Tuesday, June 3, 2014

Sakit kepala orang muda

Oleh Murshid Eunos

Penulis sendiri, MURSHID EUNOS bertahun-tahun mengalami sakit kepala serius ini. Migrain sememangnya pembunuh secara senyap yang akhirnya meninggalkan kesan mendalam. Umumnya, golongan muda paling parah berdepan konflik sakit jenis ini.
Tiba-tiba kepala berdenyut dan sakit hingga memaksa seseorang itu baring serta merehatkan diri. Telan panadol pun belum tentu hilang rasa sakit itu. Bukan mual, jauh sekali pening biasa, tapi itulah migrain yang hari ini banyak menyerang anak muda.

Kenapa menyerang anak muda? Ini kerana faktor pemakanan tidak terkawal dan pengambilan kopi secara konsisten yang hari ini menjadi trend anak muda. Itu penyebab utamanya.

Apa itu migrain? Ia berasal daripada perkataan Greek ‘hemikrania’ yang bermaksud sebelah tengkorak atau di kenali sebagai ‘vescular headache’. Ia adalah sejenis penyakit kepala yang kronik dan pesakit biasanya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah sesetengahnya ada yang tidak makan, minum dan hanya terbaring lemah.

Apabila berlakunya migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk. Menurut kajian, golongan wanita kebanyakannya lebih kerap menghidapi penyakit migrain terutama ketika haid.

Sakit kepala biasa dihidapi oleh semua orang tidak kira kanak-kanak mahupun golongan biasa. Namun, jika ia sakit yang berpanjangan dan keadaannya serius hingga mendatangkan kesan berpanjangan, ia dikira sebagai migrain.

Migrain berlaku kerana darah tidak sampai ke otak akibat tersekat dan menyebabkan sakit kepala yang teramat sangat. Selain pening akibat sakit kepala, migrain juga memberi rasa tidak selesa kepada perut dan tekak rasa loya sehingga menyebabkan pesakit muntah.

Perasaan yang sering digambarkan oleh pesakit ketika menghadapi migrain adalah seperti dihempap batu dan kepala berdenyut-denyut seperti dicucuk-cucuk. Serangan migrain ini tidak mengira tempat dan waktu. Kebiasaannya pesakit akan mengalami sakit kepala di sebelah bahagian saja.

Puncanya secara keseluruhan adalah disebabkan kesan daripada alahan seseorang, silau akibat lampu yang terang, bunyi terlalu kuat, bau wangi terlampau kuat, tekanan fizikal atau emosi, waktu tidur tidak teratur, merokok atau terdedah kepada asap rokok, menahan lapar atau mengambil makanan seperti coklat, keju, kopi, limau, tomato dan jeruk atau makanan diperap.

Tanda lain migrain termasuk kesakitan kepala amat sangat dan berdenyut, rasa sakit pada sebelah kepala dan merebak ke bahagian hidung serta sakit mata, tekak berasa loya, muntah dan kadangkala tangan serta kaki akan menjadi sejuk.

Malah, tanda lain berlakunya migrain termasuk sensitif bunyi dan suara, persekitaran terasa bergerak-gerak seperti menaiki bot dan mabuk laut, kemerahan-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi ataupun badan berpeluh.


Cara mengelaknya

Golongan remaja terutamanya, kaedah menyelesaikan masalah ini adalah sangat penting selain merujuk kepada pakar. Cuba mengawal tekanan dan emosi dan elakkan daripada persekitaran yang berbau busuk, bunyi bising dan asap rokok kerana ia boleh mengganggu emosi penghidap migrain.

Jika perut kamu kosong, cepat dapatkan makanan untuk alas perut dan dapatkan waktu tidur yang lebih teratur. Jangan masih berada di kedai mamak pada jam 2 pagi hingga ke azan Subuh kerana itulah antara punca berlakunya migrain.

Kita golongan remaja gemar melengahkan waktu makan dan lebih berat untuk mengambil makanan jenis segera untuk mengalas perut. Itu juga antara penyebab yang membawa kamu untuk mengalami penyakit jenis migrain ini. Justeru jangan lagi menjadikan sikap ini sebagai satu tabiat.

Elakkan daripada makan makanan yang mengandungi ‘thyramine’ seperti coklat serta makanan tenusu seperti keju dan susu. Elakkan juga daripada mengambil makanan yang mengandungi ‘monosodium glutamate’ (MSG) serta bahan yang mempunyai bahan pengawet.

Kentang goreng yang dibeli dari restoran makanan segera selalunya mengandungi bahan pengawet jenis ini dengan kadar tinggi. Elakkan dan jauhkan walaupun ada kalanya teringin.

Paling penting, hindari minum minuman yang mengandungi kafein berlebihan seperti kopi, nescafe atau alkohol. Jangan ikut trend untuk lepak di kafe kopi ataupun mengambil minuman keras setiap kali kamu mengunjungi pusat hiburan. Berbahaya dan sangat serius kesannya.


Rawatan segera

Rawatan menghilangkan penyakit migrain di bahagikan kepada dua kaedah iaitu rawatan serangan yang mana pesakit dinasihatkan berehat di dalam bilik gelap dan sunyi. Mereka akan diberi ubat tahan sakit dan radang bukan steroid (NSAID).

Sekiranya masih berterusan, doktor akan memberi ubat terkini iaitu ‘sumatriptan’ sama ada melalui suntikan ataupun di telan. Kira-kira 80 peratus pesakit menunjukkan yang sering muntah, mereka diberikan ubat ‘ergotamine’ yang perlu dimakan sama ada di telan, dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan.

Keduanya, pencegahan menerusi beberapa ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor untuk mencegah migrain.

Bagaimanapun petua paling mudah untuk mengelakkan penyakit ini adalah dengan mengambil setin atau sebotol kecil 100 plus, tuang dalam gelas tapi hanya separuh gelas, kemudian tambah air masak atau air mineral dalam gelas itu tadi. Maknanya mesti nisbah 1:1, seimbang dan sama sukatan.

Kemudian baca bismillah, niat untuk disembuhkan dan minumlah. Disarankan untuk cuba tidur lepas mengamalkannya. Kalau di pejabat atau tempat awam lain pun masih boleh dilakukan mengikut kesesuaian waktu dan tempat.

Tekanan terjadi disebabkan kekusutan perkara yang berlegar-legar di kotak fikiran. Minda anda seolah-olah terkunci dek bebanan yang ditanggung. Penyelesaian terbaik bagi mengelak migrain adalah dengan melakukan aktiviti yang boleh merehatkan minda seperti mendengar muzik, membuat rawatan rambut di salun mahupun mengerjakan hobi kegemaran kamu.

Bagi sesetengah pendapat, bersukan mampu mencegah migrain. Lakukan aktiviti sukan yang tidak terlalu berat seperti senaman aerobik atau berjoging secara konsisten. Hanya menaiki tangga pejabat juga boleh dikategorikan sebagai senaman ringan yang membantu mengatasi kehadiran migrain.

Kurang mendapat tidur secukupnya mahupun terlebih waktu tidur boleh menyebabkan sakit kepala. Sebaiknya, nikmatilah waktu tidur yang cukup bagi orang dewasa iaitu 6 hingga 8 jam sehari. Pola tidur yang teratur berupaya mengatasi serangan migrain. Cuba untuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.
Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro Online pada : 03 Jun 2014

Wednesday, April 10, 2013

Memperkukuh penghayatan Rukun Negara

RUKUN Negara adalah falsafah asas kenegaraan dan ideologi kebangsaan yang amat efektif dalam pembinaan masyarakat bertamadun serta beragama di negara ini. Seperti Pancasila di Indonesia dan ‘Declaration of Independence’ di Amerika Syarikat, Rukun Negara juga merupakan intipati prinsip kenegaraan yang terpenting dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang merangkumi kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Rukun Negara diwujudkan selepas tragedi berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Peristiswa tersebut menjadi titik tolak kepada kelahiran Rukun Negara yang direalisasikan setahun selepas kejadian berkenaan.

Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak yang selepas itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua. Dengan adanya Rukun Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-13 mengandungi pelbagai prinsip hidup bermasyarakat seperti nilai kenegaraan bertamadun, perundangan luhur dan nilai serta norma sosial berwibawa.

Latar belakang sejarah Rukun Negara penting kerana ia memberikan segala huraian dan perincian lengkap mengenai aspek yang berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa serta hak orang Melayu dan keistimewaan lain penduduk pribumi Sabah dan Sarawak tanpa menafikan hak masyarakat lain.

Rukun Negara sebagai piagam lengkap juga mencakupi aspek budaya, ekonomi, politik dan peradaban selaras dengan platform Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang cemerlang dalam semua aspek yang diiktiraf dunia, tetapi dengan acuan tersendiri berasaskan kepada posisi rakyat negara ini yang berbilang kaum, budaya, kepercayaan dan sebagainya. Kepelbagaian dan kemajmukan yang terbina secara semula jadi ini menjadikan Malaysia sebuah negara unik, dihormati dan cukup istimewa berbanding negara lain.

Oleh itu, perlu wujud tahap akhlak dan moral yang tinggi, menghormati hak orang lain tanpa mempertikaikannya dan menghindari daripada membangkitkan persoalan yang sensitif kepada sesuatu kaum seperti hal berkaitan dengan ketaatan seseorang rakyat atas dasar asal keturunan kaumnya, bahasa, kebudayaan serta agama dan kepercayaan mereka.

Perkara ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mendatangkan musibah besar kepada masyarakat di negara ini serta boleh mencacatkan semangat perpaduan kaum yang sudah sekian lama terjalin dan berkembang positif sejak peristiwa berdarah 13 Mei.

Biarpun rakyat negara ini memang mengetahui dan menerima konsep Rukun Negara, menurut kajian yang dilakukan menunjukkan golongan generasi baru sekarang yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun didapati masih kurang menghayati erti sebenar falsafah Rukun Negara, biarpun segala usaha telah dilaksanakan.

Oleh itu, bagi memastikan generasi peneraju negara tidak tercicir serta tersasar dalam memahami serta menghayati Rukun Negara, sewajarnya lima prinsip utama yang terkandung di dalamnya perlu terus diperjelas dan diperincikan secara konsisten bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami inti pati dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Generasi muda tidak pernah merasai pengalaman ngeri peristiwa rusuhan kaum yang cukup dahsyat di negara ini. Mereka juga tidak pernah tahu keperitan pemimpin dulu membina semula struktur serta perpaduan masyarakat ekoran episod hitam tersebut.

Sebagai mengekalkan segala nikmat yang kita kecapi kini sebenarnya hasil usaha dan perjuangan generasi terdahulu, amat wajar ditingkatkan tahap penghayatan serta pemahaman secara holistik terhadap erti sebenar Rukun Negara yang dilihat semakin berkarat dan terhakis di kalangan rakyat hari ini.

Oleh itu, penghayatan Rukun Negara secara bersungguh-sungguh harus dijadikan elemen bersepadu yang perlu difahami objektif serta tuntutannya oleh setiap ahli masyarakat secara keseluruhan.

Sehubungan itu, kempen menyemarakkan semula Rukun Negara secara besar-besaran melalui media termasuk media baru seperti facebook, twitter yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini wajar dilakukan.

Pelaksanaannya boleh dipelbagaikan sama ada berbentuk hiburan berfaedah, sistem pelajaran berkesan, dokumentari, seminar dan ceramah oleh semua pihak yang boleh disertai semua lapisan masyarakat.

Bagi pelajar sekolah dan universiti pula, perlu dirangka pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak seperti mengadakan kuiz, debat, peraduan berkaitan Rukun Negara, persembahan muzikal dan pertandingan pidato.

Kadangkala Rukun Negara yang sudah berusia 40 tahun dilihat satu-satunya falsafah kenegaraan yang masih kekal utuh, tetapi yang peliknya ialah masih tidak mendapat tempat sewajarnya seperti diasaskan pada 1970.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana aspirasi Rukun Negara boleh dijadikan kunci hikmat dalam mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat. Ia menjadi landasan terbaik masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup bersatu padu, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain.

Falsafah Rukun Negara terangkum di dalamnya ideologi nasional yang sangat komprehensif bagi memastikan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara berkekalan.


Sumber: Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/28 : http://w1.hmetro.com.my/articles/Minda_MemperkukuhpenghayatanRukunNegara/Article
 

Sunday, November 4, 2012

Ancaman kanser payu dara

Sumber: Arkib Utusan Malaysia Online 16/10/2012
Program kesedaran mengenai penyakit kanser payu dara semakin mendapat perhatian masyarakat.
BERBANDING negara maju, wanita di negara-negara kurang membangun seperti India atau Bangladesh, kurang berisiko terhadap kanser tersebut.

Ini diakui sendiri pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr. Shalizan Torman bahawa semakin maju sesebuah negara, risiko pertambahan jumlah pesakit kanser payu dara juga turut meningkat.

Kebanyakan negara maju dan membangun telah mencatat peratusan tinggi bagi penghidap kanser ini.
“Ini mungkin berpunca daripada corak diet dan gaya hidup. Faktor pengambilan makanan yang tidak seimbang seperti berlebihan dalam mengambil makanan ringan dan pengamalan gaya hidup yang tidak sihat adalah penyumbang terbesar kepada kanser ini," katanya.

Dr. Shalizan berkata, walaupun kesedaran tentang bahaya kanser semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia, sebahagiannya masih malu untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan awal.

Katanya, kebanyakan wanita terutama di luar bandar masih malu untuk membuat pemeriksaan di klinik lebih-lebih lagi apabila melibatkan doktor lelaki.

Hakikatnya penyakit ini boleh dicegah jika setiap wanita mengambil langkah melakukan pengesanan pada peringkat awal," ujarnya ditemui di Klang, baru-baru ini.

Menurut Dr. Shalizan lagi, kanser payu dara boleh dikesan pada peringkat awal melalui beberapa cara yang dilakukan secara sendiri mahupun berjumpa dengan doktor.

Amalkan pemeriksaan bahagian payu dara dengan doktor secara berkala. Biasanya mereka yang berumur lebih daripada 35 tahun digalakkan membuat pemeriksaan ini.

Untuk mendiagnosis kanser payu dara pada peringkat awal, pemerhatian dibuat melalui mamogram. Melalui cara ini , bukan semua wanita boleh mengesan menggunakan kaedah mamogram kerana kosnya yang tinggi. Tambahan hanya mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi digalakkan untuk membuat rawatan tersebut.

Ujian mamogram juga hanya mampu mengesan, bukan mencegah kanser payu dara. Ini kerana ujian mamogram mampu mengesan ketulan yang lebih kecil berbanding melalui pemeriksaan. Juga ia mampu mengesan sel kanser yang tidak dapat dirasa dengan tangan," katanya.

Katanya, golongan wanita yang mencapai umur 35 tahun lebih berisiko untuk mendapat kanser payu dara berbanding golongan muda.

Namun, hanya 10 peratus sahaja penghidap kanser payu dara disebabkan oleh sejarah keluarga. Selebihnya kanser payu dara terjadi secara sendiri.

Mereka yang pernah menghidap kanser ini juga berisiko menghidap kembali jika tiada langkah pencegahan awal dilakukan," katanya.

Menurut Dr. Shalizan, wanita yang mengandung pada usia lewat, mereka yang tidak pernah melahirkan anak dan datang darah haid pada umur yang lebih awal lebih berisiko menghidap kanser tersebut.

Ujarnya, kajian mendapati tempoh tamat haid sewaktu mengandung dan menyusu badan dapat mengurangkan risiko wanita mendapat kanser.

Maklumat ini turut disertakan dengan data yang mencadangkan bahawa menopaus awal mengurangkan faktor risiko mendapat kanser payu dara bagi seorang wanita.

Sunday, November 27, 2011

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 24/11/2011


ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.


Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: 


Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)


Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.


Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(al-Baqarah: 218)


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)


Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.


Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.


Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.


Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.


Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)


Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,


"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.


"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."
Semoga kehadiran 1 Muharam 1433 akan membawa kita ke arah lebih baik dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat seluruhnya bagi mewujudkan manusia yang terbaik.

Hijrah membina penghayatan Islam

Sumber: Utusan Malaysia ARKIB : 24/11/2011

Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL


AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.


Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.


Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.


Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.


Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)


Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.


Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".


Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.


Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).


Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.


Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.
Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.


Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.


Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

Gaji wajib dizakat

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 25/11/2011




Kewajipan berzakat bukan hanya dikenakan ke atas petani serta pemilik ternakan lembu dan kambing tetapi juga kepada mereka yang berpendapatan tetap. - Gambar hiasan















RAMAI tidak tahu menyebabkan bilangan pembayar setiap tahun tidak sampai 100 peratus (%).


Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?


Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.


Namun jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka perolehi wajib dikenakan zakat.


Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ).


Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.


Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat.


Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau layari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.


Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak serta isteri.


Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.


Setiap tahun, bilangan pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100% dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?


Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.


Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta tolakan cukai daripada pendapatan agregat maksimum sebanyak 2.5% peratus bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan mereka.


Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayar zakat pendapatan dan perniagaan.


Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil.


Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tiada alasan untuk kita tidak membayar zakat.


Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.


Sumber: Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan

Jadi lebih baik selepas tunai haji

Sumber: Utusan Malaysia online ARKIB : 25/11/2011




Kawan saya baru balik menunaikan haji. Tetapi saya dapati ada perubahan pada dirinya. Dulu dia solat tepat pada waktunya tetapi sekarang tidak begitu.


Dia juga hanya menyahut panggilan bila dipanggil "Haji". Dia lebih gemar bercerita tentang bagaimana dia dapat buat haji dengan mudah dan banyaknya dia buat umrah sunat. Adakah ini yang dikatakan tanda-tanda haji mardud (ditolak).


JAWAPAN:


Sepatutnya setiap orang yang kembali daripada menunaikan ibadat haji bermuhasabah dengan sepenuh hati. Dengan mempersoalkan beberapa soalan yang boleh menilai ibadat yang baru dilakukan.


Soalannya seperti adakah dilakukan ibadah haji dengan rezeki yang halal, adakah dilakukan dengan memelihara wajib haji dan rukun haji dengan teliti, adakah dipelihara mata dan hatinya dan keikhlasannya selama melakukan ibadah haji.


Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal-awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat.


Hal ini jelas dalam firman Allah swt yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. 


Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)


Sesungguhnya ibadah haji hanya sekali sahaja difardukan ke atas orang Islam, tetapi ia mesti dilakukan dengan sepenuh hati yang ikhlas. Pernah diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah SAW selesai menunaikan haji, baginda bersandar di Kaabah sambil mengalir air mata baginda.


Abu Bakar yang menyedari keadaan baginda itu terus bergegas ke arah baginda dengan bertanya: "Apa yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab aku boleh kira jumlah orang yang mendapat haji yang mabrur". Walhal yang menunaikan haji bersama baginda adalah sahabat, kesemua mereka yang bertemu dengan baginda dalamhajjatul wada' dikategorikan sebagai sahabat oleh sekumpulan ulama.


Jadinya kesemua mereka adalah sahabat, adakah mereka juga terlepas mendapat haji yangmabrur?


Jawapannya tidak, kata-kata baginda Rasulullah SAW adalah bagi menggambarkan betapa tidak ramai yang dapat haji yang mabrur.


Maksudnya tidak semudah yang disangka untuk beroleh haji mabrur.


Jadi lebih baik


Sepatutnya orang yang balik dari Mekah, akhlak dan imannya lebih baik daripada sebelumnya. Sebabnya rukun Islamnya yang kelima telah sempurna, bermakna tiang-tiang agama dalam dirinya telah sempurna.


Kesempurnaan itu sepatutnya menggambarkan kesempurnaan iman dengan dizahirkan melalui amal ibadat. 


Ketahuilah sesungguhnya, apabila sesuatu ibadah itu tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT malah bertambah jauh maka ia bermaksud semakin jauh kita daripada Allah SWT.


Budaya memanggil tuan haji atau haji hanya di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara jiran yang lain tetapi ia sangat ketara di Malaysia. Ada yang sampai tidak mahu menyahut bila tidak dipanggil tuan haji.


Nampaknya tujuan menunaikan haji tidak ikhlas, rupa-rupanya untuk mendapat panggilan tuan haji atau hajah. Tidak ada dalam mana-mana kitab muktabar, fiqh mahupun hadis dan tafsir yang menggelar sahabat atau tabien dengan gelaran haji.


Ini kerana ibadat haji dilakukan kerana Allah. Jika ibadah haji diterima Allah SWT itulah sebesar-besar hadiah sebagai balasan selepas kembali daripada mengerjakan haji.


Kata-kata Al-Hasan al-Basri yang bermaksud: "Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat". Beliau juga mengatakan: "Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji".


Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan: "Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran".


Ringkasnya, ibadah haji yang dilakukannya itu berjaya mengubahnya menjadi hamba yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki segala amalan yang lalu dengan mengqadanya.


Lalu berusaha pula memperbaiki ahwal ahlu keluarganya iaitu menasihati mereka agar mentaati perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW.


Masakan tidak, mereka yang balik daripada ibadat haji, kembali daripada menziarahi tempat-tempat yang agung dalam Islam.


Mereka menyaksikan sendiri bumi di mana Allah SWT turunkan wahyu dan mereka ziarah makam nabi SAW yang menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna.

Hijrah kepada Islam

Sumber: Utusan Malaysia Online 27 November 2011

AWAL Muharam atau Maal Hijrah merupakan hari bermakna bagi umat Islam kerana ia bersempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu dijadikan hari pertama dan tahun baru bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada umat Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, penyatuan dan ukhwah serta syiar Islam itu sendiri.

Oleh itu bersesuaian dengan tarikh hari ini yang jatuh pada Tahun Baru 1433 Hijrah, kita perlu memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kita masih dilanjutkan usia untuk melayari tahun baru.

Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna ini hendaklah dipergunakan untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi ruang dan peluang.

Signifikan

Sesungguhnya peristiwa Hijrah memberi signifikan yang sangat besar kepada umat Islam. Melaluinya, ia telah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada bebas, daripada kekufuran kepada terangnya iman dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Ramai manusia yang sebelum ini hanyut kemudiannya mendapat petunjuk dan hidayah menukar agama asal dan memeluk Islam. Ini adalah juga Hijrah.

Begitu juga apabila ia melibatkan tokoh masyarakat, selebriti seperti pelakon dan penyanyi malah pemain bola sepak terkenal.

Malah ada sesetengahnya sengaja disenyapkan berita pengislaman mereka kerana mungkin takut ia boleh membayangi segala keburukan yang selama ini disebarkan oleh Barat.

Berikut disenaraikan beberapa orang terkenal dalam bidang mereka yang akhirnya berhijrah, memeluk Islam bukan kerana ikutan jauh sekali kerana paksaan, tetapi setelah mendapat rujukan dan penjelasan yang jelas tentang kebenaran agama suci ini.

Penyanyi rap

Hakikatnya ramai di antara mereka terutama penyanyi rap dai Amerika Syarikat (AS), terdiri dari penganut Islam. Ada di antara mereka sebenarnya penganut sejak lahir dan ramai juga yang memeluk Islam setelah diberi hidayah.

Namun kebanyakan mereka mula memeluk Islam untuk menyatakan sokongan terhadap pertubuhan Nation of Islam yang banyak berjuang untuk golongan kulit hitam tetapi malangnya agak menyeleweng dari ajaran sebenar.

Namun kini kebanyakan mereka sudah beralih menjadi penganut Islam ahli sunni walaupun mengakui masih belum mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Di antara mereka adalah Lupe Fiasco atau nama Islamnya Wasalu Muhammad Jaco, Q-Tip atau Kamaal Ibn John Fareed selain Mos Def, Busta Rhymes, anggota kumpulan Wu Tang Clan, Ghosta Killah, Ice Cube, Rhymefes, Beanie Sigel dan Freeway yang nama Islam mereka tidak dinyatakan.

Juga dinyatakan adalah seorang rapper kulit putih yang menganut Islam sejak tahun 1990-an lagi iaitu Everlast. Kesemua mereka ini masih mengekalkan karier menyanyi dan berlakon tetapi pada masa yang sama sudah berubah jauh lebih baik berbanding kehidupan lampau, semuanya berikutan menganut Islam.

Malah mereka turut memasukkan lirik-lirik lagu yang memuji kebesaran tuhan di dalam album mereka selain mengkritik keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Namun terdapat mereka yang terus meninggalkan bidang hiburan seperti yang berlaku kepada Loon, Napolean dan juga Yusuf Islam.

Guru tidak perlu kerja 9 jam

Sumber: Utusan Malaysia Online ARKIB : 21/11/2011

Oleh AZMY MOHAMED


PEMANSUHAN projek rintis guru bekerja sembilan di empat negeri menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah golongan pendidik dan bersedia menerima sebarang cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita.

Ketika mengumumkan pemansuhan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar projek rintis berkenaan yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru.

Sebenarnya, tujuan peluasan projek rintis yang melibatkan 5,000 guru di Sarawak, Pahang, Melaka dan Johor adalah untuk mencari satu ketetapan terhadap beberapa dakwaan yang kurang tepat mengenai beban kerja guru serta tanggungjawab yang tidak seimbang antara tugas mengajar dan tanggungjawab pentadbiran.

Hal ini kerana sejak sekian lama telah wujud persepsi bahawa guru terpaksa mengorbankan lebih banyak masa dalam tugas-tugas perkeranian sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Ketika ini, mengikut peraturan sedia ada, seseorang guru diwajibkan mengajar sebanyak 30 waktu bagi sekolah rendah dan 24 waktu bagi sekolah menengah setiap minggu.

Dari perspektif jumlah jam bekerja, guru hanya terlibat dalam aktiviti mengajar kira-kira 18 hingga 22 jam 30 minit seminggu berbanding penjawat awam lain yang bekerja 8 jam sehari iaitu 40 jam seminggu.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa tanggungjawab guru itu bukan sekadar di bilik darjah malah meliputi lain-lain aktiviti termasuk kokurikulum, memeriksa projek latihan pelajar atau buku latihan pelajar dan merancang aktiviti P&P.

Oleh sebab itu, melalui projek rintis ini, guru terbabit hendaklah merekodkan jumlah masa yang mereka gunakan untuk aktiviti tersebut bagi mengesahkan kerja-kerja berkenaan dilaksanakan sama ada semasa di sekolah selepas waktu mengajar, dibawa balik ke rumah atau ketika hari cuti.

Berdasarkan statistik yang bakal diperoleh akan memudahkan pembuat dasar membuat perancangan untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain itu, tujuan projek rintis itu juga untuk membolehkan ada kewajaran lain diambil termasuk menempatkan lain-lain profesion dalam perkhidmatan pengurusan pendidikan misalnya kalangan penjawat awam yang dilatih khusus dalam bidang kewangan, pentadbiran, pengutipan data dan sebagainya.

Sekiranya kutipan data itu menggambarkan bahawa guru yang menumpukan sepenuh masa dalam P&P telah mampu meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang cemerlang, maka adalah wajar tugas bukan akademik diserahkan kepada orang lain.

Bagaimanapun aspek pedagogi tetap menjadi hak eksklusif para guru kerana mereka memang dilatih dalam bidang itu tetapi bukan dalam aspek pengurusan.

Apa pun pemansuhan projek rintis ini berjaya menghilangkan rasa panik di kalangan guru khususnya yang terlibat secara langsung dan juga guru lain secara keseluruhannya.

Kini, semua guru boleh kembali fokus untuk mendidik anak bangsa demi memenuhi hasrat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan hasrat Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Diharap pemansuhan ini akan memberi lebih banyak masa dan ruang untuk guru membentuk kemenjadian anak didiknya.

Peluang ini hendakaklah dimanfaatkan oleh para guru untuk mengutamakan kerja wajib mereka seperti mengajar, memeriksa dan menyemak, mengurus para pelajar dan memberi bimbingan akademik.

Seharusnya, ia tidak disalah guna untuk kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi peluang ini wajar digunakan untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya mereka terus dihormati dan disanjung tinggi oleh pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.

Pedoman: Kenali Allah kukuhkan akidah

AKIDAH adalah ikatan keyakinan diri yang menyentuh hubungan antara hati, pemikiran dan jiwa seseorang terhadap satu keyakinan.
Berdasarkan Islam, akidah seseorang Muslim adalah apabila ia yakin mengenai agama Islam dengan percaya Rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada Malaikat, percaya kepada al-Quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada hari kiamat serta percaya kepada qada dan qadar.

Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan menunaikan segala kewajipan ditetapkan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Dalam kehidupan pada zaman penuh cabaran ini, kita perlu memastikan akidah diri dan keluarga kita serta masyarakat Islam secara keseluruhannya tidak tergadai dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang beriman, kita seharusnya tidak melupakan peranan kita dalam mengukuhkan akidah dalam diri kita.

Sebagai ibu bapa pula, hendaklah kita mendidik anak kita mengenal Allah dan berusaha menanamkan akidah yang kukuh selain menitikberatkan ilmu lain.
Tiada gunanya jika cemerlang di dalam pendidikan atau mempunyai pekerjaan hebat jika tiada keimanan mendalam terhadap Allah sehingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara yang dilarang dan dibenci Allah SWT.

Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah SAW, di mana ketika di Makkah, perkara pertama dilakukan baginda adalah mengajar serta mendidik sahabat mengenai akidah dan keimanan hingga kukuh bagi membolehkan mereka diajar dengan perkara serta ilmu bermanfaat lain.
Di sini secara jelas menunjukkan, dalam usaha memantapkan kualiti ummah, umat Islam terlebih dulu perlu memantapkan iman dalam diri menerusi akidah sebenar.

Ini kerana dinyatakan, tabiat yang tidak menitikberatkan akidah akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan dan mengabaikan segala larangan Allah.

Oleh itu, perkara pertama perlu dilakukan seseorang itu adalah mengenal Allah SWT dan mempercayai balasan terhadap setiap perbuatan, selain qada’ dan qadar yang berlaku.

Kemudian, kita dituntut untuk terus menguatkan akidah dalam diri dengan melakukan kewajipan yang diperintah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan.

Bukan saja menunaikan kewajipan, seseorang yang ingin menanamkan akidah mesti tahu perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya supaya dapat menghindari perbuatan seperti berzina, meminum arak, berjudi, menderhaka pada ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab, menyebarkan fitnah dan yang bertentangan dengan hukum Islam.

Justeru itu, tidak boleh tidak, kita perlu memperuntukkan masa untuk mempelajari perkara ini.

Dengan akidah kukuh, jiwa seseorang Muslim itu tidak dapat diganggu gugat walaupun seseorang itu diancam nyawanya dan percaya setiap yang berlaku adalah ketentuan dan ujian Allah SWT.

Justeru itu, dalam memperkasakan akidah serta iman, kita perlu menuntutnya daripada guru bertauliah, yakni ilmu serta pengajaran daripada ahli ulama dan bukan hanya kepada seorang guru semata-mata. Ia agar kita dapat membezakan antara mana ilmu lebih bermanfaat selain mengutip serta membuka minda.

Mudah-mudahan dengan pengukuhan akidah dalam diri kita dan masyarakat secara umumnya, akan dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam bertakwa serta beramal soleh, seterusnya membentuk menjadi masyarakat Islam yang cemerlang dalam menuju arus kemodenan semasa.