Monday, November 21, 2011

Vaksin HPV bagi remaja

Kosmo! Online - Pesona


DARI KANAN: Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM, Dr. Lokman Hakim Sulaiman, David dan Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Pharmaceutical malaysia, Singapura dan Brunei, Luis Arosemena ketika melancarkan Program Pelalian HPV Untuk Remaja.



SECARA global, kanser serviks merupakan kanser kedua penyebab kematian dalam kalangan wanita dan statistik itu tidak jauh daripada bilangan kes kanser payudara.
Di Asia Pasifik pula, dianggarkan 266,000 kes kanser serviks didiagnos setiap tahun dan kira-kira 143,000 wanita meninggal dunia kerana penyakit itu.
Bagi wanita Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling lazim selepas kanser payudara dan kanser kolorektum.
Menurut Statistik Kanser Malaysia 2006, kanser serviks merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser yang paling kerap bagi golongan wanita. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser serviks setiap tahun.
Peka dengan situasi tersebut, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif memberikan suntikan pelalian Virus Papiloma Manusia (HPV) kepada semua remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara bagi mencegah penularan kanser serviks.
Namun begitu, ia hanya melibatkan remaja perempuan berusia 13 tahun sahaja dan tidak pada remaja perempuan berusia lebih daripada itu.
Sehubungan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melancarkan Program Pelalian HPV untuk remaja MMA dengan sokongan daripada GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK).
Ia merupakan lanjutan daripada program pelalian kebangsaan menentang HPV anjuran KKM yang dimulakan pada Julai tahun lalu dalam kalangan gadis remaja berusia 13 tahun.
"Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA akan melengkapkan lagi Program Pelalian Kebangsaan HPV bagi melindungi gadis remaja berusia 13 tahun daripada jenis HPV yang paling lazim menyebabkan kanser.
"Melalui program ini, gadis remaja yang berusia di antara 14 hingga 19 tahun akan mendapat faedah daripada pelalian kanser serviks yang ditawarkan pada harga akses RM466, manakala dos ketiga akan diberikan secara percuma untuk menggalakkan mereka mendapat pelalian lengkap," kata Presiden MMA, Dr. David Quek ketika majlis pelancaran program tersebut baru-baru ini.

SUNTIKAN HPV dapat melindungi gadis remaja daripada kanser serviks.


Tambahnya, pendaftaran program tersebut terbuka kepada semua gadis remaja yang berusia 14 hingga 19 tahun, sebelum hari lahir ke-20 tahun mereka.
"Gadis remaja yang layak menyertai program ini perlu mendapatkan tandatangan ibu bapa atau penjaga pada Borang Pendaftaran Penerima Vaksin sebelum 31 Disember 2011 bagi menerima pelalian HPV yang akan diberikan dalam tempoh enam bulan.
"Sehingga kini, 80 klinik telah menyertai program ini bagi membantu menentang kanser serviks, manakala usaha sama dengan klinik-klinik lain sedang dalam rundingan bagi memastikan program ini diuar-uarkan seluas mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu, nombor talian hotline 1-800-22-8688 telah disediakan untuk menangani soalan-soalan mengenai kanser serviks dan Program Pelalian HPV untuk remaja MMA.
Orang ramai juga akan diberikan penerangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penyakit HPV oleh jururawat bertauliah selain mendapatkan senarai klinik-klinik yang mengambil bahagian.
Pada majlis pelancaran itu juga para tetamu turut menyaksikan tayangan video pengalaman dua orang remaja iaitu Pamela Victor, 18, dan Shalma Ainaa Bruhanutheen, 20, bersama ibu masing-masing Victoria Victor, 49 dan Khairul Bariah Abdul Rahman, 52, mengenai suntikan vaksin HPV.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA, layari laman web www.mma.org.my.

No comments: