Tuesday, December 30, 2008

Hadkan makanan ringan

Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
Metro: Selasa, 30 Disember 2008

PERNAHKAH bertemu dengan individu yang gilakan makanan ringan?

Menurut satu kajian baru-baru ini, mereka yang terdesak untuk mengambil lebih makanan yang padat kalori berlaku disebabkan genetik masing-masing.


Lazimnya, ia lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak yang didapati mempunyai perbezaan gen, lapor Jurnal Perubatan New England.

Makanan pilihan mereka terdiri daripada makanan padat tenaga serta kalori seperti snek ringan berkalori tinggi.

Bagaimanapun, penyelidik tidak menemui sebarang perubahan dalam metabolisme antara kanak-kanak yang memiliki perubahan gen dan kanak-kanak biasa.

"Kajian ini menunjukkan individu yang mempunyai perbezaan dari segi genetik akan mendorong mereka mengambil makanan yang tidak sihat dan menggemukkan.

"Apa yang ingin ditekankan ialah masalah berkenaan berkaitan dengan perangai dan tidak semestinya akan berlaku pada seseorang," kata Pengerusi Pharmacogenomics, Institut Penyelidikan Bio Perubatan, Universiti Dundee, Colin Palmer.

Pengarah Klinikal Bahagian Pengurusan Berat Badan dan Pusat Kecergasan, Hospital Kanak-kanak Pittsburgh di Pusat Perubatan Universiti Pittsburg, Dr Goutham Rao, berkata penemuan berkenaan menunjukkan masalah kegemukan lebih dipengaruhi perangai masing-masing dan bukannya masalah metabolisme.

"Malah kini, terdapat ramai kanak-kanak yang mempunyai gen itu tidak mengalami masalah berat badan terlampau," katanya.

Dalam pada itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), lebih 15 peratus kanak-kanak di negara berkenaan kini dipercayai mengalami masalah berat badan.

Apabila mereka dewasa kelak, statistik berkenaan tetap akan dijangka semakin bertambah, lebih-lebih lagi apabila golongan dewasa yang mengalami masalah berat badan turut mencatatkan statistik 35 peratus.

Kajian terbaru berkenaan mengetepikan penyelidikan sebelum ini yang menemui perbezaan dalam genetik yang dikaitkan sebagai punca utama masalah kegemukan.

Daripada kajian terbabit, penyelidik mendapati kanak-kanak yang mempunyai perbezaan genetik mengambil 100 kalori bagi setiap hidangan dengan berat hidangan hampir sama.

Jumlah kalori berkenaan mungkin kedengaran tidak banyak tetapi jika dikumpul selama 12 hari, ia akan bertambah.

"Penemuan ini tidak akan dapat mengubah amalan pemakanan serta gaya hidup individu yang mengamalkan kehidupan yang sihat dan kerap melakukan senaman.

"Namun, penemuan ini membawa kepada satu hipotesis yang memberi jawapan kepada punca kegemukan pada kanak-kanak yang setiap tahun terdedah kepada pengambilan makanan padat serta bertenaga tinggi," katanya.

Sementara itu, Rao berkata, mesej penting yang diperoleh daripada kajian berkenaan ialah pencegahan sebagai penyelesaian terbaik.

"Jika anda mempunyai anak, sama ada terlampau gemuk atau tidak dan amat menggemari makanan ringan, anda perlu segera mencari jalan untuk mencegahnya.

"Cara penyelesaian boleh dilakukan ialah mengehadkan jumlah makanan ringan yang diambil. Jika anda melarang terus mereka daripada menikmatinya, kemungkinan besar kanak-kanak akan menganggap makanan berkenaan mempunyai sesuatu kandungan istimewa.

"Ini menyebabkan mereka akan menikmatinya berkali ganda jika berpeluang mendapatkannya," katanya.

No comments: