Saturday, December 6, 2008

OUM beri Khairul peluang kedua

KECEWA, keliru dan marah. Begitulah perasaan ibu bapa Khairul Anwar ketika mereka mendapat tahu dia tercicir daripada pengajian di universiti.

Khairul diterima masuk ke sebuah universiti awam untuk mendalami bidang Fizik mendapati dia tidak serasi dengan bidang itu. Ini membuatkan beliau kerap kali ponteng kuliah dan akibatnya tidak menamatkan pengajian.

Peristiwa itu berlaku sedekad lalu dan hari ini Khairul membuatkan ibu bapanya bangga selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi.

Beliau adalah bekas pelajar Open University Malaysia (OUM) yang menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dan kini tidak sabar menantikan detik menerima ijazah di majlis konvokesyen Universiti yang ketujuh tahun depan.
Penerjunan Khairul ke alam pekerjaan bermula di sebuah hotel bertaraf lima bintang yang terletak di ibu negara.
Dia bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran Perancis yang cukup elit di hotel itu dan dari situ dia mempelajari erti susah senang kehidupan.

“Melayan tetamu bukanlah mudah memandangkan setiap seorang berbeza dari segi personaliti dan keutamaan.

“Kadangkala, tugas ini agak membosankan. Saya sering mengagumi tetamu ternama yang hadir dan terpesona dengan gaya hidup mereka yang serba mewah.

“Mereka sumber inspirasi saya berjaya dalam hidup. Hidup saya berubah selepas bertemu dengan seorang tetamu.

“Beliau adalah pelanggan tetap dan persahabatan terjalin di antara kami.

“Yang membuatkan beliau istimewa adalah sikapnya yang suka merendah diri.

“Ketika berbual pada satu hari, beliau menasihatkan saya bahawa kehidupan masa kini penuh dengan cabaran dan saya tidak boleh berpuas hati dengan menjadi pelayan hingga ke akhir hayat.

“Beliau menegaskan kepentingan pendidikan tinggi dan barulah saya tersedar bukan semua pelajar yang tercicir dari universiti dapat menikmati kejayaan seperti Bill Gates,” kata pemuda berusia 28 tahun itu.

Berbekal keinginan yang kembali membara, Khairul memulakan misi pencarian maklumat dengan melawat pelbagai institusi pengajian tinggi, melayari internet serta menyelak halaman akhbar dan majalah pendidikan.

Ketika itu, dia sudah menjalinkan hubungan dengan isterinya dan wanita itu memberikan Khairul sepenuh sokongan.

“Saya tercari-cari sebuah universiti yang menawarkan pilihan pengajian yang fleksibel.

“Memandangkan saya bekerja, mengikuti pengajian sepenuh masa adalah perkara agak mustahil.

“Saya menghubungi banyak institusi pengajian tinggi tetapi tiada yang memenuhi kehendak saya. Saya amat berterima kasih kepada isteri yang tidak jemu memberi dorongan.

“Secara kebetulan, pada suatu hari saya terpandang iklan OUM yang terpapar di akhbar harian dan bak kata pepatah, yang lain tidak perlu diceritakan lagi.

“Kaedah pembelajaran secara jarak jauh dan terbuka yang ditawarkan universiti menjadi daya tarikan utama.

“Perjalanan akademik saya empat tahun di OUM penuh dengan kenangan pahit manis.

“Tahun pertama berjalan lancar dan saya sungguh teruja bergelar pelajar – gelaran yang saya elakkan sebelumnya.

“Saya bertukar kerjaya iaitu menjadi perunding di sebuah firma latihan. Tugasnya cukup mencabar di mana ia menuntut saya bekerja untuk tempoh yang lama setiap hari.

“Pada masa sama, saya juga sibuk dengan persiapan perkahwinan. Tidak cukup dengan itu, saya juga perlu menyiapkan tugasan dan menghadapi peperiksaan.

“Saya resah kerana terlalu banyak perlu dilakukan. Terlintas di fikiran saya untuk meninggalkan segala-galanya dan pergi ke satu tempat untuk menenangkan diri,” kata ayah kepada bayi perempuan berusia setahun ini.

Mengenai bagaimana dia mengatasi cabaran mendatang, Khairul memberitahu bahawa cara terbaik adalah dengan mendepani masalah itu.

“Lari daripada masalah hanya akan membawa akibat yang lebih buruk. Di waktu penuh kesukaran, saya cukup mengagumi rakan sekuliah yang kebanyakannya berusia sekitar 40 dan 50-an.

“Kesungguhan dan semangat mereka cukup hebat. Mereka menunjukkan kepada saya erti kesungguhan. Saya tidak mahu gagal dan mengecewakan keluarga saya sekali lagi.

“Dengan disiplin diri dan pengurusan masa yang cekap, saya berjaya mengatasi segala rintangan,” katanya.

Berbekal ijazah di tangan, Khairul berasakan peluangnya kian meluas.

“Dahulu saya sering dihantui perasaan yang saya menghampakan ibu bapa saya. Memandangkan saya anak sulung daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

“Mereka mahu saya menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain. Apabila saya tiba-tiba berhenti belajar, mereka sungguh kecewa.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat memenuhi hasrat dan impian mereka. Realitinya, bukan semua orang mendapat peluang menyambung pengajian,” katanya.

“Daripada asyik mengenang kisah silam, lebih baik ambil peluang untuk menebus kesilapan lampau.

“Institusi seperti OUM memberi peluang kedua kepada mereka yang telah terlepas kesempatan sebelumnya,” kata pencinta buku yang menggemari biografi dan buku-buku berkaitan falsafah.

Mengenai masa depan pula, Khairul ternanti-nantikan detik dirinya dapat melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana pula.

“Selepas pengalaman saya di OUM, saya benar-benar yakin dengan pembelajaran sepanjang hayat. Saya berpendapat pendidikan bertindak sebagai saluran akan membolehkan kita memperolehi sebanyak mungkin ilmu.

“Insan berilmu akan membawa banyak perubahan positif kepada masyarakat. Dengan menjadi insan berguna yang berkhidmat kepada masyarakat, kita dapat mencapai erti sebenar dalam kehidupan,” katanya.

Untuk pertanyaan mengenai program OUM, hubungi 03-2773 2002, e-mel enquiries@oum.edu.my atau layari www.oum.edu.my.


Harian Metro 6 Dec 2008.

No comments: