantung paling muda yang pernah dirawat di negara ini berumur hanya 19 tahun.
“Bukannya semua pesakit jantung menghidap diabetes tetapi digalakkan pesakit untuk mengetahui bahawa risiko diabetes boleh membawa kepada komplikasi buah pinggang, mata dan juga serangan jantung,” jelasnya.
Tambahnya, pesakit diabetes yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung juga menghadapi risiko salur darah kembali tersumbat dengan lebih pantas.
Di IJN, kebanyakan kes diabetes melibatkan jenis kedua di mana insulin tidak dihasilkan dengan cukup di dalam badan.
Dr. Azhari menjelaskan, untuk jenis kedua ini, ubat-ubat pil diberikan dahulu bagi mengurangkan tahap gula darah dan juga bebanan keperluan insulin badan.
“Jika gagal dikawal juga, pesakit mungkin perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah.
“Bagi kes teruk, doktor mungkin terus menggunakan suntikan insulin, atau mengikut pandangan doktor bergantung kepada usia dan keperluan individu pesakit,” jelasnya.
Menurut beliau, pesakit juga perlu mengurangkan berat badan, sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan asal, atau lebih baik jika mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Mengelakkan komplikasi
Dalam usaha mengawal komplikasi diabetes, terutamanya masalah kardiovaskular, Dr. Azhari memaklumkan kejayaan IJN membentuk klinik diabetes sendiri untuk membantu memberi nasihat dan penerangan kepada pesakit.
“Dikendalikan bersama jururawat dan paramedik terlatih yang bergabung dengan doktor pakar diabetes, ahli farmasi dan pakar pemakanan, klinik ini dapat membantu pesakit dalam penjagaan komplikasi dan suntikan insulin.
“Pengurusan masalah diabetes di klinik ini juga membantu meringankan beban klinik lain di samping memberi ruang untuk pesakit bertanya sebarang keraguan yang tidak sempat dijawab doktor,” ujarnya.
Dr. Azhari menegaskan kawalan diet pemakanan merupakan antara perkara utama dalam mengubah gaya hidup pesakit diabetes tetapi masih diabaikan sesetengah pesakit.
“Selalunya, ramai yang mengambil snek (manis) di antara hidangan utama. Kawalan juga bukan hanya mengelakkan makanan bergula. Karbohidrat adalah antara bentuk gula dan buah tertentu seperti durian juga mengandungi banyak gula,” jelasnya.
Pengambilan buah memang digalakkan untuk kesihatan, tetapi Dr. Azhari menasihatkan pesakit diabetes untuk mengutamakan buah-buahan kurang manis seperti jambu batu atau buah naga.
Dr. Azhari menekankan pentingnya bagi pesakit yang disahkan menghidap diabetes untuk mengawal rapi penyakit tersebut supaya tidak membawa kepada komplikasi lain.
“Pesakit perlu mengawal rapi paras gula darah, tekanan darah dan juga tahap kolesterol melalui pengambilan ubat (atau insulin) dan juga perubahan gaya hidup.
“Bila sudah kena diabetes, pesakit akan hadapi risiko penyakit koronari yang sama tinggi dengan individu yang pernah (sekali) terkena serangan jantung,” tegasnya.
Dr. Azhari menekankan keperluan pesakit diabetes hadir untuk pemeriksaan susulan secara berkala, mengambil ubat mengikut preskripsi doktor dan kerap memeriksa tahap gula darah.
“Ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan tetapi masih tidak tahu atau kurang faham apa penyakit yang dihidapi, mahupun ubat yang sedang diambil. Pemeriksaan darah sepatutnya dimulakan seawal umur 30 tahun dan ditingkatkan menjelang umur 40 tahun,” katanya.
Beliau juga menegaskan perlunya pesakit bertanya kepada doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat tradisional bagi mengelakkan masalah dalam kawalan diabetes dan mengelakkan komplikasi.
Hari Diabetes Sedunia
Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 pada 14 November ini (Jumaat), IJN juga akan mengadakan acara sambutan Hari Diabetes seperti tahun-tahun sebelum ini.
Dr. Azhari menyatakan, sambutan hari diabetes penting bagi mengenengahkan penyakit tersebut sebagai satu masalah kesihatan semua peringkat umur masyarakat, termasuk di kalangan pesakit-pesakit IJN sendiri.
“Saya berharap kesatuan dan pihak lain turut mengadakan program serupa bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit diabetes, orang ramai dan juga para doktor.
“Pihak kesatuan lain juga diharapkan memainkan peranan masing-masing seperti mana untuk sambutan Hari Hipertensi dan Hari Jantung Sedunia bagi mengurangkan impak penyakit diabetes dan komplikasinya kepada masyarakat setempat,” katanya.
Tegasnya, pencegahan dan pengesanan mereka yang berisiko menjadi keutamaan tetapi jika sudah menghidap diabetes, maka perkara paling penting adalah mengawalnya dengan rapi (tahap gula, tekanan darah dan kolesterol), lebih-lebih lagi jika pesakit mula menghidap diabetes dari usia muda.
Penawar
- Untuk diabetes jenis pertama
BUAT masa ini, tiada penawar khusus yang praktikal untuk diabetes jenis pertama. Faktor punca diabetes jenis ini yang disebabkan kegagalan fungsi sel Beta, islets of Langerhans di dalam pankreas telah mendorong beberapa kajian dalam bagi menggantikan sel-sel tersebut atau menggantikan keseluruhan organ pankreas sebagai satu bentuk rawatan.
Hanya pesakit yang telah menjalani pemindahan (transplan) pankreas (atau pankreas bersama buah pinggang setelah diabetes menyebabkan masalah buah pinggang), dan seterusnya tidak perlu mengambil insulin lagi dianggap sebagai ‘sembuh’ daripada penyakit tersebut.
Transplan pankreas bersama buah pinggang juga dilihat sebagai antara jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk penyakit ini dengan peningkatan jangka hayat pesakit. Namun, pemindahan organ memerlukan pesakit mengambil ubat anti-penolakan organ transplan, dalam jangka panjang.
Eksperimen pemindahan sel Beta sahaja juga telah dijalankan ke atas tikus dan manusia. Bagaimanapun, kaedah ini masih kurang berkesan berikutan kesukaran mendapatkan tisu penderma dan juga tindak balas penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.
Penyelidikan sel stem dikatakan mungkin menawarkan kaedah rawatan berpotensi dengan membolehkan sel Beta, islets of Langerhans, untuk tumbuh semula dan mengelakkan keperluan ubat anti-penolakan.
- Untuk diabetes jenis kedua
Diabetes jenis ini belum ada penawar yang berkesan sepenuhnya. Namun, sejenis pembedahan pintasan gastrik (perut) baru-baru ini dilihat mampu menormalkan paras glukosa darah dalam 80 hingga 100 peratus kalangan pesakit diabetes yang sangat obes.
Mekanisma yang membawa kepada paras gula darah yang normal ini belum difahami sepenuhnya dan masih lagi dikaji, tetapi kesan tersebut bukan hanya dikaitkan dengan penurunan berat badan berikutan kadar gula darah mula normal sebelum berat badan pesakit menurun. Pendekatan ini juga mungkin menjadi sejenis rawatan untuk pesakit diabetes jenis kedua kelak.
Pembedahan pintasan itu juga didakwa mempunyai manfaat tambahan dengan mengurangkan kadar kematian daripada semua jenis komplikasi diabetes, sehingga 40 peratus di kalangan pesakit yang sangat obes. Sebilangan kecil pesakit dengan berat badan normal atau sederhana obes juga dilaporkan telah berjaya melalui pembedahan serupa.
Komplikasi
Akut (boleh berlaku dengan pantas)
- Koma Hiperosmolar bukan ketotik (HNS); keadaan di mana pesakit mempunyai paras gula terlalu tinggi (lebih 16 mmol/L), menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan ke dalam salur darah (secara osmosis) dan buah pinggang mula membuang glukosa ke dalam air kencing. Ini akan menyebabkan kehilangan air, yang jika tidak diganti melalui minuman atau melalui suntikan air, akan menyebabkan dehidrasi. Keadaan ini dianggap sebagai satu kecemasan dan penggantian cecair badan perlu dilakukan segera. Simptom rasa letih boleh membawa kepada koma tetapi keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kes diabetes jenis kedua berbanding jenis pertama.
> Hypoglisemia; paras gula terlalu rendah dengan simptom berpeluh, menggigil, jantung berdegup kencang, sakit kepala dan boleh menyebabkan pesakit meracau atau pengsan. bagi kes yang teruk, pesakit boleh koma, sawan, mengalami kecederaan otak dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat beberapa punca keadaan ini seperti lebihan dos rawatan insulin atau tidak cukup makan. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat dengan memberi minuman manis atau makanan tetapi bagi kes teruk, suntikan hormon glukagon (menggalakkan pengeluaran glukosa ke dalam salur darah) atau suntikan gula dextrose (satu bentuk glukosa) boleh diberikan.
Kronik (berlaku secara perlahan-lahan)
- Penyakit sistem vaskular; peningkatan tahap glukosa darah yang berpanjangan boleh membawa kepada kerosakan salur-salur darah (angiopati). Ini menyebabkan lapisan sel salur darah menyerap lebih banyak glukosa dari biasa memandangkan sel-sel tersebut tidak bergantung kepada insulin. Peningkatan penyerapan ini membawa kepada penebalan dan juga melemahkan lapisan tisu membran salur darah. Kerosakan salur darah dibahagikan kepada mikro (salur darah kecil) dan makrovaskular (salur darah besar-arteri). Kerosakan salur darah seterusnya membawa kepada;
> Retinopati diabetik; pertumbuhan salur darah baru yang rapuh dan tidak berkualiti pada retina mata. Ini juga boleh membawa kepada pembengkakan makula mata (makular edema) yang seterusnya boleh menyebabkan penglihatan pesakit semakin teruk atau menjadi buta. Masalah ini juga merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah, di seluruh dunia.
> Neuropati diabetik; kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa, bermula pada kaki dan berpotensi merebak ke bahagian saraf lain, termasuk deria rasa pada jari dan tangan. Digabung dengan kerosakan salur darah, keadaan ini boleh membawa kepada ‘kaki buruk’ diabetes. Terdapat juga keadaan dima mana otot menjadi lemah disebabkan komplikasi ini, dikenali sebagai amiotropi diabetik.
> Nefropati diabetik; kerosakan kepada buah pinggang yang boleh membawa kegagalan fungsi renal, akhirnya memerlukan pesakit menjalani dialisis. Diabetes mellitus adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.
> Kardiomiopati diabetik; kerosakan pada jantung yang membawa kepada disfungi diastolik dan seterusnya kegagalan jantung berfungsi.
- Penyakit makrovaskular akan membawa kepada penyakit kardiovaskular di mana kerosakan pantas pada arteri menjadi faktor penyumbang kepada;
> Penyakit arteri koronori – membawa kepada angina atau serangan jantung (myocardial infarction).
> Strok – terutamanya jenis iskemik (pengurangan aliran darah ke bahgian tertentu otak).
> Penyakit vaskular periferal – menyumbang kepada rasa kebas (sakit) berulang-ulang (tempoh singkat) dan juga ‘kaki buruk’.
> Myonekrosis diabetik – kemusnahan otot.
> Kaki buruk diabetes – selalunya berlaku akibat gabungan neuropati (hilang deria rasa kaki) dan kerosakan salur darah. Peningkatan kadar ulser dan jangkitan kulit, dan kadang kala nekrosis atau gangren menyebabkan kerosakan atau kecederaan kaki lebih lambat sembuh. Komplikasi ini adalah punca utama pemotongan (amputasi) kaki bukan akibat trauma di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.
Perwarisan genetik
KEDUA-dua diabetes jenis pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian kaitan dengan faktor warisan genetik.
- Diabetes jenis pertama dilihat tercetus akibat jangkitan tertentu (terutamanya dari virus), atau kadang kala oleh tekanan (stres) atau pendedahan persekitaran (bahan kimia atau ubat tertentu). Kaitan genetik dikatakan bersangkut paut dengan kod genetik individu yang membolehkan sistem imuniti badan membezakan sel badan dan sel asing (penceroboh).
Walaupun sesetengah individu mempunyai kelemahan dari segi warisan genetik, diabetes jenis pertama dilihat memerlukan faktor pencetus untuk mula berlaku. Sebilangan kecil penghidap diabetes jenis pertama juga mempunyai gen mutasi yang menyebabkan diabetes pada usia muda.
- Terdapat kaitan faktor genetik yang lebih kuat dengan diabetes jenis kedua. Mereka yang mempunyai saudara terdekat (ibu, bapa, adik-beradik) dengan diabetes jenis kedua mempunyai risiko lebih tinggi menghidapinya kelak. Peratusan risiko juga meningkat dengan bilangan saudara terdekat yang menghidap diabetes jenis ini, dan hampir 100 peratus kesejajaran bagi kembar seiras.
Lebih 25 peratus penghidap diabetes jenis kedua juga mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes. Obesiti yang merupakan satu faktor bebas untuk diabetes jenis kedua juga mempunyai kaitan warisan genetik yang kuat.

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut ( HFMD)

Sebagaimana namanya, penyakit HFM melibatkan tangan, kaki dan mulut seseorang pesakit. Ianya disebabkan oleh jangkitan virus dari kumpulan enterovirus yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak berumur 2 minggu hingga 5 tahun.
Virus ini merebak melalui kontak secara lansung (direct contact) dengan titisan atau lelehan yang dikeluarkan dari mulut / hidung / najis pesakit (fecal-oral route). Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan lepuh kulit (blister) pesakit.
Seseorang yang dijangkiti virus ini akan merasa sakit selepas 3 hingga 5 hari selepas terdedah kepada jangkitan virus ini. Kebanyakan pesakit akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari.
Apakah tanda dan gejala penyakit ini ?
Penyakit ini mempunyai tanda-tanda seperti mengalami demam selsema dengan ruam.
Diantara tanda-tanda jangkitan ini ialah :
demam
sakit kerongkong
sakit kepala
hilang selera makan
ulser di tekak dan mulut
ruam dengan lepuh (blister)
1. di tapak tangan
2. kaki dan
3. kawasan lampin.
Apakah komplikasinya ?
Seseorang yang dijangkiti virus ini akan merasai kesakitan selepas 3 hingga 5 hari setelah terdedah kepada virus ini. Kebanyakan pesakit akan sebuh sepenuhnya dalam masa beberapa hari. Tetapi di kalangan segelintir pesakit, penyakit ini boleh membawa maut setelah keadaan menjadi teruk di mana pesakit menjadi lemah, susah bernafas dan sentiasa kesejukan. Ini adalah akibat komplikasi. Jangkitan ini mungkin seperti sakit otot (miositis), bengkak hati dan inflamasi jantung (myocarditis) yang boleh menyebabkan maut terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Bagaimana virus ini merebak ?
Cara utama penyebarakan virus ini ialah pengambilan makanan dan minuman yang dicemar oleh najis pesakit (fecal-oral route). Pencemaran ini boleh terjadi melalui sentuhan tangan yang memindahkan virus dari najis kepada makanan dan minuman. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan udara / lelehan yang dikeluarkan dari mulut atau hidung pesakit apabila mereka batuk, bersin atau bercakap. Jangkitan boleh berlaku jika titisan udara yang mengandungi virus disedut oleh orang lain. Selain daripada itu, virus boleh tersebar melalui air liur pesakit dan sentuhan pada lepuh kulit pesakit.
Apakah cara untuk mengelakan dari jangkitan ini ?
Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus ini. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Jangkitan ini boleh dicegah dengan cara berikut:
Selalu mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan selepas mencuci najis kanak-kanak
Menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
Mencuci alat mainan kanak-kanak dan permukaan (surface) meja / kerusi / lantai dan sebagainya yang telah dicemari air liur.
Kanak-kanan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan ini harus ditegah dari menghadiri tadika, tabika, sekolah dan rumah pengasuh (”baby sitter”) dan perlu dibawa ke klinik / hospital dengan segera.
Ibu bapa dinasihatkan supaya jangan membawa anak-anak kecil mereka ke tempat awam yang sesak seperti pusat membeli-belah, pawagam, kolam renang, pasar, stesyen bas dan sebagainya.
Ibu bapa juga dinasihatkan supaya mandi dan menukar pakaian sebaik saja balik dari luar / kerja sebelum bermesra dengan bayi dan anak-anak mereka.
Bawa anak-anak ke hospital / klinik berhampiran dengan segera jika terdapat tanda-tanda jangkitan virus ini.
Jaga kebersihan rumah dan persekitarannya untuk mengelak jangkitan virus melalui lalat, lipas dan tikus.
Elakkan dari berkongsi berus gigi, cawan sudu, garpu, cadar, sarong bantal, lampin serta sapu tangan dari anak yang dijangkiti oleh penyakit tangan, mulut dan kaki (HFMD).

Sosio Budaya

Malaysia terdiri dari 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan; sembilan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah dibawah pemerintahan Raja-Raja Melayu (Sultan). Pemerintahan Raja Berperlembagaan diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dilantik di antara sembilan orang Raja-Raja Melayu mengikut susunan setiap lima tahun.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen yang diselenggarakan oleh Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri. Pilihan raya Umum diadakan setiap lima tahun sekali. Parti yang memerintah sekarang, Parti Barisan Nasional (National Front) merupakan parti campuran terdiri dari beberapa parti politik yang mewakili berbagai kumpulan etnik.

Ibu Negara

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. la ditubuhkan pada 1857 sebagai penempatan pedagang bijih timah Cina di muara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Kuala Lumpur sebuah Bandar Raya Bercahaya mempunyai penduduk anggaran 1.5 juta. Pembangunan bandar raya ini terus berkembang pesat dengan bangunan pencakar langit dan salah sebuah bangunan tertinggi di dunia ialah Menara Berkembar Petronas. Terletak 25 km ke selatan Kuala Lumpur ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Manakala, mata wang Malaysia dikenali sebagai Ringgit Malaysia (RM). RM1 mengandungi 100 sen.

Sosio-Budaya

Penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa. Jumlah penduduk anggaran tahun 2003 ialah 25.04 juta, yang terdiri dari kaum Melayu 61%, kaum Cina 30%, kaum India 8% dan yang lain-lain 1%. Terdapat juga orang Asli, Eropah dan Serani.

Malaysia sebuah negara yang penduduknya terdiri dari pelbagai kebudayaan. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berasaskan kebudayaan orang-orang Melayu sebagai rakyat asal rantau ini. Kebudayaan Melayu itu sendiri berteraskan ajaran agama Islam. Kebudayaan orang Melayu mengutamakan nilai-nilai sopan-santun, kesederhanaan, keindahan dan keharmonian hidup antara ahli-ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Sikap tolak ansur antara kaum juga menjadi pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta agama-agama lain adalah sentiasa dihormati. Sambutan hari-hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Thaipusam, Krismas, Gawai dan lain-lain dianggap sebagai perayaan penting.

Agama

Malaysia terdiri dari penduduknya yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai agama, khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, Tao dan Nasrani (Kristian), di samping lain-lain sistem kepercayaan yang diamalkan oleh berbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia, sementara agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas.


tarian-singa

Tarian Singa adalah sebahagian sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina.


Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) namun, bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluasnya di bidang-bidang perdagangan dan perindustrian. Kerajaan juga telah menggalakkan pekerja hotel dan ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan perhotelan supaya mempelajari lain-lain bahasa antarabangsa.

Festival Dan Perayaan

Masyarakat majmuk menjadikan kebudayaan negara ini lebih berwarna-warni. Penduduknya yang berbilang kaum menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Di negara ini, musim perayaan adalah masa untuk bergembira dan menjalin persahabatan serta muhibah antara kaum. Setiap kali perayaan, semua rakyat tanpa mengira keturunan, turut serta memeriahkan suasana dengan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Oleh itu, upacara 'rumah terbuka' adalah satu suasana yang tidak asing lagi di hari-hari perayaan.

Islam

Bagi umat Islam, tiga perayaan utama diraikan, iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Maulidul Rasul. Hari Raya Puasa diraikan bagi menandakan berakhirnya sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Hari Raya Haji (Aidiladha) dirayakan pada hari ke-10 bulan Zulhijjah (bulan Islam) ketika umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah berada di peringkat akhir ibadah mereka. Pada pagi hari tersebut umat Islam menunaikan sembahyang Hari Raya Aidiladha di masjid-masjid. Mereka yang berkemampuan akan mengerjakan ibadat korban. Perayaan Maulidur Rasul pada bulan Rabiulawal, dirayakan bagi memperingati perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Acara-acara seperti perhimpunan, syarahan dan bacaan berzanji biasanya diadakan.

Cina

Rakyat Malaysia berketurunan Cina merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama di dalam bulan pertama kalendar Cina pada bulan Januari atau Februari setiap tahun. Perayaan bermula dengan kaum keluarga berkumpul untuk makan malam bersama. Perayaan ini berlanjutan selama 15 hari hingga hari Chap Goh Mei yang dirayakan pada malam ke-15. Seperti biasa di perayaan ini, pemberian bungkusan merah "angpow" memeriahkan lagi suasana, terutama kepada kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga perayaan Kuih Bulan yang ada kaitannya dengan legenda bidadari dari bulan lapan kalendar Cina. Kuih-kuih bulan dan tanglung-tanglung adalah ciri-ciri utama perayaan tersebut.

Hindu

Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil (OktoberNovember) merupakan masa untuk kaum keluarga dan sanak-saudara bergembira. la menandakan kemenangan, kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Perayaan bermula dengan upacara sembahyang dan diikuti dengan kunjungan ke rumah sanak saudara. Di waktu malam, pelita-pelita dipasang untuk memeriahkan lagi perayaan.

Para penganut agama Hindu di Malaysia juga merayakan Hari Thaipusam pada bulan Januari sebagai penghormatan kepada Dewa Muruga. Di perayaan tersebutlah, Batu Caves yang terletak di Kuala Lumpur menjadi tumpuan para penganut yang membawa persembahan-persembahan di atas kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa tersebut.

Buddha

Bagi para penganut agama Buddha, bulan Mei menandakan tibanya Hari Wesak sebagai memperingati tiga peristiwa penting di dalam hidup Buddha, iaitu hari keputeraannya, hari mencapai kemantapan fikirannya dan juga hari kemangkatannya. Di perayaan tersebut, upacara-upacara bersembahyang dan perarakan diadakan.

Kristian

Pada Bulan Disember para penganut Kristian merayakan Hari Krismas sebagai menandakan kelahiran Nabi Isa a.s., dengan bersembahyang di gereja-gereja dan menziarahi suadara-mara dan rakan-rakan.

Perayaan Bagi Kaum-kaum di Sabah dan Sarawak

Di Sabah dan Sarawak, terdapat pula perayaan-perayaan tradisi orang Kadazan dan Dayak yang memperkayakan lagi kebudayaan masyarakat Malaysia. Pada bulan Mei setiap tahun di Sabah, orang-orang Kadazan mengadakan Perayaan Menuai yang merupakan satu acara penting untuk para petani mereka. Kemuncak perayaan ialah persembahan tarian Sumazau. Tamu Besar atau pasar tahunan pula merupakan satu pesta di mana acara-acara sukan tradisional diadakan.

Perayaan-perayaan tradisi orang-orang Dayak di Sarawak pula terdiri daripada Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Tarikh 1 jun adalah Hari Gawai di mana beberapa gawai dirayakan di negeri tersebut.

Cuti Am

Selain perayaan-perayaan kaum yang dilangsungkan, cuti am juga diisytiharkan bagi beberapa acara penting di negara ini. Di antaranya ialah Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan yang disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun, Perayaan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Sabtu minggu pertama bulan jun, Hari Keputeraan Raja/Sultan di peringkat negeri bagi negeri-negeri yang berkenaan sahaja. Hari Pekerja pada 1 Mei, Maal Hijrah (Awal Muharram) dan perayaan-perayaan lain seperti "Good Friday" dan Nuzul Quran yang diraikan di beberapa buah negeri yang tertentu sahaja.

Sumber: Kementerian Penerangan Malaysia

Y.A.B Dato' Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi (2003-Kini)

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.

Dato' Seri Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981.

Dato' Seri Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Dato' Seri Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.

Dato' Seri Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.

Dato' Seri Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: Kem. Penerangan Malaysia

Y.A.B Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (1981-2003)

Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.

Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star.

Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.

Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan.

Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.

Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.

Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.

Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Sumber: Kem.Penerangan Malaysia

Y.A.B Tun Hussein bin Dato' Onn (1976-1981)

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12hb. Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin Ja'afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru.

Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor. Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.

Apabila perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah peperangan tamat beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten.

Beliau pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Datuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.

Berjuang di samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan seterusnya dalam tahun 1950 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan.

Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu bersara dari politik, beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958.

Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada bulan Jun 1969 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September, 1970.

Sebagai Menteri Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO.

Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia.

Berikutnya, beliau mengumumkan satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalannya.

Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN. Pada akhir tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan.

UMNO telah menunjukkan jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru hara, Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti pembangkang.

Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang bermanifesto "A man whom you can trust" (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri.

Dalam pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.

Sumber: Kem.Penerangan Malaysia

Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein (1970-1976)

Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas.

Sewajarnyalah beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.

Semasa di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union.

Beliau terpaksa kembali ke tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Empat bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955.

Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13 tahun.

Dalam tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.

Konsep demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah pembangunan.

Gerakan pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.

Tun telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan, bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan bantuan kewangan dan teknik yang disediakan.

Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.

Pendek kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai. Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga sebagai Bapa Perdamaian.

Sumber: Laman Web Kem. Penerangan Malaysia

Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (1957-1970)

Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand.

Ini bermakna Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.

Pada waktu kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai.

Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine's College, Universiti Cambridge, England.

Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.

Apabila kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.

Dalam pergi mencari seorang Kapten Melayu yang hilang di Singapura, Tunku telah didapati oleh askar Jepun di check point Johor Bahru ada memilik sepucuk pistol. Beliau nyaris-nyaris ditembak di situ juga kalau tidak dengan takdir Tuhan beliau sempat mengeluarkan surat kuasa dari tentera Jepun di Kedah.

Sumber: Kementerian Penerangan Malaysia

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

Latarbelakang

Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya.

DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Objektif

Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.


Strategi Pelaksanaan

DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:

(i) Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama;

(ii) Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;


(iii) Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;


(iv) Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar;


(v) Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;

(vi) Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat;


(vii) Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan


(viii) Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.


DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:

(i) Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin);


(ii) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi;


(iii) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan
diri dalam proses penyusunan semula masyarakat; dan


(iv) Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia
termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.

Program Pelaksanaan

Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:

(i) Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan
Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan;


(ii) Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa
DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;


(iii) Wawasan 2020
Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan


(iv) Pembasmian Kemiskinan
Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar. Dengan itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial.


Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.

Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut:
- pendidikan dan
- latihan
- kesihatan
- jalan-jalan luar bandar
- pengangkutan
- perumahan
- bekalan air dan elektrik

Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.


Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.


(v) Penyusunan Semula Masyarakat

Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan.


DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.


Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN.

Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Penutup

Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

Sumber: Kementerian Penerangan Malaysia

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Latarbelakang

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:


"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan

Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:


(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;


(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;


(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;


(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;


(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan


(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Latarbelakang

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.


Rasional

Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.

Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.

Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan - Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Objektif

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:


(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;
(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan
Kebangsaan; dan
(iii)Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian
yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:

(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;

(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;

(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;

(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan

(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.

Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urusetia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.

Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.

Penutup

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.

Sumber: Kem. Penerangan Malaysia

Jenis-jenis Bendera

Bendera boleh dibahagikan kepada 5 jenis iaitu :

1.Bendera Persekutuan - Malaysia
2.Bendera Negeri-negeri dalam Malaysia
3.Bendera Wilayah-wilayah Persekutuan
4.Bendera Institusi - Kementerian, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat, Pertubuhan,
Persatuan dan lain-lain.
5.Bendera Peribadi - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
* Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
* D.D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu, T.T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri dan D.Y.T.M.
Raja Muda/Tengku Mahkota.

Hak Mengibarkan Bendera

Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan labih daripada satu jenis bendera.

Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, Badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.

Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat, gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.

Sumber: Laman Web Kementerian Penerangan Malaysia

Bendera Malaysia

Pendahuluan

Manusia merasakan perlunya satu simbol atau lambang sebagai tanda dirinya, keluarganya dan negaranya. Simbol-simbol tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk di mana salah satu daripadanya ialah bendera. Bendera telah digunakan semenjak kurun ke-16 dalam bentuk, saiz, warna dan reka bentuk yang berbeza-beza. Penggunaan bendera yang awal dapat dikesan ialah bendera yang digunakan pada tahun 1122 sebelum masihi oleh Maharaja Chou di China. Maharaja Chou iaitu Pengasas Dinasti Chou menggunakan bendera atau banner berwarna putih. Dalam bahasa Inggerisnya, perkataan Flag berasal dari perkataan Old Saxon atau German, Flaken atau Fleogan yang membawa maksud mengibar atau mengapungkan di atas angin. Bagaimanapun kini perkataan bendera dikhususkan kepada reka bentuk kain yang dikibarkan dari tiang yang tegak (vertical staff). Hari ini bendera adalah lambang kewujudan dan kedaulatan sesebuah wilayah, negeri atau negara. Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara. Pujangga pernah berkata "Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada cebis kain berwarna. Walaupun bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian."

SEJARAH BENDERA MALAYSIA:Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu
Merdeka, Merdeka, Merdeka ! - Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga.

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pad 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.

Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:


"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-

Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Sejarah Bendera Malaysia
Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Melaysia pada 16 September, 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sumber : Laman Web Kementerian Penerangan Malaysia

Maklumat Kenegaraan

Beberapa Perkara Asas Perlembagaan

Kedudukan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)



Perkara 32 menyatakan Ketua utama bagi Persekutaun ialah YDPA, iaitu seorang raja yang dipilih daripada raja-raja sembilan buah negeri Melayu. Berdasarkan sistem Raja Berpelembagaan, YDPA diberi kuasa memerintah Persekutuan. Namun begitu Perkara 39 dan 40 menyatakan bahawa baginda dikehendaki bertindak atas nasihat jemaah menteri atau seorang menteri yang diberi kuasa dari jemaah menteri.



Perkara 41 pula menyatakan YDPA juga adalah Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, sementara Perkara 42 pula meletakkan baginda mempunyai kusa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman terhadap orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



Perkara 44 meletakkan baginda salah satu daripada tiga komponen badan perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen. Perkara 71 pula menyediakan peruntukan bagi menjamin hak sesorang raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistemewaan di sisi perlembagaan bagi sesorang raja di dalam negeri itu.



Perkara 153 telah mengamanahkan baginda tanggungjawab untuk memelihara kedudukan istemewa orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.



Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah ditangan baginda atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-raja.




Kedudukan Agama Islam



Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa ugama Islam ialah ugama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).




Kedudukan Bahasa Melayu



Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatisnya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerjaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.




Kedudukan Istimewa Orang Melayu



Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi :
- perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 – berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).




Kewarganegaraan



Apabila Perlembagaan 1957 maka dengan sendirinya negara mempunyai undang-undang kerakyatannya yang selaras. Kewarganegaraan dalam Perlembagaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:-



- Perolehan Kewarganegraan


Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 1)

- Penamatan Kewarganegaraan


Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 2)

-Peruntukan Tambahan


Bahagian 3 Perlembgaan (Bab 3)

Dalam Perlembgaan ada dua cara menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarganegaraannya:

-Perkara 24 menyatakan bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya mendapat kerakyatan daripada negara lain

-Perkara 25 menyebut bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya terbukti tidak setia kepada negara.




Kebebasan Hak Asasi

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan Kebebasan Hak Asasi kepada seluruh warganegaranya sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hak-Hak Asasi ini meliputi :

Perkara 5 : Kebebasan Diri

Perkara 6 : Kebebasan Ekonomi (hamba abdi dan buruh paksa)

Perkara 7 : Perlindungan daripada undang-undang Jenayah

Perkara 8 : Hak Kesamarataan

Perkara 9 : Hak Kebebasan Bergerak

Perkara 10 : Kebebasan Bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan

Perkara 11 : Kebebasan Beragama

Perkara 12 : Hak Mendapat Pendidikan

Perkara 13 : Hak Terhadap Harta



Catatan : Untuk kepentingan, kebaikan dan keselamatan negara keseluruahannya hak-hak tersebut boleh disekat melalui antaranya:



• Perkara 149 – Perbuatan Subversif
• Perkara 150 – Kuasa-kuasa Darurat
• Perkara 159 – Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
• Akta Universiti dan Kolej 1971 pindaan 1975

Sumber: laman Web Kementerian Penerangan Malaysia