Sunday, November 27, 2011

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 24/11/2011


ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.


Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: 


Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)


Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.


Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(al-Baqarah: 218)


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)


Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.


Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.


Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.


Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.


Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)


Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,


"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.


"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."
Semoga kehadiran 1 Muharam 1433 akan membawa kita ke arah lebih baik dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat seluruhnya bagi mewujudkan manusia yang terbaik.

Hijrah membina penghayatan Islam

Sumber: Utusan Malaysia ARKIB : 24/11/2011

Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL


AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.


Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.


Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.


Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.


Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)


Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.


Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".


Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.


Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).


Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.


Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.
Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.


Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.


Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

Gaji wajib dizakat

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 25/11/2011




Kewajipan berzakat bukan hanya dikenakan ke atas petani serta pemilik ternakan lembu dan kambing tetapi juga kepada mereka yang berpendapatan tetap. - Gambar hiasan















RAMAI tidak tahu menyebabkan bilangan pembayar setiap tahun tidak sampai 100 peratus (%).


Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?


Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.


Namun jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka perolehi wajib dikenakan zakat.


Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ).


Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.


Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat.


Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau layari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.


Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak serta isteri.


Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.


Setiap tahun, bilangan pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100% dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?


Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.


Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta tolakan cukai daripada pendapatan agregat maksimum sebanyak 2.5% peratus bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan mereka.


Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayar zakat pendapatan dan perniagaan.


Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil.


Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tiada alasan untuk kita tidak membayar zakat.


Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.


Sumber: Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan

Jadi lebih baik selepas tunai haji

Sumber: Utusan Malaysia online ARKIB : 25/11/2011




Kawan saya baru balik menunaikan haji. Tetapi saya dapati ada perubahan pada dirinya. Dulu dia solat tepat pada waktunya tetapi sekarang tidak begitu.


Dia juga hanya menyahut panggilan bila dipanggil "Haji". Dia lebih gemar bercerita tentang bagaimana dia dapat buat haji dengan mudah dan banyaknya dia buat umrah sunat. Adakah ini yang dikatakan tanda-tanda haji mardud (ditolak).


JAWAPAN:


Sepatutnya setiap orang yang kembali daripada menunaikan ibadat haji bermuhasabah dengan sepenuh hati. Dengan mempersoalkan beberapa soalan yang boleh menilai ibadat yang baru dilakukan.


Soalannya seperti adakah dilakukan ibadah haji dengan rezeki yang halal, adakah dilakukan dengan memelihara wajib haji dan rukun haji dengan teliti, adakah dipelihara mata dan hatinya dan keikhlasannya selama melakukan ibadah haji.


Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal-awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat.


Hal ini jelas dalam firman Allah swt yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. 


Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)


Sesungguhnya ibadah haji hanya sekali sahaja difardukan ke atas orang Islam, tetapi ia mesti dilakukan dengan sepenuh hati yang ikhlas. Pernah diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah SAW selesai menunaikan haji, baginda bersandar di Kaabah sambil mengalir air mata baginda.


Abu Bakar yang menyedari keadaan baginda itu terus bergegas ke arah baginda dengan bertanya: "Apa yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab aku boleh kira jumlah orang yang mendapat haji yang mabrur". Walhal yang menunaikan haji bersama baginda adalah sahabat, kesemua mereka yang bertemu dengan baginda dalamhajjatul wada' dikategorikan sebagai sahabat oleh sekumpulan ulama.


Jadinya kesemua mereka adalah sahabat, adakah mereka juga terlepas mendapat haji yangmabrur?


Jawapannya tidak, kata-kata baginda Rasulullah SAW adalah bagi menggambarkan betapa tidak ramai yang dapat haji yang mabrur.


Maksudnya tidak semudah yang disangka untuk beroleh haji mabrur.


Jadi lebih baik


Sepatutnya orang yang balik dari Mekah, akhlak dan imannya lebih baik daripada sebelumnya. Sebabnya rukun Islamnya yang kelima telah sempurna, bermakna tiang-tiang agama dalam dirinya telah sempurna.


Kesempurnaan itu sepatutnya menggambarkan kesempurnaan iman dengan dizahirkan melalui amal ibadat. 


Ketahuilah sesungguhnya, apabila sesuatu ibadah itu tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT malah bertambah jauh maka ia bermaksud semakin jauh kita daripada Allah SWT.


Budaya memanggil tuan haji atau haji hanya di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara jiran yang lain tetapi ia sangat ketara di Malaysia. Ada yang sampai tidak mahu menyahut bila tidak dipanggil tuan haji.


Nampaknya tujuan menunaikan haji tidak ikhlas, rupa-rupanya untuk mendapat panggilan tuan haji atau hajah. Tidak ada dalam mana-mana kitab muktabar, fiqh mahupun hadis dan tafsir yang menggelar sahabat atau tabien dengan gelaran haji.


Ini kerana ibadat haji dilakukan kerana Allah. Jika ibadah haji diterima Allah SWT itulah sebesar-besar hadiah sebagai balasan selepas kembali daripada mengerjakan haji.


Kata-kata Al-Hasan al-Basri yang bermaksud: "Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat". Beliau juga mengatakan: "Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji".


Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan: "Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran".


Ringkasnya, ibadah haji yang dilakukannya itu berjaya mengubahnya menjadi hamba yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki segala amalan yang lalu dengan mengqadanya.


Lalu berusaha pula memperbaiki ahwal ahlu keluarganya iaitu menasihati mereka agar mentaati perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW.


Masakan tidak, mereka yang balik daripada ibadat haji, kembali daripada menziarahi tempat-tempat yang agung dalam Islam.


Mereka menyaksikan sendiri bumi di mana Allah SWT turunkan wahyu dan mereka ziarah makam nabi SAW yang menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna.

Hijrah kepada Islam

Sumber: Utusan Malaysia Online 27 November 2011

AWAL Muharam atau Maal Hijrah merupakan hari bermakna bagi umat Islam kerana ia bersempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu dijadikan hari pertama dan tahun baru bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada umat Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, penyatuan dan ukhwah serta syiar Islam itu sendiri.

Oleh itu bersesuaian dengan tarikh hari ini yang jatuh pada Tahun Baru 1433 Hijrah, kita perlu memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kita masih dilanjutkan usia untuk melayari tahun baru.

Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna ini hendaklah dipergunakan untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi ruang dan peluang.

Signifikan

Sesungguhnya peristiwa Hijrah memberi signifikan yang sangat besar kepada umat Islam. Melaluinya, ia telah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada bebas, daripada kekufuran kepada terangnya iman dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Ramai manusia yang sebelum ini hanyut kemudiannya mendapat petunjuk dan hidayah menukar agama asal dan memeluk Islam. Ini adalah juga Hijrah.

Begitu juga apabila ia melibatkan tokoh masyarakat, selebriti seperti pelakon dan penyanyi malah pemain bola sepak terkenal.

Malah ada sesetengahnya sengaja disenyapkan berita pengislaman mereka kerana mungkin takut ia boleh membayangi segala keburukan yang selama ini disebarkan oleh Barat.

Berikut disenaraikan beberapa orang terkenal dalam bidang mereka yang akhirnya berhijrah, memeluk Islam bukan kerana ikutan jauh sekali kerana paksaan, tetapi setelah mendapat rujukan dan penjelasan yang jelas tentang kebenaran agama suci ini.

Penyanyi rap

Hakikatnya ramai di antara mereka terutama penyanyi rap dai Amerika Syarikat (AS), terdiri dari penganut Islam. Ada di antara mereka sebenarnya penganut sejak lahir dan ramai juga yang memeluk Islam setelah diberi hidayah.

Namun kebanyakan mereka mula memeluk Islam untuk menyatakan sokongan terhadap pertubuhan Nation of Islam yang banyak berjuang untuk golongan kulit hitam tetapi malangnya agak menyeleweng dari ajaran sebenar.

Namun kini kebanyakan mereka sudah beralih menjadi penganut Islam ahli sunni walaupun mengakui masih belum mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Di antara mereka adalah Lupe Fiasco atau nama Islamnya Wasalu Muhammad Jaco, Q-Tip atau Kamaal Ibn John Fareed selain Mos Def, Busta Rhymes, anggota kumpulan Wu Tang Clan, Ghosta Killah, Ice Cube, Rhymefes, Beanie Sigel dan Freeway yang nama Islam mereka tidak dinyatakan.

Juga dinyatakan adalah seorang rapper kulit putih yang menganut Islam sejak tahun 1990-an lagi iaitu Everlast. Kesemua mereka ini masih mengekalkan karier menyanyi dan berlakon tetapi pada masa yang sama sudah berubah jauh lebih baik berbanding kehidupan lampau, semuanya berikutan menganut Islam.

Malah mereka turut memasukkan lirik-lirik lagu yang memuji kebesaran tuhan di dalam album mereka selain mengkritik keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Namun terdapat mereka yang terus meninggalkan bidang hiburan seperti yang berlaku kepada Loon, Napolean dan juga Yusuf Islam.

Guru tidak perlu kerja 9 jam

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 21/11/2011

Oleh AZMY MOHAMED


PEMANSUHAN projek rintis guru bekerja sembilan di empat negeri menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah golongan pendidik dan bersedia menerima sebarang cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita.

Ketika mengumumkan pemansuhan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar projek rintis berkenaan yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru.

Sebenarnya, tujuan peluasan projek rintis yang melibatkan 5,000 guru di Sarawak, Pahang, Melaka dan Johor adalah untuk mencari satu ketetapan terhadap beberapa dakwaan yang kurang tepat mengenai beban kerja guru serta tanggungjawab yang tidak seimbang antara tugas mengajar dan tanggungjawab pentadbiran.

Hal ini kerana sejak sekian lama telah wujud persepsi bahawa guru terpaksa mengorbankan lebih banyak masa dalam tugas-tugas perkeranian sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Ketika ini, mengikut peraturan sedia ada, seseorang guru diwajibkan mengajar sebanyak 30 waktu bagi sekolah rendah dan 24 waktu bagi sekolah menengah setiap minggu.

Dari perspektif jumlah jam bekerja, guru hanya terlibat dalam aktiviti mengajar kira-kira 18 hingga 22 jam 30 minit seminggu berbanding penjawat awam lain yang bekerja 8 jam sehari iaitu 40 jam seminggu.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa tanggungjawab guru itu bukan sekadar di bilik darjah malah meliputi lain-lain aktiviti termasuk kokurikulum, memeriksa projek latihan pelajar atau buku latihan pelajar dan merancang aktiviti P&P.

Oleh sebab itu, melalui projek rintis ini, guru terbabit hendaklah merekodkan jumlah masa yang mereka gunakan untuk aktiviti tersebut bagi mengesahkan kerja-kerja berkenaan dilaksanakan sama ada semasa di sekolah selepas waktu mengajar, dibawa balik ke rumah atau ketika hari cuti.

Berdasarkan statistik yang bakal diperoleh akan memudahkan pembuat dasar membuat perancangan untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain itu, tujuan projek rintis itu juga untuk membolehkan ada kewajaran lain diambil termasuk menempatkan lain-lain profesion dalam perkhidmatan pengurusan pendidikan misalnya kalangan penjawat awam yang dilatih khusus dalam bidang kewangan, pentadbiran, pengutipan data dan sebagainya.

Sekiranya kutipan data itu menggambarkan bahawa guru yang menumpukan sepenuh masa dalam P&P telah mampu meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang cemerlang, maka adalah wajar tugas bukan akademik diserahkan kepada orang lain.

Bagaimanapun aspek pedagogi tetap menjadi hak eksklusif para guru kerana mereka memang dilatih dalam bidang itu tetapi bukan dalam aspek pengurusan.

Apa pun pemansuhan projek rintis ini berjaya menghilangkan rasa panik di kalangan guru khususnya yang terlibat secara langsung dan juga guru lain secara keseluruhannya.

Kini, semua guru boleh kembali fokus untuk mendidik anak bangsa demi memenuhi hasrat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan hasrat Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Diharap pemansuhan ini akan memberi lebih banyak masa dan ruang untuk guru membentuk kemenjadian anak didiknya.

Peluang ini hendakaklah dimanfaatkan oleh para guru untuk mengutamakan kerja wajib mereka seperti mengajar, memeriksa dan menyemak, mengurus para pelajar dan memberi bimbingan akademik.

Seharusnya, ia tidak disalah guna untuk kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi peluang ini wajar digunakan untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya mereka terus dihormati dan disanjung tinggi oleh pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.

Pedoman: Kenali Allah kukuhkan akidah

AKIDAH adalah ikatan keyakinan diri yang menyentuh hubungan antara hati, pemikiran dan jiwa seseorang terhadap satu keyakinan.
Berdasarkan Islam, akidah seseorang Muslim adalah apabila ia yakin mengenai agama Islam dengan percaya Rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada Malaikat, percaya kepada al-Quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada hari kiamat serta percaya kepada qada dan qadar.

Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan menunaikan segala kewajipan ditetapkan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Dalam kehidupan pada zaman penuh cabaran ini, kita perlu memastikan akidah diri dan keluarga kita serta masyarakat Islam secara keseluruhannya tidak tergadai dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang beriman, kita seharusnya tidak melupakan peranan kita dalam mengukuhkan akidah dalam diri kita.

Sebagai ibu bapa pula, hendaklah kita mendidik anak kita mengenal Allah dan berusaha menanamkan akidah yang kukuh selain menitikberatkan ilmu lain.
Tiada gunanya jika cemerlang di dalam pendidikan atau mempunyai pekerjaan hebat jika tiada keimanan mendalam terhadap Allah sehingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara yang dilarang dan dibenci Allah SWT.

Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah SAW, di mana ketika di Makkah, perkara pertama dilakukan baginda adalah mengajar serta mendidik sahabat mengenai akidah dan keimanan hingga kukuh bagi membolehkan mereka diajar dengan perkara serta ilmu bermanfaat lain.
Di sini secara jelas menunjukkan, dalam usaha memantapkan kualiti ummah, umat Islam terlebih dulu perlu memantapkan iman dalam diri menerusi akidah sebenar.

Ini kerana dinyatakan, tabiat yang tidak menitikberatkan akidah akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan dan mengabaikan segala larangan Allah.

Oleh itu, perkara pertama perlu dilakukan seseorang itu adalah mengenal Allah SWT dan mempercayai balasan terhadap setiap perbuatan, selain qada’ dan qadar yang berlaku.

Kemudian, kita dituntut untuk terus menguatkan akidah dalam diri dengan melakukan kewajipan yang diperintah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan.

Bukan saja menunaikan kewajipan, seseorang yang ingin menanamkan akidah mesti tahu perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya supaya dapat menghindari perbuatan seperti berzina, meminum arak, berjudi, menderhaka pada ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab, menyebarkan fitnah dan yang bertentangan dengan hukum Islam.

Justeru itu, tidak boleh tidak, kita perlu memperuntukkan masa untuk mempelajari perkara ini.

Dengan akidah kukuh, jiwa seseorang Muslim itu tidak dapat diganggu gugat walaupun seseorang itu diancam nyawanya dan percaya setiap yang berlaku adalah ketentuan dan ujian Allah SWT.

Justeru itu, dalam memperkasakan akidah serta iman, kita perlu menuntutnya daripada guru bertauliah, yakni ilmu serta pengajaran daripada ahli ulama dan bukan hanya kepada seorang guru semata-mata. Ia agar kita dapat membezakan antara mana ilmu lebih bermanfaat selain mengutip serta membuka minda.

Mudah-mudahan dengan pengukuhan akidah dalam diri kita dan masyarakat secara umumnya, akan dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam bertakwa serta beramal soleh, seterusnya membentuk menjadi masyarakat Islam yang cemerlang dalam menuju arus kemodenan semasa.

Monday, November 21, 2011

Vaksin HPV bagi remaja

Kosmo! Online - Pesona


DARI KANAN: Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM, Dr. Lokman Hakim Sulaiman, David dan Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Pharmaceutical malaysia, Singapura dan Brunei, Luis Arosemena ketika melancarkan Program Pelalian HPV Untuk Remaja.



SECARA global, kanser serviks merupakan kanser kedua penyebab kematian dalam kalangan wanita dan statistik itu tidak jauh daripada bilangan kes kanser payudara.
Di Asia Pasifik pula, dianggarkan 266,000 kes kanser serviks didiagnos setiap tahun dan kira-kira 143,000 wanita meninggal dunia kerana penyakit itu.
Bagi wanita Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling lazim selepas kanser payudara dan kanser kolorektum.
Menurut Statistik Kanser Malaysia 2006, kanser serviks merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser yang paling kerap bagi golongan wanita. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser serviks setiap tahun.
Peka dengan situasi tersebut, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif memberikan suntikan pelalian Virus Papiloma Manusia (HPV) kepada semua remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara bagi mencegah penularan kanser serviks.
Namun begitu, ia hanya melibatkan remaja perempuan berusia 13 tahun sahaja dan tidak pada remaja perempuan berusia lebih daripada itu.
Sehubungan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melancarkan Program Pelalian HPV untuk remaja MMA dengan sokongan daripada GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK).
Ia merupakan lanjutan daripada program pelalian kebangsaan menentang HPV anjuran KKM yang dimulakan pada Julai tahun lalu dalam kalangan gadis remaja berusia 13 tahun.
"Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA akan melengkapkan lagi Program Pelalian Kebangsaan HPV bagi melindungi gadis remaja berusia 13 tahun daripada jenis HPV yang paling lazim menyebabkan kanser.
"Melalui program ini, gadis remaja yang berusia di antara 14 hingga 19 tahun akan mendapat faedah daripada pelalian kanser serviks yang ditawarkan pada harga akses RM466, manakala dos ketiga akan diberikan secara percuma untuk menggalakkan mereka mendapat pelalian lengkap," kata Presiden MMA, Dr. David Quek ketika majlis pelancaran program tersebut baru-baru ini.

SUNTIKAN HPV dapat melindungi gadis remaja daripada kanser serviks.


Tambahnya, pendaftaran program tersebut terbuka kepada semua gadis remaja yang berusia 14 hingga 19 tahun, sebelum hari lahir ke-20 tahun mereka.
"Gadis remaja yang layak menyertai program ini perlu mendapatkan tandatangan ibu bapa atau penjaga pada Borang Pendaftaran Penerima Vaksin sebelum 31 Disember 2011 bagi menerima pelalian HPV yang akan diberikan dalam tempoh enam bulan.
"Sehingga kini, 80 klinik telah menyertai program ini bagi membantu menentang kanser serviks, manakala usaha sama dengan klinik-klinik lain sedang dalam rundingan bagi memastikan program ini diuar-uarkan seluas mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu, nombor talian hotline 1-800-22-8688 telah disediakan untuk menangani soalan-soalan mengenai kanser serviks dan Program Pelalian HPV untuk remaja MMA.
Orang ramai juga akan diberikan penerangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penyakit HPV oleh jururawat bertauliah selain mendapatkan senarai klinik-klinik yang mengambil bahagian.
Pada majlis pelancaran itu juga para tetamu turut menyaksikan tayangan video pengalaman dua orang remaja iaitu Pamela Victor, 18, dan Shalma Ainaa Bruhanutheen, 20, bersama ibu masing-masing Victoria Victor, 49 dan Khairul Bariah Abdul Rahman, 52, mengenai suntikan vaksin HPV.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA, layari laman web www.mma.org.my.

Jodoh dan perkahwinan

Kosmo! Online - Pesona



JODOH bukan semata-mata ketentuan takdir, sebaliknya seseorang itu perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencari pasangan hidup masing-masing. - Gambar hiasan



MENGIKUT laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi negara yang mempunyai lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas.
Statistik pada tahun 2000 menunjukkan warga tua di Malaysia berjumlah 1.45 juta atau 6.2 peratus. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta iaitu 7.1 peratus dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035 dengan menguasai 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dengan statistik menunjukkan warga tuanya melebihi 10 peratus adalah termasuk dalam kategori Ageing Nation.
Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin berkurangnya perkahwinan. Berdasarkan maklum balas dalam sesi ceramah saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai masalah kewangan. Lantas, apabila soalan ditanyakan, jawapan yang diberikan ialah 'takdir belum tentukan!'.
Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir. Ia memerlukan usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat 11 surah ar-Ra'du: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Ayat itu jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi. Ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga.
Mr./Mrs. Right bukan dipilih
Ramai yang berusaha untuk mencari individu terbaik bagi memenuhi cita rasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup.
Mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata.
Kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu penyakit. Tidak perlu mencari pasangan yang sama sikap dan minat. Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama.
Perlu difahami, pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr. atau Mrs. Right pilihan anda.
Panduan mencari pasangan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun ia juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud 'kerana agamanya'. Ia bukan bermaksud calon itu perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam.
Malah menurut para fuqaha', asas ketetapan kufu' atau sekufu menurut syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama, bukan sama taraf dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat.
Dalam usaha mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu perbetulkan diri, apakah anda betul-betul layak untuk berkahwin?
Jangan terkejut, bukan saja poligami, malah monogami pun ada syarat kelayakannya. Jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram.
Kemampuan
Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.
Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.
Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.
Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.
Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Hikmah jodoh lambat
Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup apabila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan.
Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman bujang ketika usia 28 tahun. Ketika itu, saya hanya membiarkan segala soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk ikhtiar kita di samping takdir-Nya, keputusan dan perancangan-Nya sentiasa yang terbaik.
Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada orang yang bertemu jodoh pada usia muda, ada yang bertemu jodoh agak lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat kelak.
Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes perkahwinan pada usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas dua atau tiga tahun perkahwinan. Lebih menyedihkan, ada perkahwinan yang hanya bertahan selama sebulan.
Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tidak bagus, bukan juga bererti kahwin lewat itu yang terbaik. Lantaran tidak semua kes kahwin muda bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia.
Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang tersendiri yang hanya akan anda ketahui apabila tiba masanya nanti. Yang penting, jangan putus asa, jangan putus doa, Dia akan berikan anda pasangan apabila itu adalah yang terbaik untuk anda.
Hanya apabila bersedia
Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri.
Lantas, berkahwinlah apabila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia, bukan sebab dipaksa orang tua atau hendak mengelak maksiat dan fitnah semata-mata. Maksiat tidak perlu dielak jika anda tidak dekatinya.
Buat para gadis, pastikan bakal suami benar-benar layak. Jangan mudah bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari. Paling penting, dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan setiap keputusan kepada-Nya. Dia akan membantu, insya-Allah!