Wednesday, April 10, 2013

Memperkukuh penghayatan Rukun Negara

RUKUN Negara adalah falsafah asas kenegaraan dan ideologi kebangsaan yang amat efektif dalam pembinaan masyarakat bertamadun serta beragama di negara ini. Seperti Pancasila di Indonesia dan ‘Declaration of Independence’ di Amerika Syarikat, Rukun Negara juga merupakan intipati prinsip kenegaraan yang terpenting dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang merangkumi kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Rukun Negara diwujudkan selepas tragedi berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Peristiswa tersebut menjadi titik tolak kepada kelahiran Rukun Negara yang direalisasikan setahun selepas kejadian berkenaan.

Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak yang selepas itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua. Dengan adanya Rukun Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-13 mengandungi pelbagai prinsip hidup bermasyarakat seperti nilai kenegaraan bertamadun, perundangan luhur dan nilai serta norma sosial berwibawa.

Latar belakang sejarah Rukun Negara penting kerana ia memberikan segala huraian dan perincian lengkap mengenai aspek yang berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa serta hak orang Melayu dan keistimewaan lain penduduk pribumi Sabah dan Sarawak tanpa menafikan hak masyarakat lain.

Rukun Negara sebagai piagam lengkap juga mencakupi aspek budaya, ekonomi, politik dan peradaban selaras dengan platform Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang cemerlang dalam semua aspek yang diiktiraf dunia, tetapi dengan acuan tersendiri berasaskan kepada posisi rakyat negara ini yang berbilang kaum, budaya, kepercayaan dan sebagainya. Kepelbagaian dan kemajmukan yang terbina secara semula jadi ini menjadikan Malaysia sebuah negara unik, dihormati dan cukup istimewa berbanding negara lain.

Oleh itu, perlu wujud tahap akhlak dan moral yang tinggi, menghormati hak orang lain tanpa mempertikaikannya dan menghindari daripada membangkitkan persoalan yang sensitif kepada sesuatu kaum seperti hal berkaitan dengan ketaatan seseorang rakyat atas dasar asal keturunan kaumnya, bahasa, kebudayaan serta agama dan kepercayaan mereka.

Perkara ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mendatangkan musibah besar kepada masyarakat di negara ini serta boleh mencacatkan semangat perpaduan kaum yang sudah sekian lama terjalin dan berkembang positif sejak peristiwa berdarah 13 Mei.

Biarpun rakyat negara ini memang mengetahui dan menerima konsep Rukun Negara, menurut kajian yang dilakukan menunjukkan golongan generasi baru sekarang yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun didapati masih kurang menghayati erti sebenar falsafah Rukun Negara, biarpun segala usaha telah dilaksanakan.

Oleh itu, bagi memastikan generasi peneraju negara tidak tercicir serta tersasar dalam memahami serta menghayati Rukun Negara, sewajarnya lima prinsip utama yang terkandung di dalamnya perlu terus diperjelas dan diperincikan secara konsisten bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami inti pati dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Generasi muda tidak pernah merasai pengalaman ngeri peristiwa rusuhan kaum yang cukup dahsyat di negara ini. Mereka juga tidak pernah tahu keperitan pemimpin dulu membina semula struktur serta perpaduan masyarakat ekoran episod hitam tersebut.

Sebagai mengekalkan segala nikmat yang kita kecapi kini sebenarnya hasil usaha dan perjuangan generasi terdahulu, amat wajar ditingkatkan tahap penghayatan serta pemahaman secara holistik terhadap erti sebenar Rukun Negara yang dilihat semakin berkarat dan terhakis di kalangan rakyat hari ini.

Oleh itu, penghayatan Rukun Negara secara bersungguh-sungguh harus dijadikan elemen bersepadu yang perlu difahami objektif serta tuntutannya oleh setiap ahli masyarakat secara keseluruhan.

Sehubungan itu, kempen menyemarakkan semula Rukun Negara secara besar-besaran melalui media termasuk media baru seperti facebook, twitter yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini wajar dilakukan.

Pelaksanaannya boleh dipelbagaikan sama ada berbentuk hiburan berfaedah, sistem pelajaran berkesan, dokumentari, seminar dan ceramah oleh semua pihak yang boleh disertai semua lapisan masyarakat.

Bagi pelajar sekolah dan universiti pula, perlu dirangka pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak seperti mengadakan kuiz, debat, peraduan berkaitan Rukun Negara, persembahan muzikal dan pertandingan pidato.

Kadangkala Rukun Negara yang sudah berusia 40 tahun dilihat satu-satunya falsafah kenegaraan yang masih kekal utuh, tetapi yang peliknya ialah masih tidak mendapat tempat sewajarnya seperti diasaskan pada 1970.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana aspirasi Rukun Negara boleh dijadikan kunci hikmat dalam mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat. Ia menjadi landasan terbaik masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup bersatu padu, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain.

Falsafah Rukun Negara terangkum di dalamnya ideologi nasional yang sangat komprehensif bagi memastikan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara berkekalan.


Sumber: Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/28 : http://w1.hmetro.com.my/articles/Minda_MemperkukuhpenghayatanRukunNegara/Article