adawiyah.koh@utusan.com.my
BERJALAN kaki merupakan satu senaman yang ringkas dan mudah dilakukan jika kita tidak dapat memperuntukkan masa untuk berjogging atau ke pusat gim.
Kekerapan berjalan kaki selama 30 minit dan dilakukan tiga kali seminggu berkesan memperbaiki sistem jantung manusia.
Hanya dengan berjalan kaki, ia mampu melancarkan peredaran darah dalam badan.
Senaman seperti ini memainkan peranan penting dalam hidup seharian kita. Ini kerana senaman menentukan tahap kecergasan kita dan seterusnya menentukan tahap tenaga yang kita punyai untuk menjalankan kegiatan seharian. Kecergasan boleh dibahagikan kepada kecergasan fizikal dan kecergasan mental. Secara amnya, seseorang dianggap cergas dari segi fizikal sekiranya dia masih bertenaga untuk menikmati masa lapangnya selepas seharian bekerja.
Ini berbeza dengan mereka hanya duduk di depan meja selama lapan jam sehari menyebabkan suatu kelesuan yang tidak dapat dihilangkan pada akhir hari kerja dan dengan itu mereka tidak ada baki tenaga untuk menikmati masa lapang yang bermutu dengan keluarga.
Dalam pada itu, satu kajian di Amerika Syarikat mendapati 83 peratus daripada kematian akibat penyakit jantung membabitkan pesakit berumur 65 tahun ke atas.
Apabila usia meningkat, jantung mula tidak berfungsi dengan sempurna.
Pembuluh darah menjadi semakin keras dan kurang kenyal menyebabkan jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah ke otot jantung. Apabila usia meningkat juga, seseorang itu lebih kerap menghidap penyakit lain yang berkaitan seperti diabetes dan hipertensi (tekanan darah tinggi), setiap satunya boleh meninggikan risiko mendapat penyakit jantung.
Gaya hidup sedantari Orang yang kurang bersenam dan mengamal gaya hidup sedantari (tidak aktif) berisiko untuk mendapat penyakit jantung.
Senaman membakar lemak dan kalori badan, lantas mengawal berat badan. Ia meninggikan tahap kolesterol-HDL (kolesterol baik), mencegah dan mengawal kandungan gula darah sambil menguatkan jantung.
Senaman yang baik membabitkan senaman aerobik seperti berjalan laju, berlari, berbasikal dan berenang selama 30 hingga 60 minit sehari, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman sebegini memberi keupayaan penuh kepada badan dan organ untuk mengambil oksigen yang dibawa dalam darah.
Namun, soal selidik mendapati 70 peratus golongan dewasa tak bersenam dan 60 peratus daripadanya memberi alasan tiada masa. Cuma 11 peratus golongan dewasa di Malaysia bersenam tiga kali atau lebih seminggu.
Sebagai satu usaha menggalakkan rakyat Malaysia agar lebih prihatin terhadap penjagaan jantung untuk menjamin kesihatan yang lebih baik, Yayasan Jantung Negara dan Nestle Omega Plus dengan kerjasama akhbar Mingguan Malaysia mengambil langkah bijak, menganjurkan sebuah projek murni yang diberi nama Walk A Mile.
Objektif penganjuran program yang berkonsepkan bukan pertandingan ini adalah untuk mengajak orang ramai berjalan sejauh sekurang-kurangnya 1 kilometer sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat Malaysia menjadikan berjalan sebagai salah satu aktiviti riadah rutin dalam kehidupan seharian.
Ia merupakan tahun kesembilan program ini dianjurkan. Pada tahun ini, Mingguan Malaysia dipilih sebagai rakan media program kerana diyakini dapat menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia dengan lebih berkesan.
Bagi memperkukuhkan usaha ini, Mingguan Malaysia akan menyiarkan artikel-artikel yang berkaitan dengan program bermula pada hari ini hingga kemuncak acara pada 18 Oktober depan.
Walk A Mile akan membuka tirai di Dataran Pahlawan, Jalan Tunku Bendahara, Alor Setar pada 25 April 2009 sebelum bergerak ke Melaka pada 24 Mei, Kuantan pada 21 Jun, Pulau Pinang pada 26 Julai dan lokasi terakhir di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2009, sempena Hari Jantung Sedunia.
Baru-baru ini, satu sidang media Walk A Mile diadakan sebagai tanda kerjasama para penaja.
Majlis ringkas ini dihadiri Pengurus Acara Nestle Sdn. Bhd., Yang Kalsom Omar, Pengarah Yayasan yang mewakili Yayasan Jantung Negara, Datuk Gurbakhash Singh, sementara Utusan Malaysia (M) Berhad, diwakili oleh Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat, Yusnita Moslin.
Pelbagai aktiviti sampingan akan diadakan untuk memeriahkan lagi program seperti pemeriksaan kesihatan, persembahan artis, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai lagi.
300 peserta pertama yang membuat pengesahan pendaftaran akan menerima kemeja T dan hadiah-hadiah sampingan penyertaan serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Paling menarik tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan untuk menjadi peserta.
Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut sila hubungi Dino atau Zura di talian 03-92877777 sambungan 259/392.
Senaman baik untuk jantung!
Semua orang sedar betapa pentingnya senaman untuk menjaga kesihatan jantung tetapi tidak melakukannya kerana tidak tahu tentang manfaatnya. Berikut adalah beberapa faedah bersenam untuk jantung:
l Mengurangkan risiko sakit jantung dengan meningkatkan aliran darah di seluruh badan
l Mengawal berat badan
l Memperbaiki tahap kolesterol darah
l Mencegah dan menguruskan tekanan darah tinggi
l Meningkatkan tenaga
l Membantu mengurangkan tekanan
l Mengurangkan ketegangan
l Melegakan kebimbangan dan kemurungan dan menaikkan minat dan semangat
l Memupuk amalan yang menyihatkan jantung di kalangan kanak-kanak dan mengurangkan masalah yang menyebabkan sakit jantung dan strok (kegemukan, tekanan darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi, amalan gaya hidup kurang baik dan sebagainya) apabila usia lanjut
l Di kalangan orang yang lebih tua, ia membantu mencegah atau mengelakkan penyakit kronik dan penyakit yang dikaitkan dengan proses penuaan dan mengekalkan kualiti kehidupan dan kemampuan untuk berdikari.
Arus pemodenan telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan selesa. Pernahkah anda tertanya mengapa moyang dan datuk nenek kita hidup lebih lama daripada anak-anak kita hari ini.
Puncanya mungkin sikap pemalas dan kurang melakukan kegiatan fizikal. Sudah tiba masanya kita menjaga kesihatan jantung dengan bersenam hari ini!
Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:
l Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan. Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolaholah ada sesuatu yang mencekik.
l Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat
l Sukar bernafas seolaholah ada sesuatu yang menikam pada dada
l Pedih perut iaitu seperti ada agin atau menghidap gastrik.
l Kepala berpusing
l Badan lemah serta berpeluh sejuk.
Cara-cara untuk mengurangkan risiko
l Oleh kerana penyakit jantung rata-ratanya berkait rapat dengan cara dan gaya hidup, langkah yang paling sesuai adalah untuk mengubahnya.
l Perokok mesti berhenti daripada meneruskan tabiat yang tidak berfaedah itu. Berat badan mesti dikawal supaya tidak berlebihan.
l Pemakanan sepatutnya bercirikan kesihatan iaitu yang kurang lemak, kurang manis, kurang masin dan berpatutan dari segi sukatannya.
l Pesakit yang menghidap kencing manis semestinya perlu mengikut nasihat doktor, dan mengamalkan pemakanan yang tidak berasaskan gula atau karbohidrat yang terlalu tinggi.
l Bersenam memang sudah diketahui akan menyihatkan badan, apatah lagi menjauhi seseorang dari gejala penyakit jantung koronari.
l Sememangnya seseorang itu tidak dapat mengubah nasib keluarga yang berisiko tinggi ataupun genetik atau keturunan penghidap penyakit ini tetapi amalan cara hidup sihat telah terbukti dapat menjauhi kita dari gejala-gejala penyakit yang amat berbahaya ini.
|
|
No comments:
Post a Comment