Sunday, December 27, 2009

Risiko mati awal

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Pembedahan bagi pesakit jantung.

Kajian WHO mendapati perokok usia 35 tahun ke atas mudah berhadapan kemungkinan diserang sakit jantung

IA bukan lagi sesuatu yang luar biasa apabila anda mendengar mengenai kematian mereka yang masih muda akibat serangan jantung.

Ini disebabkan, biarpun pada usia seawal 26 tahun sekali pun, individu itu berpotensi untuk diserang masalah jantung. Malah wanita muda yang masih sihat dan pada usia produktif, pula tidak terkecuali menjadi penghidap penyakit ini.

Ketua Unit Kardiologi, Pusat Jantung dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Oteh Maskon, turut mengingatkan, masalah jantung di kalangan orang muda jauh lebih terus berbanding dengan warga emas atau orang tua.

Ini katanya, jika individu berusia 80 tahun yang kena serangan jantung, ia lebih bersifat semula jadi apabila saluran darahnya sudah tidak lagi berupaya untuk bertahan akibat faktor usia lanjutnya.

“Faktor risiko paling biasa adalah diabetes dan tekanan darah tinggi. Tetapi di kalangan orang muda, faktor atau punca masalah pembunuh senyap ini adalah disebabkan merokok, kolesterol yang tinggi, bekerja dalam suasana yang tertekan serta diet yang tidak seimbang,” katanya.
Dua anggota penyelamat membuat demonstrasi menyelamatkan pesakit jantung.

Dr Oteh berkata, selagi tidak membuat pemeriksaan kesihatan yang terperinci, seseorang itu tidak akan mengetahui keadaan kesihatannya. Lebih menyukarkan keadaan, ada kalanya simptom awal masalah jantung ini tidak disedari.

“Jangan tunggu hingga usia anda 40 tahun untuk buat pemeriksaan kesihatan. Ini perlu dilakukan apatah lagi jika keluarga anda memiliki sejarah masalah jantung,” katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang belum putus haid terdedah kepada ancaman serangan jantung jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Perempuan yang belum menopaus dilindungi hormon daripada serangan jantung. Tetapi perlu diingat, jika tidak bersenam, merokok dan tidak menjaga pemakanan, wanita ini boleh diserang masalah jantung apatah lagi jika dia berhadapan dengan penyakit lain seperti diabetes,” katanya.

Dr Oteh turut mengingatkan, masalah jantung di Malaysia sememangnya lazim dan serius. Malah, setiap orang memiliki kemungkinan diserang sakit jantung sehingga 50 peratus jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Di PPUKM saja, 8,000 pesakit yang mengalami simptom masalah jantung dirawat sebagai pesakit luar setiap tahun. Manakala 4,000 menjalani ECG - echocardiography (ujian anatomi jantung) manakala 5,000 menjalani ujian tekanan (stress test).

Angka ini secara keseluruhannya amat besar dan sewajarnya mendapat perhatian semua.

Selain melakukan pemeriksaan kesihatan, usaha mengubah gaya hidup adalah antara cara mengurangkan faktor risiko. Bersenam, memilih diet seimbang dan tinggalkan tabiat merokok.

Merokok dan serangan jantung memang sudah diketahui saling berkait. Satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membabitkan 121 negara, mendapati perokok dalam usia 35 ke 39 tahun berhadapan dengan lima kali risiko diserang serangan jantung berbanding individu sebaya yang tidak merokok.

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Kawalan Tembakau itu turut menyebut, merokok adalah faktor risiko utama kejadian serangan jantung di kalangan orang muda.



Bagaimana mengesan serangan jantung?

Kebanyakan serangan jantung terjadi secara perlahan-lahan. Ia menyebabkan ada pesakit yang tidak pasti, adakah mereka patut mendapatkan pertolongan atau tidak?

Namun umumnya, jika anda merasakan ketidakselesaan di bahagian dada (rasa tertekan, senak atau dipicit) yang berlangsung beberapa minit dan kerap berulang, dapatkan rawatan segera.

Selain itu anda mungkin merasa sakit di bahagian atas badan misalnya lengan, bahagian belakang, rahang atau perut. Ada kala rasa sakit itu disertai nafas pendek dan sakit dada.

Jika anda berhadapan dengan mereka yang diserang sakit jantung tiba-tiba, satu jam pertama selepas serangan jantung adalah masa yang cukup penting. Membantu mangsa dalam masa itu boleh menyelamatkan nyawa.

Terdapat pelbagai simptom masalah jantung. Justeru serangan jantung yang dialami oleh individu mungkin berbeza. Misalnya di kalangan pesakit wanita, mungkin mengalami rasa sakit di bahu berbanding lelaki yang rasa dada seakan remuk.

Ada kala, serangan jantung kali pertama boleh anda harungi. Namun, ada yang tidak bernasib baik, serangan jantung kali pertama menyebabkan kematian.

Justeru, jalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui situasi semasa kesihatan anda dan mengamalkan gaya hidup sihat.

FAKTA: Simptom awal serangan jantung

# Rasa sakit di dada (senak, seakan dipicit/ditekan) selama dua minit atau lebih.

# Sakit di bahu, tengkuk, rahang, lengan atau bahagian belakang

# Pening, berpeluh, muntah, nafas pendek atau lemah.

No comments: