Showing posts with label kanser. Show all posts
Showing posts with label kanser. Show all posts

Sunday, November 4, 2012

Ancaman kanser payu dara

Sumber: Arkib Utusan Malaysia Online 16/10/2012
Program kesedaran mengenai penyakit kanser payu dara semakin mendapat perhatian masyarakat.
BERBANDING negara maju, wanita di negara-negara kurang membangun seperti India atau Bangladesh, kurang berisiko terhadap kanser tersebut.

Ini diakui sendiri pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr. Shalizan Torman bahawa semakin maju sesebuah negara, risiko pertambahan jumlah pesakit kanser payu dara juga turut meningkat.
“
Kebanyakan negara maju dan membangun telah mencatat peratusan tinggi bagi penghidap kanser ini.
“Ini mungkin berpunca daripada corak diet dan gaya hidup. Faktor pengambilan makanan yang tidak seimbang seperti berlebihan dalam mengambil makanan ringan dan pengamalan gaya hidup yang tidak sihat adalah penyumbang terbesar kepada kanser ini," katanya.

Dr. Shalizan berkata, walaupun kesedaran tentang bahaya kanser semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia, sebahagiannya masih malu untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan awal.

Katanya, kebanyakan wanita terutama di luar bandar masih malu untuk membuat pemeriksaan di klinik lebih-lebih lagi apabila melibatkan doktor lelaki.
“
Hakikatnya penyakit ini boleh dicegah jika setiap wanita mengambil langkah melakukan pengesanan pada peringkat awal," ujarnya ditemui di Klang, baru-baru ini.

Menurut Dr. Shalizan lagi, kanser payu dara boleh dikesan pada peringkat awal melalui beberapa cara yang dilakukan secara sendiri mahupun berjumpa dengan doktor.
“
Amalkan pemeriksaan bahagian payu dara dengan doktor secara berkala. Biasanya mereka yang berumur lebih daripada 35 tahun digalakkan membuat pemeriksaan ini.
“
Untuk mendiagnosis kanser payu dara pada peringkat awal, pemerhatian dibuat melalui mamogram. Melalui cara ini , bukan semua wanita boleh mengesan menggunakan kaedah mamogram kerana kosnya yang tinggi. Tambahan hanya mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi digalakkan untuk membuat rawatan tersebut.
“
Ujian mamogram juga hanya mampu mengesan, bukan mencegah kanser payu dara. Ini kerana ujian mamogram mampu mengesan ketulan yang lebih kecil berbanding melalui pemeriksaan. Juga ia mampu mengesan sel kanser yang tidak dapat dirasa dengan tangan," katanya.

Katanya, golongan wanita yang mencapai umur 35 tahun lebih berisiko untuk mendapat kanser payu dara berbanding golongan muda.

Namun, hanya 10 peratus sahaja penghidap kanser payu dara disebabkan oleh sejarah keluarga. Selebihnya kanser payu dara terjadi secara sendiri.
“
Mereka yang pernah menghidap kanser ini juga berisiko menghidap kembali jika tiada langkah pencegahan awal dilakukan," katanya.

Menurut Dr. Shalizan, wanita yang mengandung pada usia lewat, mereka yang tidak pernah melahirkan anak dan datang darah haid pada umur yang lebih awal lebih berisiko menghidap kanser tersebut.

Ujarnya, kajian mendapati tempoh tamat haid sewaktu mengandung dan menyusu badan dapat mengurangkan risiko wanita mendapat kanser.

Maklumat ini turut disertakan dengan data yang mencadangkan bahawa menopaus awal mengurangkan faktor risiko mendapat kanser payu dara bagi seorang wanita.

Monday, November 21, 2011

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

ARKIB : 20/11/2011

Melawan kanser payu dara

SEDIH, takut dan malu. Perasaan ini pasti menyelubungi pesakit payu dara. Lebih-lebih lagi, hilangnya teman ketawa senda seperti dulu. Wanita pula semakin kurang keyakinan apabila kehilangan perhiasan diri itu. Mungkin itulah aset keindahan wanita. Kehilangannya akibat barah tetap memberikan kesan mendalam kepada wanita.
Justeru, MBF Cards (M) Sdn Bhd dengan Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur (PPPKL) telah mengadakan ceramah kanser payu dara dan rahim Julai lalu. Dalam pada itu, meneruskan Kempen Kesihatan Merah Jambu, kedua-duanya menawarkan pakej kesihatan termasuk vaksin HPV, pemeriksaan payu dara dan pap smear bernilai RM 580 di PPPKL.
"Tidak dinafikan menangani barah amat perit, tetapi ia usaha yang munasabah. Bukan sahaja pesakit, keluarga dan rakan-rakan perlukan pengetahuan dan mengambil tindakan segera, berhubung kesan barah dan bagaimana cara terbaik mengatasinya. Ini penting untuk mengubah stigma masyarakat terhadap kanser ini," jelas Pakar Pembedahan Kanser Payu Dara PPPKL, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz.
Dr. Azlina menambah, pengetahuan tentang kanser ini perlu didedah kepada masyarakat pada peringkat usia remaja.
Katanya, ramai remaja yang kurang pendedahan kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan mereka yang berusia 40 ke atas.
"Pada tahun 2003 hingga 2005, sebanyak 11952 kes kanser payu dara telah dilaporkan. Di Asia seperti Malaysia, statistik mengikut umur amat berbeza dengan negara barat. Di sini, mereka dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an juga berisiko. Kebanyakan kes melibatkan mereka yang masih muda," tambahnya.
Buat wanita di luar sana, nasihat Azlina,
"Amalkan pemakanan yang seimbang dan pakai pakaian dalam seperti coli yang sesuai. Itu saja. Tidak kiralah ketika hamil, datang bulan dan sebagainya. Sama saja nasihatnya.
"Jika organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.
"Saya kenal orang yang sudah kehilangan payu dara dan trauma yang terpaksa dilalui amat perit. Kos rawatan untuk kemoterapinya juga sangat tinggi," ujarnya
Antara bintang Hollywood yang berjuang untuk melawan kanser payu dara.
l Kylie Minogue
Penyanyi yang bersuara seksi ini menerima berita dia menghadapi kanser pada tahun 2005. Setelah menjalani pembedahan dan kemoterapi selama lapan bulan, dia dikatakan bebas dari penyakit maut tersebut.
l Sheryl Crow
Dia disahkan menghidap kanser payu dara ketika memasuki usia 48 tahun. Dia telah mengambil dua orang anak lelaki sebagai anak angkat sebagai penawar duka sepanjang dia menjalani proses rawatan.
l Cynthia Nixon
Wanita yang popular dengan watak Miranda Hobbes dalam cerita 'Sex and the City' ini disahkan menghidap kanser payu dara pada 2006. Setelah dia menjalani pembedahan dan kemoterapi selama enam hingga lima bulan dia berjaya bebas dari penyakit maut tersebut.
l Christina Applegate
Pada Ogos 2008, melalui jurucakapnya , Christina Applegate mendedahkan kepada orang ramai bahawa dia tengah berjuang melawan kanser payu dara. Dia membuat pemeriksaan kesihatan awal kerana ibunya merupakan pesakit kanser payu dara dan rahim. Pemeriksaan yang dibuatnya membuatkan dia sembuh lebih awal.
l Suzanne Somers
Namanya meningkat naik ketika dia memegang watak dalam beberapa cerita komedi seperti 'Step by Step' dan 'Three's Company'. Dia menjadi perhatian ketika menerima laporan kanser payu ara sembilan tahun yang lalu.
Dia yang menjalani terapi holistik, akhirnya sembuh, dia juga sempat bercakap di acara 'Oprah Winfrey Show' mengenai kekuatan mental yang dapat menyembuhkan penyakitnya.

Sunday, December 27, 2009

Pesakit kanser perlu zat

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

BAGI pesakit kanser, penurunan mendadak berat badan boleh menjadi petanda penting kemaraan penyakit kerana aktiviti sel kanser itu sendiri merangsang peningkatan kadar metabolisme bagi menghasilkan lebih banyak tenaga untuk proses pembahagian dan ‘pembiakan’ sel kanser.

Untuk tujuan itu lebih banyak makanan diperlukan dan jika tiada, badan membakar simpanan lemak bagi mendapatkan tenaga.

Pengesahan menghidap kanser itu sendiri boleh meragut semangat seseorang, sekali gus menutup keinginannya terhadap makanan. Ketika ini makan minum bukan lagi soal penting kerana pesakit biasanya lebih memikirkan dirinya di ambang kematian, khususnya jika penyakitnya sampai ke peringkat serius.

Dalam tempoh diambil pesakit untuk menerima hakikat dan bersedia mendapatkan rawatan, berat badannya menurun tanpa disedari disebabkan tekanan emosi, psikologi dan aktiviti sel kanser di dalam badannya.




Malah bagi pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi, kesan sampingan ubat seperti mual, muntah dan kekeringan mulut turut menjejaskan selera yang menjadikan berat badan mereka semakin susut.


Selain itu jenis kanser dan lokasi (bahagian badan yang diserang) menjadi antara penyumbang kepada masalah kehilangan berat badan di kalangan pesakit. Contohnya kanser lidah atau kerongkong sememangnya menghalang pesakit daripada makan.

Masalah kekurangan zat di kalangan pesakit tidak hanya berlaku di rumah tetapi kajian di seluruh dunia menunjukkan banyak kes penurunan berat badan akibat tidak cukup zat dicatat ketika pesakit dirawat di hospital, termasuk hospital di negara maju.

Kehilangan lebih 10 peratus daripada berat badan normal dianggap terlalu banyak. Data menunjukkan kira-kira 20 peratus pesakit kanser meninggal dunia akibat kekurangan zat, kata Perunding Onkologi Klinikal, Institut Kanser, Hospital Pantai, Dr John Low.

Secara umumnya ada beberapa sebab berat badan pesakit menurun iaitu:


  • Tekanan emosi dan psikologi

  • Sel kanser yang aktif

  • Lokasi kanser (mulut, kerongkong, esofagus kerana ia mengubah sensitiviti deria rasa, menyebabkan pesakit hilang selera)

  • Kesan sampingan ubat atau rawatan

  • Pesakit tidak mendapat zat secukupnya (sama ada sebelum, ketika atau selepas rawatan)

  • Jenis kanser. Setiap jenis kanser memberi kesan tersendiri kepada pesakit, tetapi secara umumnya semua kanser menyebabkan kehilangan berat badan. Malah sesetengah jenis kanser boleh menghalang saluran dalam sistem pencernaan yang membuatkan pesakit mual, muntah, sembelit atau cirit-birit.

    Walaupun punca sebenar kanser (tidak kira apa jenisnya) masih tidak diketahui dengan jelas, penyelidik dan pakar perubatan percaya ia penyakit yang berkaitan rapat dengan genetik.

    Setiap orang mempunyai kecacatan genetik (pada susunan asid deoksiribonukleik atau DNA) yang boleh menyebabkan pembentukan sel kanser (sel tidak normal).

    Walaupun jumlah pesakit kanser akibat keturunan tidak banyak, faktor keturunan turut menyumbang kepada risiko mendapat penyakit.

    “Jika pesakit masih kehilangan berat badan selepas mendapat rawatan ia mungkin disebabkan dua perkara iaitu kurang makan (tidak mendapat zat secukupnya) atau sel-sel kanser masih lagi aktif.

    “Ini sebabnya berat pesakit diambil setiap kali dia datang untuk rawatan atau pemeriksaan susulan. Ia petanda paling jelas perkembangan tahap kesihatan pesakit,” katanya.

    Pengurusan makanan pesakit kanser

    Sebaik disahkan menghidap kanser, pesakit harus mengambil pemakanan seimbang supaya mendapat cukup zat. Malangnya, sesetengah pesakit mengambil tindakan mengurangkan pengambilan daging dan bertukar kepada pemakanan organik.

    “Saya bukan tidak galakkan pesakit amalkan diet vegetarian atau ambil makanan organik tetapi jika tidak dilakukan dengan betul, ia boleh menyebabkan pesakit alami masalah kekurangan zat, terutama ketika menjalani rawatan.

    “Dalam tempoh ini pesakit sangat memerlukan zat secukupnya untuk menguatkan badan, sekali gus membantu badan bertindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan. Jika sebaliknya, keadaan pesakit menjadi lebih buruk,” katanya.

    Ketika sakitlah seseorang memerlukan lebih zat untuk melawan penyakit. Jadi cara terbaik ialah mengamalkan pemakanan seimbang, lembut dan mudah dihadam supaya pesakit mendapat cukup kalori harian.

    Menyediakan makanan yang sesuai dengan keperluan dan keadaan pesakit adalah tugas keluarga atau penjaga supaya pesakit boleh menumpukan perhatian kepada rawatan.

    Berbincanglah dengan doktor dan pakar pemakanan cara penyediaan, pilihan atau menu yang sesuai kerana keperluan setiap pesakit berbeza.

    Bagaimanapun dalam tempoh rawatan, elak memberi pesakit makanan mentah atau separa masak untuk mengelak risiko jangkitan kerana ketika ini sistem ketahanan badan pesakit sangat lemah.

    Selain itu pesakit tidak digalak makan terlalu banyak makanan kaya bahan antioksidan seperti vitamin C kerana ia dipercayai boleh menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Sebaliknya, Dr Low menyarankan supaya semua zat diperoleh daripada makanan yang seimbang.

    “Khasiat makanan penting untuk membolehkan anda bertahan ketika mendapat rawatan, tetapi ia tidak akan menyembuhkan kanser. Ramai ada konsep salah dan menganggap makanan boleh menjadi ‘ubat’ penyembuh kanser. Anggapan ini tidak tepat.

    “Makanan berkhasiat penting untuk menguatkan badan. Badan yang kuat boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan. Jika ada kesan sampingan rawatan, kesan sampingan itu dirawat dulu sebelum meneruskan sesi rawatan kanser seterusnya.

    “Pesakit kanser boleh makan apa saja diingini. Ini sebabnya doktor menggalakkan keluarga dan penjaga menyediakan makanan diminta pesakit kerana yang penting ialah jumlah kalori hariannya mencukupi,” katanya.

    Panduan

    Antara masalah lazim dialami pesakit yang boleh menjejaskan seleranya ialah:

  • Ulser dalam mulut — Elak memberi makanan dan minuman panas atau makanan pedas dan berempah kerana ia boleh merangsang kesakitan.

    Sebaliknya beri minuman sejuk supaya pesakit berasa lebih selesa. Minta doktor beri pesakit gel untuk disapu pada ulser pesakit

  • Cirit-birit — Masalah cirit-birit akibat kesan sampingan rawatan sukar diatasi. Satu cara yang boleh dilakukan ialah memberi pesakit makanan kaya kandungan serat untuk membantu pembentukan najis yang lebih pejal dan mengelak cirit-birit

  • Mual atau muntah — Antara kaedah terbaik ialah memberi pesakit makan sedikit tetapi kerap. Jangan biarkan pesakit baring selepas makan kerana ia boleh menyebabkan masalah asid refluks dan merangsang rasa mual

    Masalah kekurangan zat boleh diatasi secara perlahan-lahan. Jika keadaan pesakit terlalu teruk dan tidak boleh makan, dia akan diberi makanan melalui tiub (dimasukkan ke perut) atau parenteral menyeluruh (disuntik ke dalam salur darah).

    Sebelum menjalani pembedahan, elak makanan atau ubat yang boleh mencairkan darah seperti kurma merah (kurma Cina), ginseng dan aspirin untuk mengelak pendarahan keterlaluan.

    Manakala sepanjang tempoh kemoterapi, elak mengambil ubat tradisional atau herba untuk mengelak tindak balas tidak diingini.

    “Jika pesakit mendapat cukup zat, sistem imun akan bertambah baik dan ia secara tidak langsung boleh meningkatkan kualiti hidupnya. Tabiat makanan dan gaya hidup kita boleh mencegah kita daripada banyak jenis kanser.

    “Memang sukar mengubah tabiat makan dengan mendadak, tetapi mulakan dengan mengurangkan pengambilan makanan kurang ‘bermanfaat’ kepada badan,” katanya.


    Berat menurun

    > Tekanan emosi dan psikologi

    > Sel kanser yang aktif

    > Lokasi kanser (mulut, kerongkong, esofagus kerana ia mengubah sensitiviti deria rasa, menyebabkan pesakit hilang selera)

    > Kesan sampingan ubat atau rawatan

    > Pesakit tidak mendapat zat secukupnya (sama ada sebelum, ketika atau selepas rawatan)

    > Jenis kanser. Setiap jenis kanser memberi kesan tersendiri kepada pesakit, tetapi secara umumnya semua kanser menyebabkan kehilangan berat badan


    Jejas selera

    > Ulser dalam mulut — Elak memberi makanan dan minuman panas atau makanan pedas dan berempah kerana ia boleh merangsang kesakitan

    > Cirit-birit — Masalah cirit-birit akibat kesan sampingan rawatan sukar diatasi

    > Mual atau muntah — Antara kaedah terbaik ialah memberi pesakit makan sedikit tetapi kerap
  • Kanser isu keluarga

    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    norlaila@hmetro.com.my

    WALAUPUN kanser pangkal rahim antara penyakit lazim di negara kita dan kerap dibincangkan, ia masih menggerunkan, apatah lagi jika lewat dikesan.

    Bagaimanapun, kebanyakan perbincangan tertumpu pada aspek penyakit dan ramai terlupa bahawa kanser seperti itu bukan sekadar penyakit, tetapi boleh dianggap sebagai isu keluarga kerana memberi kesan terhadap setiap anggota keluarga.

    Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Saunthari Somasundram, dalam bengkel Kesan Psikososial Kanser Pangkal Rahim anjuran Merck Sharp & Dohme Malaysia, baru-baru ini, berkata disebabkan terlalu menumpukan perhatian kepada penyakit, tidak ramai terfikir mengenai kesan dialami pasangan serta anak.

    Malah, beliau berkata, tumpuan utama di kalangan pakar perubatan adalah untuk merawat dan menyembuhkan penyakit, sedangkan hakikatnya kesan psikologi juga perlu diberi perhatian sewajarnya.




    Ini kerana jika seseorang kuat semangat dan berfikiran positif, penerimaan badan terhadap rawatan jauh lebih baik.


    Bukan mudah untuk memahami emosi dan psikologi pesakit kanser. Apabila diberitahu menghidap kanser pangkal rahim, seseorang mengalami tekanan daripada tiga aspek iaitu:

  • Fizikal — persoalan yang kerap diutarakan ialah sama ada boleh sembuh atau sebaliknya, adakah pesakit boleh menjalani kehidupan seperti sebelum diserang kanser. Penyakit dan rawatan menyebabkan perubahan fizikal kepada pesakit. Pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim sama ada separuh (hanya buang rahim), keseluruhan (rahim dan ovari dibuang) atau radikal (rahim, ovari dan saraf dibuang).

    Pembuangan ovari bermakna pesakit mengalami menopaus dan pada masa sama mereka diberi rawatan kemoterapi dan radioterapi (radiasi). Bagi kanser pangkal rahim, ubat radioterapi diberi melalui faraj dan ia bertindak (membunuh sel kanser) dari dalam badan.

    Kesan sampingannya, sel faraj mengalami keradangan, menyebabkan ia mengecut dan menjadi sempit selepas beberapa ketika. Untuk mengatasinya, pesakit disaran mengadakan hubungan seks dengan lebih kerap tetapi idea ini dianggap ‘merepek’ bagi kebanyakan wanita.

  • Psikologi atau emosi — Ramai pesakit tidak dapat menerima hakikat mereka diserang kanser dan berasa tertekan walaupun penyakit pada tahap pra-kanser (sel tidak normal dikesan tetapi belum menjadi sel kanser). Mereka berasa sedih, tertekan, takut, resah, rasa tidak berdaya, kehilangan dan murung.

  • Sosial — Imej diri turut terjejas, ramai pesakit kanser pangkal rahim berasa hilang sifat kewanitaan, rendah diri, nafsu seks menurun, bimbang hilang kemampuan mengadakan hubungan seks yang bukan saja membelenggu fikiran pesakit, tetapi turut memberi kesan kepada pasangan.

    Ramai pesakit kanser kehilangan pekerjaan kerana perlu mengambil cuti sehingga enam bulan untuk rawatan. Ini sebabnya ramai pesakit kanser, terutama lelaki yang menjadi sumber tunggal pendapatan keluarga, tidak mendapatkan rawatan kerana jika mereka tidak bekerja, bermakna anak isteri akan kelaparan.

    Masalah kewangan ini lebih dirasai golongan pertengahan yang berpendapatan sederhana atau bekerja sendiri kerana mereka tidak layak mendapat bantuan tabung kebajikan.

    Menurut Dr Saunthari, dalam isu kanser payudara atau membabitkan bahagian peranakan, hanya 10 peratus wanita menyuarakan kebimbangan dan 90 peratus lagi menunggu doktor memulakan perbincangan mengenainya.

    Antara isu lain yang perlu diketahui ialah masalah kesuburan dan menopaus awal di kalangan wanita muda selepas mendapat rawatan.

    Kesan kanser pada imej diri dan seks

    Beliau berkata, tidak kira berapa pun umur pesakit, kesan dialami tetap sama, cuma tamparannya mungkin lebih besar pada wanita muda yang sangat mementingkan imej diri.

    “Kehilangan fungsi seksual (akibat rawatan) boleh berlaku pada semua pesakit kanser walaupun kehidupan seks mereka aktif. Bagaimanapun, isu seks ketika dan selepas rawatan jarang dibincang. Malah, pesakit kurang selesa untuk membincangkannya,” katanya.

    Selepas tiga tahun mendapat rawatan, kajian menunjukkan 47 peratus wanita hilang keinginan terhadap seks, 48 peratus sukar rasa berahi, 64 peratus alami masalah kekeringan faraj dan 52 peratus lagi sukar mencapai orgasma (kemuncak seks).

    Didapati 50 hingga 60 peratus wanita kehilangan fungsi seks selepas 12 bulan menerima rawatan kemoterapi dan radioterapi.

    Pada peringkat awal, keguguran rambut, faktor hormon, kelesuan, rasa mual dan muntah membuatkan soal seks tidak terlintas di fikiran wanita.

    Selain itu, penerimaan wanita terhadap diri sendiri yang dianggap kurang sifat kewanitaan menjejaskan keinginan terhadap seks.

    Pasangan turut ada dalam keadaan serba salah — sama ada patut mengadakan hubungan seks atau sebaliknya.

    Pada pasangan, timbul persoalan seperti siapa patut memulakannya, adakah mereka wajar meminta, jika meminta, mereka mungkin dilabel tidak memahami keadaan dan jika sebaliknya, suami mungkin dikatakan tidak peduli dan tidak lagi menyayangi isteri.

    “Dari awal lagi (sejak disahkan menghidap kanser), pesakit kurang dibekalkan dengan pengetahuan mengenai kesan terhadap seks kerana kebanyakan doktor hanya memberi tumpuan untuk merawat penyakit.

    “Masalah ini timbul kerana kakitangan perubatan kurang kemahiran, tidak selesa dan tidak tahu bila masa sesuai untuk membincangkan isu seks dengan pesakit kanser pangkal rahim. Pesakit mungkin tidak mahu membicarakan isu seks dengan jururawat yang jauh lebih muda daripada mereka, apatah lagi jika jururawat itu belum berkahwin.

    “Namun setiap pasangan berbeza. Ada pasangan berkata kanser merapatkan hubungan suami isteri dan sebaliknya. Tidak kurang wanita ditinggalkan suami hanya kerana mereka menghidap kanser pangkal rahim dan dianggap tidak boleh menjalankan tugas sebagai isteri,” katanya.

    Kanser dan keluarga

    Tidak dinafikan biasanya perhatian lebih tertumpu pada pesakit, menyebabkan pasangan dan anak seolah-olah diketepikan. Biasanya pasangan dinasihatkan menjaga, meluangkan lebih banyak masa dan memenuhi keperluan pesakit.

    Soalnya, bagaimana pula perasaan pasangan dan anak? Tiada siapa memberi sokongan kepada mereka dan anak biasanya menjadi orang terakhir yang diberitahu mengenai keadaan pesakit.

    Kanser boleh menjejaskan perjalanan keluarga kerana apabila ibu sakit, tugasan rumah tangga terhenti dan secara tiba-tiba tanggungjawab ini berpindah di bahu anak pasangan atau anak sulung.

    “Rasa bersalah dan sedih kadangkala membuatkan seseorang membuat keputusan kurang tepat. Dalam keadaan begini, suami isteri perlu bersatu kerana mereka adalah tonggak keluarga.

    “Pasangan juga mengalami kesan sama seperti pesakit. Jika isteri sakit, suami sedih dan takut dengan kemungkinan kehilangan orang tersayang. Jadi mereka juga memerlukan sokongan keluarga dan pakar perubatan.

    “Ahli keluarga lain boleh membantu dalam urusan rumah tangga, persekolahan anak dan bersedia meluangkan masa untuk penjaga (pasangan). Ini sedikit sebanyak menguatkan semangat penjaga untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

    Bagaimana dengan kanak-kanak?

    Kanser meletakkan sesebuah keluarga dalam keadaan tegang. Kanak-kanak merasai tekanan ini dan kajian menunjukkan 35.5 peratus kanak-kanak yang ibu atau bapa diserang kanser bermasalah di sekolah ada masalah dengan kawan (37.8 peratus) dan mengalami gangguan kesihatan akibat kesan psikologi (40 peratus).

    “Tanpa disedari, kanak-kanak menerima kesan psikologi paling teruk apabila ibu atau bapa sakit. Kira-kira 20 peratus kanak-kanak ini dilaporkan alami keresahan, manakala 30 peratus remaja dikesan alami tekanan psikologi.

    “Bagaimanapun, mereka tidak meluahkan masalah ini kepada adik beradik atau kawan. Sebilangan kecil pelajar mendapatkan sokongan daripada kaunselor sekolah. Masalahnya, ada guru kaunselor tidak tahu mengenai kanser dan ini menyebabkan mereka gagal menenangkan perasaan pelajar,” katanya.

    Ada ibu bapa cuba menyembunyikan atau tidak mengetahui kaedah terbaik untuk menerangkan apa yang berlaku kepada anak, terutama di peringkat prasekolah atau sekolah rendah, kerana menganggap mereka masih terlalu kecil untuk memahami keadaan sebenar.

    “Ini lebih ketara di kalangan ibu tunggal. Ibu bapa anggap cuba melindungi anak dengan merahsiakan perkara sebenar. Biasanya anak lebih besar diberitahu, jika bercakap pun hanya ala kadar dan bukan bertujuan menyelami perasaan si kecil.

    “Kanak-kanak dapat memahami keadaan ibu bapa jika diberitahu dengan baik. Kira-kira 28 peratus kanak-kanak tidak puas hati dengan cara pemberitahuan, maklumat terlalu sedikit dan kelewatan diberitahu mengenai penyakit ibu atau bapa mereka.

    “Kajian di luar negara mendapati satu pertiga (33 peratus) kanak-kanak berasa ibu bapa mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk membantu mereka menghadapi tekanan keluarga. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak supaya memahami mengapa sesetengah kehendak tidak dapat dipenuhi atau kenapa perlu membantu tugasan rumah,” katanya.



    Langkah yang boleh membantu:

  • Bercakap dan berbincang dengan anak

  • Kekalkan rutin dalam keluarga, contohnya galakkan mereka keluar bermain seperti biasa. Jangan jadikan penyakit anda sebagai halangan untuk kanak-kanak bermain kerana jika terperap di rumah, mereka berasa lebih tertekan

  • Agih-agihkan tugasan di rumah

  • Beritahu anak bahawa penyakit itu bukan disebabkan kesalahan mereka. Ini kerana kanak-kanak kerap menyalahkan diri sendiri apabila orang yang disayangi sakit

  • Galak anak menyertai aktiviti digemari supaya fikiran anak tidak hanya tertumpu pada penyakit anda yang boleh membuatkan mereka berasa sedih

  • Beritahu maklumat mengenai penyakit anda secara berperingkat-peringkat. Anda mungkin akan ditanya ‘adakah emak akan meninggal dunia?’ Memang sukar memberi jawapan, tetapi anda boleh memberitahunya tiada siapa tahu bila seseorang akan meninggal dunia. Yang penting ialah menghargai masa yang ada dan berjanji untuk memaklumkannya perkembangan terbaru mengenai penyakit anda

  • Benarkan orang lain (ahli keluarga atau rakan rapat) memberi sokongan atau menjadi tempat anak meluahkan perasaan

  • Beri peluang dan galak anak menyatakan pendapat atau masalah mereka

  • Maklumkan pada pihak sekolah mengenai penyakit anda



    Perkara yang perlu dielakkan:

  • Berahsia dengan anak

  • Membiarkan keadaan atau peraturan rumah menjadi tunggang-langgang

  • Memerintah anak untuk melakukan sesuatu, sebaliknya minta mereka bekerjasama dengan memberi alasan munasabah

  • Memberitahu anak bahawa mereka perlu buat baik kepada anda hanya kerana anda sakit

  • Menjangkakan anak untuk duduk di rumah sepanjang masa dengan alasan mahu meluangkan banyak masa bersama. Anda perlu ingat, anak juga ada kehidupan sendiri dan mereka berhak untuk keluar bermain

  • Berfikir anda boleh melakukan semuanya

  • Cuba menyelesaikan semua perkara

  • Berahsia dengan ahli keluarga atau rakan rapat

  • Berpura-pura gembira atau seolah-olah tiada apa yang berlaku



    Langkah membantu

    > Bercakap dan berbincang dengan anak

    > Kekalkan rutin dalam keluarga

    > Agih-agihkan tugasan di rumah

    > Beritahu anak bahawa penyakit itu bukan disebabkan kesalahan mereka

    > Galak anak menyertai aktiviti digemari supaya fikiran anak tidak hanya tertumpu pada penyakit anda yang boleh membuatkan mereka berasa sedih

    > Beritahu maklumat mengenai penyakit anda secara berperingkat-peringkat

    > Benarkan orang lain (ahli keluarga atau rakan rapat) memberi sokongan atau menjadi tempat anak meluahkan perasaan

    > Beri peluang dan galak anak menyatakan pendapat atau masalah mereka

    > Maklumkan pada pihak sekolah mengenai penyakit anda

  • Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090726100023/Article/index_html

    Usia muda bukan jaminan

    Oleh Hafizah Iszahanid



    Barah payu dara tidak kenal umur, boleh dicegah jika dikesan awal

    ABBY Tajudin, 33, bukanlah dalam kategori berisiko tinggi diserang barah payu dara. Tiada seorang pun dalam keluarganya diserang barah payu dara. Malah dengan usia 33 tahun, dia tidak pun membuat ujian imbasan mamogram sebelum ini.

    Umumnya di hospital kerajaan, wanita berusia 40 tahun yang diwajibkan menjalani ujian mamogram. Wanita muda yang tidak berada dalam kumpulan berisiko, walaupun mahu melakukan ujian mamogram akan disuruh ke hospital swasta.

    Justeru, sewaktu Abby diserang sakit belakang yang teruk dan mengambil masa hampir 30 minit untuk bangun dari katil setiap pagi, tidak terlintas langsung di fikirannya itu adalah simptom barah payu dara.

    “Mulanya saya ambil paracetamol bagi melegakan kesakitan. Kemudian, apabila masih sakit saya berjumpa pakar tulang, tetapi tidak sembuh juga. Sakit masih berulang dan akhirnya saya dirujuk kepada pakar bedah payu dara. Rupanya sakit belakang itu ialah simptom barah payu dara,” katanya ketika ditemui pada majlis bersempena Bulan Kesedaran Barah Payu Dara Sedunia yang jatuh pada bulan ini.

    Barah payu dara yang menyerang Abby ialah jenis metastasis (sel barah merebak ke saluran limfa atau salur darah sebelum ke organ lain) dan sudah merebak hingga ke tulang belakang. Lebih menyentuh hatinya, ia sudah di tahap empat!

    Anehnya, Abby, anak bongsu enam beradik tidak mempunyai sejarah barah payu dara dalam keluarganya. Justeru, waktu disahkan menghidap barah payu dara, hidupnya seakan-akan terhenti seketika. Dia yang masih menjalani rawatan kemoterapi itu bagaimanapun, menyerahkannya kepada Allah SWT kerana percaya, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.

    “Saya percaya pada qada dan qadar dan tidak akan mudah menyerah kalah. Saya akan terus berjuang menentang barah payu dara untuk dua anak yang sedang membesar,” kata ejen hartanah yang dan dikurniakan dua anak lelaki.

    Malah kehadiran cahaya matanya itu menyebabkannya tetap tabah menjalani hidup. Untuknya, barah payu dara bukan penghalang untuk terus bekerja dan meneruskan kehidupan seperti insan lain.

    Abby ialah antara contoh wanita yang diserang barah payu dara walaupun tidak tergolong dalam kumpulan berisiko. Dia masih muda, tidak lahir dalam keluarga yang mempunyai sejarah barah payu dara dan aktif bekerja dan bersukan.

    Walaupun, satu daripada faktor risiko terbesar barah payu dara dikaitkan dengan faktor genetik, namun ia bukan satu kemestian.

    Justeru, menjalani rawatan awal seperti ujian imbasan mamogram ialah antara keperluan utama wanita walaupun usia anda belum mencecah 40 tahun.

    Pakar Bedah Payu Dara, Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur Datuk Dr Suseela Nair, berkata barah payu dara ialah barah yang paling kerap ditemui di kalangan wanita Malaysia, mencecah hingga 31.3 peratus daripada semua jenis barah.

    “Wanita Cina dan India merekodkan kes tertinggi berbanding Wanita Melayu. Namun, angka itu berdasarkan statistik lawatan ke hospital. Justeru, ia mungkin tidak membayangkan jumlah kes sebenar,” katanya.

    Jelas Dr Suseela, ada banyak kes pesakit lebih gemar merujuk kepada pengamal perubatan alternatif untuk rawatan berbanding mendapat rawatan di hospital. Pesakit hanya akan ke hospital apabila tidak sembuh dan ketika itu, ia sudah pun terlambat.

    “Memilih rawatan tradisional bukan langkah bijak kerana keberkesanannya dalam rawatan barah payu dara belum dibuktikan,” katanya.

    Jelasnya, gaya hidup sihat memang memainkan peranan mengelak barah payu dara. Namun lebih penting mengurangkan menu yang boleh menjadi faktor risiko seperti pengambilan terlalu banyak daging, produk tenusu, selain rendah pengambilan sayur-sayuran dan serat.

    Namun, bolehkah anda melawan barah payu dara? Tentu saja, kerana barah payu dara mudah dikesan, selagi anda melakukan ujian mamogram atau melakukan ujian sendiri. Simptom barah payu dara juga mudah diketahui dengan simptom paling mudah - mengesan ketulan dalam payu dara.

    Ujian mamogram pula memudahkan anda mengesan perubahan pada payu dara dengan imej yang jelas. Mamogram direka secara khusus untuk imbasan payu dara pada kadar radiasi yang rendah. Rawatan barah payu dara yang berjaya bergantung kepada pengesanan awal, justeru mamogram ialah antara kaedah pengesanan awal terbaik.

    Pihak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) melaporkan, mamogram membantu mengesan ketulan barah payu dara antara 85 ke 90 peratus bagi kalangan wanita berusia 50 ke atas.

    Tidak dinafikan, payu dara yang juga gabungan lemak, kelenjar dan tisu yang kenyal.

    Justeru ada kala ujian mamogram mendatangkan sedikit ketidakselesaan. Namun ia bukan alasan untuk tidak melakukannya, apatah lagi jika anda berada dalam golongan berisiko.

    INFO:

    Simptom

    * Ketulan pada payu dara dan makin jelas ketika haid
    * Pendarahan atau lelehan dari puting payu dara
    * Perubahan bentuk payu dara
    * Kulit payu dara atau puting yang tertarik ke dalam

    Golongan Berisiko
    o Usia yang meningkat (namun dalam kes Abby, barah payu dara boleh juga terjadi pada usia muda)
    o Sejarah keluarga (adik beradik dan saudara terdekat, nenek, sepupu, ibu saudara)
    o Pernah dirawat dengan barah payu dara sebelum ini
    o Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun dan menopaus lewat (selepas 50 tahun)
    o Tidak menyusukan anak
    o Melahirkan anak pada usia lewat (melepasi 30 tahun)
    o Pemakanan tinggi lemak tetapi rendah serat
    o Obes, minum arak, merokok

    Kaji vaksin barah pangkal rahim

    Oleh Hafizah Iszahanid

    Serviks yang diserang barah.

    Pakar perubatan anggap penyelidikan tempatan, ujian lumuran pap perlu diutama

    NATALIE Morton, 14, dan Ashleigh Cave, 12, mungkin hanya memikirkan kesihatan diri, khususnya mengelak barah pangkal rahim apabila mengambil pelalian mencegah virus human papilloma (HPV) - penyebab penyakit maut berkenaan.

    Malangnya, keadaan berlaku sebaliknya apabila Morton meninggal dunia manakala Cave pula lumpuh separuh badan selepas mengambil pelalian berkenaan.

    Memang secara umumnya tiada ubat yang benar-benar selamat secara 100 peratus. Ini kerana setiap ubat memiliki kesan yang berbeza kepada individu yang turut memiliki tahap daya tahan yang berbeza. Perlu diingat juga, setiap ubat memiliki kesan sampingannya namun lazimnya, kesan sampingan yang kecil ini tenggelam jika manfaat ubat itu terbukti lebih besar.

    Bagaimanapun dalam kes pelalian mencegah HPV, ia masih baru dilaksanakan termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada 2006 dan tahun lalu di Britain.

    Program pelalian ini sudah dinyatakan pada satu majlis anjuran MCA April lalu dan hanya secara rasmi diumumkan pada Jumaat lalu. Justeru apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan program pelalian mencegah HPV bermula tahun depan kepada 300,000 remaja perempuan 13 tahun, ia sebenarnya mencetuskan banyak persoalan, termasuk apakah keputusan itu dibuat secara terburu-buru.
    Pangkal rahim terjejas dengan HPV.

    Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Maamor Othman, berkata kebanyakan data berkaitan keberkesanan vaksin mencegah HPV itu hanyalah berasaskan kajian dari barat.

    "Mungkin sebelum kita memulakannya di Malaysia, kita memerlukan kajian tempatan. Namun apa yang lebih utama, kerajaan perlu meningkatkan langkah pencegahan dan kesedaran mengenai HPV itu terlebih dulu," katanya.

    Beliau berkata, setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin mencegah HPV di bawah jenama Gardasil dan Cervarix.

    "Mungkin kita masih perlu menunggu untuk beberapa tahun lagi sebelum membuat keputusan. Melakukan perbandingan dengan vaksin jenama lain juga perlu dalam melihat yang mana lebih efektif dan berbaloi dari segi kos," katanya.

    Dr Maamor berkata, jika kesedaran masyarakat mengenai HPV dan barah pangkal rahim sememangnya tinggi, langkah pencegahan awal tidak perlu menelan belanja besar.

    "Kita perlu ingat faktor risiko barah pangkal rahim adalah mereka yang beranak ramai dan ramai pasangan seksual (lelaki atau perempuan) dan kebersihan alat kelamin itu sendiri.

    "Sehubungan itu, setiap wanita mesti melakukan pemeriksaan pelvis berjadual bagi mengesan sebarang perubahan sel di sekitar pangkal rahim. Wanita perlu peka kepada kepentingan ujian lumuran pap (pap smear)," katanya.

    Kenyataan Dr Maamor ada benarnya, kerana dalam kes vaksin barah pangkal rahim, hanya ada dua pemain utama dalam usaha pengeluarannya. Ini secara langsung, menyebabkan harganya masih mahal walaupun sudah ditolak kos subsidi oleh kerajaan.

    Walaupun Cervarix sudah didaftarkan dan disenaraikan sebagai selamat di pasaran 95 negara, namun ia masih tidak mendapat kelulusan Pihak Pentabdiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA). Satu daripada alasan yang tipikal adalah ia membabitkan dua syarikat berbeza - satu dari Amerika dan satu lagi dari Britain.

    Namun sejak 1930, Amerika, menerusi melalui FDA mengharamkan penggunaan teknik khas dalam penyediaan vaksin (adjuvant in vaccine) yang bertindak meningkatkan sistem imun sekali gus membolehkan seseorang itu tidak perlu mendapat suntikan susulan dalam tempoh yang singkat.

    Cervarix hanya mencegah dua strain atau jenis HPV - jenis 16 dan 18 (sedangkan ada 100 jenis HPV dengan 13 dikaitkan sebagai punca barah).

    Gardasil pula mencegah jenis 16 dan 18 dan dua lagi jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

    Selain itu, walaupun vaksin mencegah HPV disuntik, kelengkapan makmal untuk ujian lumuran pap juga harus disediakan. Ini kerana walaupun mendapat suntikan pelalian namun setiap wanita masih perlu melakukan ujian lumuran pap setiap tahun.

    Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan subsidi pemeriksaan pelvik bagi mereka yang kurang berkemampuan. Namun, masalah sebenarnya bukan subsidi tetapi lokasi yang menyediakan ujian itu.

    Di luar Kuala Lumpur misalnya, cuma ada 15 klinik yang berdaftar dengan kementerian untuk melakukan ujian lumuran pap dan bukan semua klinik desa menyediakan perkhidmatan itu.

    Kemudahan ujian lumuran pap hanya tertumpu di bandar besar dan jika di hospital kerajaan, dikatakan membabitkan karenah birokrasi apabila individu itu perlu menunggu berbulan-bulan lamanya bagi melakukan ujian selepas membuat temujanji.

    Jadi, adakah kesukaran melakukan pap smear itu menjadikan vaksin sebagai pilihan yang terbaik?

    Jawapannya tidak. Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pemberian vaksin mencegah HPV bukan bermaksud ia melindungi seseorang itu 100 peratus.

    "Walaupun ada vaksin tetapi setiap orang perlu menjalani pap smear mengikut jadual dan mengekalkan cara hidup sihat. Walaupun ada vaksin tetapi masih mengamal-amalkan gaya hidup bertukar pasangan ia masih boleh menyebabkan barah pangkal rahim," katanya.

    Kemujaraban vaksin melindung 70 peratus kemungkinan diserang barah pangkal rahim tetapi masih ada ruang 30 peratus untuk barah terjadi.

    "Memang di Britain misalnya ada laporan kematian dan kecacatan kecil yang dikaitkan dengan pelalian HPV, tetapi setakat ini semua laporan perubatan menafikan kaitannya dengan suntikan," katanya.

    "Dunia perubatan ini mudah dan telus. Ia berdasarkan fakta dan bukti. Kalau benar ia menyebabkan banyak komplikasi dan laporan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, dengan sendirinya produk itu akan dikeluarkan dari pasaran," katanya.

    Jelasnya, walaupun setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin itu, tidak lama lagi selepas luputnya paten harta intelek akan banyak ubat-ubat generik muncul dan memberi pilihan kepada pengguna dengan harga yang jauh lebih murah.

    "Keberkesanan sebenar ubat-ubatan akan mengambil masa berpuluh tahun untuk mengetahui kemujarabannya. Adakah kita perlu menunggu selama itu? Tentulah tidak. Perkiraan yang dibuat adalah berdasarkan beban ekonomi yang perlu ditanggung dengan statistik pesakit barah pangkal rahim di Malaysia," katanya.

    Prof Abdul Rashid, pemberian vaksin mencegah HPV adalah pilihan terbaik kerana bukan semua wanita mahu melakukan ujian lumuran pap atas dasar malu dan akses yang terhad terutama di luar bandar.

    Namun, fakta yang lebih tepat walaupun sudah mendapat suntikan vaksin, ujian lumuran pap masih perlu dilakukan. Jadi bukankah meningkatkan prasarana ujian lumuran pap di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran tentang HPV dan barah pangkal rahim adalah jalan pertama yang perlu dibuat kerajaan sebelum memilih program pelalian mencegah HPV?

    FAKTA: Barah pangkal rahim

    * Malaysia membelanjakan RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim.
    * Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim - ujian lumuran pap.
    * Daripada keseluruhan kes barah di Malaysia, barah pangkal rahim menduduki tempat kedua selepas barah payu dara.
    * Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun.



    Mengenali barah pangkal rahim

    * Disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV).
    * Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke faraj ketika haid.
    * Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
    * Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.
    * Selain HPV, faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
    * HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita dan ada lebih 100 jenis HPV.
    * Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
    * HPV amat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.



    Faktor dijangkiti HPV.

    * Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
    * Sistem tubuh yang lemah
    * Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
    * Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
    * Merokok
    * Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang

    Cinta suami semangat Jessy

    Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
    adawiyah.koh@utusan.com.my


    BUKU yang boleh dijadikan panduan kepada pesakit kanser serta keluarga dan rakan mereka yang ingin memberi sokongan kepada pesakit kanser.

    BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan setiap kali kita berdepan dengan kisah pesakit yang menyentuh perasaan. Adakah ia empati atau sekadar simpati? Empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Lebihnya empati mampu melahirkan rasa ingin menjaga pesakit itu seperti kita menghargai kehidupan diri sendiri. Misalnya, suami akan menjaga isteri yang disahkan menghidap kanser payu dara walaupun si isteri bakal kehilangan aset kecantikannya. Pesakit akan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun berdepan dengan penyakit.

    "Peluang untuk kami hidup lebih cerah kerana adanya keluarga dan rakan yang menyokong kami," kata pesakit-pesakit kanser yang ditemui ketika majlis pelancaran Hope Handbook 2 di Sutra Dance Theatre, Persiaran Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Ini adalah cebisan luahan pesakit-pesakit kanser yang merasakan kehidupan mereka lebih bermakna dengan adanya jagaan dan sokongan keluarga.

    Perasaan inilah yang dialami seorang pesakit kanser payu dara Jessy Tai, 48. Dia sangat bersyukur kerana memiliki suami, Leong Kok Ong, 58 yang banyak memberi sokongan sehingga kini. Berhadapan dengan penyakit ini seorang diri mungkin tidak mampu memberinya kekuatan. Galakan suami dan anak-anak banyak memberi inspirasi kepadanya.

    "Saya tidak akan melupakan saat ketika saya diagnosis pada 4 Oktober 2007. Ia bermula apabila suami saya dapat mengesan ketulan pada payu dara saya dan segera membawa saya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Kami tidak membuang masa dan segera melakukan mamogram dan biopsi pada hari yang sama," katanya.

    Dua hari selepas itu, Jessy dan suami mendapat keputusan. Sebaik sahaja mendengar doktor mengatakan dia mendapat kanser payu dara, jantungnya sekan berhenti dan dia terus menangis. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah menangis.

    Tetapi segalanya berubah kerana dia berasa lebih bersemangat apabila suaminya berkata, " walau apa pun terjadi, saya akan lakukan apa sahaja untuk memastikan awak sembuh."

    Hati mana yang tersentuh mendengar kata-kata tersebut. Tanpa membuang masa, mereka membuat keputusan untuk melakukan segera mastektomi.

    Payu dara

    "Saya tidak risau kehilangan payu dara walaupun ia menyebabkan saya kurang cantik. Saya tahu suami saya menyayangi seadanya diri saya. Kecantikan bukan sekadar dalam kulit tetapi lebih daripada itu," jelasnya.

    Ketika menghadapi kesusahan ini, Jessy berasa bertuah. Dia merasakan dirinya antara wanita yang dikasihi dan dirahmati di muka bumi ini. Suami dan anak-anaknya tidak pernah putus memberi harapan, kekuatan dan semangat kepadanya untuk melawan penyakit ini.

    "Apabila saya berdepan dengan cabaran ketika pembedahan dan kemoterapi, suami saya tetap memberi galakan, pelukan dan ambil berat untuk saya meneruskan rawatan. Bukan itu sahaja, dia juga memasakkan makanan untuk saya dan keluarga setiap hari sebelum dia ke pejabat. Sementara itu, anak-anak saya menulis nota dan memberi kad galakan kepada saya setiap hari," ujarnya.

    Jessy juga bersyukur kerana memiliki rakan-rakan yang banyak memberi sokongan.

    "Mereka benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk terus hidup. Saya tidak boleh sembuh sepenuhnya dan melakukan segala yang saya suka seperti menari dan keluar bersiar-siar bersama keluarga. Namun, saya tahu dengan adanya kasih saya keluarga dan rakan-rakan, saya mampu melakukannya suatu hari nanti," katanya.

    Ketakutan

    Sementara itu, suaminya, Kok Ong turut menceritakan detik permulaan mereka berhadapan kenyataan ini.

    "Saya sedang berkerja ketika Jessy menelefon untuk memberitahu berita kecewa tersebut. Ketakutan kami bahawa ketulan itu adalah kanser menjadi kenyataan. Saya menjadi kaku sejenak apabila melihat dia menangis teresak-esak. Tetapi saya memberitahu Jessy, saya akan lakukan apa sahaja tidak kira jumlah perbelanjaan perubatannya demi memastikan dia sembuh," katanya.

    Ketika Kok Ong dan Jessy disarankan melakukan mamogram, dia tidak terfikir langsung tentang kehilangan payu daranya.

    Kok Ong juga ada mendengar kisah daripada wanita lain yang takut ditinggalkan suami jika payu dara mereka dibuang. Baginya, mungkin ini menjadi punca utama kenapa wanita berdiam diri walaupun tahu mereka mempunyai tanda-tanda awal kanser.

    "Mungkin itu tidak bagi saya. Saya menyayangi Jessy. Saya tidak mengukur kecantikan fizikalnya kerana lebih utama ialah kesihatannya. Syukurlah, dia setuju untuk melakukan mastektomi.

    Meletakkan diri dalam keadaannya, Kok Ong perlu berkorban dan membantu isterinya melawan kanser. Kok Ong tidak keberatan membantu Jessy mendapatkan bantuan daripada doktor dan persatuan seperti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) untuk mendapatkan maklumat kanser, rawatan dan proses pemulihan.

    Tidak mudah melihat orang yang tersayang menderit sakit. Baginya, di samping memberi kekuatan, dia juga perlu memberi galakan kepada diri sendiri.

    "Kita perlu menjadi kuat untuk satu sama lain melawan penyakit ini. Kami bersyukur kerana memiliki anak-anak yang baik dan banyak memberi sokongan," ujarnya.

    Melalui pengalaman Kok Ong, sokongan moral dan emosi amat penting untuk menjaga pesakit. Apabila pesakit rasa disayangi, mereka akan semulajadi mendapat semangat, menjadi lebih baik dan memandang masa depan untuk hidup.

    Sumber:Mingguan Malaysia; 27 Disember 2009.

    Sunday, April 19, 2009

    Barah terus mengganas

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my




    Seorang bagi setiap empat rakyat Malaysia berisiko

    BARAH terus menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia. Ketika dunia mengiktiraf 5 Februari sebagai Hari Barah Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi peringatan yang membimbangkan iaitu 84 juta orang akan menemui ajal akibat barah bagi tempoh 2005 hingga 2015.

    Di Malaysia, seorang bagi setiap empat warga Malaysia berdepan risiko diserang barah. Persatuan Barah Kebangsaan meramalkan, menjelang tahun 2020, barah akan menyerang seorang daripada setiap tiga orang jika tiada sebarang tindakan diambil.


    Lebih membimbangkan, barah yang kerap kali dikaitkan sebagai penyakit bawaan genetik, kini perlu dilihat sebagai ancaman kepada semua orang.


    WHO melaporkan lebih 70 peratus kematian disebabkan barah berlaku di negara membangun dan negara berpendapatan rendah. Kebanyakan kematian dikaitkan dengan penggunaan tembakau yang merangkumi 1.5 juta kes setahun.

    Kematian di seluruh dunia akibat barah dijangka meningkat hingga 45 peratus dari 2007 hingga 2030. Selain faktor urbanisasi yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat dunia, peningkatan itu juga dikaitkan dengan peningkatan bilangan warga tua.



    Ada pelbagai jenis barah namun barah paru-paru lebih banyak membunuh berbanding barah lain. Barah paru-paru pula berlaku di seluruh dunia dan trend ini dijangka berterusan selagi tiada usaha global yang bersungguh-sungguh bagi menangani ancamannya, termasuk industri tembakau.

    Namun, selain barah paru-paru, penduduk negara membangun juga berdepan risiko barah prostat dan payu dara biarpun barah yang disifatkan pembunuh utama adalah barah hati, perut dan pangkal rahim.

    Sebenarnya hampir 40 peratus kes barah boleh dicegah termasuk berhenti merokok atau menjauhi perokok. Barah yang dikesan pada peringkat awal juga mampu diatasi menerusi pembedahan serta rawatan radioterapi atau kemoterapi.

    Kegagalan membendung peningkatan kes barah dikaitkan juga kegagalan mengawal kehidupan, misalnya merokok, tidak bersenam, tidak mengawal pemakanan, pencemaran udara, radiasi selain jangkitan seperti hepatitis B.

    INFO: Faktor Risiko Barah

    • Penggunaan tembakau - bertanggungjawab pada 1.8 juta kematian setiap tahun.
    • Terlalu gemuk, obes dan tidak aktif secara fizikal - bertanggungjawab pada 274,000 kes kematian setiap tahun.
    • Penggunaan alkohol berlebihan - menyebabkan 351,000 kematian setiap tahun.
    • Jangkitan virus human papilloma melalui hubungan kelamin - menyebabkan 235,000 kematian setahun


    Sumber : WHO

    Barah hidung sukar dikesan

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Kelenjar leher bengkak antara simptom NPC (gambar kecil).

    Penyakit lazim rakyat Malaysia dengan kaum Bidayuh catat kes tertinggi di dunia

    APAKAH hidung anda sering berdarah? Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah barah hidung atau 'nasopharyngeal carcinoma' (NPC) yang kerap kali sukar dikesan kerana kedudukannya yang jauh di belakang hidung.

    Malah, lazimnya, pesakit hanya dikesan mengidap NPC apabila mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan lain seperti hidung berdarah atau bengkak pada kelenjar di leher. Namun, malang sekali apabila mereka disahkan menghidap NPC pada tahap ketiga.


    Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan berkata, barah hidung adalah penyakit yang paling lazim dikesan dihidapi kalangan warga Malaysia.


    Malah di peringkat global, kaum Bidayuh yang menjadi antara etnik utama Sarawak, terbukti menjadi bangsa paling tinggi dikesan menghidap barah hidung.

    Di Semenanjung Malaysia, mereka yang berketurunan Cina dan Melayu lebih kerap didiagnos dengan barah hidung.

    Pemeriksaan menggunakan kamera khas kaedah utama mengesan NPC.

    Masyarakat India, bagaimanapun, amat jarang dikesan mengalami masalah ini.

    Barah hidung adalah ketumbuhan yang wujud di 'nasopharynx' iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan di atas bahagian belakang tekak.

    "Pada peringkat awal, barah hidung memang sukar dikesan kerana bahagian nasopharnyx payah diperiksa. Lebih sukar lagi, simptom penyakit itu juga menyerupai gejala masalah kesihatan lain," katanya.

    Dr Raymond berkata, ada kalanya juga, pesakit percaya hidung yang berdarah disebabkan suhu badan terlalu panas.

    Rongga belakang hidung yang diserang barah.

    "Ini menyebabkan mereka tidak berjumpa doktor kerana menganggap masalah itu kecil dan boleh sembuh dengan sendiri."

    Bagaimanapun, tegasnya, hidung berdarah hanya satu daripada simptom barah hidung. Lebih membimbangkan, simptom itu ada kalanya menunjukkan barah berkenaan sudah pun berada di tahap akhir.

    Di negara Asia Tenggara, NPC mencatatkan antara lima hingga 15 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala di China, terutama di Selatan China, Taiwan dan Hong Kong mencatat 30 kes bagi nisbah jumlah penduduk yang sama.

    Jelas Dr Raymond, pada peringkat awal, NPC tidak menyebabkan sebarang simptom. Bagaimanapun apabila barah itu merebak ke tahap seterusnya, beberapa simptom mula kelihatan.

    Katanya, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan serangan NPC. Antaranya jantina. Lelaki berhadapan dengan risiko NPC dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Manakala orang Asia dan Utara Afrika lebih banyak dikesan menghidap NPC.

    "Satu lagi faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC adalah makanan yang diawet dengan kandungan garam yang tinggi, misalnya ikan, itik atau sayur-sayuran,"katanya.

    Selain itu virus Epstein-Barr, virus paling biasa ditemui pada manusia dan hidup di sekitar hidung. Virus ini dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

    Jelas Dr Raymond, barah NPC tahap satu bermaksud, barah masih berada dalam hidung. Barah NPC tahap dua dan tiga, ketumbuhan semakin besar dan sudah merebak ke bahagian. NPC tahap akhir, barah masuk jauh ke paru paru, tulang atau hati.

    "Kerana simptom awal NPC kerap dianggap masalah biasa, kebanyakan pesakit datang ketika sudah berada di tahap kedua dan ketiga," katanya.

    Mengikut statistik, hampir 54 peratus dikesan dengan NPC selepas mendapatkan rawatan bengkak di leher, 25 peratus ketika berlaku pendarahan pada hidung, 18 peratus kerana masalah kurang pendengaran pada sebelah telinga, 13 peratus kerana menjadi juling dan 12 peratus terasa telinga berdengung.

    INFO: Simptom NPC

    Simptom awal
    1. Hidung berdarah, bukan pendarahan yang teruk tetapi kesan darah.
    2. Salah satu telinga berdengung.
    3. Salah satu hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas dengan betul.

    Simptom lewat
    1. Bengkak pada leher.
    2. Mata juling - barah sudah memasuki bawah otak dan menyerang saraf otak yang mengawal pergerakan mata.
    3) Sakit kepala yang kronik.
    4) Sakit pada tulang kaki atau belakang (tahap empat).Rawatan

    1) Radiasi - memusnahkan sel barah dengan cepat. Namun ada kesan sampingan yang bersifat sementara, misalnya hilang pendengaran, mulut yang kering atau sukar menelan.

    2) Kemoterapi - bertindak memusnahkan sel dengan pantas tetapi seperti diketahui ia juga mungkin memusnahkan sel yang sihat berdekatan sel yang terjejas. Kemoterapi bertindak merawat NPC dengan tiga cara, digunakan bersama-sama terapi radiasi, digunakan selepas terapi radiasi atau sebelum terapi radiasi.

    3) Pembedahan - bukan rawatan yang kerap dipilih untuk menangani NPC. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor akan menilai rawatan terbaik dengan peratusan untuk pulih yang memihak kepada pesakit.