Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Hanya memerlukan pemeriksaan air kencing, darah dan tekanan darah
MASALAH buah pinggang adalah masalah sedunia. Pada peringkat global, data menunjukkan setiap seorang daripada 10 orang dewasa berhadapan dengan kerosakan buah pinggang. Ini menjadikan hampir 500 juta orang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).
Angka ini meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes jenis 2 di serata dunia selain masalah tekanan darah tinggi.
Pakar Runding Nefrologi dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hari Buah Pinggang Sedunia 2009, Dr Goh Bak Leong berkata peningkatan kes CKD di Malaysia menyaksikan terdapat hampir 17,000 orang memerlukan dialisis dan pada masa sama kosnya terus meningkat.
Beliau berkata, mujur kerajaan melalui kementerian kesihatan memberikan subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan untuk menerima bantuan.
“Sebenarnya, CKD adalah masalah yang boleh ditangani jika dikesan pada peringkat awal. Malah, pengesanan masalah CKD cukup mudah. Pengesanan CKD memerlukan pemeriksaan air kencing, darah dan tekanan darah,” katanya.
Pengesanan awal katanya membantu memperlahankan dan menangani kegagalan buah pinggang selain mencegah penyakit kardiovaskular. Selain itu, pesakit perlu mengambil ubat bagi mengawal tekanan darah, memperbaiki tahap kawalan kencing manis agar sentiasa berada pada tahap yang normal dan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.
Dr Goh berkata, secara saintifiknya buah pinggang berperanan penting menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari.
“Ia juga berfungsi mengawal tekanan darah yang juga penyebab dan juga komplikasi untuk CKD,” katanya.
Beliau berkata, CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.
Selain hospital kerajaan dan pusat dialisis swasta, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) menyediakan 22 buah pusat rawatan dialisis.
INFO: Siapa yang berisiko
- Menghidap kencing manis
- Menghidap tekanan darah tinggi
- Terlalu gemuk atau mempunyai berat badan berlebihan
- Mempunyai latar belakang keluarga yang menghidap penyakit kencing manis, hipertensi atau masalah buah pinggang
INFO: Penyakit buah pinggang kronik
- CKD adalah isu kesihatan awam yang utama dan bersifat global
- Lebih daripada 500 juta penduduk dunia, iaitu 10 peratus daripada populasi golongan dewasa, mengalami masalah kerosakan buah pinggang.
- Seramai 90 peratus daripada mereka yang menghidap CKD belum lagi dikesan.
- Perbelanjaan bagi rawatan kerosakan buah pinggang (penyakit buah pinggang peringkat akhir) di seluruh dunia semakin meningkat
- Lebih daripada 1.5 juta orang didapati masih hidup dengan dialisis atau pemindahan buah pinggang dan angka ini diramal meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
- Kos global yang melampau bagi rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang diramal meningkat ke paras melebihi RM3.7 trilion pada dekad yang akan datang
- Beban ekonomi akan menjejaskan perancangan belanjawan kesihatan di negara-negara maju dan bagi negara-negara yang mempunyai pendapatan yang lebih rendah, adalah mustahil bagi mereka memperuntukkan kos sedemikian untuk program kesihatan mereka.
- Penyakit kencing manis membawa risiko tiga kali ganda kepada berlakunya kerosakan buah pinggang
- Dianggarkan sehingga 2025, penyakit kencing manis akan meningkat sebanyak 70 peratus dan mencecah 300 juta orang dan negara-negara yang membangun akan terjejas dengan teruk akibat peningkatan ini
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensasarkan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat penyakit kronik sebanyak 2 peratus setiap tahun untuk 10 tahun berikutnya
- Pengesanan awal dan pencegahan bagi mereka yang menghidap CKD serta mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular boleh membantu menjamin sasaran itu dicapai
No comments:
Post a Comment