Monday, November 21, 2011

Jodoh dan perkahwinan

Kosmo! Online - Pesona



JODOH bukan semata-mata ketentuan takdir, sebaliknya seseorang itu perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencari pasangan hidup masing-masing. - Gambar hiasan



MENGIKUT laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi negara yang mempunyai lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas.
Statistik pada tahun 2000 menunjukkan warga tua di Malaysia berjumlah 1.45 juta atau 6.2 peratus. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta iaitu 7.1 peratus dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035 dengan menguasai 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dengan statistik menunjukkan warga tuanya melebihi 10 peratus adalah termasuk dalam kategori Ageing Nation.
Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin berkurangnya perkahwinan. Berdasarkan maklum balas dalam sesi ceramah saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai masalah kewangan. Lantas, apabila soalan ditanyakan, jawapan yang diberikan ialah 'takdir belum tentukan!'.
Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir. Ia memerlukan usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat 11 surah ar-Ra'du: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Ayat itu jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi. Ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga.
Mr./Mrs. Right bukan dipilih
Ramai yang berusaha untuk mencari individu terbaik bagi memenuhi cita rasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup.
Mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata.
Kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu penyakit. Tidak perlu mencari pasangan yang sama sikap dan minat. Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama.
Perlu difahami, pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr. atau Mrs. Right pilihan anda.
Panduan mencari pasangan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun ia juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud 'kerana agamanya'. Ia bukan bermaksud calon itu perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam.
Malah menurut para fuqaha', asas ketetapan kufu' atau sekufu menurut syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama, bukan sama taraf dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat.
Dalam usaha mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu perbetulkan diri, apakah anda betul-betul layak untuk berkahwin?
Jangan terkejut, bukan saja poligami, malah monogami pun ada syarat kelayakannya. Jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram.
Kemampuan
Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.
Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.
Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.
Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.
Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Hikmah jodoh lambat
Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup apabila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan.
Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman bujang ketika usia 28 tahun. Ketika itu, saya hanya membiarkan segala soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk ikhtiar kita di samping takdir-Nya, keputusan dan perancangan-Nya sentiasa yang terbaik.
Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada orang yang bertemu jodoh pada usia muda, ada yang bertemu jodoh agak lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat kelak.
Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes perkahwinan pada usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas dua atau tiga tahun perkahwinan. Lebih menyedihkan, ada perkahwinan yang hanya bertahan selama sebulan.
Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tidak bagus, bukan juga bererti kahwin lewat itu yang terbaik. Lantaran tidak semua kes kahwin muda bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia.
Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang tersendiri yang hanya akan anda ketahui apabila tiba masanya nanti. Yang penting, jangan putus asa, jangan putus doa, Dia akan berikan anda pasangan apabila itu adalah yang terbaik untuk anda.
Hanya apabila bersedia
Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri.
Lantas, berkahwinlah apabila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia, bukan sebab dipaksa orang tua atau hendak mengelak maksiat dan fitnah semata-mata. Maksiat tidak perlu dielak jika anda tidak dekatinya.
Buat para gadis, pastikan bakal suami benar-benar layak. Jangan mudah bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari. Paling penting, dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan setiap keputusan kepada-Nya. Dia akan membantu, insya-Allah!

No comments: