Friday, November 19, 2010

Mesej keselamatan interaktif


PELBAGAI permainan disediakan kepada kanak-kanak dalam pameran Petronas StreetSmart-Lessons for Life.


BAGI meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak prasekolah, Petronas mengambil inisiatif berganding bahu dengan Playhouse Disney pada tahun ini untuk mengadakan pameran interaktif.

Pameran yang diberi nama Petronas StreetSmart-Lessons for Life kini sedang berlangsung di Petrosains, The Discovery Centre di Suria KLCC, Kuala Lumpur.


KANAK-KANAK didedahkan mengenai kepentingan memakai jaket dan topi keselamatan apabila menunggang basikal.


Ia akan berakhir pada 21 November ini.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Petronas untuk menyampaikan pesanan mengenai keselamatan jalan raya ke seluruh Malaysia, pameran kembara Petronas StreetSmart menyebarkan mesej serius dalam bentuk yang menyeronokkan untuk menarik perhatian kanak-kanak dan orang dewasa.

Pameran tersebut menampilkan simulator sistem jalan raya dan keadaan trafik yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengalami dan mengenalpasti masalah serta bahaya berkaitan penggunaan jalan raya.

Pada masa yang sama, demonstrasi keselamatan dipersembahkan yang membolehkan pengunjung belajar tentang kepentingan mengamalkan tingkah laku positif keselamatan jalan raya seperti menggunakan tali pinggang keselamatan, berjalan berjauhan daripada kenderaan yang sedang bergerak dan kepentingan jaket keselamatan ketika menunggang basikal.


DUA kanak-kanak ini sabar menunggu giliran menggunakan simulator sistem jalan raya yang disediakan.


Selain itu, terdapat juga aktiviti menyeronokkan termasuk program bercerita Mickey Mouse Clubhouse: Road Rally.

Ia berdasarkan rancangan Mickey Mouse Clubhouse: Road Rally, program istimewa di saluran Playhouse Disney mengenai keselamatan jalan raya.

Untuk pameran tersebut Playhouse Disney mempersembahkan sesi bercerita Mickey Mouse Clubhouse: Road Rally semasa pameran pada 13, 14, 20 dan 21 November.

Selain itu, bengkel yang mendidik kanak-kanak tentang kepentingan memakai topi keselamatan, kenapa rangka kereta mesti teguh dan bagaimana bumper kereta boleh menyerap kesan pelanggaran semasa kemalangan juga diberikan kepada pengunjung.


PENYAMPAIAN maklumat yang disampaikan secara interaktif menarik minat golongan kanak-kanak.


Ia bertujuan membantu kanak-kanak menghargai keseronokan mengamalkan tabiat keselamatan jalan raya yang bertanggungjawab.

Dalam pada itu, maskot Petronas StreetSmart iaitu Siti, Ah Chong dan Muthu juga membuat penampilan istimewa yang pasti menceriakan semua pengunjung muda!

Waktu pameran adalah dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian pertanyaan atau tempahan di 03-2331 8181. - NURUL IZZA ROSLY

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm


No comments: