MAKAN, minum dan bermain dengan gembira untuk membina tulang. Ini adalah masa untuk bergembira.
Anda ceria, muda dan seronok melakukan apa yang anda lakukan setiap hari.
Teruskannya! Ia baik untuk tulang anda!
Setiap kali anda keluar menari, berlari, membeli-belah atau bermain bola sepak, anda sebenarnya sedang membina tulang.
Mempunyai tulang yang kuat adalah penting kerana inilah masanya untuk anda mencapai jisim tulang yang maksimum.
Sambil anda membesar, tulang anda akan terus mengumpul jisim tulang.
Jadi, semakin banyak jisim tulang yang anda kumpul, semakin kuranglah risiko anda menghidapi osteoporosis di kemudian hari.
Tetapi bagi kebanyakan orang, jisim tulang maksimum dibina sebaik mereka mencapai umur 30 tahun.
Boleh patah
Osteoporosis adalah penyakit di mana anda kehilangan jisim tulang dan meningkatkan risiko keretakan.
Ia biasanya terjadi kepada mereka yang berumur lebih 50 tahun dan biasanya hanya dikesan selepas tulang mereka retak atau patah.
Jika anda fikir tulang anda akan pulih semula seperti sediakala seperti ketika anda jatuh basikal di zaman kanak-kanak, anda salah.
Rawatan bagi osteoporosis biasanya merangkumi melambatkan kemerosotan penyakit ini dan menghalang keretakan daripada berlaku lagi.
Tetapi, pada masa yang sama, anda perlu hidup dengan keretakan yang sedia ada.
Jika ada fikir bergerak dengan tangan atau kaki yang disimen menyusahkan, cuba hidup dengan pinggul yang retak sepanjang hayat anda. Pasti anda tidak mahu ini terjadi, bukan?
Jadi, penjagaan tulang adalah sangat penting dan anda perlu terus berusaha mencapai jisim tulang maksimum dari sekarang.
Jika anda seorang yang aktif dan sedang menikmati zaman muda anda, pastinya tiada masalah untuk anda mencapai matlamat ini.
Membina tulang sihat
Dengan berjalan, berlari, berjoging atau bersukan seperti bermain bola sepak dan badminton, anda sudah pun melakukan senaman menahan berat yang paling efektif dalam pembinaan tulang.
Senaman menahan berat adalah mana-mana aktiviti yang memaksa anda membawa berat badan sendiri dan meletakkan tekanan kepada tulang yang akan merangsang pembentukannya.
Jadi, teruskan bergerak kerana ia akan menguatkan tulang!
Pengambilan kalsium yang secukupnya juga merupakan sebahagian daripada pembinaan tulang sihat.
Bagi mereka yang berumur antara 10 hingga 18 tahun, saranan pengambilan kalsium harian adalah 1,000 miligram (mg) manakala 800 mg pula disyorkan kepada mereka yang berumur antara 19 hingga 29 tahun.
Sumber kalsium yang terbaik adalah produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju.
Tetapi ini bukan satu-satunya pilihan untuk anda. Terdapat pelbagai lagi makanan yang kaya dengan kalsium yang boleh anda ambil jika anda tidak suka meminum susu.
Ibu anda ada sebab yang baik menyuruh anda memakan sayur-sayuran.
Sayur-sayuran berwarna hijau gelap dan berdaun adalah sumber kalsium yang baik. Secawan kai lan atau pak choy Cina akan memberikan 100 mg kalsium manakala secawan brokoli pula memberi 40 mg.
Jadi, makanlah sayur-sayuran hijau seperti yang disuruh ibu anda!
Anda juga boleh mendapatkan kalsium dari produk soya seperti tofu, taufu fah dan tempe.
Satu lagi cara mendapatkan kalsium adalah dengan mengambil ikan yang boleh dimakan tulangnya seperti ikan sardin dan ikan bilis, tetapi awasi pengambilan natrium (sodium) anda juga. Garam yang terlalu banyak boleh menjejaskan tulang.
Bagi yang sentiasa sibuk dan memilih makanan sedia dimakan, anda boleh mengambil minuman yang diperkaya dengan kalsium seperti jus oren, minuman yogurt, minuman bermalt atau biskut dan bijirin yang kaya dengan kalsium.
Anda memerlukan vitamin D untuk membantu penyerapan kalsium dengan lebih baik.
Badan anda menghasilkan Vitamin D apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Melainkan anda jenis yang suka keluar malam, asyik terperap di rumah atau obses dengan pelindung sinaran matahari, anda biasanya sudah pun mendapat pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi.
Walaupun anda kekurangannya, makanan seperti keju, mentega, marjerin, susu diperkaya dan ikan dapat memenuhi keperluan vitamin D anda.
Hidup kini sungguh menarik buat anda. Anda menerokai perkara baru, menikmati zaman muda dan kebebasan serta sedang menikmati hidup.
Ini tidak bermakna anda perlu mengabaikan penjagaan tulang.
Tetapi, tiada siapa yang menyuruh anda berhenti melakukan aktiviti kegemaran anda.
Malah, ia digalakkan kerana ia baik untuk tulang! Jadi nikmatilah hidup dan tulang yang sihat.
Gaya hidup tidak sihat
Kebanyakan remaja dan orang muda kini terlalu obses dengan berat badan mereka sehingga mengamalkan tabiat makan yang merbahaya.
Anorexia nervosa adalah masalah pemakanan di mana anda makan terlalu sedikit demi mengurangkan berat badan.
Bulimia nervosa pula adalah penyakit di mana seseorang makan mengikut nafsu tetapi kemudian memuntahkan semula makanan yang baru saja diambil.
Kedua-dua penyakit ini mengakibatkan penurunan berat badan secara mendadak yang bukan saja menjejaskan tulang, tetapi kesihatan anda secara keseluruhannya.
Apabila anda mempunyai status berat badan yang rendah, penghasilan hormon anda juga akan terjejas.
Kekurangan estrogen, sejenis hormon yang melindungi tulang, boleh menyebabkan anda kehilangan jisim tulang dan mengganggu kitaran haid anda.
Bukan itu saja, anda juga akan turut mengalami malnutrisi dan kekurangan kalsium.
Anda juga perlu mengurangkan pengambilan alkohol dan merokok.
Pengambilan alkohol berlebihan boleh menjejaskan sel tulang dan mengganggu penyerapan kalsium.
Dan walaupun tiada bukti kukuh tentang bagaimana merokok boleh menjejaskan tulang, adalah baik jika anda berhenti kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai penyakit lain.
Pilihlah untuk menjalani hidup yang sihat dan menjaga tulang anda.
Ia bukan saja memberi manfaat di kemudian hari tetapi juga menjadikan anda lebih sihat sekarang agar dapat melakukan apa juga aktiviti yang anda gemari.
Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.
Sumber: Mingguan Malaysia; 27 Disember 2009.
No comments:
Post a Comment