Monday, December 29, 2008

Bendera Malaysia

Pendahuluan

Manusia merasakan perlunya satu simbol atau lambang sebagai tanda dirinya, keluarganya dan negaranya. Simbol-simbol tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk di mana salah satu daripadanya ialah bendera. Bendera telah digunakan semenjak kurun ke-16 dalam bentuk, saiz, warna dan reka bentuk yang berbeza-beza. Penggunaan bendera yang awal dapat dikesan ialah bendera yang digunakan pada tahun 1122 sebelum masihi oleh Maharaja Chou di China. Maharaja Chou iaitu Pengasas Dinasti Chou menggunakan bendera atau banner berwarna putih. Dalam bahasa Inggerisnya, perkataan Flag berasal dari perkataan Old Saxon atau German, Flaken atau Fleogan yang membawa maksud mengibar atau mengapungkan di atas angin. Bagaimanapun kini perkataan bendera dikhususkan kepada reka bentuk kain yang dikibarkan dari tiang yang tegak (vertical staff). Hari ini bendera adalah lambang kewujudan dan kedaulatan sesebuah wilayah, negeri atau negara. Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara. Pujangga pernah berkata "Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada cebis kain berwarna. Walaupun bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian."

SEJARAH BENDERA MALAYSIA:Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu
Merdeka, Merdeka, Merdeka ! - Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga.

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pad 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.

Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:


"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-

Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Sejarah Bendera Malaysia
Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Melaysia pada 16 September, 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sumber : Laman Web Kementerian Penerangan Malaysia

No comments: