Sunday, December 27, 2009

Saat selamat nyawa

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


RAMAI yang buntu apabila berhadapan situasi kecemasan disebabkan tiada pengetahuan mengenai ilmu pertolongan cemas.

RAMAI yang buntu apabila berhadapan situasi kecemasan disebabkan tiada pengetahuan mengenai ilmu pertolongan cemas.

Mahu dibiarkan tidak sampai hati. Mahu ditolong takut jika mangsa menjadi lebih parah. Akhirnya mereka hanya menonton saja.


Bayangkan sekiranya anak anda tercekik susu di rumah dan sebagai bapa atau ibu, anda hanya mampu melihat tanpa memberikan sebarang pertolongan cemas.

Lebih menyedihkan apabila mangsa tidak dapat diselamatkan.

Mungkin ada beranggapan baik telefon saja nombor kecemasan 999. Tetapi ambulans hanya akan sampai dalam masa 30 minit hingga 90 minit selepas membuat panggilan.

Itu pun jika tiada masalah kesesakan lalu lintas sedangkan enam minit pertama selepas kemalangan adalah tempoh yang sangat kritikal.

Bagi kemalangan yang menyebabkan mangsa tidak mampu bernafas, jika dalam masa enam minit mangsa tidak mendapat bantuan pernafasan atau CPR, mangsa mungkin koma atau lumpuh seumur hidup. Lebih menyedihkan, mereka mungkin akan pergi buat selama-lamanya.

Oleh sebab itu, memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sebelum ambulans atau pakar berkelayakan tiba adalah sangat penting.

Pertolongan cemas yang diperlukan mangsa ialah menahan pendarahan, membalut luka, mengurangkan kesan kesakitan akibat patah tulang, memulihkan pernafasan, mengelak kesan keracunan, gigitan binatang bisa, tercekik dan melecur.

Selain kemalangan, golongan yang menghidap penyakit berbahaya seperti lemah jantung, lelah, alahan dan sawan babi juga adalah individu berisiko tinggi memerlukan pertolongan cemas.

Menurut Pegawai Turus Kebangsaan St John Ambulans Malaysia, S Indraini, memberi pertolongan cemas memerlukan tindakan dan kaedah yang betul.

Tanpa pengetahuan dan kemahiran, bantuan kecemasan yang diberikan tidak memberi kesan seperti diharapkan.

"Ada kes pengendalian pertolongan cemas yang diberi kepada mangsa tidak sesuai dan selamat. Dalam kes tertentu, bantuan yang diberikan bukan dapat melegakan penderitaan mangsa, sebaliknya ia menjadi lebih serius.

"Dalam kes tertentu, penyelamat turut menjadi mangsa seperti penyelamat terperangkap dalam kebakaran dan mati lemas. Kejadian ini berlaku disebabkan penyelamat tidak mengetahui asas menyelamat dan pertolongan cemas," katanya.

Tambahnya, bantuan pernafasan yang betul penting bagi memulihkan pernafasan mangsa. Bantuan pernafasan memerlukan tindakan pantas dalam tempoh enam minit pertama. Jika tidak pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Sebelum melakukan sebarang pertolongan cemas individu harus tahu prinsip pertolongan cemas iaitu:

1. Memastikan bantuan diberikan dalam persekitaran selamat.

2. Menyelamatkan nyawa.

3. Mengelakkan kecederaan daripada menjadi lebih serius.

4. Mempercepatkan pemulihan mangsa.

5. Mengelak mangsa daripada menjadi tidak sedar.

6. Meyakinkan dan menenangkan mangsa.



Sebelum memberikan pertolongan cemas, beberapa panduan berikut harus diikuti:


1. Bahaya

# Menilai keadaan yang berlaku dengan pantas dan tenang.

# Melihat dan mengawasi bahaya lain terhadap diri anda dan mangsa kecederaan.

# Jangan letakkan diri dalam sebarang bahaya.


2. Memastikan kawasan kecemasan selamat

# Lindungi mangsa kecederaan daripada sebarang bahaya.

# Jangan cuba bertindak sendiri lebih daripada kemampuan.


3. Bantuan

# Meminta bantuan segera.


4. Tindak balas

Perkara paling penting adalah memastikan tindak balas mangsa. Pertama, kejutkan mangsa dengan memanggil namanya berulang kali. Sekiranya mangsa tidak memberi tindak balas, lakukan tindakan berikut:

# Gunakan dua jari untuk membersihkan mulut daripada sebarang halangan yang boleh dilihat.

# Keluarkan gigi palsu hanya jika alat terbabit longgar.

# Elak daripada memasukkan tangan terlalu dalam kerana ini boleh menyebabkan halangan yang tidak dapat dilihat termasuk pada saluran udara.

# Periksa sama ada mangsa masih bernafas, periksa nadi sama ada masih berdenyut. Jika tidak, berikan bantuan pernafasan.

# Buka saluran pernafasan, letak dua jari pada tulang rahang dan tapak tangan pada dahi. Musuh utama mangsa yang tidak sedarkan diri adalah lidah. Justeru, cara mendongakkan kepala akan membuka saluran pernafasan.

# Lakukan dua hembusan nafas ke mulut mangsa. Kemudian perhatikan ada perubahan atau tidak. Jika tiada, betulkan kedudukan mangsa. Mungkin juga kedudukan tidak betul menyebabkan udara tidak sampai ke paru-paru.

# Sekiranya selepas memberikan dua hembusan mangsa masih tidak sedar, tekan bahagian jantung sebanyak 30 kali diikuti dua hembusan.

Ini dilakukan sebanyak lima pusingan dan dilakukan dalam masa dua minit. Selepas dua minit, lihat sama ada mangsa memberikan tindak balas. Sekiranya masih tiada, lakukan berulang kali sehingga bantuan tiba.

Cara yang sama juga boleh dilakukan kepada kanak-kanak. Bezanya untuk kanak-kanak, hanya perlu menekan dada (bahagian jantung) kira-kira satu inci kedalaman saja manakala dewasa memerlukan dua inci.

No comments: