Sunday, December 27, 2009

Pulih mata

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Rawatan Lasek, Lasik rawat masalah penglihatan dalam beberapa saat

PENGGUNAAN kanta lekap atau menggunakan kaca mata adalah antara pilihan bagi memperbaiki penglihatan yang terjejas. Namun, satu lagi pilihan untuk anda yang 'letih' menggunakan kaca mata dan kanta lekap adalah dengan menjalani rawatan pemulihan penglihatan dengan kaedah laser.

Ada dua jenis kaedah laser yang boleh anda pilih, iaitu Lasik (Laser-assisted In Situ Keratomileusis) dan Lasek (Laser-assisted Subephithelial Keratomileusis).

Pakar Mata, Pusat Pakar Mata Optimax, Dr Norazlina Bachik, berkata masalah seperti rabun jauh, rabun dekat, penuaan mata (presbyopia) dan silau misalnya, boleh juga dipulihkan melalui pembedahan laser.

“Berbanding dulu, teknik terkini dalam rawatan menggunakan laser semakin baik dengan penemuan teknologi terkini. Hari ini rawatan dengan laser hanya hanya mengambil masa beberapa saat saja,” katanya.

Berbanding Lasek, Lasik lebih popular. Namun, Lasek adalah pilihan jika seseorang itu memiliki kornea yang tebal.

Lasik prosedur dengan laser eksimer yang bertindak secara kekal bentuk kornea. Sedikit tisu kornea dikeluarkan bagi membentuk flap (lapisan nipis di permukaan kornea). Dua teknik yang ada bagi membentuk flap adalah microkeratome atau femtosecond. Walaupun tujuannya menghasilkan flap, namun kedua-duanya ada sedikit perbezaan.

Microkeratome memerlukan sedikit tisu di bawah kornea dibuang menggunakan laser excimer, iaitu sejenis laser yang menggunakan cahaya ultra ungu untuk membuang dan membentuk tisu kornea.

Apabila kornea dibentuk semula, ia mampu memfokus cahaya ke dalam mata dan retina sekali gus memberi penglihatan yang jelas. Flap kornea akan diletakkan ke tempatnya untuk menutup kawasan tisu kornea yang dibuang.

Dalam teknik laser femtosecond pula, flap kornea dihasilkan dengan panahan laser berpandukan komputer. Sinar laser akan bergerak di kornea, menghasilkan lapisan buih nipis di laluannya. Bagaimanapun, buih itu cepat hilang dan tisu di bawah buih membentuk flap kornea yang mudah dimanipulasikan oleh pakar bedah.

Jelas Dr Norazlina, walaupun Lasik dijalankan di bawah permukaan tisu pelindung kornea, risiko kekaburan kornea sangat sedikit manakala risiko ketidakselesaan pasca-pembedahan sedikit atau tiada langsung. Tempoh perubahan pasca perubahan juga pendek.

Untuk Lasek, Dr Norazlina menjelaskan ia sebenarnya pengubahsuaian pada kaedah sedia ada PRK (Photo Refractive Keratectomy).

Dalam prosedur ini lapisan atas kornea tidak dikeluarkan sebelum rawatan sebaliknya dilonggarkan dengan larutan alkohol dan dilipat sebelum rawatan laser dibuat. Lasek adalah pilihan yang baik kepada kaedah Lasik, jika ketebalan kornea menjadi isu.

Beberapa titik alkohol dititiskan ke atas kornea selama 20 ke 30 saat, epitalium kemudian dilipat ke belakang sama dalam prosedur Lasik dan dijauhkan daripada pancaran laser. Tisu epitelial kemudiannya dikembalikan ke tempat asal dan doktor akan meletakkan kanta sentuh sebaik pembedahan selesai.

Kanta ini bertindak seperti pembalut luka dan mempercepatkan proses pemulihan dan menjadikan tempoh pemulihan itu lebih selesa. Lazimnya, ia akan dikeluarkan antara empat ke tujuh hari berikutnya.

Penting untuk tidak mengeluarkan pembalut berupa kanta sentuh sebelum masa kerana tanpanya, epitelium yang separa sembuh akan terdedah dan mata akan lebih sakit.

Begitupun, Lasek mengalami masa pemulihan yang lebih lama berbanding Lasik. Manakala fungsi penglihatannya tidak akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Satu lagi kaedah rawatan yang ditawarkan, adalah Epi-lasik. Epi-lasik ( Epithelial Laser In-Situ Keratomileusis) satu lagi pilihan bagi mereka yang tidak mahu memilih Lasik atau Lasek. Umumnya, ia Epi-lasik tidak jauh beza antara Lasik dan Lasek.

Namun, Epi-lasik biasanya disarankan kepada mereka yang memiliki kornea yang nipis dan tisu yang tidak sesuai untuk dibuat flap menerusi kaedah Lasik.

Ia juga mungkin pilihan mereka yang terbabit dalam sukan lasak misalnya gusti atau di kalangan pegawai keselamatan.

Sama seperti Lasik dan Lasek, Epi-Lasik adalah rawatan pemulihan permukaan kornea terkini bagi menangani masalah rabun jauh, dekat atau silau (astigmatism).

Dalam prosedur epilasik, microkeratome membuat satu flap nipis pada lapisan kornea (epithelium). Ia dilakukan tanpa sebarang pemotongan. Malah tiada solusi alkohol digunakan bagi melonggarkan atau menanggalkan permukaan epithelium seperti dalam Lasek.

Jadi bagaimana anda tahu rawatan mana yang terbaik untuk anda?

Disebabkan mata berubah mengikut usia, jenis pembedahan laser dan pemulihan penglihatan juga harus sepadan. Ada sesetengah pilihan rawatan lebih sesuai digunakan oleh orang muda. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan rawatan kaedah laser adalah;

* 1) Mereka yang berusia bawah 20 tahun tidak boleh menggunakan rawatan kaedah laser kerana mata mereka masih dalam proses tumbesaran seiring dengan sistem badan
* 2) Penghidap diabetes atau penyakit yang menjejaskan proses penyembuhan luka
* 3) Ukuran ketebalan kornea anda
* 4) Manakala wanita mengandung atau menyusukan badan tidak boleh melakukan rawatan pemulihan mata dengan kaedah laser disebabkan perubahan hormon boleh menjejaskan rawatan.

* 5) Gaya hidup dan jenis kerjaya juga berperanan penting dalam memilih jenis rawatan. Misalnya mereka yang banyak menggunakan komputer memerlukan penglihatan tahap sederhana berbanding juruterbang.

No comments: