Sunday, December 27, 2009

Dongeng gagak sarang bangau

Gak! Gak! Gak!

Gagak hitam itu kepingin benar mahu mendiami sarang bangau putih itu. Sarang putih yang tersergam agam di atas sebuah bukit yang nyaman menjadi idaman setiap unggas di daerah itu. Bukan semua unggas pula yang layak menduduki sarang yang berwarna serba putih itu. Penghuninya mestilah pula sama warnanya dengan warna sarang itu. Warna putih itu sudah cukup membuktikan bahawa yang putih tidak boleh disamakan dengan yang hitam. Ia menjadi lambang perbezaan di antara yang putih dengan yang hitam.

Sarang itu dibina di atas sebatang pokok di atas sebuah bukit di sebuah ladang jagung dan gandum seluas 100,500 hektar. Bukit itu terletak di tengah-tengah ladang itu dan kelihatan bagaikan sebuah pulau. Dari atas bukit itu jelas kelihatan panorama ladang yang indah menghijau di bawahnya. Ada sebuah menara setinggi tujuh tingkat dibina di sisi sarang putih itu. Menara itu dilengkapi dengan sebuah teropong besar berpusing yang boleh melihat sekeliling ladang itu. Menara itu ialah menara tinjau untuk memantau serta memerhati kuli-kuli ladang itu sama ada ponteng atau mencuri tulang.

Sudah lebih 200 tahun sarang putih itu didiamai oleh unggas yang berbulu putih. Silih berganti penghuninya tetap juga mengekalkan tradisi bahawa ia mestilah sama warnanya dengan sarang itu. Bukan itu sahaja, malah mandur-mandur dan penyelia-penyelia ladang itu pun disyaratkan hanya unggas yang berbulu putih sahaja yang layak memegang jawatan itu. Sementara mereka yang berbulu berwarna, terutama yang hitam legam dan pekat, hanya layak menjadi kuli batak di ladang itu.

Sarang putih itu amat digeruni oleh nenek moyang gagak hitam. Sarang agam itu bagaikan puaka yang selalu mengancam kehidupan dan ketenteraman mereka. Kuasa yang berada di sarang putih itu mencengkam kebebasan dan hak asasi mereka. Penghuni di sarang putih itu bagaikan Firaun yang menganggap dirinya Tuhan. Sudah cukup lama kegerunan itu melakar dan menglingkungi kehidupan gagak-gagak hitam di ladang itu. Sudah cukuplah segala seksa zahir dan batin yang ditanggung oleh keturunan gagak sejak berkurun-kurun lamanya.

Gak! Gak! Gak!

Oleh yang demikian, gagak hitam itu mahu mencipta satu perubahan. Dia mahu segala tradisi yang sudah lapuk dan tidak lagi boleh diterima di zaman serba canggih dan moden ini dirobah. Yang putih meskipun kelihatan bersih belum tentu suci. Yang hitam tidak semesti hitam juga di dalamnya kerana terbukti buah manggis di luarnya hitam tetapi di dalamnya putih.

Bangau putih yang mendiami sarang putih di atas bukit itu sama sahaja dengan gagak. Bangau ada paruh dia juga ada paruh. Bangau ada kaki, dia juga ada kaki, malah kukunya sangat tajam daripada bangau. Yang membezakan mereka cuma bulu bangau itu putih, gagak bulunya hitam. Leher bangau lebih panjang daripada leher gagak. Itu saja, selebihnya sama aja.

Sudah lama gagak hitam itu bercita-cita untuk mendiami sarang putih itu. Kerana di sarang putih itu terletaknya kuasa. Justeru itu, gagak hitam itu sudah bertekad suatu hari nanti akan bisa didiami oleh puak-puaknya. Perubahan inilah yang ingin dilakukannya.

Unggas

Sebagai gagak hitam dia bukan sahaja dilihat rendah malah hina oleh bangau putih. Apa lagi keturunannya hanya layak memakan bangkai. Sedangkan bangau putih memakan ikan segar dari sungai dan bendang. Maka dengan itu gagak hitam tidak layak bergaul dengan bangau putih. Jauh sekali untuk mendiami sarang putih yang menjadi kebanggaan bangau dan unggas di daerah itu.

Malah menghampiri sarang itu pun tidak diizinkan. Dia pernah diusir beberapa kali daripada mendekati sarang putih itu. Malah neneknya pernah bercerita, suatu ketika dulu ada seekor gagak yang keras kepala mahu memasuki kawasan bukit di mana sarang putih itu berada. Oleh kerana unggas yang berbulu putih sahaja yang boleh mengunjungi kawasan bukit sarang putih itu, maka gagak itu mendapat idea untuk memutihkan bulu hitamnya. Gagak itu menggunakan bedak siam untuk menyapu seluruh bulu hitamnya dengan bedak putih. Ramai gagak lain membantah kerana gagak tetap gagak, tidak mungkin menjadi bangau. Dengan menyapu warna putih di atas warna asal, tidak akan menukar identiti gagak. Gagak itu tetap keras kepala dan mahu rancangannya dilaksanakan segera.

Gak! Gak! Gak!

Gagak yang keras kepala itu terus terbang menuju bukit sarang putih itu dengan warna diputihkan di atas bulunya yang hitam. Dia disambut baik di kalangan bangau putih di atas bukit itu. Dia turut diajak makan bersama dengan bangau-bangau putih itu. Akan tetapi makanan ikan yang masih hidup bukan seleranya. Dia terkial-kial, malah mahu termuntah dek bau hanyir ikan hidup itu.

Tak semena-mena angin kuat bertiup di atas bukit itu. Angin itu menerbangkan bedak putih yang disapu di atas bulu hitamnya. Yang tadi putih segera menjadi hitam. Melihat keadaan itu dia segera diserang oleh bangau-bangau itu sehingga bulunya habis dicabut dan ditinggalkan togel. Oleh kerana sayapnya tidak berbulu lagi, maka dia pulang menggunakan paruhnya sehingga sampai di dalam masyarakat gagaknya.

Masyarakat gagak amat marah sekali dengan tindakan zalim bangau putih itu. Ini sudah keterlaluan. Meskipun mereka tidak merestui tindakan gagak keras kepala itu untuk menyapu bulu hitamnya dengan warna putih, tetapi mereka tidak menyetujui cara bangau itu mengambil tindakan di luar peri keunggasan para unggas. Ini satu penghinaan yang amat sangat bagi masyarakat gagak.

Semenjak dari peristiwa itu masyarakat gagak memulau untuk menghantar makanan kepada bangau putih di atas bukit itu. Segala ikan yang ditangkap dibiarkan mati sehingga menjadi bangkai yang kemudiannya dimakan oleh masyarakat gagak.

Gak! Gak! Gak!

Pemikiran kolot yang dianuti oleh bangau-bangau putih inilah yang mahu dirobahnya. Ketebalan fedualisme inilah yang harus dihapuskan dalam kehidupan unggas yang serba canggih dan moden ini. Ia memerlukan kepada perubahan secara berhemah dan berdiplomasi. Ia perlu kepada pendekatan yang boleh menyakinkan para unggas terutama bangau putih yang mendominasi bukit sarang putih itu. Tidak perlu menukar identiti, yang mustahak kembali kepada keyakinan dan jati diri.

Untuk itu senjata yang paling ampuh bagi merobah pemikiran kolot ini ialah ilmu. Justeru itu gagak hitam yang masih muda itu tidak jemu-jemu mendapatkan pelbagai ilmu baik dalam negeri mahupun luar negeri. Ilmu penerbangan, ilmu sains dan matematik, ilmu falsafah, ilmu ekonomi semua dipelajarinya. Hanya daya intelek yang kuat sahaja yang dapat menangkis kejumudan keintelektualan sesetengah pihak dalam mengemukakan teori mereka. Teori bahawa yang putih itu bersih, sudah tidak boleh diterima lagi. Justeru itu ia memerlukan ilmu untuk menyakinkan bahawa teori itu harus dirobah dan dipinda.

Usahanya untuk mendapatkan ilmu juga dikekang dengan pelbagai cara oleh tuan-tuan putihnya. Ramai masyarakat yang seketurunan dengannya tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Justeru itu, ramai di antaranya menjadi sampah masyarakat, merempat, dicengkam kemiskinan, menjadi perompak, pencopet dan kutu jalan. Apabila kemiskinan mendominasi kehidupan maka timbullah pelbagai gejala sosial. Apabila tak cukup makan, kena juga cari apa-apa makanan yang boleh dimakan untuk menyambung hidup, termasuk memakan bangkai. Itulah sebabnya gagak suka makan bangkai, kata nenek.

Pernah neneknya bercerita kepadanya betapa seksanya nenek moyangnya dulu ketika baru diambil berkerja di ladang itu. Mereka bukan datang secara sukarela untuk berkerja di situ, malah dipaksa dan diperdaya dengan pelbagai cara untuk memerah tenaga mereka di ladang itu. Bukan itu sahaja, keringat mereka tidak dibayar sesen pun. Mereka hanya diberi makan, itupun diambil daripada hasil tanaman mereka di situ sesudah diizinkan dengan mencatunya pula. Sesiapa yang berani melawan akan ditangkap, dirantai kaki mereka serta dikurung dalam sangkar besi. Tidak sesiapa dibenarkan bersuara atau membantah kerana mereka di situ hanya untuk berkerja bagi tuan mereka, tidak lebih daripada itu. Tekanan dan seksaan inilah telah merangsang semangat beberapa orang muda yang berani untuk membantah dan menyuarakan ketidaksenangnya mereka terhadap layanan tuan-tuan mereka.

Gak! Gak! Gak!

"Saya mimpikan suatu hari nanti kita akan menduduki sarang putih itu," laung seekor gagak, pejuang hak asasi masyarakat gagak dengan lantang di hadapan ribuan masyarakatnya di suatu rapat. Kukunya mencengkam kuat di atas sebatang ranting seraya melibas-libaskan sayapnya.

Gemuruh

"Hari itu akan tiba juga, yakinlah!" jeritnya penuh yakin disahut dengan sorakan gemuruh 'gak! gak! gak!' masyarakat hitam yang sepanjang masa menjadi kuli di ladang itu.

"Mungkin 20 tahun! 50 tahun atau 100 tahun lagi," terusnya menyakinkan masyarakatnya yang sudah hilang keyakinan diri. "Bukan saya, mungkin anak cucu atau cicit kita yang akan menduduki sarang bangau putih itu suatu hari nanti, Yakinlah" 'gak! gak! gak!' gema laungan melantun menyemarakkan lagi sorakan para masyarakatnya.

Atas sumpah itulah, gagak muda itu bertekad mahu mengotakan segala tekad datuk nenek mereka. Dia memulakan dengan kempen yang berslogan 'perubahan,' yang berkonsepkan bahawa masyarakat unggas sama sahaja tidak kira warna bulu. Justeru itu tidak ada unggas yang bertaraf pertama atau mulia atau yang bertaraf rendah atau hina. Semua unggas mesti bersatu padu dan membina ekonomi masyarakat unggas di daerah itu. Kempennya mendapat sambutan pelbagai spesies unggas di daerah itu. Spesies bangau juga ada yang menyokong konsep dan perjuangan baru gagak muda itu.

Kempen gagak muda dicabar oleh bangau tua yang melebihi umur pencen. Alasan bangau tua, gagak hitam muda itu tidak ada pengalaman mentadbir ladang yang luas itu. Hidupnya baru setahun jagung, hingusnya masih meleleh. Dia tidak tahu hal ekonomi. Dia tidak faham hal hubungan diplomatik dengan para unggas di benua lain. Dia tidak layak menjadi penghuni di sarang putih yang mulia itu. Bangau tua itu mahu mempertahankan tradisi bahawa penghuni sarang putih itu mestilah dari kalangan masyarakat bangau juga.

Gak! Gak! Gak!

Gagak hitam muda itu menerima cabaran itu penuh iltizam. Dia menjadikan cabaran itu sebagai daya penggerak untuknya terus berjuang. Dia tidak mungkin mundur hanya kerana kata-kata yang menjatuhkan kredibilitinya. Dia mesti bangun untuk membuktikan kredibilitinya dan untuk menyanggah teori 'yang putih itu bersih' sudah tidak relevan lagi dalam masyarakat maya yang serba maju ini.

Untuk itu dia mencadangkan diadakan debat di antara gagak hitam dengan bangau putih. Dia tidak sangka bangau tua itu sudi menerima cabarannya itu. Maka berlangsunglah debat perdana dan dipancarkan ke seluruh buana dengan disaksikan jutaan masyarakat unggas. Bangau tua yang bukan sahaja putih sayapnya malah kepalanya, keningnya juga turut berwarna putih melangkah longlai di atas pentas. Sesekali suara seraknya tersekat-sekat menyampaikan hujahnya. Kadangkala dirinya tidak stabil, kelihatan bergoyang-goyang bagaikan ditiup angin.

Gagak hitam muda itu menaiki pentas penuh yakin dan bergaya. Dia berdiri di hadapan mikrofon dengan semangat yang berkobar-kobar. Sambil tersenyum menampakkan susunan giginya yang panjang-panjang. Dia berhujah dengan penuh keyakinan. Hujahnya bernas dan mendapat tepukan bergemuruh dari semua spesies unggas termasuk bangau. Hujahnya dapat mempengaruhi sebahagian masyarakat bangau untuk menyokong misi dan visi yang dibawanya.

Selepas diadakan pemilihan suara untuk memilih siapakah antara kedua-dua spesies itu yang layak menduduki sarang putih di atas bukit itu, maka gagak hitam muda telah mendapat undian suara yang terbanyak. Malah sebahagian besar undi yang diterimanya ialah daripada bangau-bangau putih yang sebelum ini bersikap totok yang hanya memandang mulia kepada bangau-bangau putih sahaja. Gagak hitam muda itu berjaya membawa perubahan pemikiran di kalangan spesies unggas termasuk bangau putih yang taksub dengan pemikiran jumud mereka. Dengan peristiwa besar itu, maka langkahnya menuju ke sarang putih di atas bukit itu menjadi mudah. Sebelum itu laluan itu penuh dengan semak samun, onak dan duri. Dia berjaya mencantas segala halangan itu untuk menuju ke sarang putih yang penuh dengan kekuasaan itu. Dia telah mencipta sejarah di mayapada ini dengan menduduki sarang yang berwarna putih itu yang dulunya hanya layak dan dikhaskan untuk spesies bangau putih sahaja.

'Gak! Gak! Gak!'

Dan dia sedang bercadang-cadang mahu mewarnakan semula sarang putih itu dengan dua warna, iaitu hitam dan putih. Warna hitam di sebelah bawah sebagai lambang gagak hitam yang menjadi paksi mendukung sarang itu. Manakala warna putih di sebelah atas, sebagai menghormati pengasas sarang itu iaitu spesies bangau yang berwarna putih bulunya.

Gagak hitam itu berjaya mencatat sejarah menduduki sarang bangau putih itu tanpa memutihkan bulunya yang berwarna hitam.

'Gak! Gak! Gak!'

Sumber: Mingguan Malaysia; 8 November 2009

No comments: