BANYAK perceraian yang berlaku hari ini terutama melibatkan pasangan Islam berpunca daripada dorongan gaya hidup yang moden. Ini kerana mereka yang sudah lama berumah tangga mulai menyoal kemampuan pasangan masing-masing dalam mengisi cita rasa mereka dalam mengharung perjalanan hidup yang serba moden pada hari ini.
Setelah agak lama mendirikan rumah tangga, perhatian mungkin beralih kepada pasangan baru dengan menjanjikan perkara yang muluk sehinggakan mereka terpesona. Perhatian yang berlebihan itu juga mendorong mereka mengikut acuan perasaan yang dibentuk oleh teman baru yang mendorong mereka menuntut perceraian.
Selain itu, perasaan bosan dalam berumah tangga turut menyebabkan mereka mencari jalan keluar, lebih-lebih lagi dengan gaya hidup sekarang yang mana kita dapat melihat semakin banyak orang tidak mempedulikan status seseorang lelaki atau wanita yang didampingi itu, sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak. Segalanya itu didorong oleh rasa suka dan menyukai dengan berpaksikan terhadap cinta yang boleh dicipta dalam sekelip mata.
Semua itu mengingatkan saya tentang seorang rakan saya yang mempunyai isteri yang cantik. Untuk mengelak isterinya mencari lelaki lain, rakan saya itu memasang strategi dan melaksanakannya iaitu menggalakkan isterinya hamil dan melahirkan anak sehingga melebihi setengah dozen.
Langkah itu diambil bagi menyekat isterinya mempunyai waktu untuk menghias dirinya dan dipandang cantik oleh lelaki lain. Ia terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir lelaki zaman sekarang yang tidak kisah untuk berkawan atau berkasih dengan isteri orang. Inilah yang saya maksudkan gaya hidup moden hari ini.
Selain itu, saya terpaku membaca satu laporan media mengenai lelaki yang menjalin hubungan intim dengan isteri orang akhirnya maut ditikam suami kepada kekasihnya itu. Ini juga satu contoh betapa zaman sekarang bukan lagi satu zaman yang selamat bagi pasangan suami dan isteri mengharung bahtera rumah tangga dengan aman tanpa gangguan pihak ketiga.
Berbalik kepada teman saya itu, memanglah tidak berlaku perceraian. Nampaknya kaedah yang diamalkan oleh rakan saya itu mendatangkan hasil dan boleh dicontohi oleh suami-suami lain di luar sana.
Tetapi, musibah lain pula menimpa rakan saya tadi apabila nasib tetap tidak memihak kepadanya. Ini kerana isterinya tidak secantik sewaktu sebelum berkahwin dan pada awal perkahwinan dulu. Disebabkan itu, perasaan sayang terhadap isteri mulai bertukar menjadi benci.
Pada bahagian akhir kisah mereka, rakan saya itu telah berkahwin lagi satu dengan ibu tunggal yang bekerja dan telah mempunyai dua orang anak remaja. Rakan saya itu melihat wanita yang bekerja boleh membantunya dalam menghadapi kesulitan hidup. Dengan kata lain, rakan saya tadi tidak perlu sangat memikirkan soal kewangan untuk menyara keluarga baru kerana isteri barunya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah gaya hidup zaman sekarang membuatkan pasangan-pasangan yang telah berumah tangga mudah sangat berubah hati bagi mencapai impian peribadi yang bersifat semasa.
Saya melihat impak daripada perceraian itu sendiri di mana pasangan baru sukar menerima anak-anak daripada perkahwinan pertama. Ini berlaku kepada pihak perempuan mahupun lelaki. Jadi, ke manakah hala tuju anak-anak itu nanti?. Tidakkah mereka menjadi mangsa perceraian ibu bapa yang nampaknya mementingkan diri sendiri.
Terdapat juga pihak lelaki atau perempuan menyerahkan jagaan anak-anak kepada ibu bapa masing-masing di kampung. Apabila tanggungjawab itu telah diserahkan di kampung, maka pandai-pandailah orang tua berkenaan membesarkan cucu mereka.
Namun, saya perhatikan ada anak-anak yang bernasib baik kerana mendapat perhatian dari saudara mereka yang menyekolahkan mereka sehingga ke menara ganding.
Masalah lain pula muncul apabila anak-anak ini berjaya dan mahu berjumpa dengan ibu bapa masing-masing bagi tujuan mengenang budi kerana melahirkan mereka di dunia ini. Ketika itu, terdapat pula halangan yang didorong rasa cemburu.
Kalaulah pada hari baik dan bulan yang baik, terutamanya sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha hendak berjumpa dengan ibu bapa kandung pun sukar, maka terpaksalah mereka melupakan hasrat itu. Dalam soal ini, siapakah yang memutuskan silaturahim anak-anak dan ibu bapa kandung tadi?.
Saya juga melihat impak kepada perceraian amat banyak dan saya kira ia hanya menguntungkan satu-satu pihak sahaja iaitu mereka yang mendapat pasangan baru dengan gaya hidup yang serba baru, manakala yang terpinggir adalah anak-anak daripada perkahwinan terdahulu.
ISMAIL HASHIM
Port Dickson