Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Melakukan aktiviti ringan seperti permainan banyak membantu pesakit Alzheimer.
Usia tua dan kerap lupa antara gejala awal Alzheimer
SEBUT saja nyanyuk, pasti ramai dapat membayangkan penyakit yang lazimnya dialami ibu, bapa atau datuk dan nenek berusia lanjut yang gagal mengingati banyak perkara, termasuk nama insan yang rapat.
Silap jika ada yang memandang remeh perkara ini kerana hakikatnya, tanpa disedari, kita sebenarnya sedang berdepan ‘darurat’ membabitkan kesihatan masyarakat dan penjagaan sosial apabila sejumlah 4.6 juta kes baru nyanyuk dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh setahun.
Ringkasnya, satu kes baru membabitkan penyakit itu dilaporkan setiap tujuh saat! Malah menjelang 2050, dianggarkan 100 juta pesakit nyanyuk atau dementia dilaporkan di seluruh dunia, termasuk cabang penyakit itu - Alzheimer yang ketika ini dihidapi kira-kira 18 juta orang di seluruh dunia.
Alzheimer adalah penyakit nyanyuk paling umum dialami warga emas, khususnya yang berusia lebih 65 tahun.
Ketua Unit Geriatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Lee Fatt Soon, berkata tidak tepat jika ada yang beranggapan nyanyuk satu proses penuaan yang normal kerana ia sebaliknya penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak dan seterusnya mengganggu urusan seharian mereka.
Penolong Yayasan Alzheimer Malaysia, Puan Seri Wendy Ong (tengah) menandatangani Piagam Global Penyakit Alzheimer disaksikan Dr Lee (paling kiri) Exco ADFM, Datuk Dr Yim Khai Kee (dua dari kiri) dan Presiden ADFM, Datuk Jeffrey Ng (paling kanan).
Ia mengakibatkan daya ingatan, pemikiran, tingkah laku dan emosi terjejas. Perkara yang sebelum ini mudah dilakukan seperti memberus gigi, sebaliknya terlalu sukar untuk dilakukan. Lebih menakutkan, penyakit ini boleh dialami sesiapa saja daripada pelbagai latar belakang pendidikan mahupun kebudayaan.
“Ramai orang silap apabila mengaitkan Alzheimer dengan proses penuaan semula jadi, sedangkan ia bukan begitu. Pencegahan mungkin boleh, malah menerusi penjagaan dapat meningkatkan lagi kualiti hidup pesakit nyanyuk dan keluarga mereka,” katanya.
Kata Dr Lee, kurangnya kesedaran dan pemahaman terhadap penyakit Alzheimer mengakibatkan kekurangan sumber daya untuk menghadapi krisis ini.
Di seluruh dunia, perhatian yang diberikan terhadap masalah yang semakin berkembang ini sangat kecil sehingga kebanyakan mereka yang dijangkiti terus menderita tanpa bantuan dan harapan.
Perbincangan antara penjaga pesakit Azheimer satu bentuk sokongan yang positif.
“Sikap ini harus diubah, kualiti hidup penghidap Alzheimer dan penyakit nyanyuk yang lain boleh diubah. Sering kali pesakit, keluarga dan penjaga mereka kurang mendapat sokongan yang diperlukan.
“Agak membimbangkan kerana sehingga kini tiada satu pun negara di dunia yang betul-betul bersedia menghadapi krisis kesihatan ini. Walaupun tiada sebarang rawatan khusus bagi Alzheimer, namun ada langkah untuk menangani gejala penyakit ini,” katanya.
Menyedari kepentingan kesedaran penyakit ini serta bersempena sambutan Hari Alzheimer Sedunia (WAD) yang jatuh pada 21 September setiap tahun, Yayasan Alzheimer Malaysia (ADFM) baru-baru ini mengumumkan siri inisiatif sempena WAD 2009 termasuk Piagam Global Penyakit Alzheimer.
Dr Lee berkata, penyakit Alzheimer memberikan impak yang besar kepada kehidupan pesakit keseluruhannya dan juga kehidupan orang yang menjaga mereka. Oleh itu sudah tiba masa penyakit ini menjadi keutamaan pada peringkat global.
Sebagai satu inisiatif pertubuhan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) tahun ini, WAD dengan tema ‘Mengenal Dementia: Jejak Segera’ berhasrat untuk mendapatkan sokongan dunia untuk menitikberatkan pentingnya mengenal pasti tanda awal penyakit Alzheimer.
Malah, menerusi usaha seperti sambutan Hari Alzheimer Sedunia itu, diharapkan orang ramai semakin faham bahawa Alzheimer adalah sejenis penyakit yang boleh dikawal dengan baik menerusi diagnosis dan rawatan awal dan pada masa sama, boleh membantu menjadikan hidup lebih baik bagi pesakit, orang yang menjaga dan keluarga mereka.
Fakta: Alzheimer
# Tiada satu faktor khusus menentukan punca penyakit ini dan boleh berlaku kepada sesiapa saja
# Faktor risiko ialah umur, paling ketara kepada mereka lebih 60 tahun
# Faktor lain - sejarah penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, angin ahmar, merokok serta kecederaan traumatik pada otak
Tanda awal
# Kesukaran atau hilang ingatan untuk jangka masa yang singkat - mereka boleh mengingati peristiwa yang sudah lama berlaku di sekolah tetapi lupa mengenai sarapan diambil pagi itu.
# Mudah lupa untuk ke tempat yang biasa dia pergi dan tersalah letak barang yang biasa baginya.
# Lupa benda yang mudah seperti nama orang yang dikenalinya, nombor telefon yang biasa digunakan atau bulan apakah sekarang.
# Pesakit suka mengulang sesuatu perkara berkali-kali dan berasa janggal, syak serta waspada terhadap sesuatu perkara dan mudah hilang minat terhadap sesuatu yang mereka sukai sebelum ini.
INFO: Piagam Global Penyakit Alzheimer
# Meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai penyakit itu
# Menghormati hak asasi mereka yang mengalami penyakit itu
# Menghargai peranan utama kaum keluarga dan penjaga
# Menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan dan sosial
# Menekankan kepentingan rawatan yang optimum selepas diagnosis
# Mengambil langkah pencegahan penyakit menerusi peningkatan dalam kesihatan awam
# Maklumat lanjut di web www.adfm.org.my.
No comments:
Post a Comment