Friday, November 19, 2010

Sembilan minit penuh makna




TATKALA jarum jam berdetik menghampiri pukul 2 pagi, suasana sunyi sepi mula menyelubungi Stesen Satelit Bumi, Planetarium Negara, Kuala Lumpur.

Bahasa tubuh 20 orang pelajar sekolah menengah dari sekitar Lembah Klang yang berada di stesen tersebut mula menunjukkan kegelisahan dan perasaan penuh harapan.

Pelajar-pelajar bertuah yang bersengkang mata itu, bagaimanapun, bukan ingin melihat tahi bintang ataupun meteor merentasi langit gelap di angkasa.

Mereka sebenarnya penuh sabar menanti pemilik suara angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Douglas H. Wheelock, yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Penantian pelajar-pelajar yang mengikuti Program Berkomunikasi Bersama Angkasawan NASA di ISS anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology Sdn. Bhd. itu akhirnya terjawab apabila terpacul suara Wheelock melalui radio amatur.

“Terima kasih banyak-banyak dan kami berbangga kerana mendapat perintis angkasawan dari Malaysia beberapa tahun lalu di ISS,” ujar Wheelock.

Dalam keadaan yang semakin mengujakan bagi pelajar-pelajar itu, mereka sebenarnya hanya mempunyai tempoh kira-kira sembilan minit untuk mengajukan soalan kepada angkasawan berkenaan.

ISS hanya akan mengorbit di ruang angkasa negara ini kira-kira sembilan minit sebelum frekuensi radio amatur yang diterima melalui satelit terputus hubungan sepenuhnya.


BANYAK persiapan, perbincangan dan kajian dilakukan sesama krew ketika berada di ISS.


Tempoh komunikasi berharga itu nyata telah dimanfaatkan secara maksimum oleh para pelajar tersebut.

Antara jawapan yang sempat dijawab oleh angkasawan NASA berkenaan termasuklah mengenai peralihan siang dan malam.

“Tentu sekali saya mengalami suasana malam dan siang apabila berada di angkasa lepas.

“Saya menyaksikan suasana matahari terbit dan terbenam sehingga 16 kali sehari,” kata Wheelock.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan di ISS tidak selalunya gelap kerana stesen itu turut disimbah cahaya matahari.

Ujarnya, ia akan menjadi gelap apabila Bumi berada antara kedudukan ISS dengan bintang terbesar itu.

Perasaan euforia

Beliau memberitahu pelajar-pelajar berkenaan bahawa ketika kali pertama dilancarkan ke ISS, perasaan euforia (rasa gembira dan ghairah yang berlebihan) menyelubungi perasaannya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa krew-krew di ISS sedang melakukan pemerhatian terhadap planet-planet di alam angkasa.

“Sepanjang berada di ISS, saya juga pernah melihat beberapa planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Zuhal dan Jupiter.

“Kami juga tidur apabila berada di sini di ruang tidur masing-masing. Ia hanya bersaiz pondok telefon,” jawabnya kepada salah satu soalan yang diajukan oleh pelajar berkenaan sebelum terputus hubungan.


ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr. Sheikh Muzaphar Shukor ialah antara 196 individu yang mengunjungi ISS.


Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad berkata, komunikasi yang telah dilakukan pelajar-pelajar berkenaan melakar sejarah tersendiri kerana 2 November tahun ini merupakan sambutan ulang tahun ke-10 manusia menghuni ISS.

“Program yang diadakan setahun sekali itu menghimpunkan sekumpulan pelajar sekolah dari Lembah Klang yang diberi masa untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan yang berada di ISS dengan menggunakan radio amatur.

“Kali ini seramai 20 pelajar telah diberi peluang untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan terlibat dalam tempoh sembilan minit,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Pendedahan

Azreena menambah, program berkenaan diadakan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar-pelajar mengenai penerokaan ilmu angkasa.

Katanya, ia merupakan salah satu inisiatif Planetarium Negara untuk menarik minat golongan pelajar meminati sains dan teknologi angkasa.

“Mungkin pelajar-pelajar ini tidak mengetahui bahawa kita perlu membuat tempahan slot untuk mereka berkomunikasi dengan angkasawan itu terlebih dahulu.

“Program komunikasi itu bukan hanya dijalankan di Malaysia malah terdapat banyak lagi sekolah di seluruh dunia menanti peluang sedemikian,” katanya.

Sukarelawan Planetarium Negara, Sion Chow, 26, pula menambah, slot berkenaan perlu ditempah melalui Amateur Radio on the International Space Station (ARISS).


ISS mengumpulkan banyak maklumat tentang rahsia angkasa lepas kepada penduduk Bumi. - Gambar hiasan


“Pada kebiasaannya, slot berkenaan perlu ditempah satu atau dua tahun awal. Bagaimanapun, bagi slot kali ini saya hanya menempah enam bulan kerana mempunyai teman rapat di ARISS.

“Slot yang ingin ditempah perlu melalui beberapa peringkat seperti mengisi borang, memberi nama sekolah, cadangan mengapa ingin membuat program berkenaan dan faedah kepada pelajar-pelajar berkenaan,” jelasnya.

Selepas semua proses berkenaan dilakukan, Sion Chow menambah, pihaknya perlu menunggu pengesahan daripada ARISS berhubung tarikh dan waktu slot.

Sementara itu salah seorang pelajar terlibat, Ayu Rafiqah Shafi, 17, dari Yayasan Selangor, Klang, berkata, dia sangat gembira dan berasa terharu kerana diberi peluang berkomunikasi secara langsung bersama angkasawan NASA.

“Peluang sebegini hanya datang sekali seumur hidup dan akan menjadi sejarah dalam hidup saya.

“Ia juga akan memberi semangat kepada saya untuk mengejar cita-cita sebagai seorang doktor,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Fairuz Nadia Rohani, 17, menyifatkan peluang sekali seumur hidup itu sangat berharga dan berterima kasih dengan kesempatan yang diberikan oleh Planetarium Negara.

“Saya sangat teruja dengan peluang yang diberikan dan pengalaman tersebut akan saya jadikan semangat untuk memajukan diri,” katanya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

No comments: