Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Hepatitis B kronik boleh menyebabkan barah hati. |
Pesakit yang dijangkiti sejak kecil berisiko alami jangkitan kronik apabila dewasa
HEPATITIS B masih menjadi ancaman di seluruh dunia terutama Asia. Walaupun vaksin menentang hepatitis B sudah diperkenalkan sejak 1982, tetapi ia belum boleh mengawal jangkitan hepatitis B terutama di kalangan kanak-kanak yang lahir sebelum 1982.
Justeru, apabila mereka dewasa virus hepatitis B menjadi kronik dan akhirnya menyebabkan kematian. Malah dianggarkan 25 peratus kanak-kanak yang diserang hepatitis B sejak kecil meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan hati seperti sirosis.
Malah virus hepatitis B boleh bertahan di luar tubuh selama tujuh hari. Dalam tempoh itu, virus masih berupaya menyebabkan jangkitan jika masuk ke tubuh manusia.
Dr Aizan berkata, apabila wanita hamil dijangkiti virus hepatitis B, kemungkinan untuk bayinya dijangkiti tetap ada. Biasanya pada awal kehamilan, risiko jangkitan adalah kurang dari 10 peratus namun pada fasa akhir kehamilan, risiko berjangkit meningkat kepada 90 peratus.
"Wanita yang didiagnos dengan hepatitis B masih boleh hamil tetapi maklumkan kepada doktor mengenai keadaan mereka untuk pemantauan. Bayi akan diberikan dua suntikan sebaik dilahirkan. Dos pertama adalah vaksin hepatitis B manakala dos kedua adalah hepatitis B imun globulin (HBIG) (antibodi mengelak jangkitan).
"Jika dua vaksin ini diberikan pada 12 jam pertama kehidupan bayi, ia memiliki perlindungan terhadap hepatitis B hingga 95 peratus. Bayi kemudiannya memerlukan dos tambahan hepatitis B pada usia satu dan enam bulan," katanya.
Benua Asia mencatat kes hepatitis B tertinggi di dunia. Dianggarkan ketika ini di seluruh dunia, dua bilion manusia didiagnos dengan hepatitis B, 400 juta dijangkiti hepatitis B yang kronik dan 50 juta kes baru dikesan saban tahun. Daripada semua jumlah itu kebanyakan kes berlaku di Asia.
Jangkitan hepatitis B kata Dr Aizan bukan saja berlaku secara vertikal (iaitu daripada ibu kepada anak) ia juga boleh berlaku menerusi jangkitan horizontal iaitu melalui hubungan seksual.
Di Malaysia katanya, hepatitis B yang kronik menjejaskan 1.65 juta orang. Manakala di Thailand 3 juta, 0.15 juta di Singapura, antara 7-14 juta di Vietnam, 34 juta di India dan 120-130 juta di Cina.
Bagi pesakit hepatitis B yang dijangkiti sejak kecil katanya, kemungkinan jangkitan hepatitis B menjadi lebih kronik bergantung kepada usia seseorang itu dijangkiti. Mereka yang dijangkiti sejak kecil berisiko untuk berhadapan dengan jangkitan yang kronik.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekitar 90 peratus kanak-kanak yang berjangkit dengan hepatitis B sejak lahir akan berhadapan dengan hepatitis B kronik.
Antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti hepatitis B pada usia setahun ke empat tahun, juga berkemungkinan berhadapan dengan jangkitan hepatitis B kronik.
Manakala 25 peratus orang dewasa yang dijangkiti secara kronik sejak kecil akan meninggal dunia kerana penyakit berkaitan hati seperti barah hati.
Bagaimanapun, perlu juga diketahui jika virus hepatitis B menjangkiti golongan dewasa yang sihat, mereka akan pulih dengan sendirinya dan akan bebas sepenuhnya daripada virus itu dalam masa enam bulan.
Jangkitan hepatitis B kata Dr Aizan terjadi dalam dua peringkat, akut dan kronik. Hepatitis B akut terjadi selepas saja terdedah kepada virus.
Manakala hepatitis B kronik adalah jangkitan dengan HBV dalam tempoh yang lama (lebih daripada enam bulan). Hepatitis yang kronik sukar untuk sembuh sepenuhnya.
Hati yang terjejas kerana hepatitis B kronik, jika tidak dirawat menyebabkan hati berparut dikenali sebagai sirosis, ia kerap dikaitkan dengan amalan meminum arak yang kuat. Apabila ia terjadi, hati tidak lagi boleh berfungsi. Rawatan yang ada hanyalah pemindahan hati. Justeru pencegahan terbaik adalah mendapatkan vaksin mencegah hepatitis B sebelum terlambat.
INFO: Simptom:
- Jaundis pada mata dan kulit
- Air kencing berwarna kuning gelap
- Terlalu letih
- Muntah
- Sakit perut
FAKTA: Virus hepatitis B
- Jangkitan Virus Hepatitis B (HBV) menyerang hati.
- Virus HBV berjangkit melalui pemindahan darah atau cecair tubuh yang lain termasuk air mani, susu badan dan darah haid.
- Di seluruh dunia, dua juta orang disahkan dijangkiti virus hepatitis B (HBV) manakala 350 juta mengalami jangkitan kronik. Dianggarkan 600,000 orang mati setiap tahun kerana HVB.
- Sekitar 25 peratus orang dewasa yang dijangkiti HBV sejak zaman kanak-kanak meninggal dunia akibat barah hati yang disebabkan jangkitan HBV kronik.
- Virus HVB lebih mudah berjangkit, iaitu pada kadar 50 ke 100 kali berbanding HIV.
- Namun, berbanding HIV, HBV boleh dilindungi dan dicegah melalui suntikan vaksin.
No comments:
Post a Comment