Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Pesakit di ICU dianggap mati jika ujian menunjukkan otaknya tidak lagi berfungsi
AJAL dan maut adalah ketentuan Allah SWT seperti firmannya dalam Surah Al-Hijr ayat 5: "Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan (nya)."
Namun daripada perspektif amalan pakar perubatan, soal takrifan dan kefahaman masyarakat mengenai kematian tidak semudah suatu waktu dulu. Pada era dunia tanpa sempadan, semuanya menjadi semakin sukar, rumit dan mengelirukan. Takrif kematian biarpun secara amnya membabitkan perkara asas - tidak bernyawa, sebaliknya boleh membawa maksud berbeza dari segi perubatan.
Mengikut amalan perubatan, seseorang itu akan disahkan mati apabila jantungnya berhenti mengepam. Ini mengakibatkan darah tidak berupaya mengalir ke seluruh bahagian organ badan. Tanda-tanda lain yang akan timbul misalnya pernafasan akan terhenti.
Namun, bagaimana dengan persoalan membabitkan pesakit koma iaitu mereka yang terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan? Mereka ini secara fizikalnya terbaring kaku dan seperti tidak bernyawa, tetapi masih hidup hasil bantuan alat perubatan itu.
Pada dasarnya, seseorang itu dikatakan mati apabila jantungnya tidak lagi berdenyut dan tidak bernafas. Ia dikenali Pembantutan Kardio-Respiratori (Jantung berhenti, Pernafasan berhenti) - takrif mati yang lazimnya.
Mereka yang hilang fungsi keseluruhan otak dianggap mati otak.
Profesor Emeritus Datuk Dr AE Delilkan, dari Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Universiti Malaya, berkata tempoh pada akhir 1950-an dan 60-an menyaksikan banyak perubahan besar berlaku dari segi rawatan pesakit yang kritikal terutama dari segi resusitasi (memulihkan semula mereka yang kelihatannya sudah mati) diikuti dengan pembentukan unit ICU.
“Sesetengah pesakit yang pergerakan jantungnya berhenti atau gagal berfungsi dan pernafasan mula mengurang atau berhenti, dapat dipulihkan. Pergerakan jantung dapat dikembalikan dan pernafasan diambil alih oleh mesin ventilator atau mesin bantuan pernafasan dan pesakit itu disifatkan sebagai ‘mati hidup semula’.
“Sebahagian daripada pesakit ini dapat dipisahkan daripada ‘bantuan hidup’ mesin pernafasan dan ubat ubatan dan berupaya mengekalkan fungsi pernafasan serta fungsi jantung dengan sendirinya,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Anestesia Kebangsaan 2009 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.
Dr Delilkan yang turut menghasilkan buku panduan Hidup atau Mati? Mengemaskini Takrif kematian - Mati Otak, berkata, konsep ‘Mati Otak’ melalui perubahan dengan berkembangnya rawatan rapi dan mula diterima sejagat dari tahun 1960-an.
Menerusi penyelidikan demi penyelidikan serta persidangan dan mesyuarat, adalah dipersetujui bahawa seseorang pesakit di ICU yang memerlukan bantuan perubatan seperti mesin pernafasan, ubat-ubatan dan lain-lain yang berkaitan untuk mengekalkan fungsi-fungsi jantung dan pernafasan boleh didiagnos sebagai sudah mati sekiranya ujian dan penilaian keseluruhan fungsi otak (termasuk fungsi batang otak) menunjukkan tiada fungsi sedemikian berlaku.
“Inilah yang dikatakan mati otak,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang berjaya diselamatkan memperoleh semula fungsi-fungsi normal mereka, manakala sebahagiannya menunjukkan tanda-tanda kerosakan otak pada tahap yang berbeza-beza dengan perubahan personaliti dan keupayaan melakukan fungsi-fungsi tertentu.
Pesakit yang mengalami kerosakan otak yang serius tetapi dapat diselamatkan, adalah mereka yang mempunyai fungsi automatik hidup yang asas iaitu fungsi jantung dan pernafasannya memadai tetapi dalam keadaan koma - tidak berupaya berhubung atau dihubung. Keadaan ini juga dikenali sebagai vegetatif.
Peratusan kecil daripada pesakit yang berjaya dipulihkan denyutan jantung mereka tidak dapat dipisahkan dari bantuan hidup. Mengikut takrif yang lazimnya, kumpulan ini sebenarnya sudah ‘mati’ oleh kerana denyutan jantung dan pernafasan mereka akan berhenti sekiranya tidak dibantu oleh alat bantuan hidup seperti mesin pernafasan.
“Akibat kemajuan dalam bidang perubatan, usaha memulihkan mereka yang kelihatannya sudah mati serta ICU menimbulkan masalah baru kepada ahli perubatan yang mula berhadapan situasi rawatan dan sokongan berpanjangan diberikan kepada pesakit yang ‘mati’ ini.
“Salah faham yang sering timbul ialah pesakit ini masih hidup. Akibatnya, timbul dilema mengenai bila berlakunya mati. Ini menimbulkan satu cabaran yang mengelirukan,” katanya.
Soalan paling ketara yang pasti dibangkitkan - adakah mati berlaku apabila mesin dihentikan? Atau apabila denyutan jantung berhenti semula? Apakah akan terjadi sekiranya gerakan jantung dipulihkan semula?
Kebimbangan terhadap implikasi undang-undang pula merumitkan lagi keadaan. Ini amat ketara sekali di negara-negara di mana kebebasan perubatan sentiasa diancam oleh tindakan undang-undang. Hasilnya golongan ahli perubatan di negara terbabit cenderung mendapatkan perlindungan undang-undang dalam membuat sesuatu keputusan perubatan.
FAKTA: Fungi otak
1. Pusat Peringkat Tinggi (serebrum). - Bahagian yang bertanggungjawab bagi fungsi kognitif (pemahaman, tindak balas yang berlandaskan logik, daya mengecam, daya ingatan, pertuturan, penglihatan, deria bau, pendengaran dan lain-lain) yang mengenalpasti bahawa ia adalah manusia.
2. Otak kecil (serebelum). - Bahagian yang dilihat dalam koordinasi otot dan menjaga keseimbangan.
3. Batang otak (penghubung di antara 1 & 2 dengan saraf tunjang yang selanjar dengan tulang belakang). - Pusat utama yang mengawal pernafasan, tekanan darah serta denyutan nadi. Pusat ini mengawal fungsi otomatik yang penting iaitu denyutan jantung dan pernafasan.
No comments:
Post a Comment