Monday, November 21, 2011
Lelaki lebih terdedah pada diabetes jenis 2
Utusan Malaysia Online - Kesihatan
Rawat diabetes lebih awal
Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal. |
DIABETES bukanlah sejenis penyakit yang asing bagi masyarakat kita. Setiap hari tanpa disedari, kita mungkin berhadapan atau berdiri ataupun makan di sebelah seorang pesakit diabetes. Setiap satu dalam tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapi diabetes. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 menunjukkan prevalen bagi diabetes di kalangan penduduk negara ini yang berumur 30 tahun ke atas meningkat kepada 14.9 peratus berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.
Bagaimana boleh berlaku peningkatan sebegini? Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit diabetes seperti masalah berat badan, pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat, keturunan atau sejarah keluarga (diabetes ada hubungkait kuat dalam keluarga). Begitu juga peningkatan umur, kurang bersenam dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif - ciri yang ada pada kebanyakan masyarakat kita. Wanita yang mengalami masalah diabetes ketika hamil mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit ini.
Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis/kategori iaitu:
I. Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I;
II. Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II. Jenis yang paling banyak dialami adalah diabetes jenis II.
Jika anda mengalami gejala seperti luka yang lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kencing dan kemaluan, kebas kaki, dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih dan lesu serta berat badan menurun tanpa sebab, anda disarankan menjalani ujian untuk diabetes.
Bagaimana diabetes dikesan? Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap diabetes. Di Malaysia, pakar perubatan menganggarkan kebanyakan pesakit sudah menghidap diabetes bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Inilah sebabnya kita perlu mengetahui paras gula darah kita dengan kerap menjalani pemeriksaan. Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal seperti Pathlab iaitu:
"Ujian paras gula ketika berpuasa - Ujian ini biasanya dijalankan pada waktu pagi selepas berpuasa selama lapan jam. Ini bermakna seseorang yang ingin menjalani ujian ini tidak boleh makan atau minum (kecuali air masak) selama lapan jam sebelum ujian.
"Ujian paras gula secara rambang - Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu berpuasa.
"Ujian oral toleransi glukosa - Dalam ujian ini seseorang akan diberi minum air yang dibancuh dengan 75 gram glukosa. Tahap gula dalam darah akan diperiksa semasa puasa dan selepas dua jam pengambilan 75g glukosa.
Secara lazimnya ujian ini untuk wanita hamil yang disyaki menghidap diabetes di klinik kerajaan. Ramai wanita menghidap diabetes ketika hamil sedangkan mereka tidak pernah mengalami masalah itu. Keadaan ini dipanggil diabetes gestasi yang hanya berlaku ketika hamil. Wanita yang ada masalah ini mempunyai risiko mengalami pradiabetes dan diabetes jenis II kelak.
Biasanya ujian ini bertujuan mengetahui risiko menghidap diabetes gestasi ketika kehamilan memasuki minggu ke-24 hingga 28. Untuk mengesannya, wanita dikehendaki berpuasa selama lapan jam, dan akan diberikan air glukosa (ujian oral toleransi glukosa). Ujian ini sangat penting kerana diabetes gestasi boleh memberi kesan kepada kandungan; antara risikonya ialah badan bayi menjadi besar daripada normal (makrosomia), tahap gula dalam darah bayi terlalu rendah (hipoglisemia), bayi boleh mengalami demam kuning atau bayi boleh mengalami sindrom sesak nafas.
Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, dengan kawalan yang baik, iaitu dengan mengawal paras gula darah, mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan mengekalkan berat badan seimbang; wanita boleh melahirkan bayi yang sihat.
Ada lagi satu perkara penting yang perlu diketahui khususnya bagi pesakit diabetes iaitu ujian untuk mengetahui paras HbA1c. Ini adalah ujian bagi menunjukkan purata gula dalam sel darah merah dalam tempoh tiga bulan. Ia juga menunjukkan sama ada diabetes anda terkawal atau sebaliknya.
Dalam ujian ini, sampel darah pesakit akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Keputusan anda normal jika HbA1c berada pada tahap 6 peratus atau kurang. Tahap HbA1c yang digunakan untuk diagnosis diabetes ialah kurang dari 5.7 peratus (normal), 5.7 hingga 6.4 peratus (pra diabetes) dan 6.5 peratus atau lebih (diabetes). Jika anda menghidap diabetes, anda perlu memastikan paras HbA1c di bawah 7 peratus dan berbincang dengan doktor tahap yang sesuai untuk anda.
Diabetes tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai komplikasi yang membabitkan banyak organ seperti menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada mata (boleh mengakibatkan buta), saraf (kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki boleh cedera tanpa disedari), otak (strok), buah pinggang (kegagalan buah pinggang) dan jantung (serangan jantung).
Jangan perjudikan kesihatan dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan am untuk mengetahui tahap kesihatan anda. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya datang untuk menjalankan saringan pemeriksaannya kerana umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Ujian saringan kesihatan am boleh dilakukan di mana-mana klinik atau 50 cawangan makmal Pathlab di seluruh Malaysia.
Sunday, December 27, 2009
Diabetes penyebab jantung koronari
RAMAI tahu penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Diabetes atau penyakit kencing manis pula adalah penyakit yang sangat berbahaya.
Namun, mungkin ramai tidak tahu kencing manis antara penyebab utama penyakit jantung koronari. Diabetes juga boleh mengakibatkan strok, kegagalan fungsi buah pinggang, gangguan penglihatan, gangren di kaki, mati pucuk (ED) dan gangguan urat saraf.
Diabetes adalah satu penyakit di mana jumlah hormon insulin yang dikeluarkan oleh kelenjar pankreas berkurangan atau tindakan hormon itu kurang berkesan.
Insulin yang ada tidak berupaya membantu pergerakan gula ke dalam sel badan, lantas tidak dapat mengawal keseimbangan gula, menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi.
| |
Tanda dan gejala awal kencing manis ialah kerap kencing (siang dan malam), dahaga dan minum dengan banyak, senang penat, berat badan turun mendadak dan luka lambat sembuh.
| |
Kaitan diabetes dan penyakit jantung
Penyakit jantung dan diabetes sememangnya ada banyak kaitan. Penyakit jantung sebenarnya adalah komplikasi diabetes paling lazim dan serius.
Bagaimana ia terjadi? Paras gula dalam darah yang tinggi dan tidak terkawal mengakibatkan metabolisme badan menjadi tidak menentu. Ini menyebabkan paras lemak darah seperti kolesterol dan trigliserida menjadi tidak normal.
Diabetes dan paras lemak darah yang tidak normal menyebabkan proses arteriosklerosis terjadi di dinding pembuluh darah iaitu lemak terkumpul pada dinding darah. Plak yang membabitkan lemak dan sel inflamatori terjadi dan membesar lalu menutupi ruang dalam pembuluh darah.
Penyempitan ini menyebabkan pengaliran darah tidak sempurna. Simptom yang terjadi bergantung kepada pembuluh darah terbabit.
Jika arteri koronari tersumbat, berlakulah serangan jantung dan jika membabitkan pembuluh darah di otak, strok atau angin ahmar yang terjadi.
Impak diabetes
Tenung dan lihat statistik berikut mengenai diabetes.
Jika belum menghidap diabetes: Jika menghidap diabetes:
|
Diabetes ibu segala penyakit
hafiza@bharian.com.my
Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strok
DI sebalik kempen meraikan Hari Diabetes Sedunia yang disambut semalam, ada fakta lain yang harus dititikberatkan ramai apabila membicarakan kewajaran pelbagai program dan usaha kesedaran bahaya kencing manis ini.
Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.
Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.
Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.
“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.
Mengetahui kadar gula dalam darah membantu mengurus diabetes.
Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu.
Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.
Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.
Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.
Gengran antara komplikasi akibat diabetes.
“Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.
Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.
“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.
Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.
“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina.
“Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.
Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.
Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.
Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.
“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.
Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.
Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.
Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.
Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).
Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.
INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua
# Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.
# Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.
# Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.
# Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.
Sunday, April 19, 2009
Rempah dapur untuk kawalan gula darah
| KAYU manis dan Banaba. |
Jumlah penghidap pra-diabetes juga akan meningkat bila rakyat meningkat usia dan berat badan.
Pra-diabetes bukan sahaja berisiko untuk menghidap diabetes tetapi juga serangan jantung, angin ahmar, kegagalan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf dan pemotongan anggota badan.
Risiko untuk anda mendapat serangan jantung atau angin ahmar adalah antara dua ke empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang sihat. Ianya 1.5 kali lebih tinggi jika anda menghidap pra-diabetes.
Ketahanan Insulin
Pra-diabetes dan diabetes jenis kedua biasanya bermula dengan kerentanan insulin. Takat gula darah (glukosa) dalam badan dikawal atur oleh insulin, sejenis hormon yang dikeluarkan dalam pankreas.
Insulin membantu membawa glukosa dari darah melalui membran sel dan kemudiannya masuk ke dalam sel badan.
Selagi membran sel sensitif terhadap insulin, pergerakan ulang-alik glukosa ke dalam sel berlaku dengan cepat.
Apabila membran sel tidak sensitif (juga dikenali sebagai kerentanan insulin), pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin untuk memaksa glukosa masuk ke dalam sel.
Kesannya ialah peredaran gula darah yang tinggi menjadi biasa. Lama kelamaan pankreas tidak lagi berupaya untuk mengeluarkan insulin dengan cukup untuk mengawal gula darah dan diabetes jenis kedua akan terbentuk.
Sebelum didiagnosis sebagai pesakit diabetes, anda mempunyai keadaan yang dikenali sebagai pra-diabetes.
Keadaan ini berlaku apabila takat gula darah anda lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap diabetes dan kebanyakan orang tidak menyedarinya.
Pemakanan yang sihat, senaman dan mengambil suplemen boleh mencegah atau melambatkan masa mula diabetes dan mengurangkan risiko komplikasi.
Pati kayu manis
Ahli kimia di Jabatan Pertanian US (USDA), Dr. Richard Anderson menemui sejenis kelas bahan larut air dalam kayu manis yang dikenali sebagai polimer Polifenol Jenis-A dengan keupayaannya untuk meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali ganda.
Sifat peningkatan insulin kayu manis akan mendatangkan faedah kepada individu yang mempunyai takat gula tinggi (pra-diabetes dan diabetes).
Pada Jun 2006, satu kajian menunjukkan pengambilan suplemen pati kayu manis boleh membantu mengawal takat gula darah bagi individu yang mengalami diabetes jenis kedua.
Dalam kajian ini, 79 pesakit diabetes mengambil suplemen tiga kali sehari. Selepas empat bulan, takat gula darah berpuasa mereka bertambah baik sebanyak 10.3 peratus.
Pada Oktober 2006, suatu kajian dikemukakan pada sidang Kolej Pemakanan Amerika ke-47, menunjukkan pati kayu manis larut air mungkin mendatangkan kesan antioksidan dalam mengurangkan kerosakan radikal bebas yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi.
Kajian ini juga menunjukkan pengawalan gula darah yang bertambah baik. Hasil kajian tersebut seterusnya menyokong peranan pati kayu manis dalam membantu mereka yang mengalami gangguan fungsi insulin dan pra-diabetes.
Polimer Polifenol Jenis A pati kayu manis larut air adalah 70 peratus lebih berkesan daripada kayu manis asli itu sendiri dan ia mengelakkan kesan alahan sampingan berbahaya yang mungkin berlaku apabila mengambil dos kulit kayu manis asli yang tinggi.
Pati Banaba
Beberapa jenis tumbuhan perubatan dari India, China dan Jepun juga telah digunakan untuk merawat diabetes. Salah satu yang ditemui adalah asid korosolik dari daun pokok Banaba (Lagestroemic specious).
Profesor Sains Farmaseutikal, Fakulti Perubatan Universiti Hiroshima Jepun, Dr. Yamazaki telah mengkaji kesan asid korosolik yang seakan insulin sifatnya.
Kajian beliau menunjukkan asid korosolik mengaktifkan pengangkutan gula darah melintasi membran sel ke dalam sel menghasilkan penurunan gula darah.
Kajian klinikal di Amerika Syarikat dan Jepun menunjukkan asid korosolik adalah selamat digunakan dan berkesan dalam penurunan takat gula darah bagi pra-diabetes dan diabetes jenis kedua.
Mengawal gula darah*
Secara berasingan, pati kayu manis dan Banaba menambah sensitiviti insulin yang membantu dalam penurunan takat gula darah, tetapi apabila keduanya digabungkan, keduanya bertindak dengan lebih berkesan.
Kebanyakan kaji selidik ke atas kayu manis melibatkan penggunaan pati larut air yang dipiawaikan untuk mengandungi Trimerik dan Polimer Tetramerik Jenis-A (polimer polifenol Jenis A) dan bagi Banaba, ia adalah dipiawaikan untuk mengandungi satu peratus asid korosolik.
*Suplemen tersebut harus diambil bersama dengan ubat dan tidak digunakan untuk menggantikan ubat dan nasihat doktor.
Jika anda mempunyai risiko pra-diabetes, sila berjumpa doktor untuk menjalankan ujian darah. Walaupun anda beranggapan tidak mempunyai risiko, pakar menasihatkan mereka yang berusia lebih 35 tahun untuk membuat pemeriksaan takat gula darah mereka setiap tahun.
Akan tetapi, jika anda tahu anda mempunyai pra-diabetes, anda masih boleh mencegah diabetes berlaku pada peringkat awal dan mengurangkan kerosakan kepada badan anda melalui perubahan gaya hidup, pemakanan, bersenam dan juga mengambil suplemen seperti pati kayu manis dan Banaba yang dipiawaikan.
Walaupun banyak faedah diperkatakan mengenai kayu manis dan Banaba, anda harus juga mengetahui kepentingan untuk mengambil suplemen multivitamin dan mineral yang baik yang telah diformulasikan khas bagi pesakit dan individu pra-diabetes demi memelihara kesihatan optimum dan mencegah penyakit.
Contoh paling tepat adalah zat makanan utama yang diperlukan dalam kuantiti lebih tinggi oleh pesakit diabetes daripada kuantiti dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa - Vitamin B1, B6,B12, Biotin, Niasinamid, Vitamin C, Vitamin E, Manganese, Vanadium, Zink, Kromium dan Selenium.
Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan sejagat yang boleh berfungsi dalam kawasan sel-sel berair dan berlemak.
Monday, December 29, 2008
Diabetes: Risiko dari Usia Muda
OLEH Nurul Anuar Kari
________________________________________
BAYANGKAN bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong), dan berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan belum lagi mencecah umur 40 tahun.
Itulah apa yang menanti pesakit diabetes mellitus yang tidak atau gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati. Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah lama menghidap diabetes, sejak dari usia muda lagi.
Diabetes mellitus merupakan satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).
Semua bentuk diabetes kini boleh dirawat sejak insulin berjaya dihasilkan secara komersial pada 1921 tetapi belum ada penawar yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya. Masalah paras gula tinggi di dalam darah kini dirawat melalui kombinasi ubat, kawalan pemakanan dan juga dos suntikan insulin.
Kardiovaskular
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan 171 juta penduduk dunia menghidap diabetes pada tahun 2000, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030, dengan jumlah terbesar dijangka datang dari benua Asia dan Afrika.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman turut menekankan bagaimana peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat mendadak dari 6.3 peratus pada 1980-an dan sekitar lapan peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.
“Diabetes sudah lama wujud dan ramai di antara pesakit IJN sendiri menghidapinya. Diabetes merupakan antara faktor risiko kuat untuk pesakit menghidap penyakit koronari kelak.
“Perubahan pada salur darah pesakit juga boleh dikesan seawal 15 tahun sebelum disahkan menghidap diabetes. Ini jauh lebih awal dari apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, antara masalah utama yang dihadapi di kalangan pesakit diabetes kini adalah keperluan mengambil bermacam jenis ubat setiap hari (untuk diabetes) sedang mereka turut menghidap penyakit lain yang juga memerlukan pengambilan ubat.
Dr. Azhari menegaskan jika sesuatu penyakit melibatkan pembuluh darah, ia akan menyebabkan kerosakan menyeluruh kepada seluruh badan.
“Salur darah terdapat di seluruh badan terutamanya di jantung dan otak yang boleh membawa kepada serangan jantung dan juga strok (bekalan darah ke otak tergendala), dan kalau lebih malang, kedua-duanya sekali.
“Pembedahan atau rawatan angioplasti juga rumit atau mungkin tidak boleh dilakukan jika pembuluh darah rosak teruk atau menjadi sempit akibat diabetes,” ujarnya.
Jelas beliau, memandangkan kerosakan sudah lama berlaku (seawal 15 tahun awal), gejala tertentu mungkin timbul sebelum pesakit dikesan menghidap diabetes.
Tambahnya, mati pucuk menjadi contoh gejala awal diabetes (atau masalah jantung) akibat kerosakan salur darah halus (mirovaskular) di dalam zakar.
Oleh itu, amatlah ditekankan pentingnya usaha pencegahan diabetes, terutamanya pada usia muda, melalui penjagaan gaya hidup sihat atau rawatan tertentu untuk mengelakkan diabetes di samping pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti mereka yang berisiko menghidap tinggi.
Dr. Azhari turut mendedahkan purata umur serangan jantung di Malaysia kini ialah 57 tahun berbanding 66 tahun di Barat.
“Pesakit serangan jantung paling muda yang pernah dirawat di negara ini berumur hanya 19 tahun.
“Bukannya semua pesakit jantung menghidap diabetes tetapi digalakkan pesakit untuk mengetahui bahawa risiko diabetes boleh membawa kepada komplikasi buah pinggang, mata dan juga serangan jantung,” jelasnya.
Tambahnya, pesakit diabetes yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung juga menghadapi risiko salur darah kembali tersumbat dengan lebih pantas.
Di IJN, kebanyakan kes diabetes melibatkan jenis kedua di mana insulin tidak dihasilkan dengan cukup di dalam badan.
Dr. Azhari menjelaskan, untuk jenis kedua ini, ubat-ubat pil diberikan dahulu bagi mengurangkan tahap gula darah dan juga bebanan keperluan insulin badan.
“Jika gagal dikawal juga, pesakit mungkin perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah.
“Bagi kes teruk, doktor mungkin terus menggunakan suntikan insulin, atau mengikut pandangan doktor bergantung kepada usia dan keperluan individu pesakit,” jelasnya.
Menurut beliau, pesakit juga perlu mengurangkan berat badan, sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan asal, atau lebih baik jika mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Mengelakkan komplikasi
Dalam usaha mengawal komplikasi diabetes, terutamanya masalah kardiovaskular, Dr. Azhari memaklumkan kejayaan IJN membentuk klinik diabetes sendiri untuk membantu memberi nasihat dan penerangan kepada pesakit.
“Dikendalikan bersama jururawat dan paramedik terlatih yang bergabung dengan doktor pakar diabetes, ahli farmasi dan pakar pemakanan, klinik ini dapat membantu pesakit dalam penjagaan komplikasi dan suntikan insulin.
“Pengurusan masalah diabetes di klinik ini juga membantu meringankan beban klinik lain di samping memberi ruang untuk pesakit bertanya sebarang keraguan yang tidak sempat dijawab doktor,” ujarnya.
Dr. Azhari menegaskan kawalan diet pemakanan merupakan antara perkara utama dalam mengubah gaya hidup pesakit diabetes tetapi masih diabaikan sesetengah pesakit.
“Selalunya, ramai yang mengambil snek (manis) di antara hidangan utama. Kawalan juga bukan hanya mengelakkan makanan bergula. Karbohidrat adalah antara bentuk gula dan buah tertentu seperti durian juga mengandungi banyak gula,” jelasnya.
Pengambilan buah memang digalakkan untuk kesihatan, tetapi Dr. Azhari menasihatkan pesakit diabetes untuk mengutamakan buah-buahan kurang manis seperti jambu batu atau buah naga.
Dr. Azhari menekankan pentingnya bagi pesakit yang disahkan menghidap diabetes untuk mengawal rapi penyakit tersebut supaya tidak membawa kepada komplikasi lain.
“Pesakit perlu mengawal rapi paras gula darah, tekanan darah dan juga tahap kolesterol melalui pengambilan ubat (atau insulin) dan juga perubahan gaya hidup.
“Bila sudah kena diabetes, pesakit akan hadapi risiko penyakit koronari yang sama tinggi dengan individu yang pernah (sekali) terkena serangan jantung,” tegasnya.
Dr. Azhari menekankan keperluan pesakit diabetes hadir untuk pemeriksaan susulan secara berkala, mengambil ubat mengikut preskripsi doktor dan kerap memeriksa tahap gula darah.
“Ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan tetapi masih tidak tahu atau kurang faham apa penyakit yang dihidapi, mahupun ubat yang sedang diambil. Pemeriksaan darah sepatutnya dimulakan seawal umur 30 tahun dan ditingkatkan menjelang umur 40 tahun,” katanya.
Beliau juga menegaskan perlunya pesakit bertanya kepada doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat tradisional bagi mengelakkan masalah dalam kawalan diabetes dan mengelakkan komplikasi.
Hari Diabetes Sedunia
Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 pada 14 November ini (Jumaat), IJN juga akan mengadakan acara sambutan Hari Diabetes seperti tahun-tahun sebelum ini.
Dr. Azhari menyatakan, sambutan hari diabetes penting bagi mengenengahkan penyakit tersebut sebagai satu masalah kesihatan semua peringkat umur masyarakat, termasuk di kalangan pesakit-pesakit IJN sendiri.
“Saya berharap kesatuan dan pihak lain turut mengadakan program serupa bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit diabetes, orang ramai dan juga para doktor.
“Pihak kesatuan lain juga diharapkan memainkan peranan masing-masing seperti mana untuk sambutan Hari Hipertensi dan Hari Jantung Sedunia bagi mengurangkan impak penyakit diabetes dan komplikasinya kepada masyarakat setempat,” katanya.
Tegasnya, pencegahan dan pengesanan mereka yang berisiko menjadi keutamaan tetapi jika sudah menghidap diabetes, maka perkara paling penting adalah mengawalnya dengan rapi (tahap gula, tekanan darah dan kolesterol), lebih-lebih lagi jika pesakit mula menghidap diabetes dari usia muda.
Penawar
- Untuk diabetes jenis pertama
BUAT masa ini, tiada penawar khusus yang praktikal untuk diabetes jenis pertama. Faktor punca diabetes jenis ini yang disebabkan kegagalan fungsi sel Beta, islets of Langerhans di dalam pankreas telah mendorong beberapa kajian dalam bagi menggantikan sel-sel tersebut atau menggantikan keseluruhan organ pankreas sebagai satu bentuk rawatan.
Hanya pesakit yang telah menjalani pemindahan (transplan) pankreas (atau pankreas bersama buah pinggang setelah diabetes menyebabkan masalah buah pinggang), dan seterusnya tidak perlu mengambil insulin lagi dianggap sebagai ‘sembuh’ daripada penyakit tersebut.
Transplan pankreas bersama buah pinggang juga dilihat sebagai antara jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk penyakit ini dengan peningkatan jangka hayat pesakit. Namun, pemindahan organ memerlukan pesakit mengambil ubat anti-penolakan organ transplan, dalam jangka panjang.
Eksperimen pemindahan sel Beta sahaja juga telah dijalankan ke atas tikus dan manusia. Bagaimanapun, kaedah ini masih kurang berkesan berikutan kesukaran mendapatkan tisu penderma dan juga tindak balas penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.
Penyelidikan sel stem dikatakan mungkin menawarkan kaedah rawatan berpotensi dengan membolehkan sel Beta, islets of Langerhans, untuk tumbuh semula dan mengelakkan keperluan ubat anti-penolakan.
- Untuk diabetes jenis kedua
Diabetes jenis ini belum ada penawar yang berkesan sepenuhnya. Namun, sejenis pembedahan pintasan gastrik (perut) baru-baru ini dilihat mampu menormalkan paras glukosa darah dalam 80 hingga 100 peratus kalangan pesakit diabetes yang sangat obes.
Mekanisma yang membawa kepada paras gula darah yang normal ini belum difahami sepenuhnya dan masih lagi dikaji, tetapi kesan tersebut bukan hanya dikaitkan dengan penurunan berat badan berikutan kadar gula darah mula normal sebelum berat badan pesakit menurun. Pendekatan ini juga mungkin menjadi sejenis rawatan untuk pesakit diabetes jenis kedua kelak.
Pembedahan pintasan itu juga didakwa mempunyai manfaat tambahan dengan mengurangkan kadar kematian daripada semua jenis komplikasi diabetes, sehingga 40 peratus di kalangan pesakit yang sangat obes. Sebilangan kecil pesakit dengan berat badan normal atau sederhana obes juga dilaporkan telah berjaya melalui pembedahan serupa.
Komplikasi
Akut (boleh berlaku dengan pantas)
- Koma Hiperosmolar bukan ketotik (HNS); keadaan di mana pesakit mempunyai paras gula terlalu tinggi (lebih 16 mmol/L), menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan ke dalam salur darah (secara osmosis) dan buah pinggang mula membuang glukosa ke dalam air kencing. Ini akan menyebabkan kehilangan air, yang jika tidak diganti melalui minuman atau melalui suntikan air, akan menyebabkan dehidrasi. Keadaan ini dianggap sebagai satu kecemasan dan penggantian cecair badan perlu dilakukan segera. Simptom rasa letih boleh membawa kepada koma tetapi keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kes diabetes jenis kedua berbanding jenis pertama.
> Hypoglisemia; paras gula terlalu rendah dengan simptom berpeluh, menggigil, jantung berdegup kencang, sakit kepala dan boleh menyebabkan pesakit meracau atau pengsan. bagi kes yang teruk, pesakit boleh koma, sawan, mengalami kecederaan otak dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat beberapa punca keadaan ini seperti lebihan dos rawatan insulin atau tidak cukup makan. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat dengan memberi minuman manis atau makanan tetapi bagi kes teruk, suntikan hormon glukagon (menggalakkan pengeluaran glukosa ke dalam salur darah) atau suntikan gula dextrose (satu bentuk glukosa) boleh diberikan.
Kronik (berlaku secara perlahan-lahan)
- Penyakit sistem vaskular; peningkatan tahap glukosa darah yang berpanjangan boleh membawa kepada kerosakan salur-salur darah (angiopati). Ini menyebabkan lapisan sel salur darah menyerap lebih banyak glukosa dari biasa memandangkan sel-sel tersebut tidak bergantung kepada insulin. Peningkatan penyerapan ini membawa kepada penebalan dan juga melemahkan lapisan tisu membran salur darah. Kerosakan salur darah dibahagikan kepada mikro (salur darah kecil) dan makrovaskular (salur darah besar-arteri). Kerosakan salur darah seterusnya membawa kepada;
> Retinopati diabetik; pertumbuhan salur darah baru yang rapuh dan tidak berkualiti pada retina mata. Ini juga boleh membawa kepada pembengkakan makula mata (makular edema) yang seterusnya boleh menyebabkan penglihatan pesakit semakin teruk atau menjadi buta. Masalah ini juga merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah, di seluruh dunia.
> Neuropati diabetik; kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa, bermula pada kaki dan berpotensi merebak ke bahagian saraf lain, termasuk deria rasa pada jari dan tangan. Digabung dengan kerosakan salur darah, keadaan ini boleh membawa kepada ‘kaki buruk’ diabetes. Terdapat juga keadaan dima mana otot menjadi lemah disebabkan komplikasi ini, dikenali sebagai amiotropi diabetik.
> Nefropati diabetik; kerosakan kepada buah pinggang yang boleh membawa kegagalan fungsi renal, akhirnya memerlukan pesakit menjalani dialisis. Diabetes mellitus adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.
> Kardiomiopati diabetik; kerosakan pada jantung yang membawa kepada disfungi diastolik dan seterusnya kegagalan jantung berfungsi.
- Penyakit makrovaskular akan membawa kepada penyakit kardiovaskular di mana kerosakan pantas pada arteri menjadi faktor penyumbang kepada;
> Penyakit arteri koronori – membawa kepada angina atau serangan jantung (myocardial infarction).
> Strok – terutamanya jenis iskemik (pengurangan aliran darah ke bahgian tertentu otak).
> Penyakit vaskular periferal – menyumbang kepada rasa kebas (sakit) berulang-ulang (tempoh singkat) dan juga ‘kaki buruk’.
> Myonekrosis diabetik – kemusnahan otot.
> Kaki buruk diabetes – selalunya berlaku akibat gabungan neuropati (hilang deria rasa kaki) dan kerosakan salur darah. Peningkatan kadar ulser dan jangkitan kulit, dan kadang kala nekrosis atau gangren menyebabkan kerosakan atau kecederaan kaki lebih lambat sembuh. Komplikasi ini adalah punca utama pemotongan (amputasi) kaki bukan akibat trauma di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.
Perwarisan genetik
KEDUA-dua diabetes jenis pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian kaitan dengan faktor warisan genetik.
- Diabetes jenis pertama dilihat tercetus akibat jangkitan tertentu (terutamanya dari virus), atau kadang kala oleh tekanan (stres) atau pendedahan persekitaran (bahan kimia atau ubat tertentu). Kaitan genetik dikatakan bersangkut paut dengan kod genetik individu yang membolehkan sistem imuniti badan membezakan sel badan dan sel asing (penceroboh).
Walaupun sesetengah individu mempunyai kelemahan dari segi warisan genetik, diabetes jenis pertama dilihat memerlukan faktor pencetus untuk mula berlaku. Sebilangan kecil penghidap diabetes jenis pertama juga mempunyai gen mutasi yang menyebabkan diabetes pada usia muda.
- Terdapat kaitan faktor genetik yang lebih kuat dengan diabetes jenis kedua. Mereka yang mempunyai saudara terdekat (ibu, bapa, adik-beradik) dengan diabetes jenis kedua mempunyai risiko lebih tinggi menghidapinya kelak. Peratusan risiko juga meningkat dengan bilangan saudara terdekat yang menghidap diabetes jenis ini, dan hampir 100 peratus kesejajaran bagi kembar seiras.
Lebih 25 peratus penghidap diabetes jenis kedua juga mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes. Obesiti yang merupakan satu faktor bebas untuk diabetes jenis kedua juga mempunyai kaitan warisan genetik yang kuat.