Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Monday, November 22, 2010

Perceraian banyak berpunca daripada gaya hidup

BANYAK perceraian yang berlaku hari ini terutama melibatkan pasangan Islam berpunca daripada dorongan gaya hidup yang moden. Ini kerana mereka yang sudah lama berumah tangga mulai menyoal kemampuan pasangan masing-masing dalam mengisi cita rasa mereka dalam mengharung perjalanan hidup yang serba moden pada hari ini.

Setelah agak lama mendirikan rumah tangga, perhatian mungkin beralih kepada pasangan baru dengan menjanjikan perkara yang muluk sehinggakan mereka terpesona. Perhatian yang berlebihan itu juga mendorong mereka mengikut acuan perasaan yang dibentuk oleh teman baru yang mendorong mereka menuntut perceraian.

Selain itu, perasaan bosan dalam berumah tangga turut menyebabkan mereka mencari jalan keluar, lebih-lebih lagi dengan gaya hidup sekarang yang mana kita dapat melihat semakin banyak orang tidak mempedulikan status seseorang lelaki atau wanita yang didampingi itu, sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak. Segalanya itu didorong oleh rasa suka dan menyukai dengan berpaksikan terhadap cinta yang boleh dicipta dalam sekelip mata.

Semua itu mengingatkan saya tentang seorang rakan saya yang mempunyai isteri yang cantik. Untuk mengelak isterinya mencari lelaki lain, rakan saya itu memasang strategi dan melaksanakannya iaitu menggalakkan isterinya hamil dan melahirkan anak sehingga melebihi setengah dozen.

Langkah itu diambil bagi menyekat isterinya mempunyai waktu untuk menghias dirinya dan dipandang cantik oleh lelaki lain. Ia terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir lelaki zaman sekarang yang tidak kisah untuk berkawan atau berkasih dengan isteri orang. Inilah yang saya maksudkan gaya hidup moden hari ini.

Selain itu, saya terpaku membaca satu laporan media mengenai lelaki yang menjalin hubungan intim dengan isteri orang akhirnya maut ditikam suami kepada kekasihnya itu. Ini juga satu contoh betapa zaman sekarang bukan lagi satu zaman yang selamat bagi pasangan suami dan isteri mengharung bahtera rumah tangga dengan aman tanpa gangguan pihak ketiga.

Berbalik kepada teman saya itu, memanglah tidak berlaku perceraian. Nampaknya kaedah yang diamalkan oleh rakan saya itu mendatangkan hasil dan boleh dicontohi oleh suami-suami lain di luar sana.

Tetapi, musibah lain pula menimpa rakan saya tadi apabila nasib tetap tidak memihak kepadanya. Ini kerana isterinya tidak secantik sewaktu sebelum berkahwin dan pada awal perkahwinan dulu. Disebabkan itu, perasaan sayang terhadap isteri mulai bertukar menjadi benci.

Pada bahagian akhir kisah mereka, rakan saya itu telah berkahwin lagi satu dengan ibu tunggal yang bekerja dan telah mempunyai dua orang anak remaja. Rakan saya itu melihat wanita yang bekerja boleh membantunya dalam menghadapi kesulitan hidup. Dengan kata lain, rakan saya tadi tidak perlu sangat memikirkan soal kewangan untuk menyara keluarga baru kerana isteri barunya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah gaya hidup zaman sekarang membuatkan pasangan-pasangan yang telah berumah tangga mudah sangat berubah hati bagi mencapai impian peribadi yang bersifat semasa.

Saya melihat impak daripada perceraian itu sendiri di mana pasangan baru sukar menerima anak-anak daripada perkahwinan pertama. Ini berlaku kepada pihak perempuan mahupun lelaki. Jadi, ke manakah hala tuju anak-anak itu nanti?. Tidakkah mereka menjadi mangsa perceraian ibu bapa yang nampaknya mementingkan diri sendiri.

Terdapat juga pihak lelaki atau perempuan menyerahkan jagaan anak-anak kepada ibu bapa masing-masing di kampung. Apabila tanggungjawab itu telah diserahkan di kampung, maka pandai-pandailah orang tua berkenaan membesarkan cucu mereka.

Namun, saya perhatikan ada anak-anak yang bernasib baik kerana mendapat perhatian dari saudara mereka yang menyekolahkan mereka sehingga ke menara ganding.

Masalah lain pula muncul apabila anak-anak ini berjaya dan mahu berjumpa dengan ibu bapa masing-masing bagi tujuan mengenang budi kerana melahirkan mereka di dunia ini. Ketika itu, terdapat pula halangan yang didorong rasa cemburu.

Kalaulah pada hari baik dan bulan yang baik, terutamanya sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha hendak berjumpa dengan ibu bapa kandung pun sukar, maka terpaksalah mereka melupakan hasrat itu. Dalam soal ini, siapakah yang memutuskan silaturahim anak-anak dan ibu bapa kandung tadi?.

Saya juga melihat impak kepada perceraian amat banyak dan saya kira ia hanya menguntungkan satu-satu pihak sahaja iaitu mereka yang mendapat pasangan baru dengan gaya hidup yang serba baru, manakala yang terpinggir adalah anak-anak daripada perkahwinan terdahulu.

ISMAIL HASHIM

Port Dickson

Sunday, April 19, 2009

Kauselor Anda: Isteri curang cari keyakinan diri

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Jadikan kisah hitam sempadan kebal lindungi diri supaya tidak terjerumus lagi

Soalan:
SAYA berusia 27 tahun dan bekerja di sektor awam. Sudah berumahtangga dan suami saya seorang yang baik. Saya dikurniakan seorang anak, berusia dua tahun dan insya-Allah bakal menimang anak kedua hujung tahun ini.

Dua tahun lalu, saya mendapat ketua baru yang peramah dan mesra dengan semua kakitangan. Mudah bekerja dengannya dan terdetik di hati, saya menyukai sifatnya.


September 2008, satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran terjadi. Hubungan saya dengannya bukan lagi sebagai seorang pekerja dengan majikan tetapi terus menjadi kekasih. Kami terus bercinta walaupun saya tahu dia sudah berkeluarga.


Sepanjang percintaan kami, saya dapati dia begitu menyayangi saya tetapi kami tidak pernah abaikan keluarga masing-masing. Hubungan kami tidak dapat dihidu oleh sesiapa di pejabat. Kami bertindak profesional.

Oktober 2008, isterinya ternampak SMS yang dihantar suaminya kepada saya. Ketika itu isterinya mahu berjumpa saya di pejabat tetapi suaminya melarang dan kami sekadar bercakap di telefon. Saya mohon maaf pada isterinya dan berjanji tidak melakukannya lagi

Ketika itu saya memberi cadangan pada suaminya untuk menukarkan saya ke jabatan lain supaya isterinya yakin kami tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi. Namun, kekasih saya tidak setuju sebab mahu teruskan hubungan sehinggakan kami terlanjur beberapa kali.

November 2008, suami saya pula dapat menghidu perhubungan kami. Namun, suami menegur dengan cara berhemah. Dia memberi nasihat dan mengharapkan saya dapat membataskan perhubungan dengan ketua saya. Sejak itu hubungan saya dengan lelaki itu hanya di pejabat saja. Jika ada kesempatan dan peluang saya atau dia akan telefon.

Disember 2008 hubungan kami putus apabila isterinya dapat menghidu hubungan kami. Isterinya datang ke pejabat dan memarahi, menghina, mengeji dan mencerca saya. Saya hanya berdiam diri. Saya diarahkan bersumpah supaya tidak menjalin hubungan dengan suaminya lagi dan saya turuti.

Jika ditanya mengenai lelaki itu, saya dapat berasakan dia teramat menyayangi saya. Namun, disebabkan banyak halangan, kami harus merelakan semua ini berlaku.

Saya melakukan solat taubat dan menyesal atas keterlanjuran. Saya bukan seorang yang mudah terpedaya dengan pujian lelaki. Saya tidak pernah melakukan hubungan seperti ini sebelum ini. Saya pernah terfikir bagaimana boleh terjebak dalam perhubungan ini sedangkan selama ini saya begitu menjaga rumah tangga.

Ketika ini saya ingin mengembalikan keyakinan diri dan mencari semangat untuk meneruskan kehidupan. Setiap hari selesai solat saya akan memanjatkan doa kepada Allah supaya diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan dan cabaran daripada-Nya serta keluarga saya kekal bahagia ke akhir hayat.

Nikis

Jawapan:
Nikis yang sedang bertaubat, terima kasih sudi berkongsi kisah hidup yang pendek tapi memilukan dan memalukan. Syukur anda sudah menemui noktah menamatkan episod hitam ini, tapi ini bukan bermakna anda terlepas daripada jerat sepenuhnya, kerana kancil boleh lupakan jerat tapi jerat tidak pernah lupakan mangsanya.

Jadikan kisah hitam ini sempadan kebal untuk melindungi diri supaya tidak terjerumus lagi dan belajar mohon kemaafan daripada isteri ketua anda dan suami anda. Mudah-mudahan dengan kemaafan itu anda berasa lebih tenang menjalani hidup. Pada saya anda masih bertuah kerana ada suami yang baik, yang tidak sewajarnya anda curang dengannya dan selepas mendapati anda sedemikian masih menerima anda seadanya.

Belajarlah menghormati suami anugerah Allah dan jangan sekali-kali membelakangkan dia atau bermain kayu tiga atas alasan apa pun. Banyaklah bersyukur kepada Allah kerana rasa takut sudah diangkat, cubaan sudah berlalu, dosa harapnya akan terampun melalui taubat nasuha anda dan kasih yang diketepikan sudah dinikmati kembali dan kemaksiatan sudah ditutup dengan taubat.

Berdoalah supaya rezeki yang anda peroleh bercampur gaul dengan dosa zina di tempat kerja tidak kekal dalam darah dan dan menjadi penyakit dalam jiwa. Untuk itu banyaklah membaca dan memahami al-Quran kerana itulah tali yang menandakan kita bertuhan dan bernabi.

Membaca juga dapat mengusir perasaan was-was, kecemasan dan kesedihan, selainnya akan menghindarkan anda daripada tenggelam dalam hal-hal yang batil. Serta dapat mengembangkan akal. Mencerahkan fikiran dan membersihkan hati nurani. Cintailah Allah dengan mencintai al-Quran.

Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my