Sunday, April 19, 2009

Bukan setakat menggeletar

Keadaan menggeletar pesakit Parkinson boleh hilang setelah mendapat bantuan ubat-ubatan serta pembedahan.







“TERUS TERANG saya katakan, stigma masyarakat membuatkan kami pesakit Parkinson ‘mati’ sebelum masanya,” luah Niamat Ali Raukee, 68.

Bercerita lanjut, insiden diketawakan, dipandang sebagai objek pelik serta diperlekehkan sudah menjadi asam garam kehidupan Niamat dan pesakit Parkinson yang lain.

Malah, semenjak disahkan menghidap penyakit pergerakan dan rangsangan otot itu kira-kira 14 tahun lalu, terlalu banyak insiden yang membuatkan beliau berasa lebih selesa duduk di rumah sahaja.

“Saya pernah diketawakan kerana meminta tolong bangunkan saya dari kerusi ketika hendak membayar bil. Orang itu anggap saya berpura-pura,” katanya.

Walaupun Niamat mengambil ubat-ubatan sebanyak tujuh kali sehari, fenomena ‘baik sekejap’ membuatkan beliau hanya mampu berjalan sempurna selama dua jam selepas mengambil ubat.

“Anggapan yang pesakit Parkinson ini selalu menggeletar tangan tidak tepat. Tangan saya menggeletar pada waktu tertentu sahaja.

“Masalah utamanya ialah apabila kita tidak mampu menggerakkan tubuh. Itulah yang orang ramai tidak faham,” katanya.

Nyata, melihat keadaan Naimat ketika diwawancara, tiada langsung tanda yang beliau menghidap penyakit yang sering dikaitkan dengan warga emas itu.

Bekas guru ini juga memberitahu, agak sukar pada mulanya untuk beliau menerima hakikat dirinya menghidap Parkinson. Hanya selepas menjalani diagnosis di beberapa buah hospital barulah beliau dapat menerima kenyataan.

“Hingga kini, masih ada rakan yang tidak percaya saya mengalaminya kerana pada zahir semuanya kelihatan sempurna.

“Namun sebenarnya ia sangat menakutkan. Segalanya bermula dengan kesukaran menggerakkan kaki kiri beberapa tahun lalu dan kini, saya disahkan menghidap Parkinson,” katanya.

Pakar Runding Neuro dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Chew Nee Kong menjelaskan, penyakit misteri ini sering disalah anggap oleh masyarakat.


NIAMAT cekal menjalani hidup sebagai pesakit Parkinson.


“Paling utama, ramai mengaitkan ia dengan keadaan tangan serta tubuh yang menggeletar. Hakikatnya, ia bergantung kepada pesakit dan cuma 30 peratus pesakit akan menunjukkan simptom ini,” katanya.

Menurut Nee Kong, keadaan menggeletar ini boleh hilang setelah beberapa tahun mengambil ubat-ubatan serta menjalani pembedahan.

Jelas beliau, penyakit ini juga boleh muncul tanpa simptom yang melibatkan saraf motor. Dan sememangnya simptom menggeletar adalah cara paling mudah untuk kita mengetahui seseorang mengalaminya atau tidak.

Namun, menurut Nee Kong, ia bukanlah simptom utama. Adakalanya ia hanya muncul pada peringkat tertentu, malah selepas beberapa tahun.


TANGAN menggeletar merupakan simptom paling mudah penyakit Parkinson.


Tegasnya, kini penyakit ini dikategorikan sebagai penyakit neuro-psikiatri kerana ia turut membabitkan gangguan emosi di samping pergerakan pesakit.

“Mengasingkan diri, malu serta tiada keyakinan diri seolah-olah menjadi pakej kepada penyakit ini. Justeru, di samping merawat simptom, terapi dan kaunseling juga diberikan,” ujarnya.

Azam mendidik anak

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?


"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."


KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?

Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadikan contoh

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.

Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.

Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.

Mendisiplinkan anak

Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.

Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.

Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.

Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.




Memahami anak

Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?

Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.

Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.

Pemakanan sihat

Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.

Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.


"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes."


Aktiviti fizikal

Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.

Berkomunikasi secara efektif

Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.

Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.

Sentiasa bersedia

Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.

Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://pediatrics. about.com.

Parkinson semuda 23 tahun


MENTERI Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai (kanan) turut hadir pada sambutan Hari Parkinson Sedunia 2009.

HARI Parkinson Sedunia disambut pada 11 April setiap tahun. Ia bertujuan menyedarkan masyarakat dunia tentang penyakit Parkinson serta kesannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

Ini kerana, masih ramai yang menganggap penyakit Parkinson sebagai penyakit biasa yang hanya dihidapi oleh golongan tua. Tetapi sebenarnya, individu semuda usia 23 tahun boleh menghidap penyakit Parkinson dan ia pernah berlaku di Malaysia.

Kira-kira 6.3 juta manusia di seluruh dunia menghidap Parkinson dan ketika ini masih tiada penawar bagi menyembuhkan penyakit tersebut. Rawatan yang ada sekarang, cuma untuk mengawal simptom berkenaan agar pesakit dapat menjalani hidup dengan lebih baik dan sempurna.

Penyakit Parkinson bukannya sejenis penyakit berjangkit. Penyakit itu adalah keadaan di mana daya kawalan otot seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan penghidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.

Menurut Pakar Neurologi dan Pakar Perunding Pusat Perubatan Pantai, Dr. Chew Nee Kong, kesedaran mengenai penyakit itu di kalangan rakyat Malaysia masih rendah sekali gus menyumbang kepada diagnosis lewat atau tidak lengkap.

Katanya, sikap seperti itu membuatkan keadaan pesakit lebih teruk kerana tidak mendapatkan ubat lebih awal.

Dr. Nee Kong yang juga antara sekumpulan kecil pakar Parkinson di Malaysia memberitahu:

"Parkinson merupakan salah satu daripada penyakit paling kurang diketahui di Malaysia dan tanggapan umum bahawa ia hanya menyerang golongan warga emas adalah salah.

"Usia, kaum dan jantina tidak menjadi penghalang kepada Parkinson untuk menyerang seseorang. Antara lima hingga 10 peratus daripada pesakit menunjukkan simptom-simptom sebelum usia 40 tahun.

Dr. Nee Kong menambah, pengesanan awal adalah penting bagi memastikan pesakit menerima terapi secukupnya bagi menyekat penyakit itu daripada terus merebak.

Bukan buat-buat ketar

Tiada rawatan penawar untuk penyakit Parkinson. Hanya pengambilan ubat sebanyak empat atau enam kali sehari dapat mengurangkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit bagi menjalani hidup dengan lebih sempurna.





DOPAMINE yang rendah dalam otak dikaitkan dengan serangan Parkinson.


APAKAH yang terlintas di fikiran anda apabila diberitahu bahawa anda menghidap penyakit Parkinson?

Maut, tua, mengeletar atau mungkin juga petinju legenda, Muhammad Ali. Hakikatnya, tidak ramai di kalangan masyarakat kita mengetahui apatah lagi memahami apakah itu sebenarnya Parkinson.

Akhirnya, masyarakat kita mempunyai stigma negatif terhadap pesakit dan penyakit ini.

Secara umumnya, penyakit Parkinson adalah masalah neuro-degeneratif yang progresif. Ia berlaku apabila pesakit mengalami gangguan pada sistem motor yang menyebabkan terjadinya simptom-simptom seperti menggeletar, pergerakan di luar kawalan, kekejangan dan kelemahan otot yang semakin teruk dari sehari ke sehari.


MENGGELETAR adalah antara simptom paling sinonim dengan penderitaan pesakit Parkinson.


Simptom yang serius hanya menyerang apabila pesakit terlewat mengambil ubat dalam masa yang telah diarahkan, misalnya setiap tiga jam. Jika itu berlaku, keseluruhan badan pesakit akan menggeletar (kadangkala menggeletar yang terlampau) serta tidak dapat bercakap dan bergerak dengan sempurna.

Inilah yang terjadi kepada Steven Tung, 54. Derita yang dihadapinya bukan setakat menanggung penyakit yang tiada penawar, malah dia juga terpaksa berhadapan dengan sikap masyarakat yang tidak memahami.


PARKINSON terus menjadi satu penyakit misteri tanpa kepastian punca dan penemuan penawarnya.



S. PANDIRAJAN menerima bantuan sebanyak RM40,800 bagi membiayai kos pembedahan penyakit Parkinson.


Justeru, tidak hairanlah apabila penyakitnya menyerang secara tiba-tiba, beberapa individu yang berada berhampirannya akan ketawa.

"Pernah semasa di hospital ketika isteri saya pergi mengambil ubat di kaunter, dengan tiba-tiba, penyakit ini datang. Ketika itu, saya duduk di atas kerusi roda sambil tangan saya memegang tayar kerusi roda.

"Tiba-tiba badan dan tangan saya menggeletar. Saya tidak dapat mengawal pergerakan lalu kerusi roda bergerak ke pelbagai arah.

"Tetapi sedihnya, beberapa orang yang berada di situ tidak menolong, sebaliknya ketawa memandang saya.

"Mereka menganggap seolah-olah saya sengaja berbuat begitu dan mungkin melihat saya seperti manusia yang tidak normal kerana 'bermain-main' dengan kerusi roda," ceritanya dalam nada sedih.


PESAKIT Parkinson masih boleh melakukan pelbagai aktiviti walaupun dalam pergerakan terhad.





Menyingkap kisah Steven, semuanya bermula sejak 10 tahun yang lalu. Semasa bersenam, beliau mendapati tangan kanannya tidak bergerak seiring dengan tangan kirinya. Ketika itu, dia merasakan pergerakan tangan kanan lebih lambat.

Steven yang peka dengan keganjilan dirinya bertindak segera ke hospital dan doktor mendiagnosis Steven menghidap penyakit Parkinson.

Keadaan Steven semakin hari semakin teruk. Dia perlu mengambil ubat setiap tiga jam. Jika terlambat, keadaannya seperti mayat hidup.

Ini diakui sendiri oleh isterinya, Choong Kye, yang menyatakan bahawa beliau perlu sentiasa berada di samping Steven.

"Pernah suatu ketika, saya sibuk menguruskan rumah. Tanpa disedari, dia terjatuh dari kerusi dan mukanya tersembam ke lantai. Puncanya, saya terlambat beri dia makan ubat yang akhirnya menyebabkan dia tidak dapat mengawal pergerakan badannya," kata Choong Kye yang enggan wajahnya dan suami dirakamkan lensa kamera jurugambar Kosmo!.

Sementara itu, bagi S.Pandirajan, 44, episod duka dalam hidupnya berlaku seawal usia 32 tahun ketika dia bangun dari tidur di rumahnya di Pasir Gudang, Johor.

"Semasa bangun dari tidur, separuh badan saya terasa kebas dan menggigil. Pada mulanya, saya menyangka mungkin kerana saya terlalu penat bekerja atau tersalah tidur.

"Namun, simptom-simptom tersebut berlaku setiap hari sekali gus memaksa saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor mendiagnosis saya menghidap penyakit Parkinson dan memberi saya ubat," kata juruteknik penyelenggara di sebuah syarikat swasta itu ketika menceritakan detik permulaan dia mendapat Parkinson.

Entah apa silapnya, badan Pandirajan menolak ubat yang dimakan. Selepas mengambil ubat, dia akan muntah.

Rakan terdekat yang mengetahuinya telah mencadangkan kepada Pandirajan berjumpa bomoh kerana mempercayai dia terkena buatan orang.

"Pada waktu itu tentulah kita percaya dan usaha dengan apa sahaja yang diusulkan orang. Saya pergi berjumpa bomoh sehingga terpaksa berhabis sebanyak RM2,000. Namun, keadaan saya semakin teruk dan terpaksa bergantung pada kerusi roda sepanjang masa," kata Pandirajan yang akhirnya berjumpa dengan doktor pakar bahagian neurologi bagi mendapatkan rawatan.

Setelah 10 tahun menderita Parkinson, doktor mengesahkan penyakit Pandirajan telah berada di peringkat yang teruk dan perlu melakukan pembedahan Rangsangan Otak Dalaman atau Deep Brain Stimulation (DBS).

Dia yang tidak lagi bekerja hanya memperoleh sumber kewangan daripada isteri yang bekerja sebagai tukang jahit dan juga ihsan daripada saudara-mara terdekat.

Sempena sambutan Hari Parkinson Sedunia 2009 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Pandirajan menerima bantuan kos pembedahan sebanyak RM40,800.

Apa yang mengharukan Pandirajan, dia merupakan penerima sulung Tabung Amanah Lloyd Tan yang dianjurkan oleh Persatuan Parkinson Negeri Sembilan.

Guru pedalaman

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

Selain faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di luar kawasan disebabkan stigma negatif iaitu kemudahan terhad.


Lantaran itu, ada yang sanggup menganggur dan menukar profesion daripada dihantar bertugas nun jauh di pedalaman.

Mereka yang menyedari tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik anak bangsa pula menerima tawaran terbabit walaupun terpaksa.

Guru sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Balur, Gua Musang, Kelantan, Hazizul Mamat, 28, berkata selepas ditawarkan untuk mengajar di Gua Musang, dia menerimanya dengan hati yang gembira kerana masih berada di dalam negeri kelahirannya.

"Namun, selepas sesi taklimat bersama guru besar sekolah itu dan menjejakkan kaki ke sekolah tempat mengajar, hati saya meronta untuk balik ke kampung.

"Perjalanan yang jauh dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dan terpaksa merentasi tiga batang sungai saya boleh terima.

"Tetapi sebaik saja sampai ke sekolah itu dan melihat keadaannya, saya hanya mampu menitiskan air mata dan mahu pulang," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tanggungjawab, Hazizul yang pada ketika itu berusia 21 tahun, pasrah dan meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik di sekolah Orang Asli sehingga kini.

Bercerita mengenai pengalaman mengajar di sekolah pedalaman, Hazizul mengakui cabaran utama mereka hanyalah perjalanan dan penyesuaian diri.

"Dari segi mengajar, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan pelajar di sekolah itu mempunyai minat untuk belajar.

"Tetapi, penyesuaian diri di perkampungan Orang Asli dan perjalanan ke sekolah adalah cabaran terbesar yang perlu saya tempuh," katanya.

Hazizul berkata, dia terpaksa menempuh banyak halangan dalam perjalanan berikutan sekolah itu yang terletak di kawasan paling pedalaman di Gua Musang.

"Untuk sampai ke sekolah ini, saya terpaksa merentasi laluan hutan yang dipenuhi dengan binatang buas.

"Selain itu, bertembung dengan lori balak dan debu yang tebal sehingga buku lali juga adalah halangan serta risiko yang perlu dihadapi.

"Sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun di sekolah ini, pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan ialah terpaksa tidur di tepi sungai apabila air sungai naik," katanya.

Menurutnya, dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran serta masyarakat pula, ia sedikit sukar terutama dari segi penginapan.

"Ini kerana, saya adalah satu-satunya guru yang mengajar di sekolah itu selain guru besar. Jadi, tidak ada rumah penempatan untuk guru di sini.

"Namun, alhamdulillah, sekarang keadaan sudah bertambah baik dan ia tidak lagi seperti dulu. Bilangan guru pun sudah bertambah," katanya yang dua kali menolak tawaran pertukaran sekolah.

Sementara itu, Azhar Abdul Aziz, 31, guru pedalaman di SK Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang berkata, mengajar di sekolah terbabit adalah pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

"Ketika menerima surat tawaran, sekolah ini beralamat di Jerantut dan bukannya di Hulu Tembeling. Jadi saya tidak kisah sangat.

"Namun, selepas bertemu dengan guru besar, barulah saya tahu yang sekolah itu terletak di pedalaman dan terpaksa menaiki perahu," katanya.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ditipu guru besar yang memaklumkan perjalanan untuk sampai ke sekolah dengan menaiki perahu hanya memakan masa sejam, tetapi sebenarnya perjalanan yang ditempuh selama empat hingga lima jam.

"Ketika baru menaiki perahu, setiap kali saya bertanya kepada guru besar, dia hanya menjawab, dekat lagi. Jadi saya hanya tunggu sehinggalah tiga kali bangun daripada tidur, masih juga tidak sampai dan guru besar hanya mampu tersenyum melihat gelagat saya.

"Selain itu, disebabkan sekolah terbabit dikatakan berada di kawasan pedalaman, keluarga membekalkan saya dengan peralatan memasak seperti periuk, kuali dan bahan mentah kerana beranggapan ia tidak dapat diperoleh di kedai di sini," katanya.

Kini, selepas 10 tahun menjadi guru di sekolah itu, Azhar menjadi lebih matang dan gembira menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Peluang pendidik luar bandar genggam ijazah

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my



BAGI memartabat profesion perguruan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru di kawasan pedalaman mengikuti Program Sarjana Muda Pengajaran (SMP) di beberapa institut pendidikan guru terpilih di seluruh negara.

Program SMP itu adalah antara langkah kementerian bagi Pensiswazahan Guru-Guru Pedalaman yang termasuk dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).


Pengarah Pusat Pembelajaran Wilayah Pahang, OUM, Ahmad Izanee Awang, berkata program berkenaan adalah satu usaha kementerian bagi melahirkan guru kawasan pedalaman yang memiliki ijazah serta dapat menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah di luar bandar.

Menurutnya, melalui program ini, guru pedalaman perlu menghadiri kuliah secara sepenuh masa sewaktu cuti sekolah bagi menghabiskan 10 jam kredit untuk setiap kursus yang diambil.

"Mereka akan menjalani proses tutorial intensif secara berpusat selama lima hari di institut perguruan ditetapkan kementerian sehingga tamat pengajian bagi satu semester.

"Selesai mengikuti tutorial, mereka akan kembali mengajar seperti biasa dan diberikan tugasan yang perlu dihantar sebelum menduduki peperiksaan," katanya.

Ahmad Izanee berkata, disebabkan masa dan kos perjalanan, guru pedalaman berkenaan diberikan kelonggaran untuk berinteraksi dengan penyelia melalui forum di laman web OUM.

"Mereka juga boleh membuat rujukan dengan menggunakan perkhidmatan perpustakaan online yang ditawarkan OUM untuk menyelesaikan tugasan dan sebagai persiapan menduduki peperiksaan," katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang, Azhar Abdul Aziz, 37, berkata kaedah pembelajaran yang disediakan OUM khusus untuk guru pedalaman adalah yang terbaik.

Ini kerana, menurutnya, tanpa kaedah pembelajaran sedemikian, dia mungkin tidak akan berpeluang menyambung pelajaran disebabkan masa dan kos perjalanan.

"Saya pasti tidak mampu menanggung kos perbelanjaan bagi menghadiri kuliah yang mencecah sehingga RM800 satu perjalanan jika mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam melalui kaedah biasa.

"Selain itu, perjalanan yang memakan masa empat hingga lima jam dengan menaiki bot serta bergantung kepada keadaan cuaca boleh menguburkan impian saya untuk menggenggam segulung ijazah," katanya yang sudah berkhidmat di sekolah terbabit selama 10 tahun.

Azhar yang mengikuti program berkenaan dalam bidang TESL juga terpaksa meninggalkan keretanya di Kuala Tahan bagi memudahkannya menghadiri tutorial di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan (IPTAA), Kuala Lipis, Pahang.

Seorang lagi pelajar OUM, Syamsul Azhar Yusof, 28, yang mengajar subjek Bahasa Malaysia di SK Balar, Gua Musang, Kelantan, berkata ceruk manapun seorang guru itu mengajar, ia bukan lagi alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Mengajar di pedalaman bukan penghalang untuk kita terus menimba ilmu dan menjadi guru berkualiti. Jadi, saya berharap guru terutama yang mengajar di pedalaman memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

Asah minda anak

Oleh NORAINON OTHMAN




MERANGSANG kecerdasan otak anak menerusi alam sekeliling dan kehidupan seharian lebih mudah dilakukan berbanding menyuruh anak duduk diam dan belajar dalam suasana serius.

Kanak-kanak banyak belajar daripada pemerhatian dan interaksi dengan alam sekeliling mereka. Apa yang ada dalam lingkungan hidup dan rutin kita dapat dimanfaatkan untuk pembelajaran si kecil tanpa memerlukan ibu bapa mengeluarkan modal besar.


Antara pembelajaran secara tidak langsung ialah jika anak masih kecil, ajar dia matematik dengan mengajaknya mengira ketika menaiki atau menuruni tangga.

Cara itu lebih menyeronokkan dan mudah diingati kerana membolehkan anak mengaitkan pembelajaran dengan sesuatu berbanding anda mengajarnya mengira tanpa alat bantuan.

Ketika dalam kenderaan, minta anak sebut huruf dan angka pada plat kenderaan kerana cara itu mudah mengasah ingatannya.

Apabila dia semakin besar, anda boleh memintanya mencampurkan semua nombor pada plat kenderaan yang dilihatnya dan tanyakan jumlahnya.

Kaedah itu membantu anak mengira dengan pantas dan menguatkan ingatannya kerana dia perlu mengingat beberapa nombor yang kemudian perlu dicampur.

Perjalanan jauh kadangkala membosankan kanak-kanak. Untuk mengurangkan kebosanan, minta anak baca papan tanda jalan atau papan iklan.

Anda juga boleh meminta anak membaca nama kedai atau bangunan bagi memantapkan pembacaannya. Selain itu, anda boleh memintanya mengeja menu makanan dan minuman ketika di restoran.

Si kecil mungkin keliru dengan nama warna dan sering tersalah memberitahu warna yang dimaksudkannya.

Untuk memudahkannya mengingati warna, tunjukkan objek yang mempunyai warna berkenaan, misalnya daun berwarna hijau dan kunyit berwarna kuning kerana mengaitkan warna dengan objek yang sinonim memudahkan anak mengingati sesuatu.

Anak turut mengenal alam sekeliling melalui aktiviti bersama. Oleh itu, ajak anak melakukan aktiviti seperti membasuh pinggan, melipat pakaian, mencuci kereta atau berkebun bagi membolehkannya mengenal banyak objek dan barangan.

Aktiviti di luar rumah juga membolehkan anak mempelajari alam sekitar, misalnya jogging, berkebun, melawat zoo atau mengikut sama ke pasar.

Melalui cara itu, anak akan dapat mengetahui sesuatu tempat serta fungsinya.

Apabila perkara itu dinyatakan, mudah baginya membayangkan suasana berkenaan kerana sudah mengetahui gambaran sebenar melalui pengalaman sendiri.

Anda juga boleh mengajar anak mengenai konsep alam semula jadi seperti matahari terbit dan terbenam, pasang surut air laut, embun pagi dan bagaimana hujan terjadi.

Hadiahkan anak haiwan peliharaan seperti anak kucing atau ikan dan biarkan dia membela sehingga besar.

Cara itu dapat mendidik anak erti tanggungjawab, perubahan usia iaitu haiwan yang dibela berubah bentuk daripada kecil kepada dewasa serta nilai kasih sayang antara makhluk.

Pembedahan orthognathic atasi jongang

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Gambar kiri (sebelum) dan kanan selepas pembedahan.

Rawatan pakar mampu betulkan rahang supaya penampilan menarik

JONGANG bagi sesetengah orang mungkin perkara biasa. Namun, jongang yang keterlaluan mengganggu keharmonian wajah dan menjejaskan individu itu secara psikologi.

Jongang adalah satu daripada kategori masalah rahang (prognathism). Prognathism menjelaskan kaitan kedudukan antara rahang bawah (mandible) dan rahang atas (maxilla) dengan tulang asas rahang. Prognathism diambil daripada bahasa Greek yang bermaksud ke hadapan (pro) dan rahang (gnathos).


Ia boleh berlaku pada bahagian tengah muka membabitkan rahang atas tertonjol (maxillary prognathism) atau rahang bawah yang tertonjol (mandibular prognathism) yang menjejaskan bahagian bawah muka.


Jongang juga mungkin menyebabkan rahang atas yang menempatkan barisan gigi tertonjol keluar alveolar prognathism).

Pakar Runding Bedah, Oral, Maksilofasial dan Implan, Dr Firdaus Hanapiah, berkata jongang umumnya adalah masalah rahang bawah lebih tertonjol.



"Secara mudah, rahang kecil dengan gigi yang banyak menyebabkan jongang. Rahang besar dengan gigi yang sedikit menyebabkan gigi jarang. Jongang yang sedikit boleh dibetulkan dengan pendakap gigi, jongang yang teruk dan menjejaskan penampilan memerlukan pembedahan," katanya.

Dr Firdaus berkata, dalam sesetengah kes, jongang berlaku atas faktor genetik, tetapi ada juga kes berlaku akibat kecederaan seperti kemalangan jalan raya selain tabiat buruk seperti suka menghisap jari.

Selain itu, jongang juga mungkin berlaku disebabkan masalah lain misalnya sindrom crouzon atau sindrom basal cell nevus (kecacatan yang diwarisi atas faktor genetik membabitkan kulit, sistem saraf, mata, kelenjar endokrin dan tulang).

Kanak-kanak pula, jongang mungkin terjadi kerana masalah gigantism (pertumbuhan abnormal disebabkan masalah hormon) selain masalah acromegaly (masalah kekacauan metabolik)

"Jika jongang tidak mengganggu pesakit, tiada apa yang perlu dirisaukan. Namun, jika jongang itu keterlaluan, menjadikan penampilan seseorang itu tidak harmoni misalnya kelihatan berwajah garang atau menakutkan, malah ada pesakit yang terjejas dari segi psikologi, pembedahan boleh dilakukan," katanya.

Dr Firdaus berkata, masalah jongang yang memerlukan pembedahan biasanya dilakukan selepas seseorang itu berhenti membesar (bagi kanak-kanak) manakala bagi orang dewasa biasanya selepas tamat pengajian atau sudah selesa dengan pekerjaan. Ia kerana mereka akan pulih dalam tempoh yang lama, selain perlu kerap berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan.

Cara tangani jongang

Pembedahan pergigian dikenali sebagai pembedahan orthognathic adalah pilihan untuk mereka yang mengalami jongang yang teruk. Pembedahan bukan saja membantu penampilan individu terbabit malah pertuturan mereka turut tidak terganggu," katanya.

Pembedahan orthognathic dilakukan bagi membetulkan pelbagai masalah rahang. Biasanya barisan gigi akan diubah mengikut kedudukan rahang baru. Prosedur ini memakan masa yang lama manakala tempoh untuk benar-benar pulih juga mengambil masa enam bulan.

Bergantung kepada keadaan pesakit, ada juga kes membabitkan rahang yang perlu dipotong bagi memendekkannya.

"Objektif pembedahan ini adalah membetulkan masalah rahang yang membantu pesakit mengunyah, bercakap dan bernafas dengan lebih baik. Malah, penampilan juga lebih menarik," katanya.

INFO: Tiga jenis jongang.

1) Alveolar prognathism

Biasanya disebabkan tabiat buruk seperti menghisap jari atau puting susu. Ia akan menyebabkan keseimbangan gigi terganggu. Ia biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang membesar. Masalah ini mudah ditangani dengan terapi pergigian. Kes berulang boleh berlaku, tetapi tidak kerap.

2) Maxillary Prognathism

Ada kalanya jongang jenis ini terjadi kerana rahang bawah yang tidak membesar dengan sepatutnya. Ia ada kaitan dengan penyakit lain. Jika tidak serius, ia boleh ditangani dengan pendakap gigi atau pembedahan.

3) Mandibular prognathism

Selalunya dikaitkan dengan faktor genetik. Rahang bawah bersaiz lebih besar daripada rahang atas menyebabkan dagu menjadi panjang.

Diagnosis penting tentukan tahap arthritis

Oleh Dr Mahamud Musman (Pakar Runding Ortopedik dan Trauma, Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam)

BAGAIMANA jika otot yang mengelilingi sendi anda menjadi kecil dan lemah hingga bahagian itu terasa seakan tidak stabil? Atau pergerakan anda terhad kerana rasa sakit pada sendi dan semua kesakitan itu muncul selepas sendi membengkak.

Semua simptom itu menjurus pada masalah osteoarhtritis (OA). Walaupun bukan semua pesakit OA mengalami simptom yang sama, namun pada asasnya pesakit OA mengalami rasa sakit, kejang atau lebih teruk tidak mampu melakukan aktiviti seharian.

OA adalah satu daripada senarai masalah arthritis yang kerap ditemui. Ia terjadi kerana kerosakan pada tulang rawan. Kerosakannya adalah sebahagian daripada proses penuaan. OA terjadi apabila bahagian tulang rawan yang secara normalnya licin mula menunjukkan tanda-tanda pecah, berlubang-lubang kecil dan menjadi besar.

Pada peringkat awal, tulang rawan ini berlubang-lubang (pitted) dan menyebabkan sendi mengalami kesakitan. Pergerakan sendi juga menjadi berkurangan dan serentak itu membran (dikenali synovial membrane - menghasilkan cecair pelincir) mengalami keradangan.

Pada peringkat yang lebih teruk, tulang rawan berlubang dengan saiz yang lebih besar dan mendedahkan kawasan tulang pada bahagian sendi. Pada masa itulah sendi menjadi lebih sakit, bengkak dan pergerakan lebih terganggu.

OA pada lutut akan menyebabkan ia membengkak, sakit, mengurangkan pergerakan dan otot di sekelilingnya mengecil. Ia menjejaskan aktiviti harian seperti solat (duduk antara dua sujud), mencangkung malah berjalan dengan betul.

Disebabkan OA adalah penyakit yang berkaitan dengan penuaan, ia kerap dikaitkan pada mereka yang berusia lebih 50 tahun. Kerap kali wanita lebih berisiko iaitu dua daripada tiga wanita berusia lebih 65 tahun mengalami OA manakala, seorang daripada tiga orang yang berumur lebih 60 tahun mengalami OA.

Namun, OA boleh juga terjadi pada golongan muda. Misalnya ia berlaku penggunaan sendi berlebihan, masalah berat badan yang menyebabkan bebanan dan tekanan pada sendi lutut, sejarah kemalangan atau pembedahan pada sendi yang menyebabkan sendi rosak atau tidak sembuh dengan sempurna.

Faktor genetik juga boleh menyebabkan OA. Setiap kita membawa gen yang bertanggungjawab terhadap penghasilan rawan. Ada juga yang membawa gen rosak untuk penghasilan rawan. Ini menyebabkan kerosakan sendi yang lebih cepat.

Bagi mereka yang lahir dengan abnormaliti pada sendi lebih cenderung berhadapan dengan OA. Mereka yang lahir dengan abnormaliti pada tulang belakang pula (misalnya tulang belakang yang bengkok) cenderung berhadapan dengan masalah OA tulang belakang.

Bagaimana OA dirawat?

Tujuan rawatan biasanya terbahagi kepada dua, iaitu mengurangkan rasa sakit pada sendi dan menambah fungsi sendi. Ia membabitkan pengambilan ubat-ubatan, pemakanan dan berat badan serta akhirnya pembedahan.

Selain itu, diagnosis penting untuk menentukan tahap arthritis yang dialami. Pilihan rawatan

bergantung pada tahap arthritis termasuk rawatan perubatan, fisioterapi dan pembedahan.

1. Pengambilan ubat-ubatan:

Banyak jenis ubat di pasaran membantu mengurangkan sakit pada sendi seperti ubat bukan steroid anti-radang (NSAID).

Glucosamine sulphate: Digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan dipercayai boleh membantu pengeluaran cecair synovium dan memperbaiki sendi.

Corticosteroid: Hanya diberi kepada pesakit yang sakitnya keterlaluan dan bengkak pada sendi. Ia membantu mengurangkan keradangan.

Suntikan asid hyluronic ke dalam sendi: Untuk pesakit yang mengalami kesakitan. Sekiranya lutut yang bengkak kerana cecair yang banyak, ia boleh dikeluarkan.

Asid Hyaluronic: cecair semula jadi yang sentiasa ada di dalam sendi. Ia berfungsi sebagai cecair dalam pergerakan (gliding ability) dan penyerapan pergerakan sendi.

2. Pemakanan dan berat badan

Berat badan yang berlebihan menyebabkan penambahan tekanan pada sendi yang mengalami OA terutama sendi lutut, paha dan tulang belakang. Ini menambah kesakitan pada sendi yang terbabit.

Pengurangan berat badan mengurangkan tekanan pada sendi.

3. Fisioterapi

Latihan pergerakan sendi dan imbasan bertujuan untuk mengurangkan sakit dan membantu menambahkan pergerakan sendi dan fungsinya.

Latihan sendi perlu untuk menambah keanjalan sendi dan kekuatan otot di sekitar sendi. Latihan seperti berjalan, berbasikal dan berenang adalah disyorkan. Latihan yang membabitkan hentakan sendi patut dijauhkan.

4. Pembedahan

Dilakukan pada sendi sekiranya kesakitan tidak boleh berkurangan dengan rawatan perubatan dan fisioterapi. Selepas pembedahan, pesakit tidak mengalami kesakitan dan mengembalikan fungsi sendi.

Simptom

  • Sakit: simptom awal dan menjadi lebih teruk bila penggunaan sendi yang berlebihan. Sakit berkurangan apabila berehat.

  • Bengkak dan radang pada sendi, selalunya berlaku pada awal OA

  • Pergerakan sendi yang berkurangan (stiffness)

  • Otot-otot yang mengelilingi sendi menjadi kecil dan lemah sehingga pesakit merasa sendi tidak stabil

  • Pergerakan pesakit menjadi berkurangan atau tidak dapat bergerak kerana kesakitan sendi.
  • Kutu mudah berjangkit

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my

    PERNAH melihat anak perempuan anda menggaru kepala terutama ketika tidur? Yang pasti perlakuannya itu kerana kepalanya gatal, tetapi tahukah anda punca sebenar masalah itu disebabkan kutu?

    Kutu kepala lebih kerap ditemui pada kepala kanak-kanak perempuan yang berambut panjang. Kutu mudah berjangkit walaupun tidak boleh melompat atau terbang. Kutu biasanya berpindah daripada seorang kanak-kanak kepada kanak-kanak lain apabila mereka tidur bersama atau bermain bersama dalam kumpulan.

    Kutu juga boleh melekat di bantal, topi atau kerusi malas tetapi tidak boleh berjangkit kepada orang lain dengan cara itu.


    Walaupun kanak-kanak lebih sinonim sebagai ‘hos’ kutu, namun ibu bapa atau nenek juga boleh berhadapan dengan masalah kutu. Kutu bukan disebabkan masalah kanak-kanak yang disifatkan sebagai pengotor kerana kanak-kanak pembersih boleh juga mengalaminya.


    Biasanya, kutu berwarna kelabu kehitaman dengan panjangnya 2.5 milimeter (mm). Ia bergayut di rambut dan sering ditemui di kulit kepala. Kutu hidup dengan menghisap darah, justeru ia hanya mampu bertahan selama dua hari saja jika terjatuh dari kepala.

    Kutu kepala kerap ditemui di kulit kepala di belakang telinga dan berdekatan belakang tengkuk.

    Kutu membiak sangat cepat. Dalam masa sehari kutu betina boleh bertelur antara enam hingga lapan kali. Biasanya kutu betina bertelur berdekatan pangkal akar rambut menyebabkan ia sukar dibuang.

    Selepas tujuh atau lapan hari, telur kutu menetas meninggalkan keronsong kosong berwarna putih bersinar.

    Antara 10 hingga 14 hari selepas menetas, kutu mencapai tahap kematangan. Malah, ia boleh mencapai dua hingga empat mm panjang. Matang bermaksud ia mula aktif dari segi reproduktif. Jangka hayat kutu bagaimanapun tidak panjang, biasanya antara 32 hingga 35 hari.

    Mengenali anak hadapi masalah kutu

    Anak sering mengadu ada sesuatu benda bergerak di atas kepala. Selain itu, dia kerap menggaru kepala terutama pada waktu malam kerana berasa gatal disebabkan alahan pada setiap gigitan kutu.

    Cara menangani masalah kutu

    Kutu gemar berada di kepala kanak-kanak perempuan yang berambut panjang. Apabila kanak-kanak itu meningkat dewasa, masalah kutu akan selesai begitu saja.

    Namun, menunggu hingga kanak-kanak dewasa dan pandai mengurus diri sendiri tentulah mengambil masa. Oleh itu, untuk mengatasinya anda boleh menggunakan syampu khas untuk membunuh kutu. Selain itu, menggunakan minyak zaitun juga boleh membuang telur kutu.

    Empat peraturan utama yang harus diingat apabila menggunakan ubat kutu

    1. Jangan guna jumlah yang lebih daripada disarankan

    2. Jangan rawat kanak-kanak menghadapi masalah kutu lebih dua kali dengan ubat yang sama

    3. Jangan campurkan ubat kutu berlainan jenama

    4. Dapatkan nasihat doktor jika masih gagal menghilangkan kutu di kepala anak selepas mereka menjalani dua kali rawatan biasa

    Warna aura

    Oleh Dr Noordin Darus (Universiti Malaya dan London University)
    dnd@worldwellness.com.my

    Teknologi kamera boleh kenal pasti warna aura seseorang

    MINGGU ini saya akan huraikan dengan lebih lanjut mengenai warna aura seseorang itu yang juga kesinambungan kepada artikel saya sebelum ini.

  • Merah
    Seperti ditulis dalam artikel saya sebelum ini, mereka yang mempunyai aura berwarna merah adalah seorang yang aktif, produktif, selalu memandang masa hadapan dan pelbagai lagi sifat. Namun, pada masa sama mereka ini membuatkan orang lain di sekeliling mereka sukar untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka kerana sifat ego dan suka bertengkar. Bagaimanapun, mereka boleh menjadi seorang pemimpin yang efektif kerana mempunyai fokus yang jelas untuk mencapai matlamat. Mereka ini melambangkan api yang digunakan dalam teori awal mengenai alam. Cahaya mereka terus menyala dan menjadi obor kekuatan untuk menghasilkan produktiviti yang maksimum.


    Saranan bagi mereka ini, perlulah meningkatkan hubungan dengan orang lain secara emosional dan sosial. Selain itu berusaha untuk memuji usaha orang lain yang melakukan terbaik untuk mereka, kurangkan bersikap kritikal kerana boleh menciptakan rasa takut kepada individu lain. Terima pandangan orang lain dan hindarkan diri daripada menyalahkan orang lain apabila terjadi sesuatu kegagalan.

  • Jingga

    Mereka yang sukakan kesenangan duniawi, sukakan tentangan, suka berkhayal, suka membantu orang lain dan pelbagai lagi sifat yang saya maklumkan pada artikel saya sebelum ini. Secara umumnya, mereka yang mempunyai aura berwarna jingga yang sangat ego dan terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka ini hidup dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan orang lain di sekelilingnya. Ada kalanya mereka ini tidak menyukai kehidupan untuk berkeluarga. Namun, kebaikan mempunyai aura berwarna jingga, mereka ini panjang akal dan kreatif.

    Saranan bagi mereka ini agar sentiasa menyedari bahawa kesederhanaan dalam hidup amatlah penting. Dengan mengamalkan kesederhanaan, mereka mampu hidup dalam semua lapisan masyarakat dan mula menjalinkan hubungan dengan orang sekeliling agar kehidupan senang pada kemudian hari.

  • Kuning

    Mereka yang mempunyai aura berwarna kuning suka menyenangkan orang lain, sukakan humor dan membuat orang ketawa, suka mengambil risiko dan pelbagai lagi sifat yang saya maklumkan pada artikel saya sebelum ini. Meskipun mereka ini pandai menghidupkan suasana di kalangan orang yang tidak dikenalinya, mereka juga pada masa yang sama berkecenderungan untuk berasa malu. Mereka adalah seorang yang suka memberontak, mudah sedih, selalu tertekan dan tidak bahagia. Selain itu, mereka senang terjerumus ke dalam sesuatu perkara yang tidak elok. Bagaimanapun, mereka ini mempunyai kekuatan yang tidak terbatas, tidak boleh duduk diam dan gemar untuk bersukan. Saranan untuk mereka yang mempunyai aura berwarna kuning agar sentiasa berhati-hati dan tidak terjerumus ke dalam perkara yang tidak elok.
  • Hijau

    Mereka ini mempunyai pemikiran yang cepat, cemerlang dan pandai. Tidak suka diperintah, suka bersaing dan mempunyai personaliti serta penampilan yang menarik. Bagaimanapun, secara umumnya mereka terlalu agresif dan tidak boleh menerima pandangan orang lain di sekeliling mereka. Mereka mempunyai sifat keras kepala, bongkak dan mengutamakan kesempurnaan serta tidak sabar untuk mendapatkan sesuatu. Mereka juga sukar untuk mengalah dan mengakui kesilapan mereka. Mereka ini mempunyai keperibadian yang kuat, cenderung untuk membuat keputusan sendiri.

    Saranan bagi mereka ini agar mencari sahabat yang dapat menghargai kelebihan mereka kerana mereka selalunya cepat bosan dengan sahabat yang tidak mempunyai cita-cita dan tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri.

  • Biru

    Seperti saya tulis pada artikel yang lalu, mereka ini mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Mereka yang mempunyai aura berwarna biru selalu ingin disayangi tetapi agak ragu-ragu di dalam soal ini kerana mereka inginkan diri mereka disayangi melebihi daripada apa pun yang ada di dunia ini. Selain itu, mereka ini terlalu dramatis dalam soal percintaan dan cenderung untuk memanipulasikan orang lain. Namun, mereka ini mampu merasakan dan mengetahui apa yang difikirkan orang lain dan mempunyai ramai teman. Orang di sekeliling mereka sangat senang untuk bergaul dengan mereka tetapi malangnya mereka yang beraura biru senang untuk diambil kesempatan kerana sifat mereka yang murah hati dan tidak ego.

    Saranan untuk mereka ini adalah untuk belajar untuk menjadi lebih tegas supaya tidak akan dipergunakan oleh orang lain.

  • Indigo

    Seperti dalam artikel saya sebelum ini, mereka yang mempunyai aura berwarna indigo, adalah seorang yang lemah. Mempunyai kulit yang putih dan pucat. Tidak suka keluar rumah dan bermacam-macam lagi. Mereka ini juga kurang mempunyai tanggungjawab. Mereka tidak pandai menjalinkan persahabatan atau mempunyai hubungan sosial dengan orang di sekeliling mereka. Selain itu mereka kurang pandai berkomunikasi dan sukar untuk menjadi seorang sahabat yang sentiasa berlaku adil. Jika mereka memerlukan teman, mereka lebih senang untuk berkhayal bagi mendapatkannya daripada berusaha sendiri. Namun begitu, mereka ini tidak ingin membuat orang yang mereka sayangi itu kecewa dan sangat takut jika tiada orang yang akan menyayangi dan menyukai mereka. Malah, jika orang di sekelilingnya menjaga mereka ini dengan baik, mereka akan menjadi seorang sahabat yang peka, ramah, menghargai dan bersedia berkorban.

    Saranan untuk mereka yang beraura indigo, mereka harus berani menghadapi dunia nyata.

  • Ungu

    Bagi yang beraura ungu, tidak banyak yang boleh saya jelaskan cuma walaupun mereka ini suka bersahabat, mereka suka mengambil ringan sesuatu perkara itu. Susah bagi mereka untuk sentiasa serius dalam sesuatu perkara. Saranan bagi mereka, cubalah berusaha untuk mengambil sesetengah perkara itu lebih serius supaya mereka tidak akan dipandang ringan oleh orang sekeliling mereka.

    Bagi mereka yang ingin mengetahui warna aura mereka, hanya sesetengah kedai gambar saja yang mempunyai teknologi kamera untuk mengambil warna aura. Di Malaysia penggunaan teknologi ini masih belum diperluaskan lagi, tetapi anda boleh melakukan penyelidikan melalui internet.

    Sehingga kita berjumpa lagi dengan artikel yang berlainan. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-77887791 atau e-mel ke dnd@worldwellness.com.my
  • Karotid angioplasti cegah strok

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Dr Shaiful menerangkan tentang rawatan karotid angioplasti.

    Pembedahan membaiki salur darah tersumbat dilakukan dengan satu tebukan pada kaki

    SELEPAS anda diserang strok, apakah nasihat doktor kepada anda? Biasanya doktor akan meminta anda mematuhi jadual pengambilan ubat, berhenti merokok, bersenam dan menjaga pemakanan anda. Ini bagi mengelakkan anda tidak diserang strok sekali lagi.

    Sebenarnya strok boleh dicegah dengan prosedur karotid angioplasti atau pembedahan membaiki salur darah tersumbat. Ia sama saja dengan prosedur angioplasti lain, cuma yang membezakannya ia dilakukan pada bahagian karotid.


    Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Shaiful Azmi Yahaya, berkata arteri karotid yang tersekat atau sempit boleh dirawat dengan karotid angioplasti.


    Malah, katanya ia prosedur yang mudah dengan hanya melakukan satu tebukan saja pada kaki dan prosesnya hanya mengambil masa kira-kira sejam.

    “Biasanya pesakit yang pernah diserang strok akan dibekalkan ubat mencairkan darah. Mereka tidak diberi pilihan atau diberitahu, mengenai prosedur karotid angioplasti. Atau kalau tahu pun, mereka tidak mahu lakukan kerana risiko komplikasi diserang strok atau mengalami masalah serangan jantung ketika prosedur dilakukan,” katanya.

    Dr Shaiful Azmi berkata, risiko di bawah lima peratus itu adalah normal kerana apa saja pembedahan mempunyai komplikasi tersendiri. Selalunya, pesakit tidak mahu melakukan karotid angioplasti kerana takut diserang strok atau berhadapan dengan komplikasi lain ketika di dewan bedah.

    Dalam prosedur karotid angioplasti, tiub (kateter) khas dengan belon kecil di hujungnya akan dimasukkan ke arteri karotid sebelum belon itu dikembungkan (inflated) apabila kateter sudah berada di kawasan arteri yang bermasalah.

    Pengembungan belon akan menekan tisu lemak di dinding arteri dan menghasilkan pembukaan luas di dalam arteri. Ia kemudian membaiki laluan aliran darah. Sten mungkin juga dimasukkan ke situ bagi mengelak salur darah daripada sempit atau tertutup sekali lagi.

    “Realitinya terlalu ramai pesakit yang dirawat kerana pesakit strok hanya diberikan ubat mencairkan darah. Mereka tidak diberitahu mengenai adanya prosedur membuka semula laluan karotid yang sempit atau tersekat,” katanya.

    Anehnya prosedur ini sudah dimulakan sejak 1980 oleh Dr Sean F Mullan dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat. Namun, kerana kebimbangan pakar perubatan sendiri mencuba, prosedur ini tidak begitu diketahui pesakit dan ia bukan satu pilihan popular untuk mencegah strok.

    Bayangkan apabila berlaku sekatan di arteri yang menuju ke otak, sudah tentu sukar darah mengalir. Jika sekatan itu semakin besar atau darah beku tersangkut di arteri yang sempit, bila-bila masa saja anda akan diserang strok.

    Bagaimanapun, masih ada yang bernasib baik kerana walaupun diserang strok mereka boleh dipulihkan.

    Karotid angioplasti membantu membuka laluan arteri yang sempit dan mengurangkan risiko anda diserang strok. Namun, anda tidak perlu menunggu hingga diserang strok untuk melakukan karotid angioplasti, sebaliknya melalui pemeriksaan berkala, anda boleh mengetahui sama ada anda berisiko untuk diserang strok atau sebaliknya. Jika anda berisiko, karotid angioplasti mungkin rawatan terbaik.

    Mengenali arteri karotid.

    • Arteri karotid adalah arteri utama yang terletak di hadapan leher. Melalui arteri karotid, darah dari jantung bergerak ke otak. Terdapat dua arteri karotid yang paling biasa, di kanan dan kiri leher. Secara bersama, ia membekalkan aliran darah utama ke leher dan kepala.

    • Arteri di seluruh tubuh boleh tersumbat kerana lebihan lemak yang dikenali sebagai plak. Plak akan membuatkan arteri sempit atau tersumbat. Jika berlaku sekatan atau penyempitan, ia boleh menyebabkan bekalan darah ke otak terputus atau berkurang sekali gus menyebabkan anda diserang strok.


    Faktor risiko strok
    • Sejarah keluarga yang pernah diserang strok atau serangan jantung
    • Darah tinggi
    • Kolesterol tinggi
    • Kuat merokok
    • Diabetes
    • Tidak aktif bersukan, obesiti
    • Masalah jantung seperti ritma jantung tidak normal atau kegagalan jantung
    • Pernah diserang strok
    • Penggunaan bil cegah hamil atau terapi hormon


    Simptom strok
    • Sukar berjalan - strok menyebabkan anda tersadung, pening atau hilang koordinasi.
    • Sukar bercakap - percakapan tidak jelas, tidak boleh bercakap ayat yang mudah.
    • Lumpuh atau kebas pada sebelah badan.
    • Sukar untuk melihat - pandangan kelabu, gelap atau melihat objek kelihatan berganda.
    • Sakit kepala yang tiba-tiba atau luar biasa yang disertai dengan leher terasa tegang, muka sakit, sakit pada kedua-dua mata atau muntah.


    Sumber: Mayoclinic.com

    Barah terus mengganas

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my




    Seorang bagi setiap empat rakyat Malaysia berisiko

    BARAH terus menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia. Ketika dunia mengiktiraf 5 Februari sebagai Hari Barah Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi peringatan yang membimbangkan iaitu 84 juta orang akan menemui ajal akibat barah bagi tempoh 2005 hingga 2015.

    Di Malaysia, seorang bagi setiap empat warga Malaysia berdepan risiko diserang barah. Persatuan Barah Kebangsaan meramalkan, menjelang tahun 2020, barah akan menyerang seorang daripada setiap tiga orang jika tiada sebarang tindakan diambil.


    Lebih membimbangkan, barah yang kerap kali dikaitkan sebagai penyakit bawaan genetik, kini perlu dilihat sebagai ancaman kepada semua orang.


    WHO melaporkan lebih 70 peratus kematian disebabkan barah berlaku di negara membangun dan negara berpendapatan rendah. Kebanyakan kematian dikaitkan dengan penggunaan tembakau yang merangkumi 1.5 juta kes setahun.

    Kematian di seluruh dunia akibat barah dijangka meningkat hingga 45 peratus dari 2007 hingga 2030. Selain faktor urbanisasi yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat dunia, peningkatan itu juga dikaitkan dengan peningkatan bilangan warga tua.



    Ada pelbagai jenis barah namun barah paru-paru lebih banyak membunuh berbanding barah lain. Barah paru-paru pula berlaku di seluruh dunia dan trend ini dijangka berterusan selagi tiada usaha global yang bersungguh-sungguh bagi menangani ancamannya, termasuk industri tembakau.

    Namun, selain barah paru-paru, penduduk negara membangun juga berdepan risiko barah prostat dan payu dara biarpun barah yang disifatkan pembunuh utama adalah barah hati, perut dan pangkal rahim.

    Sebenarnya hampir 40 peratus kes barah boleh dicegah termasuk berhenti merokok atau menjauhi perokok. Barah yang dikesan pada peringkat awal juga mampu diatasi menerusi pembedahan serta rawatan radioterapi atau kemoterapi.

    Kegagalan membendung peningkatan kes barah dikaitkan juga kegagalan mengawal kehidupan, misalnya merokok, tidak bersenam, tidak mengawal pemakanan, pencemaran udara, radiasi selain jangkitan seperti hepatitis B.

    INFO: Faktor Risiko Barah

    • Penggunaan tembakau - bertanggungjawab pada 1.8 juta kematian setiap tahun.
    • Terlalu gemuk, obes dan tidak aktif secara fizikal - bertanggungjawab pada 274,000 kes kematian setiap tahun.
    • Penggunaan alkohol berlebihan - menyebabkan 351,000 kematian setiap tahun.
    • Jangkitan virus human papilloma melalui hubungan kelamin - menyebabkan 235,000 kematian setahun


    Sumber : WHO

    Vaksin paling mujarab cegah hepatitis B

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Hepatitis B kronik boleh menyebabkan barah hati.

    Pesakit yang dijangkiti sejak kecil berisiko alami jangkitan kronik apabila dewasa

    HEPATITIS B masih menjadi ancaman di seluruh dunia terutama Asia. Walaupun vaksin menentang hepatitis B sudah diperkenalkan sejak 1982, tetapi ia belum boleh mengawal jangkitan hepatitis B terutama di kalangan kanak-kanak yang lahir sebelum 1982.

    Justeru, apabila mereka dewasa virus hepatitis B menjadi kronik dan akhirnya menyebabkan kematian. Malah dianggarkan 25 peratus kanak-kanak yang diserang hepatitis B sejak kecil meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan hati seperti sirosis.


    Bagaimana mereka dijangkiti hepatitis B? Pakar Perubatan, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Dr Aizan Hassanudin, berkata hepatitis B boleh berjangkit melalui cecair badan termasuklah darah, air liur, peluh, susu badan, air kencing, lelehan vagina, air mani dan darah haid.


    Malah virus hepatitis B boleh bertahan di luar tubuh selama tujuh hari. Dalam tempoh itu, virus masih berupaya menyebabkan jangkitan jika masuk ke tubuh manusia.

    Dr Aizan berkata, apabila wanita hamil dijangkiti virus hepatitis B, kemungkinan untuk bayinya dijangkiti tetap ada. Biasanya pada awal kehamilan, risiko jangkitan adalah kurang dari 10 peratus namun pada fasa akhir kehamilan, risiko berjangkit meningkat kepada 90 peratus.

    "Wanita yang didiagnos dengan hepatitis B masih boleh hamil tetapi maklumkan kepada doktor mengenai keadaan mereka untuk pemantauan. Bayi akan diberikan dua suntikan sebaik dilahirkan. Dos pertama adalah vaksin hepatitis B manakala dos kedua adalah hepatitis B imun globulin (HBIG) (antibodi mengelak jangkitan).

    "Jika dua vaksin ini diberikan pada 12 jam pertama kehidupan bayi, ia memiliki perlindungan terhadap hepatitis B hingga 95 peratus. Bayi kemudiannya memerlukan dos tambahan hepatitis B pada usia satu dan enam bulan," katanya.

    Benua Asia mencatat kes hepatitis B tertinggi di dunia. Dianggarkan ketika ini di seluruh dunia, dua bilion manusia didiagnos dengan hepatitis B, 400 juta dijangkiti hepatitis B yang kronik dan 50 juta kes baru dikesan saban tahun. Daripada semua jumlah itu kebanyakan kes berlaku di Asia.

    Jangkitan hepatitis B kata Dr Aizan bukan saja berlaku secara vertikal (iaitu daripada ibu kepada anak) ia juga boleh berlaku menerusi jangkitan horizontal iaitu melalui hubungan seksual.

    Di Malaysia katanya, hepatitis B yang kronik menjejaskan 1.65 juta orang. Manakala di Thailand 3 juta, 0.15 juta di Singapura, antara 7-14 juta di Vietnam, 34 juta di India dan 120-130 juta di Cina.

    Bagi pesakit hepatitis B yang dijangkiti sejak kecil katanya, kemungkinan jangkitan hepatitis B menjadi lebih kronik bergantung kepada usia seseorang itu dijangkiti. Mereka yang dijangkiti sejak kecil berisiko untuk berhadapan dengan jangkitan yang kronik.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekitar 90 peratus kanak-kanak yang berjangkit dengan hepatitis B sejak lahir akan berhadapan dengan hepatitis B kronik.

    Antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti hepatitis B pada usia setahun ke empat tahun, juga berkemungkinan berhadapan dengan jangkitan hepatitis B kronik.

    Manakala 25 peratus orang dewasa yang dijangkiti secara kronik sejak kecil akan meninggal dunia kerana penyakit berkaitan hati seperti barah hati.

    Bagaimanapun, perlu juga diketahui jika virus hepatitis B menjangkiti golongan dewasa yang sihat, mereka akan pulih dengan sendirinya dan akan bebas sepenuhnya daripada virus itu dalam masa enam bulan.

    Jangkitan hepatitis B kata Dr Aizan terjadi dalam dua peringkat, akut dan kronik. Hepatitis B akut terjadi selepas saja terdedah kepada virus.

    Manakala hepatitis B kronik adalah jangkitan dengan HBV dalam tempoh yang lama (lebih daripada enam bulan). Hepatitis yang kronik sukar untuk sembuh sepenuhnya.

    Hati yang terjejas kerana hepatitis B kronik, jika tidak dirawat menyebabkan hati berparut dikenali sebagai sirosis, ia kerap dikaitkan dengan amalan meminum arak yang kuat. Apabila ia terjadi, hati tidak lagi boleh berfungsi. Rawatan yang ada hanyalah pemindahan hati. Justeru pencegahan terbaik adalah mendapatkan vaksin mencegah hepatitis B sebelum terlambat.

    INFO: Simptom:

    • Jaundis pada mata dan kulit
    • Air kencing berwarna kuning gelap
    • Terlalu letih
    • Muntah
    • Sakit perut


    FAKTA: Virus hepatitis B

    • Jangkitan Virus Hepatitis B (HBV) menyerang hati.
    • Virus HBV berjangkit melalui pemindahan darah atau cecair tubuh yang lain termasuk air mani, susu badan dan darah haid.
    • Di seluruh dunia, dua juta orang disahkan dijangkiti virus hepatitis B (HBV) manakala 350 juta mengalami jangkitan kronik. Dianggarkan 600,000 orang mati setiap tahun kerana HVB.
    • Sekitar 25 peratus orang dewasa yang dijangkiti HBV sejak zaman kanak-kanak meninggal dunia akibat barah hati yang disebabkan jangkitan HBV kronik.
    • Virus HVB lebih mudah berjangkit, iaitu pada kadar 50 ke 100 kali berbanding HIV.
    • Namun, berbanding HIV, HBV boleh dilindungi dan dicegah melalui suntikan vaksin.

    Elak dehidrasi ketika mengandung

    Dr Noordin Darus

    Mengidam makanan masin, pelik petanda daripada bayi tagih beberapa jenis mineral

    KITA berjumpa lagi pada minggu ini dengan satu topik yang berlainan dan khasnya bagi ibu yang mengandung.

    Seperti yang anda semua ketahui, air adalah satu elemen penting bagi manusia tidak kira usia dan jantina. Bagaimanapun, ada kalanya ramai yang terlupa dan alpa akan kepentingan air terhadap tubuh badan mereka terutama sekali bagi kaum wanita. Air memberikan anda tenaga, lebih-lebih lagi wanita mengandung. Apabila anda mengandung, perkara pertama yang akan diberitahu oleh doktor anda adalah banyakkan meminum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu oleh kerana alahan (morning sickness), anda boleh minum air kosong yang dicampur dengan jus, sirap dan sebagainya.


    Namun, yang seeloknya untuk minum air kosong yang ditapis. Persoalannya di sini mengapa air amat dititikberatkan terutama sekali bagi ibu mengandung?


    Seperti yang anda ketahui, sebagai manusia biasa, air adalah satu keperluan yang penting untuk tubuh badan. Tidak kira anda mengandung atau tidak. Kita boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air.

    Tubuh badan kita secara semula jadi memerlukan air untuk hidup kerana sekiranya tanpa air, ia akan mengganggu fungsi sistem pengendalian dalam badan kita sekali gus membuatkan kita menjadi dehidrasi terutama untuk wanita mengandung. Ini kerana ketika mengandung, ibu hamil kerap membuang air kecil disebabkan oleh tekanan yang diberikan kepada pundi kencing oleh bayi yang dikandung mereka. Disebabkan itulah wanita yang mengandung perlu kerap minum air kosong sekurang-kurangnya dua setengah liter sehari supaya tubuh badan mereka tidak akan dehidrasi dan cukup untuk menampung kehilangan air dari badan yang berlaku dalam pelbagai cara selain daripada kerap membuang air seperti berpeluh. Wanita mengandung kerap berasa panas dan berpeluh, disebabkan itu jugalah mereka perlu menggantikan kandungan air yang keluar dari tubuh badan mereka dengan meminum lebih banyak air kosong.

    Air adalah komponen utama dari tubuh. Setiap orang memiliki 70 peratus air dari berat tubuhnya. Semua sistem di dalam tubuh bergantung kepada air. Sebagai contoh, air akan membuang racun dari organ vital, membawa nutrisi ke sel tubuh dan menghasilkan kelembapan bagi telinga dan juga hidung kita. Bagi wanita yang mengandung, mereka perlu menjaga kesihatan tubuh badan mereka agar tidak dijangkiti penyakit kerana ia boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Oleh kerana itulah, mereka digalakkan untuk minum air dalam kuantiti yang disarankan bagi menghindari daripada dijangkiti penyakit seperti demam atau selesema.

    Tahukah anda bagi mereka yang mempunyai masalah ‘morning sickness’, dengan hanya meminum ‘air hidup’ atau ’air bersih’ yang mencukupi, masalah ini dapat dihindari atau sekiranya berlaku ia lebih ringan dan lebih cepat pulih. Sebenarnya petanda seperti loya, muntah, pening dan lain-lain ini disebabkan oleh dehidrasi ditambah pula dengan perubahan hormon sewaktu hamil.

    Mengidam makanan yang masam, masin atau yang pelik adalah petanda yang datang daripada bayi di dalam kandungan yang mungkin menagih kepada beberapa jenis mineral, garam atau mungkin juga dehidrasi. Jadi kalau amalan minum lima botol (500 ml) sehari diselangi dengan meletak sedikit garam di atas lidah untuk setiap botol, ia akan membantu masalah ini. Ia seperti magik kerana tidak lagi menghadapi masalah ‘morning sickness’ dan mengidam kalau mereka mengikut saranan ini dengan yakin dan istiqamah.

    Selain itu, wanita yang hamil kerap mengalami penyakit sembelit dan kerana itu air amat penting buat mereka. Air adalah pelarut asas bagi segala hasil keluaran penghadaman dan ia membantu untuk melawaskan bahan buangan di dalam tubuh badan kita.

    Dan yang terakhir sekali adalah bagi wanita yang menyusui bayi mereka memerlukan cairan supaya tidak dehidrasi. Ini kerana sejumlah cairan dalam badan akan hilang kerana apabila mereka mengeluarkan susu. Oleh itu, segala cairan ini perlu digantikan dengan meminum sejumlah air yang banyak.

    Seperti yang disebut diatas, wanita mengandung perlu mengambil kuantiti air yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi kerana ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain. Contoh seperti lelah, sakit kepala, mulut kering, lemah otot dan sebagainya. Disebabkan itulah wanita mengandung wajib mengambil air kosong sekurang-kurangnya dua liter sehari. Air kosong yang diambil pula, seeloknya datang daripada air yang ditapis atau air yang tidak tercemar bagi mengelakkan dijangkiti sebarang penyakit yang tidak diingini.

    Serangan strok kini boleh dikesan awal

    Oleh Siti Nur Almizan Aripin
    snur@nstp.com.my


    Mesin Allura Xper FD20/10 mampu meng­endalikan prosedur pembedahan deng­an kesan luka minimum bag­i merawat pelbag­ai masalah klinikal.

    GANGGUAN pada sistem neurovaskular membabitkan masalah pada pembuluh darah atau tulang belakang seperti Arteriovenous Malformation (kecacatan arteri darah), Aneurysm (salur darah tersumbat) dan Celebrovascular Accident atau strok.

    Secara amnya, masalah neurovaskular berpunca daripada gangguan yang berlaku di pembuluh darah. Ia boleh mengundang pelbagai kemungkinan yang tidak boleh diduga. Jika ia membabitkan salur darah ke otak, pesakit bakal berdepan risiko pendarahan otak atau kerosakan kekal otak atau lebih teruk, ia juga boleh membunuh secara senyap.

    Pakar Neuroradiologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr A Sobri Musa, berkata mendapatkan imbasan x-ray bagi mengenalpasti keganjilan berlaku di bahagian pembuluh darah berdiameter 0.008 milimeter (mm) sememangnya sukar.


    “Bagaimanapun, dengan adanya sebuah mesin pengimbas berwarna yang dilengkapi sistem pengesan biplane flat menggunakan kaedah angiografi diperkenalkan Philips, memungkinkan kaedah pengimbasan dan rawatan awal dibuat.


    “Imej 3D yang jelas itu juga membolehkan pesakit mendapatkan keputusan awal sama ada anda berisiko diserang strok atau sebaliknya hanya ketika pemeriksaan berkala dibuat,” katanya.

    Menurut rekod Kementerian Kesihatan tahun lalu, lebih daripada 50,000 penduduk negara menderita serangan strok. Justeru, sistem pengesan biplane flat hadir tepat pada masanya iaitu ketika kementerian berhasrat untuk menarik lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengesan risiko serangan strok sebelum terlambat.


    Dengan adanya mesin yang menggunakan teknologi 3D Vascular itu, HUKM kini mampu mengendalikan prosedur pembedahan dengan kesan luka minimum bagi merawat pelbagai masalah klinikal termasuk strok, karotid arteri dan masalah lain membabitkan ketidakstabilan pembuluh darah.

    Teknik rawatan menggunakan mesin itu juga diakui dapat mengurangkan risiko ketika prosedur dan mempercepatkan tempoh penyembuhan kerana ia hanya dilakukan sama seperti teknik ‘key hole’.

    Dikenali sebagai Allura Xper FD20/10, mesin itu membantu pegawai perubatan mengenal pasti dan melihat imej terperinci di makmal yang dilengkapi sistem angiographic X-ray.

    “Pesakit dan ahli klinikal mendapat faedah daripada ketepatan imej yang terhasil kerana imej berwarna dengan paparan jelas itu berupaya mengesan dan merawat penyakit berkaitan neurovaskular dengan lebih tepat,” katanya.

    Selain berfungsi sebagai mesin pengimbas dengan paparan imej 3D, sistem sama boleh digunakan ketika rawatan menggunakan tiub, stent, belon angioplasti, vertebroplasti dan embolism (penyekatan saraf darah oleh ketulan atau kelempong udara).

    Mesin berharga RM6 juta ini adalah yang pertama di negara ini dan menjadi negara kedua yang menawarkan teknologi sama di Asia selepas Thailand.

    INFO

  • Mesin Allura Xper FD20/10 boleh mengimbas paparan X-ray berwarna hanya dalam tempoh 15 minit

  • Prosedur pengimbas dilakukan pada waktu sama pembedahan berjalan.

  • Sebelum Philips memperkenalkan Allura Xper FD20/10, pesakit didiagnos menggunakan mesin pengimbas tanpa warna.
  • Kelemumur masalah kulit kepala

    Rawatan oleh pakar kulit penyelesaian terbaik jika penggunaan syampu tak berkesan

    KELEMUMUR mungkin masalah biasa bagi sesetengah orang, namun bukan perkara wajib yang mesti dialami, apatah lagi ia boleh ditangani dengan pelbagai jenama syampu berubat.

    Kelemumur sebenarnya masalah kulit kepala yang boleh dialami oleh sesiapa saja termasuk bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Kebanyakan kes kelemumur tidak memerlukan rawatan doktor, tetapi jika selepas beberapa minggu menggunakan syampu berubat, kelemumur tidak hilang atau kulit kepala menjadi merah dan bengkak, anda mungkin perlu berjumpa pakar kulit.


    Ramai orang beranggapan kelemumur itu berkaitan dengan masalah kebersihan dan kekerapan anda membasuh rambut. Sebenarnya tidak, kelemumur tetap berlaku walaupun anda bersyampu atau sebaliknya.

    Kelemumur sebenarnya sebahagian daripada proses normal pertumbuhan sel kulit kepala yang baru. Ia selalunya dikaitkan dengan proses sel kulit tumbuh dan mati lebih cepat berbanding masa yang sepatutnya.

    Proses pertumbuhan sel kulit baru menyebabkan sel kulit lama mati dan gugur dari kulit kepala. Proses itu akan lebih cepat apabila seseorang itu berkelemumur. Sel itu juga membentuk keruping yang lebih besar dan jelas dilihat pada mata kasar.

    Bagaimanapun, punca sebenar bagaimana kelemumur terjadi tidak diketahui. Secara umumnya, ia dikaitkan dengan kewujudan fungus dikenali sebagai ‘pityrosporum ovale’. Fungus itu menyebabkan seseorang mengalami kelemumur.

    Fungus ini tinggal di kulit kepala, bagi mereka yang sihat ia tidak akan menyebabkan sebarang masalah. Ada kalanya apabila jumlahnya terlalu banyak ia menyebabkan kegatalan dan sel kulit gugur.

    Kelemumur adalah fenomena global dan dialami oleh kebanyakan orang. Ia terjadi di kalangan dua hingga lima peratus populasi, tidak kira dewasa atau kanak-kanak termasuk bayi seawal usia tiga bulan.

    Kelemumur akan menyebabkan kulit kepala terasa gatal dan kelihatan berkuping-kuping. Kelemumur bukan masalah berjangkit dan bukan masalah serius. Ada kalanya ia sukar dirawat dan memalukan.

    Secara umumnya, kelemumur ditangani dengan syampu berubat dan kekerapan anda untuk bersyampu. Namun, jika syampu tidak banyak membantu, anda mungkin perlu membuat temujanji dengan pakar kulit.

    INFO: Golongan berisiko alami kelemumur

  • Ia bermula pada peringkat usia dewasa dan berterusan hingga pertengahan usia. Namun, ada juga mereka yang berhadapan dengan kelemumur sepanjang hayat.

  • Lelaki lebih kerap berhadapan dengan kelemumur. Dipercayai hormon lelaki memainkan peranan utama dalam hal ini. Lelaki juga mempunyai kelenjar penghasilan minyak pada kulit kepala yang lebih besar berbanding wanita. Justeru, ia menyumbang kepada terjadi kelemumur.

  • Rambut dan kulit kepala yang berminyak

  • Diet pemakanan yang kurang zink, vitamin B dan sesetengah jenis lemak.

  • Masalah penyakit berkaitan neurologi.

    INFO: Punca

  • Kulit kering - punca biasa yang menyebabkan kegatalan dan kulit berkeruping.

  • Kulit gatal dan berminyak - menyebabkan kulit bertanda kemerahan dan berminyak.

  • Kurang bersyampu

  • Masalah kulit seperti psoriasis

  • Ekzema pada kulit kepala

  • Sensitif pada bahan kimia yang digunakan dalam syampu rambut

  • Perubahan hormon

  • Tekanan

  • Masalah neurologi

    sumber: Mayoclinic.com.
  • Sakit buah pinggang kronik boleh ditangani jika dikesan awal

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Hanya memerlukan pemeriksaan air kencing, darah dan tekanan darah

    MASALAH buah pinggang adalah masalah sedunia. Pada peringkat global, data menunjukkan setiap seorang daripada 10 orang dewasa berhadapan dengan kerosakan buah pinggang. Ini menjadikan hampir 500 juta orang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

    Angka ini meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes jenis 2 di serata dunia selain masalah tekanan darah tinggi.


    Walaupun hingga kini, penyakit jantung adalah penyebab kematian utama di seluruh dunia, perlu diketahui, pesakit CKD berhadapan dengan risiko kematian disebabkan sakit jantung dan angin ahmar 10 kali lebih tinggi berbanding mereka yang sihat.


    Pakar Runding Nefrologi dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hari Buah Pinggang Sedunia 2009, Dr Goh Bak Leong berkata peningkatan kes CKD di Malaysia menyaksikan terdapat hampir 17,000 orang memerlukan dialisis dan pada masa sama kosnya terus meningkat.

    Beliau berkata, mujur kerajaan melalui kementerian kesihatan memberikan subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan untuk menerima bantuan.

    “Sebenarnya, CKD adalah masalah yang boleh ditangani jika dikesan pada peringkat awal. Malah, pengesanan masalah CKD cukup mudah. Pengesanan CKD memerlukan pemeriksaan air kencing, darah dan tekanan darah,” katanya.

    Pengesanan awal katanya membantu memperlahankan dan menangani kegagalan buah pinggang selain mencegah penyakit kardiovaskular. Selain itu, pesakit perlu mengambil ubat bagi mengawal tekanan darah, memperbaiki tahap kawalan kencing manis agar sentiasa berada pada tahap yang normal dan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

    Dr Goh berkata, secara saintifiknya buah pinggang berperanan penting menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari.

    “Ia juga berfungsi mengawal tekanan darah yang juga penyebab dan juga komplikasi untuk CKD,” katanya.

    Beliau berkata, CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.

    Selain hospital kerajaan dan pusat dialisis swasta, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) menyediakan 22 buah pusat rawatan dialisis.

    INFO: Siapa yang berisiko

    • Menghidap kencing manis
    • Menghidap tekanan darah tinggi
    • Terlalu gemuk atau mempunyai berat badan berlebihan
    • Mempunyai latar belakang keluarga yang menghidap penyakit kencing manis, hipertensi atau masalah buah pinggang


    INFO: Penyakit buah pinggang kronik
    • CKD adalah isu kesihatan awam yang utama dan bersifat global

    • Lebih daripada 500 juta penduduk dunia, iaitu 10 peratus daripada populasi golongan dewasa, mengalami masalah kerosakan buah pinggang.

    • Seramai 90 peratus daripada mereka yang menghidap CKD belum lagi dikesan.

    • Perbelanjaan bagi rawatan kerosakan buah pinggang (penyakit buah pinggang peringkat akhir) di seluruh dunia semakin meningkat

    • Lebih daripada 1.5 juta orang didapati masih hidup dengan dialisis atau pemindahan buah pinggang dan angka ini diramal meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    • Kos global yang melampau bagi rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang diramal meningkat ke paras melebihi RM3.7 trilion pada dekad yang akan datang

    • Beban ekonomi akan menjejaskan perancangan belanjawan kesihatan di negara-negara maju dan bagi negara-negara yang mempunyai pendapatan yang lebih rendah, adalah mustahil bagi mereka memperuntukkan kos sedemikian untuk program kesihatan mereka.

    • Penyakit kencing manis membawa risiko tiga kali ganda kepada berlakunya kerosakan buah pinggang

    • Dianggarkan sehingga 2025, penyakit kencing manis akan meningkat sebanyak 70 peratus dan mencecah 300 juta orang dan negara-negara yang membangun akan terjejas dengan teruk akibat peningkatan ini

    • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensasarkan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat penyakit kronik sebanyak 2 peratus setiap tahun untuk 10 tahun berikutnya

    • Pengesanan awal dan pencegahan bagi mereka yang menghidap CKD serta mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular boleh membantu menjamin sasaran itu dicapai

    Stimulasi otak kanak-kanak

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Info: Anatomi otak bayi.

    Rangsangan perlu dilakukan sejak dalam kandungan dengan pemilihan makanan yang diambil ibu

    OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman.

    Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.


    Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya.


    Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan, bermula dengan pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat.

    Kemudian, aktiviti stimulasi itu berubah mengikut tahap perkembangannya. Sebagai contoh, selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.


    Beri perhatian padanya, jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi.

    Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama.

    Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku.

    Begitu juga dengan sentuhan. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain. Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.

    Pemilihan buah-buahan dalam diet makanan penting dalam pertumbuhan otak anak.

    Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya.

    Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan.

    Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.

    Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak.

    Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal.

    Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.

    Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.

    Senaman penting untuk ibu mengandung

    ADALAH penting bagi anda untuk memastikan tubuh dan minda anda berada dalam keadaan yang baik ketika mengandung. Bagi memastikan perkara ini, senaman adalah satu perkara yang amat bagus untuk anda. Semua ibu yang mengandung pasti akan mengalami stres atau cemas secara tidak menentu. Jika anda dapat mencari jalan untuk menghadapi perkara ini dan juga mengelakkan masalah daripada berlaku, bermakna anda sedang menjalani masa mengandung yang baik.


    Melakukan rutin senaman akan membantu anda berasa gembira dan bertenaga. Ia adalah satu perkara yang penting bagi anda untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

    Mengapa senaman itu bagus untuk ibu yang mengandung?


    DI DALAM tubuh badan kita terdapat satu hormon yang dipanggil sebagai endorfin, yang akan dikeluarkan oleh tubuh badan anda apabila anda melakukan senaman. Hormon ini akan membuatkan anda berasa lebih bersemangat berbanding daripada berasa lemah atau tidak bermaya.


    Anda juga akan berasa tenang dan fokus apabila tubuh badan anda mengeluarkan hormon selepas anda melakukan senaman. Begitu juga dengan perasaan berhati-hati terhadap diri anda kerana anda akan mendapati tubuh badan anda yang semakin membesar itu masih lagi boleh berfungsi dengan baik.

    Selain itu, dengan melakukan senaman yang rutin, ia dapat membantu anda mengurangkan rasa sakit di pinggang, kekejangan kaki, sembelit dan juga kekurangan oksigen untuk bernafas sekali gus memberi anda lebih banyak tenaga untuk menampung berat badan anda yang semakin bertambah.

    Anda juga dapat mempersiapkan diri anda dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi hari yang istimewa itu, iaitu hari yang anda bakal berjumpa dengan bayi anda. Ia membantu anda mempunyai tenaga yang lebih kuat untuk anda meneran pada saat anda mahu bersalin.

    Saya pasti anda akan berasa gembira untuk mengetahui bahawa dengan melakukan senaman ketika mengandung dapat membantu anda kembali dengan cepat kepada bentuk tubuh badan anda sebelum anda mengandung dan bersalin.

    Senaman juga bagus untuk bayi yang dikandung kerana ia dapat menyalurkan lebih banyak oksigen kepada bayi anda yang membantu perkembangan tubuh badannya. Selain itu, ia juga memberikan bayi anda berasa kesan positif hormon endorfin yang dilepaskan oleh tubuh badan anda sekali gus membuatkan bayi anda tenang dan gembira. Bayi anda juga akan tenang bagai dibuai dengan segala pergerakan yang anda lakukan ketika bersenam.

    Senaman yang paling selamat dan bagus untuk anda ialah berenang, yoga dan berjalan kaki. Senaman yang tidak digalakkan untuk ibu mengandung ialah joging, melakukan sit-up, bermain badminton dan pelbagai lagi jenis senaman yang berat.

    Sebelum saya berhenti, ingin saya ucapkan tahniah kepada ibu-ibu yang mengandung dan selamat mencuba senaman dengan harapan anda bersedia menghadapi hari berkenaan.

    Plak punca gusi radang, terjejas

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my




    Kesihatan gigi bergantung kepada kebersihan mulut

    PLAK adalah deposit bakteria terbentuk di atas permukaan gigi yang boleh memusnahkan enamel gigi dan akhirnya membentuk kaviti. Namun, berapa kali anda membuat pemeriksaan gigi dalam setahun?

    Mengikut kajian Kesihatan Oral Dewasa Kebangsaan 2000 mendedahkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengutamakan kesihatan gigi. Walaupun daripada sudut promosi dan kempen kesedaran gigi dijalankan seperti kempen bebas Plak Oral-B, hanya sembilan daripada 10 rakyat Malaysia menderita kaviti dan penyakit gusi. Hampir 50 peratus berjumpa doktor gigi apabila berhadapan dengan masalah gigi.


    Pakar Pergigian Dr Fatimah Arshad, berkata plak menyebabkan gusi radang dan terjejas.


    Beliau berkata, penyakit gusi yang sederhana menyebabkan gingivitis, manakala yang serius boleh menyebabkan masalah periodontitis.

    Katanya, periodontis adalah masalah gingivitis teruk yang menyebabkan gusi radang dan boleh menjejaskan struktur gigi yang akhirnya menyaksikan gigi perlu dibuang.



    “Penyakit gusi yang sederhana boleh dirawat dengan kekerapan memberus gigi dan melakukan flos, namun untuk penyakit gusi yang serius ia memerlukan rawatan pakar pergigian,” katanya.

    Dr Fatimah berkata, plak terbentuk berpunca daripada kealpaan sendiri terutama membabitkan pemilihan makanan.

    “Pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi menyumbang kepada pembentukan plak,” katanya.

    Dr Fatimah berkata, pembentukan plak adalah punca masalah gigi bagi kebanyakan orang. Plak seakan filem tidak berwarna dan melekit yang sentiasa terbentuk di atas permukaan gigi.

    “Ia adalah punca sebenar kaviti dan masalah gusi. Jika plak tidak dibuang setiap hari, ia akan jadi keras membentuk tartar.

    “Masalah gigi yang biasanya berpunca daripada plak adalah seperti nafas berbau, gusi lemah yang selalunya berdarah apabila menggosok gigi, gingivitis dan periodontitis,” katanya.

    Beliau berkata, ada kalanya kehadiran plak tidak begitu disedari atau dikenali. Namun, jika gusi anda berdarah setiap kali memberus gigi, ia sebenarnya petanda anda berhadapan dengan masalah gusi. Gusi berdarah selalunya tanda masalah gingivitis.

    “Gusi yang tidak sihat akan berdarah. Ia disebabkan kemerahan gusi akibat kesihatan gigi yang tidak terjaga. Plak akan tersimpan di gigi sekiranya tidak disingkirkan secara efektif atau adanya pembentukan plak yang berlebihan. Plak lebih banyak terkumpul jika tidak memberus gigi,” katanya.

    Plak sebenarnya boleh berlaku pada sesiapa saja. Ia bukan persoalan gigi susu atau gigi kekal. Pembentukan plak bergantung pada kebersihan mulut seseorang. Mulut yang bersih membantu meminimumkan pembentukan plak.

    Plak juga lebih mudah terbentuk di kalangan perokok dan mereka yang suka mengunyah makanan bergula.

    Masalah gigi tidak dirawat

    GIGI bersambung dengan tulang rahang yang ditutup oleh gusi. Ruang gusi mempunyai kedalaman satu hingga tiga milimeter (mm) yang mengelilingi setiap gigi. Doktor gigi akan menggunakan kedalaman gusi sebagai petunjuk untuk menentukan tahap kesihatan gusi dan kemudian jadikan penyelidikan periodontal untuk mengukur tahap kesihatan gigi.

    Dr Fatimah berkata, kedalaman ruang yang lebih daripada tiga mm menunjukkan ada aktiviti penyakit dalam gusi.

    Dalam kes periodontitis katanya, struktur gigi terutama ligamen dan tulang alveolar akan musnah. Ini menyebabkan kestabilan gigi terjejas sekali gus mengakibatkan pereputan gigi atau penanggalan gigi.

    “Pereputan gigi boleh dipulihkan dengan rawatan penggantian. Doktor gigi akan mengeluarkan bahagian gigi yang reput dan mengisikan kaviti dengan bahan penampal untuk membentuk gigi kepada bentuk yang asal,” katanya.

    INFO: Faktor menyumbang kepada pembentukan plak

  • Kekerapan makan: Setiap kali makan makanan berkarbohidrat, asid akan dibebaskan untuk merosakkan gigi.

  • Ciri-ciri makanan: Sesetengah makanan boleh melekat pada gigi. Tidak semestinya makanan yang bergula saja dianggap sebagai makanan yang melekit. Kentang goreng dan biskut juga dalam senarai makanan yang melekat pada gigi.

  • Jangka masa makanan yang berada di dalam mulut: Makanan yang susah dicerna seperti biskut membenarkan lebih banyak masa untuk asid memusnahkan enamel berbanding dengan makanan yang cepat dicerna seperti gula-gula.

    Cara mencegah plak

  • Plak boleh disingkirkan secara efektif dengan memberus gigi dengan cara yang betul sebanyak dua kali sehari - waktu pagi dan sebelum tidur.

  • Tukar berus gigi sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan.

  • Berus gigi menggunakan ubat gigi fluoride sekurang-kurangnya dua kali sehari.

  • Kerap berjumpa dengan doktor gigi.

  • Mengehadkan pengambilan makanan ringan.

    Panduan penjagaan gigi

  • Menggunakan berus gigi berkualiti

  • Menggunakan ubat gigi berfluoride

  • Frekuensi dan tempoh masa yang berpatutan ketika memberus gigi

  • Teknik memberus gigi yang betul

  • Teknik flossing yang betul

  • Penggunaan pembersih mulut dan pembersihan lidah

  • Diet pemakanan yang bagus dan mengurangkan frekuensi pengambilan makanan serta minuman bergula.

  • Elak daripada merokok

  • Mencipta kesedaran mengenai kesihatan gigi.