Jangan pinggirkan yang tidak cemerlang UPSR
SEMUA orang merasa teruja apabila melihat gelagat murid-murid melalui media massa yang melonjak kegembiraan apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Ada juga di antara mereka yang kelihatan terharu dan menangis kegembiraan kerana mendapat keputusan yang baik walaupun ia tidak diduga.
Kegembiraan tidak sahaja kelihatan pada wajah murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang tetapi turut dikongsi bersama oleh ibu bapa, guru besar dan guru-guru di sekolah berkenaan. Walau apa pun ucapan tahniah dan syabas kepada 46,021 orang murid yang telah mendapat A dalam semua mata pelajaran.
Sementara itu di satu pihak lain yang tidak mendapat keputusan cemerlang atau yang hanya mencapai keputusan Baik (Minimum C) berjumlah seramai 269,021 orang murid daripada hampir setengah juta calon yang menduduki peperiksaan mungkin hanya dapat tersenyum sinis melihat slip keputusan UPSR mereka.
Lebih malang lagi murid yang hanya mendapat D atau E dalam semua mata pelajaran akan merasa hampa, kecewa, putus asa dan jika tidak dibantu akan diselubungi rasa rendah diri yang berpanjangan. Apa tidaknya rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang akan dijulang serta mendapat sanjungan dan pujian ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.
Tetapi bagi kumpulan yang tidak menyerlah itu seolah-olah tidak diberi perhatian atau dianggap sebagai murid yang tidak ada harapan. Lebih menyedihkan lagi apabila balik ke rumah ibu bapa tidak habis-habis berleter atau memarahi mereka dan sengaja menyindir serta membandingkan dengan anak-anak jiran yang lebih cemerlang.
Kadang-kadang jika difikirkan dengan mendalam matlamat diadakan peperiksaan UPSR atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah tersasar daripada tujuan asal. Sebenarnya peperiksaan UPSR diadakan bertujuan untuk menilai sejauh mana penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran berasaskan lingkungan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan.
Jika murid mendapat keputusan A, B atau C bermakna mereka telah menguasai pengetahuan yang telah diajar kepada mereka. Tetapi jika mendapat keputusan D atau E bermakna murid berkenaan tidak dapat menguasai kandungan silibus atau tidak memahami maklumat dan pengetahuan yang telah mereka pelajari.
Di sinilah sepatutnya peranan guru dan ibu bapa untuk membantu anak-anak ini sekiranya didapati mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Pada dasarnya pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu bukan bermakna mereka akan menghadapi kegagalan sepanjang masa. Masih banyak lagi ujian dan peperiksaan yang akan dilalui sebelum mereka menjejakkan kaki ke menara gading.
Banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan untuk melihat mengapa murid tidak mendapat keputusan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan. Di antaranya ialah faktor lewat berkembang atau late development di mana ada di kalangan murid yang mempunyai kecerdasan yang baik tetapi agak lambat pacuannya.
Ada kalanya murid sebegini akan memperolehi pencapaian cemerlang apabila mereka sampai ke peringkat lebih tinggi mungkin semasa berada di sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Di samping itu terdapat juga murid yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak serius seperti rabun jauh atau kurang pendengaran. Kadang-kadang mereka tidak memaklumkan masalah ini kepada guru atau ibu bapa.
Faktor latar belakang keluarga juga turut memberi kesan kepada pencapaian pendidikan murid. Mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang banyak di rumah seperti tempat belajar yang selesa, gangguan kebisingan, kurang kemudahan peralatan tambahan pembelajaran atau peluang menghadiri kelas tuisyen berbayar.
Selain dari itu ada juga pengkaji yang mendapati bahawa di kalangan murid yang pintar ataugifted tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian atau peperiksaan kerana mereka merasai kebosanan akibat terlalu lama berada di sekolah rendah. Murid pintar ini kadang kala merasa pengajaran guru adalah terlalu mudah, kurang cabaran dan mengetahui lebih banyak maklumat jika dibandingkan dengan apa yang dipelajari di sekolah. Akhirnya mereka tidak memberi perhatian yang serius terhadap pengajaran guru dan kurang membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.
Tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kadang kala disebabkan juga faktor kesihatan pada hari peperiksaan dijalankan seperti mengalami deman, sakit perut atau pening kepala. Akibatnya keputusan peperiksaan mereka tidak menyerlah seperti yang sepatutnya.
Persoalannya adakah matlamat pendidikan hanya bertujuan untuk memastikan murid mencapai pencapaian cemerlang dalam peperiksaan?
Sesungguhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mempunyai sifat kreatif dan inovatif yang akhirnya mereka akan menjadi warga negara yang berguna untuk membangunkan negara.
Oleh itu pendidikan kita mestilah juga berupaya untuk melahirkan manusia yang mempunyai sikap berani mencuba, jujur, akhlak yang tinggi, jati diri yang kental, sentiasa cergas dan sihat, tidak takut gagal, rajin, melakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh dan tidak ada istilah berputus asa.
Untuk melahirkan murid yang sedemikian maka sudah tentu kita tidak berupaya untuk menilai perkara-perkara dinyatakan itu hanya melalui keputusan peperiksaan UPSR. Namun demikian inilah sebenarnya perkara yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid sekiranya kita benar-benar ingin menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dengan yang demikian kepada murid yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR perlulah memuhasabah diri untuk menilai kembali di manakah kelemahan diri dan mula berusaha supaya kelemahan itu dapat diatasi terutama bagi persediaan untuk memasuki sekolah menengah pada awal tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment