Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Hanya 50 doktor rawat lebih 70,000 pesakit di Malaysia
MANA mungkin kita mampu menyediakan kualiti rawatan dan jagaan pesakit HIV/Aids yang menyeluruh jika di kalangan pengamal perubatannya sendiri, rasa diskriminasi dan stigma masih menebal.
Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MaSHM), Dr Christopher Lee, berkata sudah banyak usaha dilakukan sejak 1986 bagi menangani isu HIV dan Aids di Malaysia.
Bagaimanapun, mengubah ragam pemikiran pesakit, ahli profesional penjagaan kesihatan dan orang ramai mengenai stigma dan
diskriminasi terhadap HIV dan Aids, sebenarnya bukanlah satu kerja mudah.
Bercakap ketika pelancaran It Begins With You, kempen yang diperkenalkan sejak 2005 bersempena sambutan Hari Aids Sedunia pada 1 Disember lalu, Dr Lee berkata, hakikatnya bilangan doktor yang merawat pesakit HIV Aids masih pada tahap membimbangkan.
“Dari segi nisbah pesakit dan doktor, sehingga kini dianggarkan 25 pakar penyakit berjangkit (ID) merawat pesakit dewasa dan 20 Paediatrik (kanak-kanak). Ini bermakna anggaran 45 hingga 50 doktor yang perlu merawat lebih 70,000 pesakit HIV/Aids di seluruh negara,” katanya. Menurut Dr Lee lagi, tidak semestinya pakar penyakit berjangkit (ID) saja yang layak untuk merawat HIV/Aids kerana pengamal perubatan umum juga layak merawat mereka.
Malangnya, tanggungjawab merawat pesakit ini lebih banyak digalas doktor kerajaan berbanding swasta.
“Kebanyakan doktor yang merawat pesakit HIV/Aids iaitu 90 peratus daripada mereka adalah dari Kementerian Kesihatan manakala selebihnya di kalangan sektor swasta,” katanya sambil mengakui bilangan petugas dari sektor swasta masih terlalu kecil.
Sehubungan itu, kata Dr Lee, besar harapan persatuan itu untuk melihat bukan saja jumlah doktor yang sanggup merawat pesakit HIV/Aids itu meningkat tetapi turut dapat mengurangkan kes doktor dan jururawat yang menolak pesakit HIV/Aids mendapatkan rawatan.
“Jika dulu penjagaan dan rawatan hanya ada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan jumlah doktor yang sangat terhad, tetapi kini lebih ramai doktor muda yang menunjukkan minat untuk merawat dan memberikan khidmat mereka selain ubat-ubatan yang lebih moden dan tidak membebankan pesakit,” katanya.
Mengenai penerimaan masyarakat pula, Dr Lee berkata, banyak perubahan yang dicatatkan hasil pendedahan menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta pelbagai kempen kesedaran yang dianjurkan kerajaan.
Kementerian Kesihatan mula melaporkan mengenai kes HIV/Aids pada 1986. Sejak itu, sejumlah 84,630 jangkitan HIV dilaporkan di Malaysia dan sehingga 31 Disember 2008, sejumlah 11,384 kematian dicatatkan akibat Aids.
Majoriti jumlah jangkitan baru HIV dikesan dikalangan dewasa berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun (32.5 peratus kes 2003 dan 24.9 peratus kes pada 2008) dan lingkungan 30 hingga 39 tahun (41.8 peratus kes pada 2003 dan 42.2 peratus kes pada 2008).
Virus HIV kebanyakannya disebarkan menerusi suntikan jarum kerana penyalahgunaan dadah (70 peratus kes 2003 dan 53.2 peratus kes 2008) dan jumlah jangkitan akibat hubungan heteroseksual meningkat dari 19 peratus 2003 ke 26.8 peratus pada 2008.
Walaupun majoriti penghidap kes HIV di Malaysia ialah lelaki, jumlah wanita yang positif HIV juga mencatatkan peningkatan. Wanita menyumbang 9.5 peratus kes baru pada 2000, 10.8 peratus kes pada 2004 dan 19.1 peratus kes pada 2008.
Sumber: Berita Minggu 27 Disember 2009
No comments:
Post a Comment