Sunday, December 27, 2009

Hadkan pengambilan garam

Garam berlebihan bawa pelbagai penyakit

TANPA garam makanan berasa tawar. Bagaimanapun, pengambilan garam yang tinggi dalam pemakanan, sebaliknya mendedahkan kepada risiko tekanan darah tinggi, angin ahmar, barah perut dan masalah pada ginjal.

Ini disebabkan tahap garam yang terlalu tinggi menyebabkan tubuh menyimpan jumlah air yang banyak, sekali gus meningkatkan jumlah cecair dalam badan.

Garam ialah nama umum untuk sodium klorida. Tidak dinafikan, sejumlah kecil sodium penting untuk kesihatan kerana kesemua cecair tubuh mengandung sodium, termasuk darah.

Namun, berapa banyakkah garam yang diperlukan? Jika mengikut diet umum, pengambilan garam mestilah antara 9 - 10 gram termasuk yang dikenali sebagai ‘garam tersembunyi.’ Ini merujuk kepada garam yang ada dalam bahan makanan seperti kicap, sos, mayonis, keju, ikan masin, penambah perisa dan kiub perasa.

Makanan yang siap diproses seperti sosej dan makanan dalam tin juga tidak terkecuali mengandungi garam tersembunyi ini.


Selain penambah perisa makanan, tidak ramai yang tahu fungsi sebenar garam bagi badan ini. Hakikatnya, ia berfungsi menyeimbangkan cecair dalam tubuh.

Dalam konteks ini, penting untuk tubuh menyeimbangkan tahap sodium dalam darah. Sodium juga penting dalam membantu mengekalkan konsentrasi cecair tubuh pada tahap yang tepat.

Dengan kata mudah, garam berfungsi sebagai rangsangan elektrik dalam saraf dan otot selain menyeimbangkan tekanan darah normal.

Tetapi awas, terlalu banyak mengambil garam akan menyebabkan peningkatan cecair dalam tubuh. Jika cecair yang berlebihan itu berada di otak, ia mungkin menjadi faktor risiko salur darah otak pecah yang menyebabkan angin ahmar.

Bagi jantung pula, ia mungkin menjadi penyebab masalah koronari arteri dan tekanan darah tinggi. Bagi dewasa yang sihat, garam boleh disingkir dari tubuh melalui ginjal menerusi air kencing.

Bagaimanapun, bayi yang mengambil makanan dewasa mungkin tidak berupaya menyingkirkan sodium yang terkumpul di badan. Ia mungkin menjadi punca masalah ginjal, kerosakan hati dan otak serta berkemungkinan menyebabkan maut. Ini kerana, bayi tidak memiliki keupayaan untuk memproses kuantiti garam yang banyak kerana ginjal yang belum sempurna pembentukannya.

INFO: Tip kawal pengambilan garam
# Gunakan ramuan semula jadi seperti jus limau atau rempah
# Kurangkan penggunaan garam dan bahan diawet
# Kurangkan pengambilan kiub, makanan segera, sos, mayonis dalam masakan
# Kurangkan pengambilan makanan dalam tin seperti sosej, burger , kekacang
# Kurangkan mengambil makanan diawet, ikan masing, udang kering, jeruk.

Makanan tinggi garam
# Sos berperisa seperti kicap, sos cili/tomato dan sos tiram - 1,000 hingga 5,000 miligram garam
# Stok/kiub makanan - 3,000 mg garam. Setiap kiub 700 mg
# Sos salad seperti mayonis - lebih 1,000 mg
# Makanan dalam tin - 500 hingga 1,500 mg.

Makanan diawet :
# Telur masin - 500 mg
# Ikan masin - 1,500 mg
# Buah-buahan jeruk (masin) - 1,000 mg
# Udang kering - 4, 000 mg
# Belacan - 1, 000 mg

Sumber: Berita Minggu 27 Disember 2009

No comments: