Sunday, December 27, 2009

Seorang penyelamat di setiap rumah

DALAM usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya pengetahuan dan kemahiran menyelamatkan nyawa di kalangan rakyat Malaysia, Yayasan UPS memberikan sumbangan RM132,589 kepada St John Ambulance Malaysia (SJAM) untuk membiayai Projek Latihan Ahli Pertolongan Cemas di negara ini.

Bertujuan melatih seorang pembantu pertolongan cemas di setiap rumah, projek berkenaan diharap memberi kemahiran menyelamatkan nyawa untuk membolehkan mereka bertindak secara positif apabila berlaku sebarang kecemasan.


Peserta akan mempelajari cara memberikan pertolongan cemas, sokongan hayat dan teknik bantuan pernafasan (CPR).

"Projek Latihan Ahli Pertolongan Cemas adalah penting kepada pembangunan mana-mana masyarakat dan UPS menyokong komitmen menggalakkan pembangunan dalam bidang keselamatan masyarakat.

"Kami harap kerjasama ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat korporat untuk menyokong pengajaran pertolongan cemas kepada masyarakat," kata Pengarah Urusan UPS Malaysia, Naeem Butt.

Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan cek, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar, Senator A Kohillan Pillay.

Sumbangan kewangan daripada Yayasan UPS akan digunakan untuk membeli peralatan pejabat dan latihan dalam usaha menaik taraf pusat latihan utama SJAM di Kuala Lumpur serta empat pusat latihan di Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sabah.

"Perangkaan antarabangsa menunjukkan kebanyakan kemalangan berlaku di rumah dan di tempat kerja.

"Memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak dilatih untuk mengendalikan kecemasan perubatan, sumbangan yang diberikan Yayasan UPS akan mendekatkan kami kepada matlamat melahirkan pembantu pertolongan cemas di setiap rumah di Malaysia.

"Ia juga bagi menyokong ahli SJAM pada masa hadapan untuk meningkatkan kemahiran menyelamatkan nyawa," kata Panglima Agung SJAM, Datuk Dr Low Bin Tick.

Sumber: Harian Metro Online 27 Disember 2009

No comments: