Sunday, December 27, 2009

Pesakit kanser perlu zat

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

BAGI pesakit kanser, penurunan mendadak berat badan boleh menjadi petanda penting kemaraan penyakit kerana aktiviti sel kanser itu sendiri merangsang peningkatan kadar metabolisme bagi menghasilkan lebih banyak tenaga untuk proses pembahagian dan ‘pembiakan’ sel kanser.

Untuk tujuan itu lebih banyak makanan diperlukan dan jika tiada, badan membakar simpanan lemak bagi mendapatkan tenaga.

Pengesahan menghidap kanser itu sendiri boleh meragut semangat seseorang, sekali gus menutup keinginannya terhadap makanan. Ketika ini makan minum bukan lagi soal penting kerana pesakit biasanya lebih memikirkan dirinya di ambang kematian, khususnya jika penyakitnya sampai ke peringkat serius.

Dalam tempoh diambil pesakit untuk menerima hakikat dan bersedia mendapatkan rawatan, berat badannya menurun tanpa disedari disebabkan tekanan emosi, psikologi dan aktiviti sel kanser di dalam badannya.




Malah bagi pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi, kesan sampingan ubat seperti mual, muntah dan kekeringan mulut turut menjejaskan selera yang menjadikan berat badan mereka semakin susut.


Selain itu jenis kanser dan lokasi (bahagian badan yang diserang) menjadi antara penyumbang kepada masalah kehilangan berat badan di kalangan pesakit. Contohnya kanser lidah atau kerongkong sememangnya menghalang pesakit daripada makan.

Masalah kekurangan zat di kalangan pesakit tidak hanya berlaku di rumah tetapi kajian di seluruh dunia menunjukkan banyak kes penurunan berat badan akibat tidak cukup zat dicatat ketika pesakit dirawat di hospital, termasuk hospital di negara maju.

Kehilangan lebih 10 peratus daripada berat badan normal dianggap terlalu banyak. Data menunjukkan kira-kira 20 peratus pesakit kanser meninggal dunia akibat kekurangan zat, kata Perunding Onkologi Klinikal, Institut Kanser, Hospital Pantai, Dr John Low.

Secara umumnya ada beberapa sebab berat badan pesakit menurun iaitu:


  • Tekanan emosi dan psikologi

  • Sel kanser yang aktif

  • Lokasi kanser (mulut, kerongkong, esofagus kerana ia mengubah sensitiviti deria rasa, menyebabkan pesakit hilang selera)

  • Kesan sampingan ubat atau rawatan

  • Pesakit tidak mendapat zat secukupnya (sama ada sebelum, ketika atau selepas rawatan)

  • Jenis kanser. Setiap jenis kanser memberi kesan tersendiri kepada pesakit, tetapi secara umumnya semua kanser menyebabkan kehilangan berat badan. Malah sesetengah jenis kanser boleh menghalang saluran dalam sistem pencernaan yang membuatkan pesakit mual, muntah, sembelit atau cirit-birit.

    Walaupun punca sebenar kanser (tidak kira apa jenisnya) masih tidak diketahui dengan jelas, penyelidik dan pakar perubatan percaya ia penyakit yang berkaitan rapat dengan genetik.

    Setiap orang mempunyai kecacatan genetik (pada susunan asid deoksiribonukleik atau DNA) yang boleh menyebabkan pembentukan sel kanser (sel tidak normal).

    Walaupun jumlah pesakit kanser akibat keturunan tidak banyak, faktor keturunan turut menyumbang kepada risiko mendapat penyakit.

    “Jika pesakit masih kehilangan berat badan selepas mendapat rawatan ia mungkin disebabkan dua perkara iaitu kurang makan (tidak mendapat zat secukupnya) atau sel-sel kanser masih lagi aktif.

    “Ini sebabnya berat pesakit diambil setiap kali dia datang untuk rawatan atau pemeriksaan susulan. Ia petanda paling jelas perkembangan tahap kesihatan pesakit,” katanya.

    Pengurusan makanan pesakit kanser

    Sebaik disahkan menghidap kanser, pesakit harus mengambil pemakanan seimbang supaya mendapat cukup zat. Malangnya, sesetengah pesakit mengambil tindakan mengurangkan pengambilan daging dan bertukar kepada pemakanan organik.

    “Saya bukan tidak galakkan pesakit amalkan diet vegetarian atau ambil makanan organik tetapi jika tidak dilakukan dengan betul, ia boleh menyebabkan pesakit alami masalah kekurangan zat, terutama ketika menjalani rawatan.

    “Dalam tempoh ini pesakit sangat memerlukan zat secukupnya untuk menguatkan badan, sekali gus membantu badan bertindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan. Jika sebaliknya, keadaan pesakit menjadi lebih buruk,” katanya.

    Ketika sakitlah seseorang memerlukan lebih zat untuk melawan penyakit. Jadi cara terbaik ialah mengamalkan pemakanan seimbang, lembut dan mudah dihadam supaya pesakit mendapat cukup kalori harian.

    Menyediakan makanan yang sesuai dengan keperluan dan keadaan pesakit adalah tugas keluarga atau penjaga supaya pesakit boleh menumpukan perhatian kepada rawatan.

    Berbincanglah dengan doktor dan pakar pemakanan cara penyediaan, pilihan atau menu yang sesuai kerana keperluan setiap pesakit berbeza.

    Bagaimanapun dalam tempoh rawatan, elak memberi pesakit makanan mentah atau separa masak untuk mengelak risiko jangkitan kerana ketika ini sistem ketahanan badan pesakit sangat lemah.

    Selain itu pesakit tidak digalak makan terlalu banyak makanan kaya bahan antioksidan seperti vitamin C kerana ia dipercayai boleh menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Sebaliknya, Dr Low menyarankan supaya semua zat diperoleh daripada makanan yang seimbang.

    “Khasiat makanan penting untuk membolehkan anda bertahan ketika mendapat rawatan, tetapi ia tidak akan menyembuhkan kanser. Ramai ada konsep salah dan menganggap makanan boleh menjadi ‘ubat’ penyembuh kanser. Anggapan ini tidak tepat.

    “Makanan berkhasiat penting untuk menguatkan badan. Badan yang kuat boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan. Jika ada kesan sampingan rawatan, kesan sampingan itu dirawat dulu sebelum meneruskan sesi rawatan kanser seterusnya.

    “Pesakit kanser boleh makan apa saja diingini. Ini sebabnya doktor menggalakkan keluarga dan penjaga menyediakan makanan diminta pesakit kerana yang penting ialah jumlah kalori hariannya mencukupi,” katanya.

    Panduan

    Antara masalah lazim dialami pesakit yang boleh menjejaskan seleranya ialah:

  • Ulser dalam mulut — Elak memberi makanan dan minuman panas atau makanan pedas dan berempah kerana ia boleh merangsang kesakitan.

    Sebaliknya beri minuman sejuk supaya pesakit berasa lebih selesa. Minta doktor beri pesakit gel untuk disapu pada ulser pesakit

  • Cirit-birit — Masalah cirit-birit akibat kesan sampingan rawatan sukar diatasi. Satu cara yang boleh dilakukan ialah memberi pesakit makanan kaya kandungan serat untuk membantu pembentukan najis yang lebih pejal dan mengelak cirit-birit

  • Mual atau muntah — Antara kaedah terbaik ialah memberi pesakit makan sedikit tetapi kerap. Jangan biarkan pesakit baring selepas makan kerana ia boleh menyebabkan masalah asid refluks dan merangsang rasa mual

    Masalah kekurangan zat boleh diatasi secara perlahan-lahan. Jika keadaan pesakit terlalu teruk dan tidak boleh makan, dia akan diberi makanan melalui tiub (dimasukkan ke perut) atau parenteral menyeluruh (disuntik ke dalam salur darah).

    Sebelum menjalani pembedahan, elak makanan atau ubat yang boleh mencairkan darah seperti kurma merah (kurma Cina), ginseng dan aspirin untuk mengelak pendarahan keterlaluan.

    Manakala sepanjang tempoh kemoterapi, elak mengambil ubat tradisional atau herba untuk mengelak tindak balas tidak diingini.

    “Jika pesakit mendapat cukup zat, sistem imun akan bertambah baik dan ia secara tidak langsung boleh meningkatkan kualiti hidupnya. Tabiat makanan dan gaya hidup kita boleh mencegah kita daripada banyak jenis kanser.

    “Memang sukar mengubah tabiat makan dengan mendadak, tetapi mulakan dengan mengurangkan pengambilan makanan kurang ‘bermanfaat’ kepada badan,” katanya.


    Berat menurun

    > Tekanan emosi dan psikologi

    > Sel kanser yang aktif

    > Lokasi kanser (mulut, kerongkong, esofagus kerana ia mengubah sensitiviti deria rasa, menyebabkan pesakit hilang selera)

    > Kesan sampingan ubat atau rawatan

    > Pesakit tidak mendapat zat secukupnya (sama ada sebelum, ketika atau selepas rawatan)

    > Jenis kanser. Setiap jenis kanser memberi kesan tersendiri kepada pesakit, tetapi secara umumnya semua kanser menyebabkan kehilangan berat badan


    Jejas selera

    > Ulser dalam mulut — Elak memberi makanan dan minuman panas atau makanan pedas dan berempah kerana ia boleh merangsang kesakitan

    > Cirit-birit — Masalah cirit-birit akibat kesan sampingan rawatan sukar diatasi

    > Mual atau muntah — Antara kaedah terbaik ialah memberi pesakit makan sedikit tetapi kerap
  • No comments: