Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Kesihatan mental seperti stres tidak bergantung kepada masa-masa contoh tahun baru, tengah tahun atau akhir tahun.
UMAAT ini lembaran 2010 akan terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun setiap insan. Ramai yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru. Ketika ini, pasti ramai yang sedang menilai pencapaian azam lama. Sudah pasti selepas itu anda akan terfikir azam baru. Ketika membaca sebuah majalah tempatan baru ini, agak mengejutkan apabila satu artikel mengatakan azam tahun baru boleh menyebabkan stres. Menurut artikel tersebut, terdapat satu kajian tentang isu ini di United Kingdom yang dilakukan oleh sebuah institusi badan bukan kerajaan bernama Mind. Laporan kajian tersebut mengatakan azam tahun baru membuatkan kita fokus pada keburukan diri sendiri, mencari kesilapan dan kehodohan sepanjang masa depan. Ia dikatakan tidak baik untuk masa depan. Laporan tersebut mengatakan, azam tahun baru tidak baik untuk kesihatan mental kerana kita akan diselubungi dengan perkara negatif sahaja.
Ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang berasa stres atau tertekan. Dalam pada itu, azam lama masih tidak menunjukkan kemajuan dan diulang semula. Sejauh mana kebenaran fakta ini?
Menurut pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr Mariani Mohd Nor, fakta ini tidak 100 peratus sahih dan boleh dipercayai kerana individu kita adalah berbeza pemikiran masing-masing berdasarkan pergaulan sosial dan latarbelakang kehidupan masing-masing.
Tambah beliau, setiap orang tidak dikelilingi oleh kelompok orang yang sama dan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang itu dan pemikirannya.
"Jika individu mempunyai azam baru yang lebih fokus untuk mendapatkan kejayaan, dia tidak akan menoleh ke arah fakta yang lebih kepada mencari kesilapan. Tetapi dia akan menggunakannya untuk untuk memperbaiki apa yang menjadi kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Hanya individu yang kecewa sahaja yang nampak kepada keburukan diri sendiri. Tetapi kalau dah namanya azam ia lebih bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria," katanya.
Tambah Dr. Mariani, kesihatan mental seseorang tidak bergantung kepada masa-masa contoh tahun baru, tengah tahun atau akhir tahun.
Maknanya, stres yang dialami tidak mengenal masa.
Ia lebih banyak bergantung kepada kelangsungan hidup yang berlaku pada seseorang dalam pergaulan hidup bermasyarakat.
Misalnya, pada zaman millennium atau era baru sekarang ini, banyak perkara yang berlaku.
"Banyak perkara yang berubah seperti pemikiran kita juga turut mengikut perubahan ini agar tidak terkebelakang atau terlalu kehadapan. Cuma mungkin jika seseorang itu tidak dapat memenuhi keperluan dan kehendak sekelilingnya, stres akan berlaku. Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada terjejasnya kesihatan mental," jelasnya.
Jadi, tahun baru bukan penanda untuk bermulanya perkara yang tidak baik untuk kesihatan mental.
Azam tahun baru mempunyai kebaikan seperti dapat membawa seseorang itu ke arah perkara yang diimpi dan dikuasai sama ada perkara itu baik atau tidak.
Perlunya azam tahun baru suatu yang perlu kerana ia membawa kepada maksud matlamat hidup seseorang yang bermula dari titik permulaan dalam sesuatu tahun itu.
"Matlamat hidup pula boleh dilihat kepada matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Matlamat jangka panjang lebih kepada yang lebih umum dan untuk mencapainya ia perlu mencapai matlamat jangka pendek. Semua ini merupakan motivasi atau pendorong untuk seseorang itu memulakan tindakannya," katanya.
Secara amnya, azam tahun baru mempunyai kebaikan dan keburukan kepada mental seseorang.
Kebaikannya, ada matlamat yang lebih fokus membawa kepada perancangan strategi bergantung kepada segala kemudahan dan kebolehan yang ada diri sendiri.
"Baik atau buruk dengan azam yang telah ditanam pada awal tahun membuatkan seseorang itu lebih yakin tentang apa yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, azam bagi kanak-kanak sering didorong oleh keluarga terdekat dan jika ini berlaku sepanjang masa boleh membawa kepada identiti yang disebut moratorium iaitu memakai identiti orang lain," tambahnya.
Dr. Mariani berkata, mungkin dorongan boleh berlaku tetapi bukan sepanjang kehidupan kanak-kanak itu sendiri kerana ia harus berdasarkan kepada minat, kebolehan dan keupayaan seseorang individu yang masih berada dalam kumpulan yang bernama kanak-kanak.
Mengulas tentang keburukan azam tahun baru, kemungkinan ia akan membawa kepada banyak perancangan hingga boleh menjejaskan kehidupan rutin seharian.
"Ini akan menyebabkan individu itu mempunyai tugasan atau tanggungjawab yang terlalu banyak. Memadai sekadar yang boleh dilakukan dalam tahun itu merujuk kepada tanggungjawab lain, masa dan keadaan. Kadang-kadang terlalu banyak azam boleh membawa kepada kekecewaan jika semua azam itu tidak dapat dicapai pada penghujung tahun. Apabila seseorang itu berasa kecewa, ia akan menyebabkan stres," jelasnya.
Ini kerana apabila kita sebut azam tahun baru kita sering mengaitkannya dengan tahun itu juga kecuali disebut, "azam aku dalam dua tahun ini untuk dapat yang terbaik buat diri aku."
Perlu diingat, menanam satu azam yang umum lebih bermakna daripada cuba menyenaraikan begitu banyak azam terutama untuk kanak-kanak.
Ini kerana kanak-kanak mempunyai dunianya sendiri dan berbeza dengan kita orang dewasa yang telah melalui zaman kanak-kanak yang penuh dengan pengalaman.
" Penting sekadar mereka ini mempunyai hala tuju dalam kehidupan mereka khususnya dalam mencorak apa yang kanak-kanak cita-cita dan inginkan. Secara tidak langsung, mereka tahu apa yang mereka mahukan dalam hidup dibimbing secara autoritatif (memberi peluang dan hak untuk mereka mengemukakan pendapat) oleh kedua orang tua dan bukan secara authoritarian (lebih memaksa).
Selain itu, stres di kalangan keluarga sering dikaitkan dengan masalah kewangan pada hujung tahun seperti ketiadaan bonus syarikat. Ia dikatakan boleh mempengaruhi perkembangan mental sebuah keluarga. Misalnya, tidak dapat membawa kanak-kanak bercuti atau membeli barang persekolahan baru akan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak di sekolah. Ini kerana dewasa ini, kanak-kanak sekolah sudah bijak meminta dan akan bersifat muram jika tidak dipenuhi.
Namun, Dr. Mariani berpendapat, kanak-kanak bersifat menyerap maklumat dari persekitaran sama ada yang dilihat atau yang didengar.
Dengan itu, apa sahaja yang berlaku dalam keluarga mereka telah menjadi rutin bagi mereka. "Bercuti jika tidak dijanjikan dan tidak dijadikan rutin atau setiap kali tahun baru menjelma benda baru dijanjikan, mereka tidak akan meminta atau menuntut. Sudah semestinya jika apa yang dijanjikan tidak dikotakan akan dituntut oleh kanak-kanak yang dalam peringkat usia mereka suka buat apa yang mereka fikirkan boleh mereka (ibu bapa) lakukan," katanya.
Tambah Dr. Mariani, fakta seperti tiada bonus atau masalah kewangan tidak semestinya mempengaruhi perkembangan mental sebuah keluarga jika keluarga itu sendiri pandai menyusun atur gerak langkah ahli dalam keluarga terutama dari aspek menggunakan kewangan.
"Jadi, perlu dilihat kepada apa yang ada sebelum membelanjakan kepada kehendak ahli dalam keluarga masing-masing. Dengan kata lain ukur baju di badan sendiri. Bagi mereka yang ingin menyambut kedatangan tahun baru, mulakan dengan niat yang jelas, tepat dan sesuai dengan diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Dr. Mariani memberi panduan ringkas kepada mereka yang ingin membina azam baru.
" Sebut azam baru yang lebih spesifik dan berpijak di bumi nyata. Selain itu, setiap individu perlu perkemaskan langkah yang perlu dalam mencapai azam yang baru itu. Kemudian, gunakan segala kesilapan teknikal yang telah berlaku sebagai pengajaran sahaja dan bukan sebagai sempadan untuk tidak mahu mencuba lagi. Jangan lupa, meningkatkan kelemahan diri dan cari strategi positif yang lain. Pastikan anda menjadikan kekuatan diri sebagai perisai untuk lebih berjaya dalam mencapai matlamat atau azam baru," jelas beliau.
Dengan itu, setiap individu yang ingin membina azam baru tidak beras stres kerana berjaya menerima dan ingin memperbaiki kelemahan diri.
No comments:
Post a Comment