MARAN 25 Dis. - Kesukaran bertutur, menulis dan berjalan bukan halangan bagi seorang kurang upaya (OKU) untuk muncul pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi kategori OKU Pahang, tahun ini.
Dalam keputusan yang diumumkan semalam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat di sini, Azreen Husaini Husop, 15, memperoleh A dalam lapan mata pelajaran selain B bagi subjek Bahasa Inggeris.
Azreen Husaini yang cacat anggota kaki dan tangan mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup (Pertanian), Pendidikan Agama Islam dan Bahasa Arab.
Azreen Husaini ketika ditemui di rumahnya di Felda Jengka 1 di sini berkata, dia amat gembira dengan keputusannya itu yang dianggap setanding dengan pelajar normal lain.
''Walaupun dikategorikan sebagai OKU, saya berusaha membuktikan bahawa saya mampu melakukan yang terbaik.
''Tiada perasaan rendah diri dalam kamus hidup saya malah kekurangan itu dijadikan pemangkin untuk belajar bersungguh-sungguh tanpa jemu,'' kata anak seorang bilal Masjid Felda Jengka 1 itu.
Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui kejayaannya banyak disokong oleh guru dan rakan yang sering membantu dalam semua perkara bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam kegiatan harian.
''Saya berterima kasih kepada guru, rakan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang banyak membantu memberi motivasi untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu," katanya.
Menceritakan rahsia kejayaannya, Azreen Husaini memberitahu, tumpuan dalam kelas, membuat latihan dan nota pendek terbukti berkesan untuk mencatat keputusan cemerlang.
Tambahnya, walaupun menghadapi masalah untuk menulis kerana kecacatan anggota tangannya, ia bukan halangan untuk membuat segala tugasan yang diberikan guru.
''Cara belajar bersistematik yang diamalkan sepanjang tinggal di asrama sangat membantu menjawab soalan di dewan peperiksaan,'' katanya.
Bagaimanapun, Azreen Husaini mengakui lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan berazam membaiki kelemahan itu sebelum menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi.
Ditanya mengenai cita-citanya, dia berhasrat untuk menjadi guru terutama dalam bidang pendidikan khas bagi memberi motivasi kepada golongan yang senasib dengannya.
Utusan Malaysia 26 Disember 2009
Dalam pada itu, bapanya, Husop Muhamad, 43, memberitahu, akibat kecacatan anggota kakinya, anak sulungnya itu tidak mampu bergerak pantas dan perlu dibantu terutama jika menaiki tangga dan sebagainya.
Azreen Husaini juga, jelasnya, mengalami masalah pertuturan yang menyebabkan sesetengah orang tidak memahami apa yang diperkatakan.
Katanya, masalah fizikal anaknya itu hanya disedari ketika Azreen berusia dua tahun apabila dia tidak menunjukkan perkembangan yang normal sebagaimana bayi seusia dengannya ketika itu.
''Namun setelah mendapat rawatan secara moden dan tradisional, perkembangan fizikalnya semakin baik walaupun pergerakan tangan dan kakinya sangat perlahan," katanya.
Sementara itu, datuknya, Abd. Hamid Salleh, 73, yang merupakan peneroka Felda Jengka 1 tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dengan keputusan yang diperoleh cucu sulungnya itu.
''Saya bersyukur Azreen Husaini mendapat kejayaan luar dugaan walaupun terdapat kekurangan pada dirinya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment