Showing posts with label Penyakit Berjangkit. Show all posts
Showing posts with label Penyakit Berjangkit. Show all posts

Sunday, December 27, 2009

Ancaman penyakit

Oleh Hafizah Iszahanid

Ketahui risiko di negara yang ingin dilawati

SELAIN memikirkan keseronokan untuk keluar negara, pernahkah anda mengambil masa menyemak status kesihatan negara yang bakal dilawati?

Tahukah anda dalam masa sebulan, separuh daripada 100,000 pelancong yang bertandang ke negara-negara membangun, akan mengalami masalah kesihatan?

Bukan setakat itu, daripada 8,000 yang berjumpa doktor, 5,000 mendapat cuti sakit, 300 terlantar di wad manakala 1,100 lain hilang upaya bekerja dengan sekurang-kurangnya seorang pula berkemungkinan meninggal dunia?

Sebenarnya, selain menyediakan pasport dan tiket untuk keluar negara anda perlu memastikan imunisasi anda juga di tahap baik. Misalnya jika anda mengunjungi negara yang berhadapan masalah hepatitis B atau A, anda perlu pastikan anda sudah mendapat pelalian penyakit berkenaan.

Dekan Fakulti Sains Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa, Prof Yasmin Abdul Malik, berkata disebabkan kebarangkalian mendapat penyakit sewaktu melancong sangat tinggi, pengembara sepatutnya berjumpa doktor sebulan atau dua bulan sebelum memulakan perjalanan.

“Pengembara biasanya menghidap penyakit ini melalui makanan dan air yang tercemar, serangga atau sentuhan dengan orang lain yang sudah oun dijangkiti. Jangkitan lazimnya membabitkan sistem gastro usus atau pun menerusi sistem pernafasan yang menyebabkan masalah cirit-birit dan Influenza,” katanya.

Jelas Yasmin, kebanyakan penyakit yang menyebabkan komplikasi cirit-birit tidak boleh dicegah dengan vaksin. Namun, ia boleh dielakkan dengan mematuhi peraturan asas yang mudah iaitu, minum hanya air dalam botol, makan di restoran yang bersih dan memilih makanan panas yang dimasak dengan sempurna.

Penyakit berkaitan pernafasan seperti Influenza dan meningokokul pula boleh dicegah dengan pengambilan vaksin. Selain itu penyakit pengembara lain yang boleh dicegah dengan vaksin adalah Hepatitis A dan B serta demam tifoid atau demam kepialu.

“Mereka yang ingin berkunjung ke Afrika, Amerika Selatan dan Tengah, Asia dan Asia Barat sebenarnya paling terdedah terhadap penyakit yang boleh mengancam nyawa ini.

“Lebih menyukarkan keadaan, kos mendapat rawatan di negara asing pula biasanya membebankan dan hanya menambah kesulitan terhadap pengembara,” katanya.

Jelas Yasmin, tahap serius masalah demam kepialu, Hepatitis A dan Hepatitis B mungkin berbeza bergantung kepada negara yang dilawati. Bagaimanapun, secara umum ia masih berupaya mendatangkan komplikasi yang kronik.

Apa yang pasti, kemungkinan berdepan komplikasi begini sememangnya tidak wajar kerana kebanyakan ancaman ini sebenarnya boleh dicegah dengan pelalian.

Namun, mengambil suntikan pelalian bukanlah bermaksud seseorang itu bebas 100 peratus daripada risiko penyakit kerana ia sebaliknya mengurangkan risiko jangkitan. Selebihnya pengembara perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam memilih makanan dan minuman.

Sunday, April 19, 2009

Sasaran malaria sifar

Oleh NURUL ANUAR KARI

KITARAN malaria dari nyamuk kepada manusia, dan disebarkan semula nyamuk lain kepada mangsa seterusnya.

MALARIA mungkin semakin pudar dari ingatan kebanyakan penduduk negara ini berbanding denggi, mahupun chikungunya. Namun, jangan diambil remeh kerana seperti mana-mana penyakit berjangkit, malaria cuma memerlukan satu sumber, satu pesakit (patient zero) untuk menjadi satu wabak besar.

Malaria boleh dikatakan penyakit yang seangkatan dengan denggi, chikungunya, demam kuning, filariasis (untut), encephalitis dan juga virus west nile dari segi penyebarannya. Kesemua penyakit tersebut disebarkan atau boleh disebarkan melalui vektor tertentu, terutamanya nyamuk.

Walaupun spesies nyamuk dan cara pembiakan parasit malaria berbeza dengan virus denggi, akibatnya tetap sama iaitu demam dan simptom jangkitan lain yang boleh membawa maut kepada pesakit. Mengambil kira situasi semasa, perkara utama untuk dikongsi bersama orang ramai bukan lagi kaedah rawatan ataupun parasit Plasmodium yang menjadi punca malaria.


Apa yang penting, kerjasama. Kerjasama dalam mengesan patient zero dengan secepat mungkin serta mencegah penyebaran parasit tersebut dengan menyekat aktiviti vektornya, nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk), daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

- Terus menular

Perkataan malaria sendiri datang dari bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair (tempat pembiakan nyamuk).

Malaria bukannya penyakit baru dan dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun dengan beberapa spesies rapat parasit tersebut masih boleh ditemui dalam cimpanzi.

Rekod sejak 2,700 Sebelum Masihi di China juga menunjukkan demam berperingkat yang menjadi ciri khusus malaria telah dikenalpasti.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan sendiri memperakui malaria telah menewaskan masyarakat dunia bertahun-tahun dahulu lagi.

“Kita tidak boleh membenarkan ini berulang sekali lagi. Satu rancangan bertindak global untuk kawalan malaria yang menerima sokongan meluas semua pihak adalah satu faktor penting untuk kita berjaya (mengawal malaria),” katanya.

Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga 3 juta penduduk dunia di 109 negara benua Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terkecuali dengan kes malaria mula muncul sejak 60 tahun lalu dan dijangka boleh meningkat jika pemanasan global menambah sebaran habitat nyamuk Anopheles.

Di Malaysia, malaria yang secara umumnya sudah terkawal dan hampir berjaya dihapuskan dilihat kembali meningkat dalam tempoh dan di kawasan tertentu. Ini dikaitkan dengan kebanjiran warga asing, terutamanya pendatang tanpa izin yang masuk tanpa melalui pemeriksaan kesihatan dan juga kuarantin (pengasingan) jika mereka membawa penyakit berjangkit.

Ini terbukti dari kenyataan mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyatakan hampir empat peratus atau lebih 45,000 dari 1.3 juta pekerja asing yang ‘diperiksa’ pada 2007 mempunyai penyakit berjangkit. Jumlah itu juga merupakan satu peningkatan melebihi 7,000 kes berbanding catatan sepanjang 2005 dan melibatkan penyakit seperti HIV/AIDS, hepatitis B, siflis, tibi, kusta dan malaria.

Berasaskan konsep patient zero, terdapat kemungkinan yang tinggi penularan kes malaria secara tiba-tiba di kawasan tertentu di Malaysia lebih melibatkan warga asing. Ini kerana beberapa laporan penularan malaria turut membabitkan pekerja asing (sah atau tanpa izin) dalam kelompok sam dengan warga tempatan. Ini meningkatkan kebarangkalian mereka menjadi punca bermulanya sebaran parasit Plasmodium (patient zero).

- Menghapus

Pengerusi Bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, Bill Gates menyatakan beliau percaya bahawa jika orang ramai ditunjukkan satu masalah dan juga cara penyelesaiannya, mereka akan mula bertindak.

“Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) menunjukkan rangka tindakan untuk menentang malaria dan sekarang adalah masanya untuk dunia mengambil tindakan,” tegasnya.

Pada tahun 2005, yayasan tersebut telah menderma berjuta-juta dolar kepada Fakulti Perubatan Tropika Liverpool untuk menjalankan kajian ke atas penyakit malaria. Pada 2007, Gates sekali lagi menyumbangkan AS$23 juta (RM82.96 juta) kepada Fakulti sama untuk kajian penyakit bawaan nyamuk dan serangga lain yang menjadi punca penularan penyakit berjangkit kepada lebih 150 juta penduduk miskin di kawasan tropika.

Pengarah Eksekutif Perkongsian Roll Back Malaria (RBM), Awa Marie Coll-Seck pula berpendapat amat penting untuk langkah pencegahan dan rawatan berjuta-juta mangsa malaria dunia berjaya dicapai.

“GMAP akan menjadi panduan dan menyatukan masyarakat dunia dalam usaha menyediakan bantuan segera dan berkesan bagi negara yang terlibat menentang malaria.

“Dengan pembiayaan dan sokongan politik yang cukup, rancangan ini dapat membantu kita mencapai kejayaan besar menentang malaria bagi tahun-tahun mendatang,” tegasnya.

Memandangkan malaria mempunyai beberapa peringkat jangkitan, terdapat pilihan pencegahan sama ada untuk mensasarkan parasit Plasmodium itu sendiri atau vektornya, nyamuk betina Anopheles. Oleh kerana parasit tersebut mampu menyorok di dalam sel darah merah dan sel hati, agak sukar untuk mengesan mahupun membunuhnya.

Dengan itu, langkah paling mudah dan rendah kos adalah kawalan vektor, sama seperti kawalan denggi, dengan mengawal habitat pembiakan mahupun menyekat nyamuk daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

Nyamuk Anopheles lebih suka bertelur dalam air yang bersih tetapi tetap boleh membiak dalam air masin, mahupun air kotor. Larva nyamuk ini telah dikesan di dalam air paya, paya bakau, sawah padi, tebing sungai dan juga lopak air selepas hujan atau banjir, juga pada pokok atau mana-mana struktur yang boleh menakung air. Kawalan habitat bukan sahaja perlu bertumpu kepada tompok air bersih, malahan mana-mana takungan air, terutamanya selepas banjir atau di musim hujan.

Penggunaan racun serangga atau kelambu pula dilihat dapat mencegah nyamuk (Anopheles mahupun Aedes) daripada menggigit mangsa. Ini penting untuk mengelakkan penyebaran parasit, mahupun virus, dari mangsa yang sudah dijangkiti kepada individu sihat.

Kementerian Kesihatan mensasarkan malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara 2015 hingga 2018. Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan.

Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria.

- Tempoh kritikal

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers menegaskan GMAP memberi asas kukuh untuk kita melabur dalam usaha menentang malaria.

“Saya menggesa penyokong-penyokong usaha ini di peringkat negara mahupun global untuk menggunakan rancangan ini bagi menggerakkan sumber sedia ada untuk kawalan malaria dan menyokong panggilan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon untuk menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan malaria,” ujarnya.

Tahun 2009 dan 2010 menjadi pertaruhan besar dalam usaha membasmi malaria menjelang 2015. Ini kerana semua usaha menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan perlu dimulakan dalam dua tahun ini bagi membolehkan sasaran tersebut dicapai.

Buat masa ini, dianggarkan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat malaria setiap 30 saat dan setiap kematian ini sebenarnya boleh dicegah. Usaha kini giat dijalankan untuk menyalur kemudahan asas seperti kelambu dan racun serangga ke kawasan-kawasan utama yang dilanda malaria. Walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui, terutamanya di kawasan luar bandar.

Selain itu, ubat dan kaedah rawatan yang jauh lebih murah dan berkesan turut diperkenalkan bagi membolehkan individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan untuk malaria.

Kerajaan Brazil dan Agensi Inisiatif Penggunaan Dadah Bagi Penyakit yang Diabaikan tahun lalu turut mengumumkan ubat terbaru untuk malaria dengan menggabungkan ubat sedia ada iaitu artesunate dan mefloquine dalam satu tablet. Dengan pengambilan satu atau dua biji pil berkenaan setiap hari untuk tiga hari, pesakit didakwa dapat pulih daripada jangkitan parasit malaria.

Kerajaan Brazil sendiri dikatakan akan mengedarkan ubat yang dikenali sebagai ASMQ itu secara percuma kepada mereka yang memerlukan serta akan memindahkan teknologi menghasilkannya ke India bagi pengedaran ke Asia Tenggara dengan anggaran kos rawatan hanya sekitar AS$2.50 (RM9.02).

Jika kerajaan sebuah negara sanggup melepaskan peluang keuntungan besar atas dasar perikemanusiaan untuk merawat pesakit miskin, tiada lagi alasan untuk kita tidak bekerjasama menghapuskan malaria. Tidak kira banyak atau sikit sumbangan dan bantuan yang dapat diberikan, ianya jauh lebih bermakna daripada hanya memerhatikan usaha orang lain dari jauh.

Bersama kita mulakan usaha mencapai malaria sifar menjelang 2015, bekerjasama menghapuskan penyakit berjangkit yang meragut paling banyak nyawa di dunia ini.

Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) dihasilkan oleh Perkongsian Roll Back Malaria (RBM) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sila layari laman web www.rbm.who.int/worldmalariaday/

resources.html untuk maklumat lanjut mengenai malaria, GMAP, RBM atau laporan penuh malaria 2008.

Thursday, January 1, 2009

Bersihkan persekitaran, hindar Chikungunya

Utusan Malaysia: 30/12/2008

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

CHIKUNGUNYA merupakan sejenis penyakit viral disebarkan menerusi jangkitan akibat gigitan nyamuk aedes yang turut membawa virus demam denggi dan demam kuning.

Penyebaran Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania, Afrika Timur pada 1953. Sejak itu, epidemik ini berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Bermula pada 2003, wabak ini telah berleluasa di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang semakin meningkat terutama selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, kes pertama di Malaysia dilaporkan berlaku di sebuah kawasan di Klang, Selangor pada tahun 1998 dan tidak lama selepas itu turut membabitkan kawasan perumahan di Perak.

Katanya, meskipun jumlah kes Chikungunya semakin menurun di negara ini namun pihaknya masih meneruskan pemantauan secara berkala sebelum mengesahkan negara benar-benar bebas daripada penyakit itu.

Jumlah kes terkumpul sepanjang April sehingga minggu lalu adalah sebanyak 3,984 kes manakala sehingga 23 Disember lalu sebanyak 4,034 kes telah dicatatkan.

‘‘Kami menerima antara 100 hingga 150 laporan mengenai kes Chikungunya dalam seminggu dan minggu lalu dicatatkan 119 kes baru,’’ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Dr. Hassan, setiap kawasan perumahan di negara ini tidak terkecuali daripada jangkitan penyakit Chikungunya kerana ia dibawa oleh dua jenis nyamuk iaitu Aedes Albopictus dan Aedes Aegypti yang turut menyebarkan virus demam denggi.

Penyakit demam Chikungunya merupakan penyakit endemik tercetus daripada virus Chikungunya jenis Genus Alphavirus dalam keluarga Toganiridae.

Terdapat dua jenis trend virus jangkitan Chikungunya iaitu Afrika Barat dan Afrika Selatan. Kedua-dua jenis rantaian virus ini mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk mengeram.

Setelah itu barulah simptom penyakit mula menyerang pesakit kira-kira tiga hingga 10 hari manakala tempoh pemulihan pula memakan masa seminggu lagi.

‘‘Pesakit lazimnya tidak akan mengalami sebarang perubahan pada minggu pertama virus itu mengeram namun selepas itu mereka akan mula demam, ruam dan sakit badan apabila virus itu mula menyerang.

‘‘Pada waktu ini juga, antibodi badan akan mula bertindak untuk melawan virus berkenaan sebelum bermulanya proses pemulihan,’’ jelas beliau.

Simptom virus Chikungunya boleh disalah anggap dengan manifestasi klinikal menyerupai virus denggi antaranya:

lDemam panas mengejut sehingga 39 darjah Celsius.

lSakit teruk pada sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.

lRuam pada kaki, tangan dan badan,

lSakit kepala berserta demam (antara satu hingga tujuh hari, kebiasaannya lima hari).

lInsomnia.

lKesejukan, menggigil.

lKurang selera makan.

lPerut meragam.

lMata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

lSeperti penyakit arbovirus lain, jangkitan Chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Sehingga kini, belum ada kes mengenai pendarahan atau kematian akibat Chikungunya pernah dilaporkan di Malaysia. Pun begitu, sesetengah pesakit biasanya mengalami gejala berpanjangan bergantung kepada usia pesakit berkenaan.

Contohnya, pesakit yang berumur boleh mengalami kesan kesakitan berulang terutama pada bahagian sendi sehingga beberapa bulan.

Seperti kebanyakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus, Chikungunya tidak mempunyai rawatan khusus. Selalunya, rawatan akan diberikan mengikut simptom klinikal yang dialami oleh pesakit berkenaan.

Kebanyakan kes memerlukan rawatan pesakit luar disebabkan tiada vaksin.

Walaubagaimanapun, orang ramai yang mengalami gejala penyakit ini digalakkan agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

Monday, December 29, 2008

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut ( HFMD)

Sebagaimana namanya, penyakit HFM melibatkan tangan, kaki dan mulut seseorang pesakit. Ianya disebabkan oleh jangkitan virus dari kumpulan enterovirus yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak berumur 2 minggu hingga 5 tahun.
Virus ini merebak melalui kontak secara lansung (direct contact) dengan titisan atau lelehan yang dikeluarkan dari mulut / hidung / najis pesakit (fecal-oral route). Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan lepuh kulit (blister) pesakit.
Seseorang yang dijangkiti virus ini akan merasa sakit selepas 3 hingga 5 hari selepas terdedah kepada jangkitan virus ini. Kebanyakan pesakit akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari.
Apakah tanda dan gejala penyakit ini ?
Penyakit ini mempunyai tanda-tanda seperti mengalami demam selsema dengan ruam.
Diantara tanda-tanda jangkitan ini ialah :
demam
sakit kerongkong
sakit kepala
hilang selera makan
ulser di tekak dan mulut
ruam dengan lepuh (blister)
1. di tapak tangan
2. kaki dan
3. kawasan lampin.
Apakah komplikasinya ?
Seseorang yang dijangkiti virus ini akan merasai kesakitan selepas 3 hingga 5 hari setelah terdedah kepada virus ini. Kebanyakan pesakit akan sebuh sepenuhnya dalam masa beberapa hari. Tetapi di kalangan segelintir pesakit, penyakit ini boleh membawa maut setelah keadaan menjadi teruk di mana pesakit menjadi lemah, susah bernafas dan sentiasa kesejukan. Ini adalah akibat komplikasi. Jangkitan ini mungkin seperti sakit otot (miositis), bengkak hati dan inflamasi jantung (myocarditis) yang boleh menyebabkan maut terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Bagaimana virus ini merebak ?
Cara utama penyebarakan virus ini ialah pengambilan makanan dan minuman yang dicemar oleh najis pesakit (fecal-oral route). Pencemaran ini boleh terjadi melalui sentuhan tangan yang memindahkan virus dari najis kepada makanan dan minuman. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan udara / lelehan yang dikeluarkan dari mulut atau hidung pesakit apabila mereka batuk, bersin atau bercakap. Jangkitan boleh berlaku jika titisan udara yang mengandungi virus disedut oleh orang lain. Selain daripada itu, virus boleh tersebar melalui air liur pesakit dan sentuhan pada lepuh kulit pesakit.
Apakah cara untuk mengelakan dari jangkitan ini ?
Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus ini. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Jangkitan ini boleh dicegah dengan cara berikut:
Selalu mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan selepas mencuci najis kanak-kanak
Menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
Mencuci alat mainan kanak-kanak dan permukaan (surface) meja / kerusi / lantai dan sebagainya yang telah dicemari air liur.
Kanak-kanan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan ini harus ditegah dari menghadiri tadika, tabika, sekolah dan rumah pengasuh (”baby sitter”) dan perlu dibawa ke klinik / hospital dengan segera.
Ibu bapa dinasihatkan supaya jangan membawa anak-anak kecil mereka ke tempat awam yang sesak seperti pusat membeli-belah, pawagam, kolam renang, pasar, stesyen bas dan sebagainya.
Ibu bapa juga dinasihatkan supaya mandi dan menukar pakaian sebaik saja balik dari luar / kerja sebelum bermesra dengan bayi dan anak-anak mereka.
Bawa anak-anak ke hospital / klinik berhampiran dengan segera jika terdapat tanda-tanda jangkitan virus ini.
Jaga kebersihan rumah dan persekitarannya untuk mengelak jangkitan virus melalui lalat, lipas dan tikus.
Elakkan dari berkongsi berus gigi, cawan sudu, garpu, cadar, sarong bantal, lampin serta sapu tangan dari anak yang dijangkiti oleh penyakit tangan, mulut dan kaki (HFMD).