Sunday, April 19, 2009

Diet pesakit buah pinggang

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Pesakit buah pinggang bukan saja perlu melakukan rawatan dialisis, tetapi juga mematuhi diet yang disyorkan.

Pesakit perlu banyak mengambil makanan tertentu bagi mengelak kandungan nutrien seimbang dalam badan

DIDIAGNOSIS dengan kegagalan buah pinggang bukan saja memerlukan anda menjalani rawatan dialisis tetapi juga mematuhi diet yang disyorkan. Suka atau tidak, perubahan dalam diet mesti dilakukan.

Oleh kerana buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi seperti biasa, pesakit buah pinggang perlu banyak mengambil makanan tertentu dan mengurangkan jenis makanan yang lain bagi mengekalkan kandungan nutrien yang seimbang dalam badan mereka.


Walaupun setiap orang memiliki rejim diet yang khusus, namun ada sesetengah nutrisi yang diperlukan oleh semua pesakit. Penting atau kurang pentingnya nutrisi itu banyak bergantung pada jenis dialisis yang dipilih, sama ada PD (dialisis peritoneum) atau HD (hemodialisis).


Pakar Pemakanan Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Winnie Chee, berkata perkara paling asas, setiap pesakit perlu membezakan antara jenis rawatan yang diterima kerana ia menjadi penentu amalan pemakanan atau diet yang terbaik untuk mereka.

“Sebagai contoh, rutin diet pesakit yang menjalani rawatan PD agak kurang berbanding pesakit dengan rawatan HD. Ia kerana bagi PD, tahap kalium, garam dan bendalir dalam badan lebih rendah disebabkan pertukaran kerap menerusi PD.

Makanan segera mempunyai kalori yang tinggi dan pengambilan garam berlebihan boleh memudaratkan kesihatan.

“Namun, pesakit yang menjalani rawatan PD perlu memakan lebih banyak protein berbanding pesakit yang menjalani HD,” katanya.

Dr Chee berkata, pesakit yang memilih PD biasanya menjalani pembedahan yang kecil untuk memasukkan tiub plastik kecil ke dalam rongga peritoneum (perut).

“Larutan dialisis kemudian dimasukkan secara suntikan ke dalam rongga peritoneum untuk menyingkirkan toksin dan cecair berlebihan menerusi proses osmosis. Ketika ini, membran peritoneum berfungsi sebagai alat penapis,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan ciri proses rawatan ini, protein akan hilang menerusi membran peritoneum pada setiap kali pertukaran dialisis.

Justeru, katanya pesakit yang menjalani rawatan PD perlu meningkatkan pengambilan protein bagi memastikan jumlah protein secukupnya untuk tumbesaran, pembinaan otot, membaiki tisu dan melindungi badan daripada jangkitan.

“Kadar pengambilan protein yang disyorkan bagi pesakit harus dikekalkan pada tiga atau empat hidangan sehari, iaitu lebih kurang saiz tapak tangan bagi setiap hidangan, baik daging, ikan atau ayam,” katanya.

Katanya, sesetengah jenis buah-buahan misalnya pisang dan anggur, selain sayur-sayuran berdaun adalah contoh pemakanan yang memiliki kandungan kalium tinggi.

Pesakit PD katanya boleh mengambil makanan jenis ini bagi membantu mereka menjaga kesihatan jantung dan mengekalkan tahap bendalir badan yang normal.

“Walaupun terdapat fleksibiliti bagi pengguna PD dari segi pengambilan kalium dan cecair yang dibenarkan, pengambilan fosforus harus dipantau kerana enapannya boleh menyebabkan tulang rapuh dan sakit sendi,” katanya.

Namun, katanya agak sukar untuk mengelakkan makanan yang mengandungi fosforus kerana ia boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan termasuk daging, ikan, ayam, minuman berasaskan koko, kacang selain makanan seperti tauhu, dal dan sayur kacang.

Dr Chee berkata, bagi mengatasi masalah ini, semua pesakit yang menjalani dialisis, sama ada HD atau PD, perlu mengambil pengikat fosfat (contohnya pil kalsium) untuk menyingkirkan fosfat tambahan daripada badan.

Pengambilan garam juga harus dihadkan untuk mengawal tekanan darah. Satu cara yang boleh diamalkan dengan mudah ialah ‘diet tanpa garam tambahan’ iaitu jumlah garam minimum digunakan ketika memasak (¼ camca teh sehari).

Selain itu, pesakit perlu waspada terhadap makanan lain yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti kicap masin, sos tomato atau cili, sos ikan, sos tiram dan makanan dengan MSG. Mengelak makanan sedemikian adalah pilihan terbaik dalam diet.

“Pengurangan jumlah air kencing yang dihasilkan adalah simptom umum masalah buah pinggang yang biasanya didapati pada peringkat akhir penyakit. Akibatnya, ramai pesakit mengalami bengkak, sesak nafas dan tekanan darah tinggi disebabkan cecair berlebihan yang disimpan di dalam badan,” katanya.

Oleh kerana terapi PD membantu mengekalkan fungsi buah pinggang untuk tempoh lebih lama, pesakit yang menggunakan kaedah rawatan ini tidak perlu mengawal pengambilan cecair dengan begitu ketat kerana pengeluaran air kencing tetap dikekalkan pada tahap normal.

“Sebagai garis panduan umum, semua orang harus sedar mengenai jumlah kalori yang diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi gemuk. Kadangkala, penyerapan dekstrosa (gula) dalam dialisis

boleh menyebabkan kenaikan berat badan pesakit PD. Pengambilan jumlah kalori yang betul penting untuk mengekalkan keseimbangan antara membekalkan tenaga bagi badan dan mengelakkan berat badan berlebihan,” katanya.

Jadual berikut merumuskan perbezaan antara perubahan pemakanan perlu diambil oleh pesakit yang menjalani PD dan HD:

Kelas makanan: Dialisis Peritoneum (PD)

Protein: Mengikut keperluan, keperluan protein lebih tinggi daripada pesakit HD.

Kalium: Biasanya tidak terhad melainkan tahap darah adalah tinggi.

Fosforus: Terhad.

Cecair: Lebih longgar daripada pesakit HD.

Kalori: Mengikut keperluan. Jika kurang berat badan, pesakit memerlukan lebih banyak kalori untuk mencegah kekurangan khasiat pemakanan. Jika berat badan berlebihan, pesakit memerlukan kurang kalori untuk mencegah kenaikan berat badan selanjutnya. Kalori daripada dekstrosa dalam dialisat perlu diambil kira.

Jenis makanan: Dialisis HD

Protien: Mengikut keperluan

Kalium: Terhad

Fosforus: Terhad

Cecair: Terhad

Kalori: Mengikut keperluan. Jika kurang berat badan, pesakit memerlukan lebih banyak kalori dan jika berat badan berlebihan, pesakit memerlukan kurang kalori.

Jadual ini hanyalah panduan umum mengenai jenis makanan yang sesuai bagi pesakit buat pinggang yang menggunakan kaedah rawatan berbeza. Namun, mereka dinasihatkan berbincang dengan doktor dan pakar diet buah pinggang sebelum membuat perubahan kepada amalan pemakanan untuk memastikan diet yang seimbang dan sihat.

Jangan memihak ketika anak bergaduh

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my




Sebagai ibu bapa, anda harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati anak-anak anda

"MAK, tengok abang ni, main tolak-tolak,” atau anda akan kedengaran, “Abang dulu, abang dulu, tepi.. tepi.” Sebagai ibu bapa anda tentu sudah biasa mendengar ayat berkenaan. Pergaduhan antara adik beradik memang sebahagian daripada proses pembesaran mereka. Selalunya, pergaduhan atau bibit-bibit cemburu dimulakan oleh anak yang tua. Misalnya anak sulung yang cemburukan kelahiran adik atau anak tengah yang cemburu pada adik baru.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan kanak-kanak ini akhirnya mampu bersahabat baik dengan adik beradik sendiri dan saling mempercayai.


“Letihlah tengok budak-budak ni, asyik bergaduh saja.” Anda juga biasa mendengar luahan seperti ini dari rakan anda. Mengapa kanak-kanak bergaduh?


Sebenarnya banyak perkara boleh menyebabkan kanak-kanak bergaduh. Walaupun ada kalanya sebagai ibu bapa, kita merasakan ia perkara remeh temeh, namun bagi mereka itu adalah soal besar. Apatah lagi di kalangan si abang atau kakak, rasa cemburu atau ingin bersaing sentiasa ada dalam diri mereka.

Namun, pergaduhan antara adik beradik adalah perkara universal dan normal. Malah, ramai yang berpendapat ia tanda keluarga yang sihat. Kehidupan orang dewasa atau kehidupan sebenar di dunia ini juga penuh pertelingkahan dan pertikaian.

Pergaduhan adakalanya bermula di meja makan.

Bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu membiarkan saja mereka bergaduh terutama apabila mungkin membabitkan kecederaan fizikal, caci mencaci atau penggunaan kata-kata kesat. Anda sebagai ibu bapa harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati kedua-dua anak anda.

Mengapa mereka bergaduh?

  • Seorang anak berasa tidak mendapat perhatian yang sama banyak dengan adik beradik lain. Atau mereka berasa dibebankan dengan banyak tanggungjawab berbanding adik beradik lain.

  • Fasa pembesaran mereka juga mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain dan bagaimana mereka menerima hakikat perlu berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu bapa dengan adik beradik lain.
    Ajar anak bertolak ansur, saling menghormati dan berkongsi barangan secara adil.
  • Ada kala kanak-kanak yang lapar, bosan dan mungkin penat dengan persekitaran menyebabkan mereka suka memulakan pergaduhan.

  • Mereka inginkan perhatian ibu bapa atau kakak atau abang.

    Bagaimana anda menangani pergaduhan anak-anak?

  • Jangan memihak dan jangan terbabit kecuali jika pergaduhan itu boleh mendatangkan kecederaan fizikal. Sebabnya, jika anda kerap campur tangan mungkin menimbulkan pemahaman kepada mereka, ibu atau bapa akan sentiasa ada untuk membantu mereka. Jadi, mereka tidak upaya untuk berdikari menyelesaikan masalah sendiri.

    Apabila anda memihak pula, akan timbul kefahaman pada seorang lagi anak, dia sentiasa dilindungi dan sentiasa selamat kerana lebih disayangi.

  • Hati-hati dengan anak yang suka mengadu. Mungkin dia betul dan mungkin juga tidak. Kadangkala mendengar sebelah pihak hanya menyelesaikan perkara itu sekejap saja sebelum mereka bergaduh semula. Kadangkala mereka juga sering menuduh adik beradik lain atas kesilapan yang dibuat.

  • Jangan membuat perbandingan siapa yang lebih baik dan sebaliknya.

  • Perhatikan masa dan hari atau pola yang memungkinkan pergaduhan boleh tercetus. Misalnya pertukaran jadual rutin harian.

  • Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Misalnya berkhemah atau melancong sekeluarga. Aktiviti begini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka apabila mula berkongsi cerita.

  • Jangan fokus keterlaluan anak mana yang patut disalahkan, sebaliknya selesaikan dengan baik membabitkan kedua-duanya. Misalnya saling bermaafan.

  • Bantu anak anda membentuk kemahiran bagi mengatasi konfliknya sendiri. Misalnya ajar mereka bertolak ansur, saling menghormati dan mengagihkan makanan atau apa saja barangan yang perlu dikongsi secara adil.

  • Apabila mereka bergaduh anda cuba meleraikannya, sebaiknya jangan tengking atau membebel. Nasihat dengan baik mengapa mereka tidak boleh bergaduh dan apa kesannya jika mereka bergaduh.

  • Paling utama, jika anda kerap menengking atau menaikkan suara apabila bersama mereka, mulakan dengan mengurangkan atau menghapuskannya langsung. Tingkah laku anda mudah ditiru anak.
  • Kauselor Anda: Isteri curang cari keyakinan diri

    Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
    bminggu@bharian.com.my

    Jadikan kisah hitam sempadan kebal lindungi diri supaya tidak terjerumus lagi

    Soalan:
    SAYA berusia 27 tahun dan bekerja di sektor awam. Sudah berumahtangga dan suami saya seorang yang baik. Saya dikurniakan seorang anak, berusia dua tahun dan insya-Allah bakal menimang anak kedua hujung tahun ini.

    Dua tahun lalu, saya mendapat ketua baru yang peramah dan mesra dengan semua kakitangan. Mudah bekerja dengannya dan terdetik di hati, saya menyukai sifatnya.


    September 2008, satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran terjadi. Hubungan saya dengannya bukan lagi sebagai seorang pekerja dengan majikan tetapi terus menjadi kekasih. Kami terus bercinta walaupun saya tahu dia sudah berkeluarga.


    Sepanjang percintaan kami, saya dapati dia begitu menyayangi saya tetapi kami tidak pernah abaikan keluarga masing-masing. Hubungan kami tidak dapat dihidu oleh sesiapa di pejabat. Kami bertindak profesional.

    Oktober 2008, isterinya ternampak SMS yang dihantar suaminya kepada saya. Ketika itu isterinya mahu berjumpa saya di pejabat tetapi suaminya melarang dan kami sekadar bercakap di telefon. Saya mohon maaf pada isterinya dan berjanji tidak melakukannya lagi

    Ketika itu saya memberi cadangan pada suaminya untuk menukarkan saya ke jabatan lain supaya isterinya yakin kami tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi. Namun, kekasih saya tidak setuju sebab mahu teruskan hubungan sehinggakan kami terlanjur beberapa kali.

    November 2008, suami saya pula dapat menghidu perhubungan kami. Namun, suami menegur dengan cara berhemah. Dia memberi nasihat dan mengharapkan saya dapat membataskan perhubungan dengan ketua saya. Sejak itu hubungan saya dengan lelaki itu hanya di pejabat saja. Jika ada kesempatan dan peluang saya atau dia akan telefon.

    Disember 2008 hubungan kami putus apabila isterinya dapat menghidu hubungan kami. Isterinya datang ke pejabat dan memarahi, menghina, mengeji dan mencerca saya. Saya hanya berdiam diri. Saya diarahkan bersumpah supaya tidak menjalin hubungan dengan suaminya lagi dan saya turuti.

    Jika ditanya mengenai lelaki itu, saya dapat berasakan dia teramat menyayangi saya. Namun, disebabkan banyak halangan, kami harus merelakan semua ini berlaku.

    Saya melakukan solat taubat dan menyesal atas keterlanjuran. Saya bukan seorang yang mudah terpedaya dengan pujian lelaki. Saya tidak pernah melakukan hubungan seperti ini sebelum ini. Saya pernah terfikir bagaimana boleh terjebak dalam perhubungan ini sedangkan selama ini saya begitu menjaga rumah tangga.

    Ketika ini saya ingin mengembalikan keyakinan diri dan mencari semangat untuk meneruskan kehidupan. Setiap hari selesai solat saya akan memanjatkan doa kepada Allah supaya diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan dan cabaran daripada-Nya serta keluarga saya kekal bahagia ke akhir hayat.

    Nikis

    Jawapan:
    Nikis yang sedang bertaubat, terima kasih sudi berkongsi kisah hidup yang pendek tapi memilukan dan memalukan. Syukur anda sudah menemui noktah menamatkan episod hitam ini, tapi ini bukan bermakna anda terlepas daripada jerat sepenuhnya, kerana kancil boleh lupakan jerat tapi jerat tidak pernah lupakan mangsanya.

    Jadikan kisah hitam ini sempadan kebal untuk melindungi diri supaya tidak terjerumus lagi dan belajar mohon kemaafan daripada isteri ketua anda dan suami anda. Mudah-mudahan dengan kemaafan itu anda berasa lebih tenang menjalani hidup. Pada saya anda masih bertuah kerana ada suami yang baik, yang tidak sewajarnya anda curang dengannya dan selepas mendapati anda sedemikian masih menerima anda seadanya.

    Belajarlah menghormati suami anugerah Allah dan jangan sekali-kali membelakangkan dia atau bermain kayu tiga atas alasan apa pun. Banyaklah bersyukur kepada Allah kerana rasa takut sudah diangkat, cubaan sudah berlalu, dosa harapnya akan terampun melalui taubat nasuha anda dan kasih yang diketepikan sudah dinikmati kembali dan kemaksiatan sudah ditutup dengan taubat.

    Berdoalah supaya rezeki yang anda peroleh bercampur gaul dengan dosa zina di tempat kerja tidak kekal dalam darah dan dan menjadi penyakit dalam jiwa. Untuk itu banyaklah membaca dan memahami al-Quran kerana itulah tali yang menandakan kita bertuhan dan bernabi.

    Membaca juga dapat mengusir perasaan was-was, kecemasan dan kesedihan, selainnya akan menghindarkan anda daripada tenggelam dalam hal-hal yang batil. Serta dapat mengembangkan akal. Mencerahkan fikiran dan membersihkan hati nurani. Cintailah Allah dengan mencintai al-Quran.

    Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my

    Rheumatoid arthritis jejaskan sendi

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my




    Pesakit perlukan rawatan sepanjang hayat

    LINDA kerap merungut pergelangan tangannya sakit setiap kali bermain tenis. Pada mulanya dia beranggapan itu masalah biasa. Apatah lagi sendi lain juga kerap berasa sakit. Kemudian dia menyedari dia mula tidak berdaya menaiki tangga.

    Linda berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila dia tidak boleh menyarungkan cincin perkahwinan kerana sendi pada jari-jari mula berbonggol dan menggerutu. Lebih menyedihkan, Linda baru berusia 26 tahun. Pemeriksaan doktor mendapati Linda diserang rheumatoid arthritis (RA).


    RA adalah penyakit autoimun yang menyebabkan radang kronik pada sendi, tisu sekitar sendi malah organ dalam tubuh. RA juga berpotensi merosakkan rawan, tulang, ligamen selain kecacatan pada sendi. RA adalah penyakit yang progresif sifatnya.


    Presiden Persatuan Rheumatologi Malaysia (MSR) Dr Muhaini Othman, berkata RA menjejaskan individu dengan tahap yang berbeza. Ada pesakit menderita RA yang hanya menjejaskan sendi. Ada yang menghidap RA ringan.

    Namun, umumnya kebanyakan mereka yang diserang RA mengalami kerosakan pada kebanyakan sendi.



    Menurut Yayasan Arthritis Malaysia, daripada 100 orang yang berhadapan dengan masalah ini, 75 akan mengalami masalah bengkak sendi yang berterusan, 20 orang berhadapan dengan RA tahap paling ringan manakala lima menghadapi masalah ketidakseimbangan yang serius.

    “Walaupun RA penyakit yang kerap ditemui di seluruh dunia, namun sehingga kini tiada ubat yang benar-benar dapat memulihkan RA,”

    “Hanya beberapa tahun kebelakangan ini terdapat perkembangan yang menjanjikan dalam rawatan RA dan bentuk keradangan arthritis yang lain melalui pelbagai jenis rawatan,”katanya.

    Dr Muhaini berkata, RA menjejaskan seorang dalam setiap 1,000 populasi di Malaysia termasuk kanak-kanak. Di kalangan dewasa, RA menjejaskan satu peratus populasinya manakala di kalangan kanak-kanak lima dalam 100,000. Sebagai perbandingan, di Amerika Syarikat misalnya, RA menyerang 1.3 juta penduduknya.

    RA lebih banyak ditemui pada wanita berbanding lelaki. RA boleh menyerang sesiapa saja tanpa had umur, namun RA lebih kerap ditemui di kalangan mereka dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas.

    Gejala

  • Rasa sakit, kejang dan bengkak pada sendi di tangan, pergelangan tangan, siku, kaki, buku lali, lutut dan tengkuk.

  • Rasa tidak selesa itu akan menyerang kedua-dua belah bahagian badan pada masa yang sama.

  • Dalam kes yang jarang berlaku, RA akan menjejaskan mata, paru-paru, jantung, sistem saraf

    atau salur darah.

  • Ada kala RA menyebabkan kewujudan bonggol kecil (dikenali sebagai nodul) di sekitar siku, buku lima, tulang belakang dan tulang bawah bahagian kaki.

    Rawatan

    Tiada rawatan untuk RA sehingga kini. Apa yang ditawarkan kepada pesakit adalah melegakan simptom dan mengawal progresif penyakit ini. Justeru, pesakit RA perlu menjalani rawatan sepanjang hayat.

    Selalunya, dalam melegakan simptom, rawatan merangkumi ubat-ubatan, senaman dan mengubah gaya hidup.

    Pakar perubatan selalunya menyarankan rawatan awal bagi memastikan RA tidak melarat. Rawatan awal juga mengurangkan risiko radang yang memungkinkan sendi rosak dan sekali gus mengehadkan aktiviti harian.

    Dalam konteks pengambilan ubat ubatan bagi menangani simptom, Wyeth baru-baru ini melancarkan satu dos vaksin (pre-filled-syringes) untuk pesakit RA. Berkonsepkan formulasi sekali seminggu ia memudahkan pesakit menguruskan RA.

    Selain itu, bagi mengawal simptom dan mengehadkan progresif RA, anda disarankan mengamalkan diet seimbang, mengekalkan berat badan ideal selain kerap bersenam.

    Adakalanya, pesakit RA memerlukan pembedahan jika perubahan gaya hidup, ubat-ubatan dan senaman tidak membantu. Berdasarkan keadaan kesihatan dan usia pesakit, ada kalanya doktor menyarankan pesakit RA melakukan pembedahan gantian sendi.

    INFO: Apa itu penyakit autoimun?

    Merujuk pada masalah tisu badan yang diserang oleh sistem imun. Ada kalanya ia terjadi dalam tempoh yang lama tetapi tiada simptom ditunjukkan.
  • Barah hidung sukar dikesan

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Kelenjar leher bengkak antara simptom NPC (gambar kecil).

    Penyakit lazim rakyat Malaysia dengan kaum Bidayuh catat kes tertinggi di dunia

    APAKAH hidung anda sering berdarah? Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah barah hidung atau 'nasopharyngeal carcinoma' (NPC) yang kerap kali sukar dikesan kerana kedudukannya yang jauh di belakang hidung.

    Malah, lazimnya, pesakit hanya dikesan mengidap NPC apabila mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan lain seperti hidung berdarah atau bengkak pada kelenjar di leher. Namun, malang sekali apabila mereka disahkan menghidap NPC pada tahap ketiga.


    Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan berkata, barah hidung adalah penyakit yang paling lazim dikesan dihidapi kalangan warga Malaysia.


    Malah di peringkat global, kaum Bidayuh yang menjadi antara etnik utama Sarawak, terbukti menjadi bangsa paling tinggi dikesan menghidap barah hidung.

    Di Semenanjung Malaysia, mereka yang berketurunan Cina dan Melayu lebih kerap didiagnos dengan barah hidung.

    Pemeriksaan menggunakan kamera khas kaedah utama mengesan NPC.

    Masyarakat India, bagaimanapun, amat jarang dikesan mengalami masalah ini.

    Barah hidung adalah ketumbuhan yang wujud di 'nasopharynx' iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan di atas bahagian belakang tekak.

    "Pada peringkat awal, barah hidung memang sukar dikesan kerana bahagian nasopharnyx payah diperiksa. Lebih sukar lagi, simptom penyakit itu juga menyerupai gejala masalah kesihatan lain," katanya.

    Dr Raymond berkata, ada kalanya juga, pesakit percaya hidung yang berdarah disebabkan suhu badan terlalu panas.

    Rongga belakang hidung yang diserang barah.

    "Ini menyebabkan mereka tidak berjumpa doktor kerana menganggap masalah itu kecil dan boleh sembuh dengan sendiri."

    Bagaimanapun, tegasnya, hidung berdarah hanya satu daripada simptom barah hidung. Lebih membimbangkan, simptom itu ada kalanya menunjukkan barah berkenaan sudah pun berada di tahap akhir.

    Di negara Asia Tenggara, NPC mencatatkan antara lima hingga 15 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala di China, terutama di Selatan China, Taiwan dan Hong Kong mencatat 30 kes bagi nisbah jumlah penduduk yang sama.

    Jelas Dr Raymond, pada peringkat awal, NPC tidak menyebabkan sebarang simptom. Bagaimanapun apabila barah itu merebak ke tahap seterusnya, beberapa simptom mula kelihatan.

    Katanya, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan serangan NPC. Antaranya jantina. Lelaki berhadapan dengan risiko NPC dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Manakala orang Asia dan Utara Afrika lebih banyak dikesan menghidap NPC.

    "Satu lagi faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC adalah makanan yang diawet dengan kandungan garam yang tinggi, misalnya ikan, itik atau sayur-sayuran,"katanya.

    Selain itu virus Epstein-Barr, virus paling biasa ditemui pada manusia dan hidup di sekitar hidung. Virus ini dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

    Jelas Dr Raymond, barah NPC tahap satu bermaksud, barah masih berada dalam hidung. Barah NPC tahap dua dan tiga, ketumbuhan semakin besar dan sudah merebak ke bahagian. NPC tahap akhir, barah masuk jauh ke paru paru, tulang atau hati.

    "Kerana simptom awal NPC kerap dianggap masalah biasa, kebanyakan pesakit datang ketika sudah berada di tahap kedua dan ketiga," katanya.

    Mengikut statistik, hampir 54 peratus dikesan dengan NPC selepas mendapatkan rawatan bengkak di leher, 25 peratus ketika berlaku pendarahan pada hidung, 18 peratus kerana masalah kurang pendengaran pada sebelah telinga, 13 peratus kerana menjadi juling dan 12 peratus terasa telinga berdengung.

    INFO: Simptom NPC

    Simptom awal
    1. Hidung berdarah, bukan pendarahan yang teruk tetapi kesan darah.
    2. Salah satu telinga berdengung.
    3. Salah satu hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas dengan betul.

    Simptom lewat
    1. Bengkak pada leher.
    2. Mata juling - barah sudah memasuki bawah otak dan menyerang saraf otak yang mengawal pergerakan mata.
    3) Sakit kepala yang kronik.
    4) Sakit pada tulang kaki atau belakang (tahap empat).Rawatan

    1) Radiasi - memusnahkan sel barah dengan cepat. Namun ada kesan sampingan yang bersifat sementara, misalnya hilang pendengaran, mulut yang kering atau sukar menelan.

    2) Kemoterapi - bertindak memusnahkan sel dengan pantas tetapi seperti diketahui ia juga mungkin memusnahkan sel yang sihat berdekatan sel yang terjejas. Kemoterapi bertindak merawat NPC dengan tiga cara, digunakan bersama-sama terapi radiasi, digunakan selepas terapi radiasi atau sebelum terapi radiasi.

    3) Pembedahan - bukan rawatan yang kerap dipilih untuk menangani NPC. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor akan menilai rawatan terbaik dengan peratusan untuk pulih yang memihak kepada pesakit.

    Doktor di BM: Haid singkat gangguan hormon

    SAYA berumur 20 tahun dan sudah berkahwin. Sejak tiga bulan terakhir ini, saya sering didatangi haid dalam tempoh yang amat pendek, lazimnya 10 hari, menjadi cuma empat hari saja. Adakah ini akan menyebabkan hari subur saya semakin cepat? Tahun lalu, saya mengalami pendarahan teruk yang disangka haid selama 14 hari. Ia menyebabkan saya terpaksa menukar tuala setiap 30 minit kerana kebocoran diiringi dengan lesu dan rasa sakit yang teruk. Adakah itu petanda saya keguguran?

    Puan Leila

    JAWAPAN:

    Jangka masa haid yang lebih singkat dari 10 kepada empat hari tidak menyebabkan waktu subur anda menjadi cepat. Waktu subur lebih bergantung kepada waktu pusingan haid yang dikira dari hari pertama haid ke hari pertama haid yang seterusnya. Contohnya, katakan haid anda jatuh pada satu hari bulan lalu dan bulan ini juga pada tarikh sama. Ini bermakna waktu pusingan haid anda ialah 30 hari. Waktu subur ialah pada hari ke 16 kerana jangka masa yang diambil daripada waktu bertelur ke haid yang seterusnya ialah 14 hari.

    Soalan kedua berkenaan satu episod haid yang banyak pada tahun lalu. Ia mungkin disebabkan oleh gangguan hormon. Sekiranya haid itu lewat dan anda mengalami tanda-tanda awal mengandung seperti loya, buah dada rasa penuh, membengkak dan diikuti oleh pendarahan, ia mungkin disebabkan oleh keguguran. Sebab pendarahan itu tidak boleh dipastikan kerana tiada pemeriksaan awal yang di lakukan pada ketika itu.

    Saya cadangkan agar puan mendapatkan rawatan awal sekiranya lewat datang haid untuk memastikan puan mengandung atau sebaliknya.

    Doktor di BM: Alahan hama boleh dikawa

    SAYA berusia 38 tahun dan ibu kepada dua anak. Berat badan saya 53 kilogram. Sejak 2004 saya mula bersin pada waktu pagi, siang dan malam. Hidung saya sumbat, tidak dapat menghidu bau dan hingus keluar setiap masa. Saya sentiasa rasa ngilu, sejuk apabila hujan, terkena angin kipas atau bilik berhawa dingin.

    Hidung tersumbat dan kerap selesema, saya rasa bergegar apabila sejuk, bersin tidak henti-henti dan hingus meleleh. Saya selalu makan ubat selesema yang diberikan doktor setiap kali ke klinik. Muka saya sudah naik tompok hitam. Adakah kerana masalah ini atau kerap mengambil panadol dan ubat selesema.

    Puan Hasnah.

    Jawapan:

    Penyakit puan besar kemungkinan berpunca daripada alahan kepada hama dalam habuk (house dust mite). Apabila terdedah kepada hama ini, kesan alahan seperti bersin dan berhingus yang berlebihan akan terjadi.

    Keadaan ini menjadi lebih tenat apabila bahagian turbinate dalam hidung bengkak disebabkan kesan alahan yang berpanjangan. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan kurang deria bau. Kadang kadang jangkitan kuman akan berlaku. Puan mungkin berasa sejuk, letih dan tidak sihat.

    Puan memerlukan rawatan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) supaya penyakit ini boleh dikawal dan dirawat dengan sempurna. Pemeriksaan endoskopi hidung dan ujian alahan diperlukan. Keadaan persekitaran terutama dalam bilik tidur dan katil harus dijaga supaya dapat mengurangkan hama habuk. Ubatan anti-alahan diperlukan untuk jangka masa lama. Pembedahan mungkin diperlukan sekiranya ubat didapati kurang berkesan atau berlaku komplikasi radang alahan dalam hidung.

    Golongan muda boleh hidap Parkinson

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my

    Penyakit saraf tiada penawar ini bukan saja masalah warga tua, turut dialami mereka berusia awal 30-an

    ANTARA penyakit yang paling dikenali di Malaysia ialah Parkinson - sejenis penyakit saraf. Sebanyak 15,000 ke 20,000 pesakit sudah disahkan menghidap Parkinson di negara ini.

    Peningkatan jumlah warga emas dikatakan antara faktor peningkatan jumlah pesakit Parkinson biarpun hakikatnya, ia boleh dihidapi golongan muda, khususnya yang berusia di bawah 40 tahun, termasuk 30 tahun.

    Pada peringkat global, di United Kingdom misalnya, seorang daripada setiap 500 orang atau 120,000 individu menderita Parkinson, manakala 10,000 orang didiagnos setiap tahun dengan Parkinson. Di Amerika Syarikat pula, 60,000 kes baru dikesan setiap tahun menambah jumlah sedia ada kepada 1.5 juta orang. Jika dicampurkan dengan jumlah pesakit lain di merata pelosok dunia, mereka yang didiagnos dengan Parkinson ialah 6.3 juta orang.

    Pakar Runding Neurologi, Dr Chew Nee Kong, berkata memahami secara perubatan, Parkinson ialah gangguan neurodegeneratif (kemerosotan saraf) yang berlaku secara berperingkat.

    Ia menyebabkan pesakit mengalami gejala gangguan motor seperti terketar-ketar, pergerakan luar kawalan, kekakuan dan kelemahan otot yang lama-kelamaan bertambah teruk.

    “Ramai orang mengandaikan bahawa otot yang kaku atau kekurangan daya pergerakan sebahagian daripada proses meniti hari tua, pada hal semua ini simptom Parkinson,” katanya.

    Walaupun tiada ujian khusus yang dapat mengesahkan penyakit ini, doktor ialah orang yang paling layak untuk menilai keadaan individu dan mengesahkan penyakit berasaskan gejala yang diketahui, agar rawatan boleh dimulakan.

    “Lebih awal diagnosis dibuat, lebih cepat rawatan boleh dimulakan dan pesakit akan lebih berdikari, yakin dan mudah bergerak,” jelasnya.

    Rawatan awal sangat penting kerana Parkinson sehingga kini tiada penawar. Rawatan semasa yang diberi hanya bertujuan untuk mengawal gejala agar pesakit boleh meneruskan hidup sebaik mungkin.

    Dr Chew berkata, walaupun Parkinson kerap kali dikaitkan dengan golongan berusia, sebenarnya generasi muda pada usia 30 tahun juga boleh terjejas dengan Parkinson. Malah, penyelidik mendapati antara lima hingga 10 peratus pesakit didiagnos dengan Parkinson pada usia bawah 40 tahun. Antara pesakit yang menghidap Parkinson pada usia muda ialah pelakon popular, Michael J Fox.

    Beliau berkata, secara umumnya, pesakit Parkinson dikenali melalui pergerakan tidak terkawal dan terketar-ketar namun Parkinson tidak hanya dikenali melalui simptom membabitkan motor.

    Ada juga yang mengalami simptom lain, misalnya tulisan tangannya menjadi bertambah kecil daripada biasa, keabnormalan kognitif, sukar menelan, sukar bercakap atau jika bercakap pun dalam satu nada.

    “Parkinson tidak membawa kematian. Namun, pesakit perlu menjaga kesihatan mereka sebaiknya. Bagi sebahagian kecil pesakit, mereka turut mengalami gangguan pernafasan dan mungkin menyebabkan masalah pneumonia,” katanya.

    Gejala membabitkan motor

    • Terketar-ketar - selalunya bermula pada sebelah tangan. Ia simptom yang pertama dialami 70 peratus pesakit Parkinson.
    • Pergerakan yang perlahan (bradykinesia) - mereka sukar memulakan pergerakan
    • Kaku atau otot yang kaku - misalnya sukar bangun selepas duduk di kerusi.


    Gejala lain:
    • Lemah pada otot muka dan tekak
    • Sukar berjalan
    • Sukar mengimbang
    • Kejang otot dan sendi
    • Masalah pencernaan dan membuang air kecil
    • Kaku
    • Masalah dengan fungsi tubuh misalnya lebih banyak berpeluh dan tekanan darah rendah.


    Rawatan

    Walaupun Parkinson tiada penawar setakat ini, dunia perubatan menawarkan pelbagai jenis ubat dan kaedah bukan perubatan bagi menangani simptom.

    Antaranya, ada beberapa jenis ubat yang boleh digunakan dalam pengurusan Parkinson. Sebahagiannya digunakan secara gabungan beberapa jenis ubat kerana tidak semua pesakit mengalami simptom sama.

    Antaranya terapi gantian dopamin - yang bertindak menghasilkan bahan kimia dalam otak - dopamin. Ia terapi yang digunakan bagi mengawal simptom Parkinson membabitkan motor. Jumlah dos yang perlu diambil akan meningkat dari semasa ke semasa kerana sifat progresif Parkinson.

    Selain itu, pesakit juga mungkin mengambil ubat-ubatan lain misalnya Dopamine Agonists (ia bertindak hampir sama dengan terapi gantian dopamin) dan COMT-inhibitors (terapi yang digunakan bersama terapi gantian dopamin bagi meningkatkan tahap dopamin).

    Kadang kala pembedahan menjadi pilihan bagi menangani fungsi abnormal neuron dalam otak pesakit.

    Selain itu, penjaga boleh membantu pesakit melegakan simptom dengan mengajar pesakit bersenam, melakukan terapi pertuturan, fisioterapi dan kaunseling.

    Berjalan kaki untuk jantung


    KEKERAPAN berjalan kaki berkesan memperbaiki sistem jantung manusia.

    Rempah dapur untuk kawalan gula darah


    KAYU manis dan Banaba.

    DIANGGARKAN satu daripada 10 rakyat Malaysia yang berada di pertengahan umur mempunyai diabetes dan satu daripada lima mempunyai pra-diabetes.

    Jumlah penghidap pra-diabetes juga akan meningkat bila rakyat meningkat usia dan berat badan.

    Pra-diabetes bukan sahaja berisiko untuk menghidap diabetes tetapi juga serangan jantung, angin ahmar, kegagalan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf dan pemotongan anggota badan.

    Risiko untuk anda mendapat serangan jantung atau angin ahmar adalah antara dua ke empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang sihat. Ianya 1.5 kali lebih tinggi jika anda menghidap pra-diabetes.

    Ketahanan Insulin

    Pra-diabetes dan diabetes jenis kedua biasanya bermula dengan kerentanan insulin. Takat gula darah (glukosa) dalam badan dikawal atur oleh insulin, sejenis hormon yang dikeluarkan dalam pankreas.

    Insulin membantu membawa glukosa dari darah melalui membran sel dan kemudiannya masuk ke dalam sel badan.

    Selagi membran sel sensitif terhadap insulin, pergerakan ulang-alik glukosa ke dalam sel berlaku dengan cepat.

    Apabila membran sel tidak sensitif (juga dikenali sebagai kerentanan insulin), pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin untuk memaksa glukosa masuk ke dalam sel.

    Kesannya ialah peredaran gula darah yang tinggi menjadi biasa. Lama kelamaan pankreas tidak lagi berupaya untuk mengeluarkan insulin dengan cukup untuk mengawal gula darah dan diabetes jenis kedua akan terbentuk.

    Sebelum didiagnosis sebagai pesakit diabetes, anda mempunyai keadaan yang dikenali sebagai pra-diabetes.

    Keadaan ini berlaku apabila takat gula darah anda lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap diabetes dan kebanyakan orang tidak menyedarinya.

    Pemakanan yang sihat, senaman dan mengambil suplemen boleh mencegah atau melambatkan masa mula diabetes dan mengurangkan risiko komplikasi.

    Pati kayu manis

    Ahli kimia di Jabatan Pertanian US (USDA), Dr. Richard Anderson menemui sejenis kelas bahan larut air dalam kayu manis yang dikenali sebagai polimer Polifenol Jenis-A dengan keupayaannya untuk meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali ganda.

    Sifat peningkatan insulin kayu manis akan mendatangkan faedah kepada individu yang mempunyai takat gula tinggi (pra-diabetes dan diabetes).

    Pada Jun 2006, satu kajian menunjukkan pengambilan suplemen pati kayu manis boleh membantu mengawal takat gula darah bagi individu yang mengalami diabetes jenis kedua.

    Dalam kajian ini, 79 pesakit diabetes mengambil suplemen tiga kali sehari. Selepas empat bulan, takat gula darah berpuasa mereka bertambah baik sebanyak 10.3 peratus.

    Pada Oktober 2006, suatu kajian dikemukakan pada sidang Kolej Pemakanan Amerika ke-47, menunjukkan pati kayu manis larut air mungkin mendatangkan kesan antioksidan dalam mengurangkan kerosakan radikal bebas yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi.

    Kajian ini juga menunjukkan pengawalan gula darah yang bertambah baik. Hasil kajian tersebut seterusnya menyokong peranan pati kayu manis dalam membantu mereka yang mengalami gangguan fungsi insulin dan pra-diabetes.

    Polimer Polifenol Jenis A pati kayu manis larut air adalah 70 peratus lebih berkesan daripada kayu manis asli itu sendiri dan ia mengelakkan kesan alahan sampingan berbahaya yang mungkin berlaku apabila mengambil dos kulit kayu manis asli yang tinggi.

    Pati Banaba

    Beberapa jenis tumbuhan perubatan dari India, China dan Jepun juga telah digunakan untuk merawat diabetes. Salah satu yang ditemui adalah asid korosolik dari daun pokok Banaba (Lagestroemic specious).

    Profesor Sains Farmaseutikal, Fakulti Perubatan Universiti Hiroshima Jepun, Dr. Yamazaki telah mengkaji kesan asid korosolik yang seakan insulin sifatnya.

    Kajian beliau menunjukkan asid korosolik mengaktifkan pengangkutan gula darah melintasi membran sel ke dalam sel menghasilkan penurunan gula darah.

    Kajian klinikal di Amerika Syarikat dan Jepun menunjukkan asid korosolik adalah selamat digunakan dan berkesan dalam penurunan takat gula darah bagi pra-diabetes dan diabetes jenis kedua.

    Mengawal gula darah*

    Secara berasingan, pati kayu manis dan Banaba menambah sensitiviti insulin yang membantu dalam penurunan takat gula darah, tetapi apabila keduanya digabungkan, keduanya bertindak dengan lebih berkesan.

    Kebanyakan kaji selidik ke atas kayu manis melibatkan penggunaan pati larut air yang dipiawaikan untuk mengandungi Trimerik dan Polimer Tetramerik Jenis-A (polimer polifenol Jenis A) dan bagi Banaba, ia adalah dipiawaikan untuk mengandungi satu peratus asid korosolik.

    *Suplemen tersebut harus diambil bersama dengan ubat dan tidak digunakan untuk menggantikan ubat dan nasihat doktor.

    Jika anda mempunyai risiko pra-diabetes, sila berjumpa doktor untuk menjalankan ujian darah. Walaupun anda beranggapan tidak mempunyai risiko, pakar menasihatkan mereka yang berusia lebih 35 tahun untuk membuat pemeriksaan takat gula darah mereka setiap tahun.

    Akan tetapi, jika anda tahu anda mempunyai pra-diabetes, anda masih boleh mencegah diabetes berlaku pada peringkat awal dan mengurangkan kerosakan kepada badan anda melalui perubahan gaya hidup, pemakanan, bersenam dan juga mengambil suplemen seperti pati kayu manis dan Banaba yang dipiawaikan.

    Walaupun banyak faedah diperkatakan mengenai kayu manis dan Banaba, anda harus juga mengetahui kepentingan untuk mengambil suplemen multivitamin dan mineral yang baik yang telah diformulasikan khas bagi pesakit dan individu pra-diabetes demi memelihara kesihatan optimum dan mencegah penyakit.

    Contoh paling tepat adalah zat makanan utama yang diperlukan dalam kuantiti lebih tinggi oleh pesakit diabetes daripada kuantiti dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa - Vitamin B1, B6,B12, Biotin, Niasinamid, Vitamin C, Vitamin E, Manganese, Vanadium, Zink, Kromium dan Selenium.

    Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan sejagat yang boleh berfungsi dalam kawasan sel-sel berair dan berlemak.

    Sasaran malaria sifar

    Oleh NURUL ANUAR KARI

    KITARAN malaria dari nyamuk kepada manusia, dan disebarkan semula nyamuk lain kepada mangsa seterusnya.

    MALARIA mungkin semakin pudar dari ingatan kebanyakan penduduk negara ini berbanding denggi, mahupun chikungunya. Namun, jangan diambil remeh kerana seperti mana-mana penyakit berjangkit, malaria cuma memerlukan satu sumber, satu pesakit (patient zero) untuk menjadi satu wabak besar.

    Malaria boleh dikatakan penyakit yang seangkatan dengan denggi, chikungunya, demam kuning, filariasis (untut), encephalitis dan juga virus west nile dari segi penyebarannya. Kesemua penyakit tersebut disebarkan atau boleh disebarkan melalui vektor tertentu, terutamanya nyamuk.

    Walaupun spesies nyamuk dan cara pembiakan parasit malaria berbeza dengan virus denggi, akibatnya tetap sama iaitu demam dan simptom jangkitan lain yang boleh membawa maut kepada pesakit. Mengambil kira situasi semasa, perkara utama untuk dikongsi bersama orang ramai bukan lagi kaedah rawatan ataupun parasit Plasmodium yang menjadi punca malaria.


    Apa yang penting, kerjasama. Kerjasama dalam mengesan patient zero dengan secepat mungkin serta mencegah penyebaran parasit tersebut dengan menyekat aktiviti vektornya, nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk), daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

    - Terus menular

    Perkataan malaria sendiri datang dari bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair (tempat pembiakan nyamuk).

    Malaria bukannya penyakit baru dan dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun dengan beberapa spesies rapat parasit tersebut masih boleh ditemui dalam cimpanzi.

    Rekod sejak 2,700 Sebelum Masihi di China juga menunjukkan demam berperingkat yang menjadi ciri khusus malaria telah dikenalpasti.

    Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan sendiri memperakui malaria telah menewaskan masyarakat dunia bertahun-tahun dahulu lagi.

    “Kita tidak boleh membenarkan ini berulang sekali lagi. Satu rancangan bertindak global untuk kawalan malaria yang menerima sokongan meluas semua pihak adalah satu faktor penting untuk kita berjaya (mengawal malaria),” katanya.

    Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga 3 juta penduduk dunia di 109 negara benua Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terkecuali dengan kes malaria mula muncul sejak 60 tahun lalu dan dijangka boleh meningkat jika pemanasan global menambah sebaran habitat nyamuk Anopheles.

    Di Malaysia, malaria yang secara umumnya sudah terkawal dan hampir berjaya dihapuskan dilihat kembali meningkat dalam tempoh dan di kawasan tertentu. Ini dikaitkan dengan kebanjiran warga asing, terutamanya pendatang tanpa izin yang masuk tanpa melalui pemeriksaan kesihatan dan juga kuarantin (pengasingan) jika mereka membawa penyakit berjangkit.

    Ini terbukti dari kenyataan mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyatakan hampir empat peratus atau lebih 45,000 dari 1.3 juta pekerja asing yang ‘diperiksa’ pada 2007 mempunyai penyakit berjangkit. Jumlah itu juga merupakan satu peningkatan melebihi 7,000 kes berbanding catatan sepanjang 2005 dan melibatkan penyakit seperti HIV/AIDS, hepatitis B, siflis, tibi, kusta dan malaria.

    Berasaskan konsep patient zero, terdapat kemungkinan yang tinggi penularan kes malaria secara tiba-tiba di kawasan tertentu di Malaysia lebih melibatkan warga asing. Ini kerana beberapa laporan penularan malaria turut membabitkan pekerja asing (sah atau tanpa izin) dalam kelompok sam dengan warga tempatan. Ini meningkatkan kebarangkalian mereka menjadi punca bermulanya sebaran parasit Plasmodium (patient zero).

    - Menghapus

    Pengerusi Bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, Bill Gates menyatakan beliau percaya bahawa jika orang ramai ditunjukkan satu masalah dan juga cara penyelesaiannya, mereka akan mula bertindak.

    “Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) menunjukkan rangka tindakan untuk menentang malaria dan sekarang adalah masanya untuk dunia mengambil tindakan,” tegasnya.

    Pada tahun 2005, yayasan tersebut telah menderma berjuta-juta dolar kepada Fakulti Perubatan Tropika Liverpool untuk menjalankan kajian ke atas penyakit malaria. Pada 2007, Gates sekali lagi menyumbangkan AS$23 juta (RM82.96 juta) kepada Fakulti sama untuk kajian penyakit bawaan nyamuk dan serangga lain yang menjadi punca penularan penyakit berjangkit kepada lebih 150 juta penduduk miskin di kawasan tropika.

    Pengarah Eksekutif Perkongsian Roll Back Malaria (RBM), Awa Marie Coll-Seck pula berpendapat amat penting untuk langkah pencegahan dan rawatan berjuta-juta mangsa malaria dunia berjaya dicapai.

    “GMAP akan menjadi panduan dan menyatukan masyarakat dunia dalam usaha menyediakan bantuan segera dan berkesan bagi negara yang terlibat menentang malaria.

    “Dengan pembiayaan dan sokongan politik yang cukup, rancangan ini dapat membantu kita mencapai kejayaan besar menentang malaria bagi tahun-tahun mendatang,” tegasnya.

    Memandangkan malaria mempunyai beberapa peringkat jangkitan, terdapat pilihan pencegahan sama ada untuk mensasarkan parasit Plasmodium itu sendiri atau vektornya, nyamuk betina Anopheles. Oleh kerana parasit tersebut mampu menyorok di dalam sel darah merah dan sel hati, agak sukar untuk mengesan mahupun membunuhnya.

    Dengan itu, langkah paling mudah dan rendah kos adalah kawalan vektor, sama seperti kawalan denggi, dengan mengawal habitat pembiakan mahupun menyekat nyamuk daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

    Nyamuk Anopheles lebih suka bertelur dalam air yang bersih tetapi tetap boleh membiak dalam air masin, mahupun air kotor. Larva nyamuk ini telah dikesan di dalam air paya, paya bakau, sawah padi, tebing sungai dan juga lopak air selepas hujan atau banjir, juga pada pokok atau mana-mana struktur yang boleh menakung air. Kawalan habitat bukan sahaja perlu bertumpu kepada tompok air bersih, malahan mana-mana takungan air, terutamanya selepas banjir atau di musim hujan.

    Penggunaan racun serangga atau kelambu pula dilihat dapat mencegah nyamuk (Anopheles mahupun Aedes) daripada menggigit mangsa. Ini penting untuk mengelakkan penyebaran parasit, mahupun virus, dari mangsa yang sudah dijangkiti kepada individu sihat.

    Kementerian Kesihatan mensasarkan malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara 2015 hingga 2018. Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan.

    Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria.

    - Tempoh kritikal

    Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers menegaskan GMAP memberi asas kukuh untuk kita melabur dalam usaha menentang malaria.

    “Saya menggesa penyokong-penyokong usaha ini di peringkat negara mahupun global untuk menggunakan rancangan ini bagi menggerakkan sumber sedia ada untuk kawalan malaria dan menyokong panggilan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon untuk menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan malaria,” ujarnya.

    Tahun 2009 dan 2010 menjadi pertaruhan besar dalam usaha membasmi malaria menjelang 2015. Ini kerana semua usaha menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan perlu dimulakan dalam dua tahun ini bagi membolehkan sasaran tersebut dicapai.

    Buat masa ini, dianggarkan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat malaria setiap 30 saat dan setiap kematian ini sebenarnya boleh dicegah. Usaha kini giat dijalankan untuk menyalur kemudahan asas seperti kelambu dan racun serangga ke kawasan-kawasan utama yang dilanda malaria. Walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui, terutamanya di kawasan luar bandar.

    Selain itu, ubat dan kaedah rawatan yang jauh lebih murah dan berkesan turut diperkenalkan bagi membolehkan individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan untuk malaria.

    Kerajaan Brazil dan Agensi Inisiatif Penggunaan Dadah Bagi Penyakit yang Diabaikan tahun lalu turut mengumumkan ubat terbaru untuk malaria dengan menggabungkan ubat sedia ada iaitu artesunate dan mefloquine dalam satu tablet. Dengan pengambilan satu atau dua biji pil berkenaan setiap hari untuk tiga hari, pesakit didakwa dapat pulih daripada jangkitan parasit malaria.

    Kerajaan Brazil sendiri dikatakan akan mengedarkan ubat yang dikenali sebagai ASMQ itu secara percuma kepada mereka yang memerlukan serta akan memindahkan teknologi menghasilkannya ke India bagi pengedaran ke Asia Tenggara dengan anggaran kos rawatan hanya sekitar AS$2.50 (RM9.02).

    Jika kerajaan sebuah negara sanggup melepaskan peluang keuntungan besar atas dasar perikemanusiaan untuk merawat pesakit miskin, tiada lagi alasan untuk kita tidak bekerjasama menghapuskan malaria. Tidak kira banyak atau sikit sumbangan dan bantuan yang dapat diberikan, ianya jauh lebih bermakna daripada hanya memerhatikan usaha orang lain dari jauh.

    Bersama kita mulakan usaha mencapai malaria sifar menjelang 2015, bekerjasama menghapuskan penyakit berjangkit yang meragut paling banyak nyawa di dunia ini.

    Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) dihasilkan oleh Perkongsian Roll Back Malaria (RBM) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sila layari laman web www.rbm.who.int/worldmalariaday/

    resources.html untuk maklumat lanjut mengenai malaria, GMAP, RBM atau laporan penuh malaria 2008.

    Subjek Sejarah bakal dirombak

    BATU PAHAT 14 April - Pendekatan pengajaran mata pelajaran sejarah bagi sekolah rendah dan menengah yang kini berasaskan peperiksaan mungkin dirombak supaya berbentuk penghayatan di kalangan para pelajar.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendekatan sedia ada kurang berkesan untuk melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik dan cintakan negara.

    Menurutnya, pembelajaran Sejarah seharusnya lebih tertumpu kepada usaha menanam kefahaman terhadap pelbagai aspek sejarah dan bukan semata-mata berasaskan peperiksaan.

    ''Maka dengan ini barulah mata pelajaran itu dapat difahami dan dihayati sehingga melahirkan semangat juang di kalangan anak-anak," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas majlis kesyukuran sempena kejayaannya dipilih ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini malam tadi.

    Lebih 2,000 orang termasuk isteri Mohd. Puad, Dr. Rubiah Leman dan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hadir pada majlis tersebut.

    Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, perkara tersebut akan dibawa pada mesyuarat jawatankuasa Kabinet akan datang untuk dibincangkan.

    ''Oleh kerana perkara ini penting, maka sebelum itu saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

    Beliau berkata, mata pelajaran sejarah penting dipelajari semua pelajar dari tahun 1 hingga tingkatan enam bagi melahirkan generasi yang memiliki jati diri dan cintakan negara.

    Terdahulu ketika berucap, beliau menggesa ahli-ahli UMNO agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melahirkan konsep Satu Malaysia.

    ''Konsep ini mempunyai matlamat yang cukup besar dalam membela nasib rakyat," katanya.

    Mohd. Puad juga berikrar untuk memikul segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan ekoran pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran yang baru.

    Program '3M' dekati pelajar

    KUALA LUMPUR 15 April - Program khas 'Menyelami Minda Muda' (3M) akan menjadi platform kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta idea secara terus kepada kerajaan.

    Pendekatan itu diperkenalkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah (gambar) sebagai salah satu pendekatan untuk mendekati pelajar institusi pengajian tinggi.

    Beliau berharap dengan adanya program tersebut, mahasiswa tidak lagi berhadapan dengan dinding birokrasi dan sekatan yang membantutkan proses komunikasi mereka dan pemimpin negara.

    Jelasnya, program tersebut menawarkan pendekatan berbeza kerana objektif utamanya adalah untuk melihat kehidupan sebenar mahasiswa tanpa sebarang protokol.

    ''Saya akan membuat lawatan mengejut ke semua 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) dengan pelbagai pendekatan yang lebih mesra supaya mereka berasa lebih dekat dengan kita,'' katanya kepada pemberita di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

    Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke universiti tersebut turut mengunjungi bilik-bilik kediaman pelajar dan meluangkan masa berbual serta makan tengah hari bersama mereka.

    Lawatan ke UPM itu adalah yang pertama di bawah Program 3M dan merupakan gerak kerja sulung yang dilakukannya sebaik memegang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi .

    Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Naib Canselor UPM, Profesor Azali Mohamed dan Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, Rashid Abdullah.

    Menyentuh lawatan pada hari itu, beliau amat berpuas hati dengan respons yang diberikan oleh pelajar.

    ''Kebanyakan pelajar yang ditemui tanpa segan silu memberikan pandangan mereka mengenai kerajaan masa kini dan mereka juga kelihatan ceria ketika berbual, saya anggap ia satu petanda positif,'' jelasnya.

    Dalam masa yang sama, Saifudin memaklumkan pelajar-pelajar IPTA dan belia boleh berinteraksi secara terus dengannya di laman web Facebook.

    ''Penggunaan laman web Facebook ini amat efisien kerana generasi muda pada hari ini mahukan interaksi yang lebih cepat dan pantas.

    ''Malah saya sendiri telah memperuntukkan masa setiap hari Rabu minggu pertama dan ketiga pada setiap bulan untuk berinteraksi dengan pengguna Facebook iaitu pada pukul 10 hingga 11 malam,'' ujarnya.

    Ditanya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), beliau berpendapat masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

    ''Biarpun AUKU sudah dipinda, namun saya belum berpuas hati. Tambahan pula ini adalah salah satu perjuangan saya semasa menjadi pemimpin belia satu masa dahulu,'' katanya.

    Pendiam tidak semestinya baik

    PENGALAMAN pahit yang dilalui oleh Syuhada menjaga ibu bapanya yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu menarik perhatian Puan Eira kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Yang berbeza beliau menjaga bapa mertuanya yang mengidap pelbagai jenis penyakit.

    Masalahnya dia cepat pemarah dan suka komplen tentang cara hidup kami dan dirinya sendiri. Apa yang kita buat tidak pernah memuaskan hatinya. Makan tak mahu di meja tetapi mahu makan dalam bilik lepas tu pinggan dibiarkan di lantai dengan lebihan makanan bertaburan. Masalahnya tentulah banyak semut dan lipas, bila ditegur dia buat pekak. Kalau gunakan tandas kita kena standby cuci balik sebab dia tak peduli apa yang terjadi lepas dia gunakan.

    ''Bila banyak komplen kami hantar dia pergi ke rumah anak perempuannya, tak sampai 10 minit heboh nak balik rumah kita. Bila kita tinggalkan, dia balik sendiri. Dengan syarat saya ada di rumah, suami saya tak ada dia tak peduli. Sebab saya boleh masak makanannya. Kerana anak-anaknya sendiri pun tak pedulikan dia.

    ''Saya bukanlah menantu mithali. Mulut saya bising juga dengan perangai oran tua yang pemalas ni, dia memang pemalas dalam banyak hal terutama nak solat, bila kita suruh dia bagi alasan sakit kepala, demam, tak boleh berjalan nak ambil wuduk, terasa nak pitam, nak termuntah dan macam-macam lagi. Pendek kata kalau boleh dia memang tak mahu disuruh solat, dia nak duduk aja sambil tonton tv atau tidur.

    Demikian cerita Eira panjang lebar dalam e-melnya kepada penulis. Ceritanya berbeza dengan kisah yang di e-mel oleh Noramira bukan pasal mertua tetapi tentang suami yang suka sangat menuduh isterinya nusyuz apabila menegur perbuatan suaminya yang suka sangat buat skandal dengan wanita.

    ''Sebagai isteri saya rasa berhak menegur perbuatan suami kita yang tak baik, tapi bila kita tegur dia tuduh saya nusyuz. Dia sengaja takutkan saya dengan perkataan nusyuz supaya saya tidak tegur dan marah perbuatannya yang suka buat skandal itu. Nusyuz juga menjadi senjatanya untuk menyakitkan hati saya. Sementelah saya surirumah sepenuh masa.

    ''Sebenarnya sudah lama saya memendam rasa kerana sering dituduh nusyuz, tetapi sebagai isteri yang tidak bekerja, saya tak berani bertindak, bila dia marah saya cuma diam dan menangis. Itulah sahaja kekuatan saya. '

    "Kalau mengadu pada keluarganya ataupun keluarga saya pun tak ada siapa pun yang akan percaya cakap saya, kerana suami saya Kay ini mempunyai ciri-ciri suami penyayang, penyabar dan seorang alim, jadi siapa percaya kalau saya cerita dia curang ada skandal? Dia di luar saja nampak baik, tetapi di dalam berulat.

    ''Mungkin pembaca pun jemu bila baca cerita pasal suami curang, tetapi itulah keadaannya kalau kita percayakan suami kita seratus peratus, terutama bila kita lihat suami kita baik, tak banyak cakap, cukup solat 5 waktu, jadi apabila dia kata ada kerja luar, balik lewat, kita akan percayakan dia seratus peratus, sebab tak ada tanda-tanda dia curang apa lagi ada skandal.

    ''Saya suka mengingatkan kaum wanita khususnya yang baru berkahwin atau yang terlalu sayangkan suami, kalau boleh semak balik taraf sayang anda itu jangan percayakan suami 100 peratus, percayakan dia 30 ke 40 peratus sahaja, sebab kita tidak menyesal kerana perbuatan kita itu. Belajarlah dari kesilapan saya, dulu rumah tangga saya aman damai, tapi setelah 15 tahun berkahwin dan ada 4 orang anak yang sudah pun dewasa, baru saya nampak perubahannya, semuanya kerana saya terlalu percayakan dia lebih 100 peratus.

    ''Sebab alimnya, mengamalkan suruhan Allah menarik perhatian saya, tentang solatnya, puasanya, namun itu semua kita tidak boleh percaya bulat-bulat mesti ada sedikit curiga kerana suami yang nampak baik pun sukar kita boleh percaya. 'Macam Kay, nampak alim, tapi iman dia tak kuat, boleh digegarkan dengan sms jiwang-jiwang, pujuk rayu wanita. Hinggakan dia sanggup menipu untuk memuaskan hatinya. 'Banyak dosa dia lakukan menipu kami anak beranak, sanggup melupakan dan meninggalkan kami, pada bila-bila masa apabila dia mendapat panggilan telefon atau sms daripada kekasihnya. Dia lebih utamakan memenuhi kehendak kekasihnya Izah daripada kami keluarganya sendiri. Pada mulanya saya tak sedar perubahannya, fikirkan dia baik macam dulu juga, tapi entah macam mana saya ternampak gambar mereka berdua di tepi pantai dan dalam bilik hotel yang disorokkan dalam buku bacaannya. Terkejut besar saya, macam biasalah bila kita tanya dia tak akan mengaku walaupun gambarnya ada di tangan kita.

    ''Kemuncak kemarahannya bila borang izin nikahnya kali kedua atau nak berpoligami saya tidak mahu tandatangan. Akibatnya saya dan anak-anak jadi mangsa dia melepaskan marahnya.

    ''Saya ada alasan mengapa tak izinkan dia kahwin lagi, kerana saya masih kuat dan boleh melayani dia dengan baik, saya sediakan makan minum, pakaiannya semuanya saya urus sendiri tanpa pembantu rumah. Paling utama pendapatannya tidaklah banyak, cukup untuk kami anak beranak sahaja, jadi macam mana dia nak tanggung keluarga barunya nanti. ''Marahnya semakin menjadi-jadi setiap kali kekasihnya hantar sms dan menelefon bertanya bila mereka boleh berkahwin. Seolah-olah tak ada lelaki lain yang boleh berkahwin dengannya. Alasan Kay susah nak cari wanita sanggup berpoligami tanpa meminta sesen pun daripada suami, kerana dia bekerja dan boleh tanggung diri dan anak-anak yang bakal dilahirkannya nanti. ''Memang hari ini dia janji tak minta duit, esok bila dah kahwin, macam-macam yang dia minta, terutama nafkah anak yang dilahirkannya nanti. Saya tak tahulah sama ada Kay bodoh percaya cakap kekasihnya, atau kekasihnya yang memang bodoh.

    ''Saya katakan pada Kay rupanya ada jua lelaki dayus yang cuma mahu berkahwin tapi tak perlu beri nafkah atau bertanggungjawab ke atas isterinya. Apakah dia sudi menjadikan dirinya pemuas nafsu isterinya sahaja. Tapi kata Kay itu janji bakal isterinya saya tak perlu bimbang cuma tanda tangan borang poligaminya itu sahaja. Lebih dahsyat lagi, kata Kay bakal isterinya juga sanggup tanggung duit saku dan makan minumnya bila diperlukan. Sebenarnya saya tahu itu semua adalah penipuan mereka untuk menyenangkan hati saya agar mengizinkan mereka berkahwin.

    ''Sejak rahsianya terbongkar saya buat intipan sendiri, kerana saya tahu Kay memang cuai, hari ini dia sorok bil hotel atau restoran tempat mereka selalu keluar makan, esok lusa saya akan jumpa. Tak tahulah kalau dia sengaja suruh saya jumpa untuk menyakitkan hati saya.

    ''Namun dari bil-bil tersebut saya tahu tempat-tempat mereka sering melepak dan menginap ataupun keluar makan. Kerana itu juga saya terjumpa gambar mereka berpelukan dalam bilik hotel. Camera digital zaman ini memang canggih-canggih tak perlu orang ketiga untuk merakamkan gambar mereka berdua.

    ''Perbuatan mereka bukan rahsia lagi kepada anak-anak. Kadang kala saya teringat nak bawa mereka bersama mencari ayah mereka yang tak balik-balik atau pergi kawasan mana mereka selalu lepak. Surat saman polis juga menjadi bukti ke mana mereka pergi makan angin.

    ''Kay fikir isteri yang tak bekerja boleh diperbodohkan dengan cerita dongengnya. Kadang tu bila dia berbohong saya katakan tolonglah jangan buat dosa lagi. Saya tahu ke mana awak pergi. Kalau saya ikutkan hati dan kalau saya tidak ada anak-anak sudah lama saya ke pejabat agama untuk memerdekakan diri.

    ''Saya tak sanggup hidup sepanjang hayat dengan seorang penipu yang bergelumang dengan dosa. Dan seorang hipokrit kalau depan saudara mara mesranya dengan isteri dan anak-anak kalahkan drama tv semata-mata nak tunjuk bahawa kamilah keluarga bahagia, sedangkan tidak.

    ''Tapi bila balik ke rumah mula tunjuk muka monyok dan cakap yang bukan-bukan. Paling saya meluat bila dia ugut nak ceraikan saya, dia ingat saya takut? Saya dah bersedia nak tinggalkan dia dan nak tengok sangat dia bela anak-anak. Nak tengok setakat mana kesempurnaan hidupnya tanpa saya, seperti dia selalu cabar saya.

    ''Janganlah ingat tanggungjawab suami cukup sempurna dengan mengenyangkan perut anak isteri sahaja. Tak guna kenyangkan mereka dengan air mata, hatinya disakiti, emosi diugut, dan hatinya dicarik-carik dengan ugutan demi ugutan.

    ''Kalaulah saya tidak sabar dan bersikap mengalah sejak mula berkahwin lagi sudah pasti perkahwinan kami tidak akan jejak hingga 15 tahun. Tapi kali ini saya nekad, saya tak takut diceraikan. Ramai wanita di luar sana boleh hidup tanpa suami, asalkan kita sanggup berkorban.

    ''Sesungguhnya Islam itu adil. Suami dan isteri ada hak mempertahankan dirinya. Dengan segala bukti penipuan Kay dan Izah di bilik hotel, saya pasti menang. Ketika itu nanti dia akan tahu siapa sebenarnya nusyuz.'' Demikian cerita Noramira tentang perjuangan hidupnya.

    Masalah yang dilalui oleh Noramira banyak berlaku di kalangan kita, ia benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi. Untuk mengambil jalan mudah hidup bersendirian memang senang tetapi sanggupkah anda? Kalau sudah biasa hidup seperti burung dalam sangkar?

    Membesar tanpa kasih sayang

    Ibu saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang lelaki yang bengis. Suaminya tidak mahu bekerja kerana dia seorang yang pemabuk, berjudi, berzina, membunuh orang, menghisap candu, mencuri dan bermacam lagi.

    Terseksa hidup ibu dengan sepak terajang, dimaki-hamun ditumbuk, jiran-jiranlah tempat ibu melarikan diri sementara. Kadang-kadang kami malu dengan jiran terpaksa tidur dalam hutan.

    Semasa saya lahir ibu bekerja kilang kerana pada masa itu orang dah tak buat sawah padi.

    Pada usia saya tujuh tahun, baru saya mengenal siapa ibu dan ayah saya. Ingatan saya sangat kuat, kerana masih ternampak dan terbayang, perbuatan ibu dan ayah terhadap saya.

    Saya dibesarkan tanpa kasih sayang, dibiarkan hidup sendiri, segala makan pakai terpaksa merempat satu kampung. Tiap-tiap malam apabila ayah mabuk dia selalu memukul ibu dan saya, ibu selalu pergi kerja dengan muka lebam dan badan yang sakit.

    Saya pula pergi ke sekolah dengan tidak terurus, duit tak ada, hanya minum air paip. Setiap hari saya menangis melihat ibu dipukul, kami tidak boleh pindah kerana tanah dan rumah itu nenek punya. Ibu tidak pernah ambil tahu hal saya, duit gaji ibu habis untuk beli susu adik, bayar pengasuh, bayar api, air dan beri pada ayah. Setiap hari kami makan ikan masin dengan sayur kangkong yang dipetik dalam hutan.

    Saya tidak suka berkawan kerana malu mempunyai ayah begitu, satu lagi ayah saya ini mempunyai ilmu penunduk, sesiapa yang tengok dia pasti kasihan kepadanya.

    Lama-kelamaan ibu menjadi bengis, saya dan adik dianggap menyusahkan hidupnya, saya tidak pernah melawan pada ibu walaupun saya dipukul, dipijak. Akibatnya saya gagal dalam pelajaran SRP, adik pula hingga berusia 20 tahun masih tak tahu membaca.

    Sikap ibu dan ayah tetap tak berubah walaupun mereka sekarang berusia 65 tahun. Ibu masih menyumpah hidup saya, semasa saya mengandung anak keempat berusia lapan bulan saya pulang ke kampung untuk berhari raya ibu bersumpah supaya anak dalam kandungan saya cacat, biar padan muka saya ibu juga bersumpah supaya semua anak-anak saya menjadi jahat, perompak, penagih dan sebagainya. Saya sangat sedih dan rasa nak gila. Kalau ikutkan hati saya tak mahu pulang ke kampung, tetapi masih mengenangkan ibu pernah menahan sakit melahirkan saya.

    Saya amat menyayangi anak-anak dan suami, akan menjaga mereka menjadi manusia yang berguna dan bahagia.

    Kini ayah saya sakit lumpuh, tetapi mulutnya masih boleh memaki hamun orang, ibu pula sering tidak sihat dan semput. Saya dan adik tidak mahu menjaga mereka tetapi saya hanya mampu memaafkan atas perbuatan mereka terhadap kami. Cuma di sini ingin saya katakan berdosakan saya, hinakah saya, api nerakakah tempat saya, kerana tidak menjaga ibu bapa yang uzur itu.

    - Salina, Pekan, Pahang.

    Salina,
    Puteri memahami kehidupan Salina trauma dengan kehidupan masa silamdan membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa. Faktor ini menyebabkan Salina berdendam dengan kedua-dua orang tua Bulan. Sebagai anak, Salina perlu membuang sikap tersebut dan seorang anak harus berlembut serta terima keadaan mereka. Hakikatnya, mereka adalah ibu bapa, kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sepanjang masa.

    Merangsang kepintaran bayi

    SETIAP ibu bapa sememangnya mahu memberikan yang terbaik untuk bayi mereka dengan harapan anak yang lahir menjadi seorang insan yang bijak, sihat dan cemerlang.

    Dan dengan impian tersebut juga, sejak dalam kandungan lagi, bayi dirangsang dengan bunyi-bunyian seperti bacaan ayat suci al-Quran ataupun alunan muzik.

    Segala inisiatif yang boleh dimanfaat untuk perkembangan bayi akan diusahakan oleh ibu bapa selagi termampu.

    Tidak memadai dengan itu, pada peringkat awal kehamilan lagi, si ibu mula mengambil pelbagai makanan tambahan semata-mata untuk memastikan perkembangan otak bayi ke tahap maksimum.

    Apabila bayi lahir ke dunia, pelbagai pendedahan pula diberikan termasuklah dengan membeli barangan permainan untuk meneroka kreativiti anak tersebut.

    Para pakar pendidikan awal kanak-kanak juga bersetuju bahawa usia enam tahun pertama adalah masa terbaik untuk mereka menerima pelbagai pengetahuan.

    Justeru tidak hairanlah apabila sebilangan kita pernah mendengar mengenai kanak-kanak berusia enam tahun boleh bertutur lebih daripada lima bahasa.

    Perkara ini turut diakui oleh, pengasas bersama Institutes for The Achievement of Human Potential (IAHP), Glenn Doman, ketika mengendalikan bengkel Bagaimana untuk Menggandakan Kepintaran Bayi Anda (How to multiply your child intelligents) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Menurut Doman, melambakkan anak-anak dengan ratusan barang permainan bukanlah satu cara yang baik untuk menjadikan mereka pintar.

    "Bila ibu bapa memahami tentang perkembangan otak bayi dan menyedari bahawa pembelajaran adalah proses semula jadi dan menyeronokkan, mereka boleh menjadi guru paling baik untuk anak-anak mereka.

    "Apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapa mudah ditiru dan dicontohi anak, jadi ibu bapa perlu tahu setiap bayi yang lahir mempunyai potensi yang besar.

    "Bayi lebih suka belajar daripada melakukan perkara lain. Bayi boleh diajar apa sahaja yang dibawakan kepada mereka dengan cara yang jujur, berdasarkan fakta dan menyeronokkan," kata Doman ketika sesi soal jawab pada bengkel tersebut.

    Bengkel tersebut bertujuan untuk mengajar ibu bapa tentang perkembangan otak, pertumbuhan fizikal dan pembangunan anak sejak lahir hingga berusia enam tahun.

    Ibu bapa turut diberi pendedahan mengenai bagaimana untuk menilai dan memperkayakan perkembangan awal bayi mereka sebaik dilahirkan.

    "Melalui teknik pendidikan yang betul ibu bapa sebenarnya bukan saja boleh mengajar sendiri anak mereka membaca atau belajar bahasa asing, malah belajar segala-galanya termasuk matematik dan muzik," katanya yang juga penulis dan penerbit buku bertajuk What to Do About Your Brain-Injured Child.

    Buku panduan tersebut menerangkan tentang idea-idea dan teknik yang digunakan oleh IAHP dalam menyamakan kepintaran kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak dengan kanak-kanak normal.

    Menerusi kajiannya, Doman percaya bahawa disebabkan pembangunan neurologi kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak boleh dipercepat, perkara yang sama boleh dilakukan kepada kanak-kanak yang normal.

    Glenn Doman Baby Malaysia

    Sementara itu, pengasas serta Pengarah Clearwater Group, Jared Lim dan Dian Lee adalah pihak yang bertanggungjawab membawa teknik pendidikan Glenn Doman ke Malaysia.

    Seperti yang dilakukan oleh ibu bapa lain, pasangan suami isteri ini telah meninjau banyak pusat pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak semata-mata bagi memberi pembelajaran terbaik dan sesuai kepada bayi lelaki mereka.

    "Selepas membaca semua tulisan Glenn Doman dan memulakan program untuk anak kami, kami begitu berminat untuk berkongsi pengalaman dengan semua ibu bapa lain di negara ini," jelas Jared yang menubuhkan Glenn Doman (GD) Baby Malaysia Sdn. Bhd, sebagai pengedar tunggal program IAHP di negara ini.

    Di bawah Clearwater Group, anak syarikat tersebut merancang menubuhkan pusat pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak di Heritage Village, di The Mines, Selangor.

    GD Baby Malaysia akan mengambil peranan menggalakkan pembangunan fizikal, intelektual dan sosial di kalangan kanak-kanak.

    Jared menambah, objektif utama mereka bukan sahaja untuk menggalakkan pembangunan minda di kalangan kanak-kanak tetapi turut mewujudkan sebuah pusat bagi mempelbagaikan pengalaman untuk ibu bapa mendidik anak-anak.

    "Pusat pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak kami akan menjadi laluan bagi ibu bapa untuk membimbing kanak-kanak mereka untuk mencapai potensi fizikal mereka," tambah beliau.

    Bantu lindungi remaja daripada AIDS

    oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI shahara.ghazali@utusan.com.my

    Daripada statistik hasil kaji selidik seluruh dunia, nyata golongan muda pada usia 15 hingga 24 tahun adalah golongan yang paling terdedah untuk dijangkiti virus pembunuh HIV/ AIDS.

    Ini memandangkan lebih 3,000 daripada 7,400 kes baru HIV/ AIDS yang dicatatkan setiap hari di seluruh dunia pada 2008 adalah membabitkan pesakit golongan muda.

    Sememangnya telah diketahui bahawa sebahagian besar jangkitan virus tersebut berlaku melalui hubungan seks dan perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah - aktiviti yang lazimnya melingkari golongan muda - selain jangkitan daripada ibu kepada anak yang dikandung dan pemindahan darah tercemar.

    Langkah terbaik melindungi diri daripada dijangkiti virus HIV ialah peka dengan isu sosial global itu, ujar Datin Mina Cheah-Foong, Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia dalam satu temuramah eksklusif dengan Mega.

    Justeru, jenama kecantikan dan penjagaan diri, The Body Shop sekali lagi berganding bahu dengan saluran televisyen popular, MTV Networks International menjayakan kempen kesedaran tentang bahaya HIV/ AIDS peringkat antarabangsa yang dilancarkan 23 Mac lalu.

    Di peringkat negara pula, kempen yang menerima sokongan Majlis AIDS Malaysia, serta stesen radio popular Hitz.fm dan My.fm, telah menampilkan VJ MTV kegilaan remaja, Utt, bagi pelancarannya di Kolej Universiti Taylor baru-baru ini.

    "Kempen ini diharapkan dapat mendorong golongan muda untuk segera bertindak dan melindungi diri sendiri serta yang tersayang daripada jangkitan virus HIV," kata Mina.

    Statistik terkini, katanya, jelas menunjukkan keperluan untuk mendidik golongan itu akan kepentingan mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus HIV dan lain-lain jangkitan bawaan hubungan seks (STD).

    "Kami percaya penglibatan aktif setiap seorang individu amat penting dan berharga bagi menangani penularan epidemik AIDS ini," jelasnya.

    Secara ringkas, penularan tersebut boleh diatasi melalui amalan ABC iaitu Abstinance (menahan diri), Be faithful (setia pada pasangan) dan Condom (kondom).

    Abstinance atau menahan diri dari melakukan aktiviti seks adalah cara terbaik bagi golongan remaja dan belia melindungi diri mereka dari terjangkit.

    "Tetapi jika ia tidak mampu dilakukan atau bagi mereka yang telah berkahwin atau dalam hubungan yang serius, mereka boleh menghindari virus itu semudah bersikap setia kepada satu pasangan sahaja."

    "Atau sekurang-kurangnya setiap individu dari semua peringkat usia perlu bersikap bertanggungjawab dengan melindungi diri dan pasangan melalui penggunaan kondom," tambahnya.

    Kempen yang diadakan secara besar-besaran melalui semua butik The Body Shop seluruh dunia, laman web MTV serta laman peribadi myspace VJ Utt itu sama sekali bukanlah bertujuan menggalakkan perlakuan hubungan seks.

    Tetapi, jelas Mina, pemahaman mengenai hubungan seks selamat selain sikap individu adalah penentuan kejayaan mengatasi epidemik jangkitan maut itu.

    "Lagipun, sesiapa sahaja boleh dijangkiti virus itu memandangkan bukan mudah untuk kita mengesyaki sekiranya seseorang itu pembawa HIV ekoran tiada tanda-tanda fizikal," ujar Mina.

    Bagi menjayakan kempen itu, The Body Shop menawarkan pelindung bibir Tantalising Lip Butter edisi khas 'Yes! Yes! Yes!', pada harga RM26.

    Daripada harga tersebut RM26 bagi setiap hasil jualan akan disalurkan kepada badan kebajikan AIDS.

    Semasa tahun pertama kempen, The Body Shop telah berjaya mengumpul RM 2 juta dan jumlah tersebut meningkat sehingga RM 4 juta pada tahun lepas di mana telah disumbangkan kepada Staying Alive Foundation.

    Bagi VJ Utt pula tanpa ragu-ragu menyokong kempen seks selamat, malah sudi menggunakan status selebritinya untuk menyampaikan mesej tersebut kerana beliau amat percaya bahawa mengelak dari dijangkiti adalah kunci menghentikan penularan HIV.

    Beliau yakin komunikasi daripada selebriti kepada audiennya lebih berkesan berbanding daripada orang yang lebih dewasa, lagipun, jiwa muda pasti tidak suka 'diceramahi'.

    Penuhi rasa ingin tahu anak

    SEPANJANG usia anak di antara dua hingga enam tahun, mereka sudah mula mempelajari sedikit demi sedikit tentang diri, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang berada dalam lingkungan mereka.

    Anak akan memulakan sesi penerokaan ke satu dunia baru, dan mula menimba pengalaman untuk menajamkan pembangunan minda mereka.

    Sebagai ibu bapa yang penyayang, pembangunan intelektual anak-anak boleh dirangsang dengan membenarkan mereka bermain sepuas--puasnya secara selamat. Ibu bapa yang berbuat sedemikian, sebenarnya membenarkan anak-anak mengalami proses itu secara semula jadi.

    Ingin tahu adalah langkah awal proses pembelajaran

    Adalah penting bagi ibu bapa memupuk perasaan ingin tahu di kalangan kanak-kanak seawal usia setahun sebagai langkah untuk proses pembelajaran seterusnya. Ini kerana anak yang ingin tahu adalah anak yang belajar. Pada waktu ini, mereka berminat dengan apa yang berlaku di sekeliling, melihat apa yang berlaku, menyelidik dan mempelajarinya.

    Apabila anak anda melalui proses melihat, merasai pengalaman dan bertanyakan soalan, sebenarnya mereka sedang mempelajari bagaimana proses yang berlaku di dunia ini. Pada masa yang sama, otak mereka berjalan (memproses), menyerap dan mengatakan sesuatu bagi menambah kesedaran dan merangsang perkembangan minda mereka.

    Semasa anak sedang mempelajari penerokaan, pengalaman yang dimiliki akan menyumbang kepada emosi, intelektual, fizikal dan pembangunan sosial. Mereka akan memperkukuhkan semua kemahiran positif yang juga merupakan asas kepada kegembiraan, produktiviti dan kesihatan pada masa akan datang.

    Menggalakkan perasaan ingin tahu

    Di sini disertakan beberapa cara untuk memenuhi perasaan ingin tahu anak, memupuk proses pembelajaran dan keupayaan berfikir.

    1. Bekalkan kepada mereka barang asas penerokaan seperti kaca pembesar, magnet, pita pengukur dan beberapa lagi objek yang membolehkan mereka belajar.

    2. Libatkan dia dalam kerja rumah atau sebagai 'orang suruhan' (pembantu) dalam urusan perbankan dan membeli-belah.

    3. Ambil masa bersama seperti pergi ke taman, berjalan-jalan di kawasan perumahan atau ke mana sahaja. Tunjukkan beberapa benda yang baru kepada mereka seperti burung, pokok, binatang dan tanyakan tentang tentang apa yang mereka dengar dan lihat,

    4. Beri peluang kepada anak untuk mendengar muzik atau menyanyikan kepadanya. Atau anda boleh membantu membuat suara atau bunyi bersama. Anda juga boleh dapatkan instrumen muzik yang anda suka untuk memupuk minat muzik mereka.

    5. Bekalkan mereka dengan material yang dapat memberi pengetahuan dan merangsang interaksi seperti boneka, barang mainan yang lembut dan blok-blok huruf atau apa sahaja.

    Ibu bapa juga boleh bekalkan kepada anak suasana yang penuh dengan petanda, bau, bunyi, rasa dan sentuhan. Ia dapat membantu perkembangan minda dan pengetahuan baru. Tetapi perlu diingat, anda perlu secara perlahan-lahan memperkenalkan objek baru atau pengalaman baru itu kepada mereka. Seperti contoh, ada satu bunyi bising yang boleh menganggunya tetapi jangan sesekali lakukan itu dengan tujuan untuk menakutkannya.

    Perasan ingin tahu boleh mempengaruhi cara pemakanan

    Disebabkan anak berada di peringkat usia muda, jadi semua yang berada di sekelilingnya akan menarik perhatiannya. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan makanan baru kepada mereka. Memperkenalkan rasa yang baru, perbezaan tekstur dan aroma adalah bagi merangsang perkembangan pengetahuan asas nutrien (zat-zat makanan) yang baik dalam kepelbagaian menu harian.

    Diet yang pelbagai seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan tumbesaran. Perlu diingat bahawa anak kecil juga memerlukan makanan yang dapat memberi tenaga kepadanya sepanjang hari.

    Memperkenalkan makanan baru amat penting dalam memastikan dia tidak cerewet dalam memilih makanan pada masa akan datang dan dapat mengajarnya untuk menyukai semua makanan. Di sini ada beberapa idea:

    1. Hidangkan makanan dalam bentuk dan saiz yang menyeronokkan seperti memotong roti atau buah-buahan kepada bentuk bintang atau sayur-sayuran dalam bentuk segi tiga.

    2. Bawa anak membeli belah bagi memberi pendedahan tentang kepelbagaian makanan.

    3. Benarkan anak sulung membantu di dapur dalam keadaan yang selamat seperti membasuh sayuran, mengambil bahan masakan dari peti sejuk atau menghidangkan makanan tengah hari.

    4. Ceritakan perkara-perkara yang menyeronokkan sebagai pendorong kepada rasa ingin tahu itu seperti buah-buahan dan sayur-sayuran itu hidup.

    5. Terangkan cara yang menarik untuk mendapatkan sesuatu makanan itu. Seperti campurkan susu dan ais krim untuk dapatkan susu kocak (boleh turut terangkan tentang susu mengandungi asid lemak seperti DHA dan AA, anti-oksidan seperti lutein dan necleotides yang berguna untuk kesihatan.

    6. Makan sesuatu yang berbeza (seperti buah-buahan yang tidak pernah dilihat sebelum ini) di hadapan anak anda. Dia akan tertarik dan akan makan juga.

    Tip yang berguna

    Benarkan anak untuk bermain bagi memupuk perasaan ingin tahu. Cara itu dapat mempertingkatkan keupayaan minda (kognitif) untuk berfikir dan memahirkan kemahiran yang ada.

    Ini kerana masa bermain yang sedikit boleh membantutkan proses penyelesaian masalah dan hilang keupayaan untuk menerangkan sesuatu maklumat itu, Ia juga dapat membantu memuaskan perasaan ingin tahunya bagi memahami dunia di kalangan orang dewasa. Jadi, bermainlah dengan anak sebanyak yang mungkin.

    Bahagian tiga untuk siri ini berjudul Anak Ku Yang Pandai. Jangan lepaskan peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara itu pada minggu depan.

    Siri advertorial ini dibawa bersama Bulan Pemakanan Malaysia dan Pemakanan Wyenth. Ia merupakan kempen anjuran bersama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietetik Malaysia (MDA) dan Persatuan Kaji Obesiti Malaysia (MASO).

    Kaftan Ras Batik ke Ireland

    KAFTAN bermotif bunga orkid menjadi tarikan di gerai Ras Batik pada aktiviti Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2009 yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Motif bunga orkid yang dilukis di atas kaftan yang berlatar belakang warna-warna terang seperti merah, kuning, jingga, hijau dan hitam dengan mudah menarik pandangan mereka yang lalu lalang di hadapan puluhan gerai yang menjual batik kain dan baju batik.

    Kata Pengurus Jualan Ras Batik, Salina Mohd. Hanifa, 32, kaftan bermotif bunga orkid ini amat laris sehingga terpaksa ditambah stok beberapa kali.

    Ini kerana corak kaftannya berbeza dengan kaftan yang dijual di gerai lain.

    ''Gerai lain tidak ada yang menjual kaftan dengan motif batik yang dilukis besar daripada bahagian bawah hingga ke atas. Warna bunga yang terang dan dilukis di atas kain rayon dan kain kapas yang juga berwarna terang menjadi pilihan ramai.

    ''Bukan setakat orang tempatan malah pelancong asing juga menggemari corak yang sedemikian bagi dipakai sendiri atau dihadiahkan kepada kawan-kawan.

    "Inilah yang menjadi kelebihan pada kaftan Ras Batik yang berbeza dengan kaftan Kelantan dan Terengganu,'' kata Salina yang ditemui di Kompleks Kraf.

    Menurutnya, motif bunga orkid yang dilukis pada kaftan dan produk Ras Batik dihasilkan oleh suaminya, Rasli Tumin, 35, di bengkelnya yang terletak di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka.

    Cuma kebetulan pada pertemuan itu, Rasli tidak bersama kerana pulang ke bengkel bagi menyiapkan tempahan yang diterima.

    Kata Salina, suaminya pernah menimba pengalaman bekerja dan membuat demo batik untuk pelancong di sebuah syarikat batik di Kuala Lumpur.

    Setelah berhenti kerja, Rasli pulang ke kampung dan membuat bengkel sendiri di atas tanah milik keluarga.

    ''Semua kerja membuat batik dihasilkan sendiri daripada mencanting, mencelup dan sebagainya. Kami hanya menggunakan warna Jerman kerana warna ini terang, berkualiti dan harganya pun lebih mahal.

    ''Setakat ini produk Ras Batik telah pun sampai ke Ireland, Hong Kong, Taiwan dan China.

    ''Untuk pasaran ke luar negara, baju yang sudah siap seperti blaus wanita, pareo dan kemeja lelaki lebih diminati sementara masyarakat di Malaysia lebih menyukai kain ela bagi dibuat baju kurung dan kebaya,'' jelas Salina.